Wednesday 17 April 2013

PAS Tolak Calon ‘Bidan Terjun PKR’, Pertelagahan Belum Diselesaikan….

Tiga pemimpin mewakili ahli dan penyokong PAS dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyuarakan hasrat, mendesak supaya pemimpin PAS negeri Terengganu dan pemimpin PAS Pusat membenarkan calon-calon PAS bertanding di kawasan terbabit.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS masing-masing bergelut untuk mendapatkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu iaitu DUN Bukit Besi, DUN Bandar dan DUN Seberang Takir.

Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun lebih awal mengumumkan calon di empat DUN iaitu di Telemong (Narawi Embong), Permaisuri (Wan Mokhtar Wan Ibrahim) serta DUN Bandar (Azan Ismail) dan Bukit Besi (Mohd Shamsul Mat Amin) yang turut dituntut PAS.

Terdahulu tiga calon PAS yang berhasrat untuk bertanding di Bukit Besi, Seberang Takir dan Bandar mendesak PAS pusat dan negeri untuk mencalonkan mereka dengan alasan PAS boleh menang di situ.

Calon PAS yang dijangka bertanding di DUN tersebut ialah Naraza Muda (Bukit Besi), Mohd Nordin Mahmood (Seberang Takir) dan Ahmad Shah Muhamed (Bandar).

Naraza ialah Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Besi Muda, Ahmad Shah ialah Pengerusi MTD Bandar sementara Mohd Nordin ialah Bendahari MTD Seberang Takir.

Mereka menegaskan, ahli-ahli dan penyokong PAS menolak calon-calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diumumkan itu. Ini kerana mereka bersifat 'bidan terjun' kerana tiada gerak kerja dan hubungan dengan jentera PAS.

"Kami yang mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Dun Bukit Besi, Dun Seberang Takir dan Dun Bandar dengan ini mendesak supaya PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu membenarkan calon-calon dari PAS bertanding di kerusi-kerusi N.23 Bukit Besi, N.11 Seberang Takir dan N.14 Bandar.

"Kami menolak calon-calon dari PKR yang bersifat 'bidan terjun' kerana tiada gerak kerja dan hubungan dengan jentera PAS yang telah bertapak lama di Dun-Dun tersebut,"ujar mereka dalam satu sidang media yangg diadakan di pejabat PAS, di Jalan Sultan Omar dekat Kuala Terengganu semalam.

Menurut laman rasmi PAS Terengganu, Buletinonline, namun begitu, mereka menolak ia adalah suatu tindakan yang bersifat menentang keputusan yang telah diambil, memandangkan belum ada keputusan rasmi pengumuman rasmi dari kepimpinan PAS berkenaan kedudukan DUN-DUN terbabit.

Mereka juga menolak tanggapan, desakan mereka itu akan menimbulkan 'pergeseran' dengan PKR, kerana menurut mereka, sebagai ahli PAS yang menjadi salah satu parti dalam Pakatan Rakyat, mereka berhak memberikan pandangan untuk dinilai oleh pimpinan.

"Ini hak kami sebagai pengundi........di DUN masing-masing itu kita boleh (suarakan), semangat demokrasi dalam PAS membenarkan kita ahli-ahli melontarkan sebarang pendapat, tidak timbul soal bercanggah (dalam Pakatan Rakyat),"

 "Kalau kami engkar selepas keputusan rasmi pengumuman calon dibuat, itu (baru boleh dikatakan sebagai) kami engkar dan kami membuat keputusan yang becanggah,"jelas Naraza.

Beliau berkata, tidak ada niat untuk menimbulkan perbalahan dengan PKR, tetapi pemimpin perlu menerima realiti yang berlaku setempat dan berharap pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat menerima desakan tersebut.

Sementara itu, Nordin Mahmud yang mewakili DUN Seberang Takir berkata, hakikat sebenarnya tidak ada satu pun ranting PKR dalam DUN tersebut. Dr Wan Azizah mengakui wujud pertindihan mengenai pengumuman calon di Terengganu. “Perkara tersebut masih dalam perundingan.

Kita hanya tunggu mandat daripada Ketua Umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada majlis pengumuman penamaan calon empat DUN Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Wan Azizah berkata dua lagi kerusi DUN iaitu Seberang Takir dan Kota Putera akan diumum dalam masa terdekat. PKR dan PAS mengadakan dua sidang media berasingan kelmarin masing-masing bertegas untuk menampilkan calon-calon parti mereka di tiga DUN tersebut.

Dalam pada itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan mengumumkan senarai calon hari ini.

No comments:

Post a Comment