Monday 13 February 2012

Hanya MB Terengganu Berani Lawan PAS

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)


KAGUM! Bukan sedikit yang kagum dengan ketegasan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang tidak akan menarik balik kata-katanya bahawa PAS adalah parti ajaran sesat. Walaupun diminta menarik balik kata-katanya itu oleh seorang AJK Pusat PAS, Abu Bakar Chik, namun Datuk Seri Ahmad berkata, beliau tidak akan berbuat demikian (menarik balik kata-katanya itu).

Dalam Umno, memang perlu seorang pemimpin yang berani dan brutal seperti Menteri Besar Terengganu ini.

Layaklah beliau menjadi Menteri Besar Terengganu kerana sebelum ini, apabila beliau menyerang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai “dolak-dalik tarikh penerimaan pemain import”, terpaksa FAM memperbetulkan kesilapannya sendiri. Selama ini FAM ini dilihat terlalu berkuasa di Malaysia kalau hal bolasepak tetapi kena sekali dengan Datuk Seri Ahmad Said, berubah segala-galanya.

Perjuangan Datuk Seri Ahmad Said itu bukan menguntungkan Persatuan Bolasepak Terengganu (PBT) sahaja tetapi banyak persatuan lain juga menumpang tuah di atas keberanian Datuk Seri Ahmad Said ini. Terima kasih Datuk Seri Ahmad Said tidak pula kita dengar dari persatuan-persatuan bolasepak negeri-negeri dan kelab yang turut menerima “faedah” akibat keberanian tersebut.

Kali ini, Datuk Seri Ahmad berkata, beliau sedia menerima tindakan PAS yang akan menyamannya ke mahkamah. Beliau tetap berkeyakinan parti itu memang menimbulkan kekeliruan kepada orang Melayu yang beragama Islam dengan fatwa-fatwa Tok Gurunya.

Keberanian Datuk Seri Ahmad ini akan menyebabkan banyak pihak dalam Umno, khususnya mereka di Kelantan dan Kedah akan “menerima” keuntungan dari keberanian seorang pemimpin Umno bernama Datuk Seri Ahmad Said.

Sebelum ini belum ada seorang pemimpin Umno yang ada keberanian seperti Datuk Seri Ahmad. Saya cukup mengkaguminya. Itulah sebabnya, ketika beliau teruk diserang oleh kawan-kawannya dalam Umno Terengganu, saya berkeyakinan kemenangan akan berpihak kepada Datuk Seri Ahmad Said.

Akhirnya, semua mereka yang berani-berani kucing itu, sudah menjadi tikus. Senyap dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana mereka baru sedar sekarang bahawa mereka tersilap memilih Datuk Seri Ahmad Said sebagai musuhnya.

Satu keistimewaan Datuk Seri Ahmad ialah beliau masih boleh tenang dan meneruskan kerja yang terbeban di bahunya walaupun difitnah, diserang dan diganggu. Kali ini, Datuk Seri Ahmad akan berdepan dengan PAS, musuh politik Umno yang nyata sejak sekian lama.

Saya melihat perkara ini akan menyebabkan PAS runtuh akhirnya. Penyokong-penyokong PAS akan menjauhkan diri dari PAS apabila mahkamah dapat mengesahkan PAS sebagai sebuah parti ajaran sesat.

Kalau betullah orag PAS yang pernah berguling-guling di atas jalan raya di Perak suatu ketika dahulu, itu juga satu contoh bagaimana sebuah parti tidak kisah dengan tindak tanduk penyokongnya walaupun terpaksa berguling-guling atas jalan raya.

Kenapa pemimpin PAS tidak keluarkan fatwa sama ada betul atau tidak tindakan pengikut-pengikut mereka itu? Atau, kalau bukan pengikut AS yang berguling-guling itu, sepatutnya PAS beritahu kepada pengikut-pengikutnya yang lain supaya jangan buat kerja-kerja bodoh dan sesat seperti itu.

Dalam Utusan Malaysia hari ini (Isnin, 13hb Feb 2012) Datuk Seri Ahmad Said dipetik sebagai berkata, beliau enggan tunduk kepada desakan PAS yang memberi tempoh tiga hari agar beliau menarik balik kenyataannya mendakwa parti itu sebagai ‘parti ajaran sesat’.

Malah, Datuk Seri Ahmad sedia disaman oleh PAS berhubung dakwaan itu sambil menyerahkan kepada parti berkenaan untuk memilih sama ada kes itu dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

Beliau tidak sesekali gentar dengan desakan parti tersebut kerana yakin dakwaan terhadap PAS itu mempunyai kebenaran berdasarkan banyak bukti kukuh.
“Ikut pandai dia lah (terserah kepada PAS), saya tunggu (bila PAS akan saman). Saya tak akan tarik balik.

“Terserah kepada dia sama ada nak bawa kes ini ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Nak saman, saman lah. Tapi dia kata kita (BN dan Umno) macam-macam tak apa. Dia kata kita kafir tak apa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke daerah Hulu Terengganu.

Datuk Seri Ahmad diminta mengulas mengenai pendiriannya berhubung dengan PAS agar beliau menarik balik kenyataannya selepas melabelkan PAS “parti ajaran sesat”.

Minggu lalu, PAS memberi tempoh tiga hari kepada Datuk Seri Ahmad agar menarik balik kenyataannya bahawa parti itu merupakan ‘parti ajaran sesat’.

Amaran itu dinyatakan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik bahawa sekiranya dalam tempoh berkenaan Datuk Seri Ahmad tidak menarik balik kenyataannya, parti itu akan mengambil tindakan terhadapnya.

Datuk Seri Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata, penyelewengan dan kesesatan yang dibawa PAS terhadap umat Islam bukanlah perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.

Bukti jelas dan nyata, kata beliau, adalah ‘Amanat Haji Hadi’ dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan majlis Fatwa Negeri Kedah.

“Selagi Tok Guru mereka (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah PAS berada dalam kesesatan bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub,” tegasnya.

citra-bangsa

No comments:

Post a Comment