Wednesday 22 December 2010

Penting Sangatkan Idris Jusoh Kepada Umno Terengganu?


TIBA-TIBA ada cadangan supaya Datuk Seri Idris Jusoh dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, jikalau Menteri Besar (MB), Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai pengerusi.
Nampaknya, mereka yang mencadangkan itu, membayangkan Idris ini begitu penting kepada politik Umno Terengganu.

Mungkin mereka berpandangan, tanpa Idris, habislah Umno Terengganu. Barangkali, mereka beranggapan, hanya dengan kehadiran Idris menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, barulah Terengganu akan selamat dan dilihat sebagai sebuah negeri yang bertamadun.

Sebenarnya tidak begitu. Ketika BN mencapai kemenangan menumbangkan Pas dalam tahun 2004, kemenangan itu tidak kerana Idris seorang. Kemenangan itu adalah kemenangan semua ketua-ketua bahagian yang bekerja keras untuk mencari kemenangan.

Cuma, disebabkan Idris dilihat mengepalai jentera BN ketika itu, kononnya kemenangan BN itu adalah kemenangannya atas namanya seorang. Bukan. Bukan. Bukan.

Umno Terengganu sudah selesa di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said seperti sebelum ini.

Cuma, Idris dan rakan-rakannya (hingga digelar budak hitam) membuat onar dan kacau ganggu.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, mereka boikot, dengan alasan kononnya menerima SMS ugutan.

Berduyun-duyun mereka ke Kuala Lumpur, mengadakan pelbagai strategi untuk menampakkan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said bermasalah.

Padahal, tiada apa-apa masalah dengan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said kecuali mereka yang bermasalah ini mahu menampakkan memang ada masalah. Masalah yang mereka cipta, supaya dari luar Terengganu, akan ada orang yang bercakap, teruknya politik Terengganu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said.

Khabarnya Perdana Menteri pun mula percaya dakwaan itu. Timbalan Perdana Menteri juga terpercaya dengan pergolakan ciptaan si budak hitam ini.

Akhirnya, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri menamakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, manakala Datuk Seri Ahmad, menjadi timbalan pengerusi.

Perdana Menteri mungkin mahukan keadaan politik Terengganu kembali stabil dengan kehadiran Hishammuddin. Namun, ternyata Hishammuddin gagal kerana masalah dalaman tidak akan dapat ditangani kerana Hishammuddin tidak sentiasa berada di Terengganu.

Kuasa menamakan pengerusi dan timbalan pengerusi adalah kuasa Presiden dan Majlis Tertinggi (MT). Jadi, kalaulah datuk Seri Mohd Najib Tun Razak boleh menamakan Datuk Seri Ahmad Said sebagai pengerusi dan timbalannya mungkin salah seorang ketua bahagian, kecuali Idris, tentulah seluruh orang Melayu yang menyokong Umno dan BN di Terengganu akan bersyukur.

Mereka sebenarnya sudah serik dengan permainan Idris. Tidak perlulah Idris mahu dilantik menjadi timbalan pengerusi kerana dia tidak pernah bersedia untuk bekerja di bawah Datuk Seri Ahmad Said.

Mungkin Idris merasakan dia sahaja yang layak menjadi ketua atau pengerusi sedangkan orang lain, termasuk Datuk Seri Ahmad Said, sebaliknya.

Inilah sikap Idris bagi rakyat Terengganu. Idris tidak pernah menerima hakikat bahawa dia bukan lagi Menteri Besar dan bukan lagi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Satu kelebihan yang Idris ada ialah dia sentiasa dilihat baik orangnya. Nampak macam orang cerdik. Nampak macam pemimpin hebat yang mampu mencipta tamadun.

Hakikat sebenarnya, bertanyalah dengan bekas-bekas pegawai kerajaan yang teraniaya di zaman Idris menjadi Menteri Besar.

Bertanyalah kepada ketua-ketua bahagian yang dianiaya Idris termasuk Datuk Roslan Awang Chik, Datuk Rashid Ngah dan beberapa ketua bahagian yang Idris ketepikan begitu sahaja hanya kerana ‘strategi politik’ sendiri.

Jadi, kalau PM dan TPM mahu melihat Umno dan BN Terengganu selamat, singkirkan Idris sejauh mungkin. Jika dia masih diperlukan di Besut, biarlah dia menjadi pemerintah Besut selagi orang Besut mahukan kehadirannya.

Buat orang-orang di Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun dan Kuala Nerus, mereka tidak memerlukan Idris lagi.

Mereka sudah serik dengan sikap dan cara Idris mentadbir negeri Terengganu. Mereka sudah tidak tahan dengan ego dan sikap keterlaluan Idris ketika dia menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Orang Melayu Terengganu sayangkan Umno dan BN Terengganu tetapi mereka menyampah dengan Idris dan konco-konconya.

Mereka tidak suka seorang penderhaka di angkat menjadi pemimpin kepada rakyat Terengganu.

Mereka sayangkan Sultan Terengganu dan mereka tidak suka dengan mereka yang pernah memboikot Persidangan DUN Terengganu.

Mereka tidak suka dengan pemimpin yang melantik kontraktor sesuka hati hingga bumbung Stadium Negeri di Gong Badak runtuh.

Mereka sudah kenal dengan Idris dan budak hitam yang mahu menjahanamkan Umno dan BN Terengganu.

No comments:

Post a Comment