Wednesday 22 December 2010

15 Pegawai Tadbir Terengganu Bertukar Mulai 1 Januari

Seramai 15 pegawai tadbir kerajaan negeri Terengganu akan bertukar berkuat kuasa mulai 1 Januari depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah (gambar kiri) berkata pertukaran itu dibuat berikutan seorang daripada pegawai tadbir iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pembangunang Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) Datuk Mohd Alim Muda akan bersara pada Mac 2011 dan mula bercuti pada 1 Januari.

"Pertukaran itu adalah proses biasa apabila ada pegawai yang bersara dan walaupun seorang ia berangkaian dan akan melibatkan banyak pihak.

"Selain Mohd Alim yang akan bersara pada Mac ini, ada lagi pegawai tadbir yang akan bersara iaitu pada bulan Mei, Julai, November dan Disember nanti dan rombakan akan dibuat kemudian," katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya antara 15 pegawai tadbir yang terlibat dalam pertukaran itu adalah Pengarah ECER Terengganu, Zulkif Mohamad yang akan bertukar memegang jawatan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat) Kolej Universiti TATi (TATiUC) manakala Pegawai Daerah Setiu Mohd Akil Mat mengambil alih tempat Mohd Alim sebagai CEO TESDEC.

Mazlan berkata. Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Terengganu Mohamad Nor Ibrahim dilantik sebagai Pegawai Daerah Setiu manakala Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Mustafar Khalid bertukar menjadi YDP Majlis Perbandaran Kemaman.


YDP Majlis Daerah Setiu Harun Mohamad akan bertukar menjadi YDP Majlis Perbandaran Dungun manakala YDP Majlis Perbandaran Kemaman, A. Rahman Yahya (gambar kanan) bertukar ke jawatan Timbalan Pegawai Kewangan negeri.

Walaupun rombakan pegawai dibuat, masih terdapat kekosongan pegawai tadbir terutama di Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah dan lain-lain yang belum diisi dan kini dalam proses pengambilan.

"Kini ada kira-kira 202 pegawai tadbir kerajaan negeri Terengganu dan ada 22 kekosongan. Kalau ada yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat, kita akan isi sepenuhnya pada 2011 nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment