Tuesday 28 December 2010

Berakhirnya segala spekulasi

''Ahmad adalah pemimpin yang baik dan layak menduduki jawatan itu, cuma kita berharap beliau akan berusaha merapatkan barisan serta memulihkan hubungan dengan mereka yang dilihat 'tidak sebulu' dengan beliau. ''Kita percaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh akan berjiwa besar menerima pelantikan Ahmad dan akan bersama-sama memperkukuhkan UMNO Terengganu.''  - pemimpin UMNO Terengganu

Oleh Zulkiflee Bakar  mailto:pengarang@utusan.com.my)

APABILA Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan secara rasmi keputusan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai siapa yang dipilih sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi UMNO di negeri-negeri, maka berakhirlah segala teka-teki dan spekulasi. Pengumuman yang dibuat semalam seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak kerana UMNO perlu memulakan tirai 2011 dengan melaksanakan segala agenda bagi memantapkan parti untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sudah pasti apa yang akan menjadi perhatian ialah bagaimana tiga pengerusi di tiga negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu mengemudi UMNO kerana sebelum ini, di ketiga-tiga negeri tersebut jawatan pengerusi perhubungan disandang sementara oleh tiga naib presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pulau Pinang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Datuk Seri Shafie Apdal (Kedah).

Kini, jawatan berkenaan sudah diserahkan sepenuhnya kepada anak jati negeri masing-masing iaitu Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah (Kedah), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu) dan Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang).

Mereka akan dibantu oleh timbalan masing-masing iaitu Datuk Mukhriz Mahathir (Kedah), Yahya Khatib Mohamad (Terengganu) dan Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang).

Perlis sedikit menarik perhatian apabila Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohd.Isa Sabu yang mengekalkan jawatan akan bekerjasama dengan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bagi negeri-negeri lain, tidak ada perubahan termasuk Selangor dan Wilayah Persekutuan yang masing-masing kekal dipegang oleh Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun apa pun keadaannya, masa untuk membuat spekulasi dan andaian sudah berakhir. Apa yang lebih mustahak sekarang ialah kesemua pengerusi yang baru dipilih atau dikekalkan harus mengorak langkah mengatur strategi bagi memantapkan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri masing-masing.

Seorang pemimpin kanan UMNO memberitahu penulis, Najib amat berhati-hati di dalam penentuan pengerusi perhubungan terutamanya di Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Ini bagi memastikan pelantikan tersebut apabila diumumkan akan diterima secara terbuka oleh semua pihak. ''Atas sebab itulah sepanjang proses pelantikan hendak dilakukan, pertemuan demi pertemuan diadakan bagi mendapat akujanji pemimpin-pemimpin terlibat,'' kata pemimpin UMNO tersebut.

Sememangnya, Najib menaruh harapan besar kepada perubahan yang dilakukan kerana matlamat utama ialah memperkukuhkan UMNO dan BN. Justeru adalah wajar jika pemimpin-pemimpin yang dilantik memahami tanggungjawab dan amanah besar yang diberikan kepada mereka.

Di Kedah, Terengganu dan Perlis umpamanya, semua orang tahu masalah politik yang berlaku di negeri-negeri tersebut.

Tetapi dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, seharusnya diari lama ditutup dan sekarang adalah masa untuk membuka diari baru.

Janganlah berpuak-puak dan bertelingkah sesama sendiri, Kedah sudah mendapat gandingan yang cukup mantap iaitu Ahmad Bashah yang penuh pengalaman dan Mukhriz yang mampu memperkukuhkan usaha menarik sokongan generasi muda. Semua ketua-ketua bahagian di negeri itu perlu bersatu memberi sokongan dan bukannya terus dengan permainan politik yang memualkan termasuklah membuat spekulasi kononnya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid perlu dilantik bersama Ahmad Bashah memandangkan Mukhriz bukan ketua bahagian.

Dalam masa yang sama, Ahmad Bashah pula perlu bersikap terbuka untuk berusaha merapatkan hubungan dengan semua pimpinan UMNO di Kedah.

''Saya percaya sebagai seorang politik yang berpengalaman, Ahmad Bashah akan mampu mengukuhkan kedudukan UMNO Kedah, apatah lagi dengan dibantu oleh Mukhriz dan ini menyaksikan gandingan orang lama dan orang muda,'' kata Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail.

Di Terengganu pula, pelantikan Ahmad Said bukanlah satu kejutan kerana beliau sememangnya berhak kembali menduduki jawatan itu.

Namun begitu menurut seorang pemimpin UMNO negeri berkenaan, Ahmad perlu lebih berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan mainan politik 'orang sekelilingnya'.

''Ahmad adalah pemimpin yang baik dan layak menduduki jawatan itu, cuma kita berharap beliau akan berusaha merapatkan barisan serta memulihkan hubungan dengan mereka yang dilihat 'tidak sebulu' dengan beliau.

''Kita percaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh akan berjiwa besar menerima pelantikan Ahmad dan akan bersama-sama memperkukuhkan UMNO Terengganu,'' kata pemimpin UMNO tersebut.

Di Pulau Pinang pula, UMNO boleh dikatakan mendapat gandingan yang mantap berdasarkan kombinasi antara Zainal Abidin dan Musa. Kedua-dua mereka adalah 'pejuang' yang selama ini sentiasa mengetengahkan pelbagai isu melibatkan kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Gabungan mereka sudah pastilah akan membolehkan UMNO mengatur gerak kerja yang lebih jitu dengan kerjasama MCA, MIC dan Gerakan bagi merampas kembali negeri itu daripada pakatan pembangkang.

Di Perlis pula, janganlah terlalu ramai cuba menjadi 'pencucuk sate'. Mohd.Isa dan Shahidan harus diberi peluang untuk mewujudkan kerjasama erat bagi memantapkan UMNO negeri itu.

Kedua-dua mereka perlu faham sudah ada khabar bahawa pakatan pembangkang menjadikan Perlis sebagai sasaran mereka seterusnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Apa gunanya jika mereka bertelingkah sesama sendiri yang kesudahannya 'yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu'.

Namun ramai yang percaya, Mohd.Isa dan Shahidan adalah pemimpin UMNO tulen, demi kepentingan parti, mereka pasti boleh berjiwa besar untuk bersatu.

Bagi pengerusi dan timbalan pengerusi perhubungan di negeri-negeri lain pula, mereka janganlah berada dalam zon selesa. Cabaran tahun 2011 dalam memastikan kejayaan BN dalam pilihan raya cukup getir.

Atas sebab itulah kepercayaan yang diberikan oleh Najib dan Muhyiddin kepada mereka perlu dihargai serta dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Misi utama kesemua pengerusi perhubungan UMNO ialah memastikan BN terus meraih sokongan rakyat.

Semua itu hanya boleh dilakukan jika mereka menentukan UMNO pimpinan mereka berada dalam keadaan mantap dan segala proses transformasi yang dilakukan oleh kerajaan dan parti melalui kepimpinan Najib disampaikan serta difahami oleh rakyat dan ahli-ahli di akar umbi.

Berdasarkan hakikat itu, jadikanlah pengumuman barisan kepimpinan UMNO negeri ini sebagai pembuka tirai ke arah mengorak langkah untuk memastikan kejayaan parti itu dan BN, bukan semata-mata kerana kuasa tetapi demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

No comments:

Post a Comment