Oleh Abdul Halim Yusoff dan Hanneeyzah Bariah Baharin
Berita Harian 14 Oktober 2010
BIASANYA selepas terbabit kemalangan, seluruh sendi dan anggota tubuh menjadi lesu dan usaha pemulihan menjadi satu proses yang jerih dan cukup meletihkan. Tiada siapa pernah menginginkan kemalangan, justeru selepas ia banyak terjadi, mula membuka naskhah dan bersurih bagaimana ia terjadi dan salah-menyalah mula menjengah.
Dalam nada hampir sama, itulah keadaan yang menimpa UMNO Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008. Mujurlah tiada penumpang yang terbunuh, tetapi luka dan kejutan berikutan pertukaran ‘pemandu’ secara tiba-tiba menyebabkan ramai yang tidak sedia menerima hakikat dan perbalahan terjadi.
Bagaimanapun, seiring lumrah alam, akan sampai satu peringkat semua yang terbabit ‘letih’ untuk terus bertelagah, diikuti tempoh bertenang, bak biduk berlaku kiambang bertaut.
Seperti disebut Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, selepas ‘kemalangan’ pada 2008, jentera kita rosak teruk, lama kita nak baiki dan selepas setahun proses pemulihan, kereta kita kini sudah sedia untuk jalan laju. Sekarang kita nak buang fobia orang ramai kita masih berpecah kerana kini kita sudah bersatu.
Justeru, ‘panglima perang’ dari Hulu Terengganu yang dikurniakan personaliti lemah lembut dan menyejukkan hati orang sekeliling ini, memanfaatkan kelebihannya itu untuk menjadi pendamai menerusi pendekatan memujuk dan seruan kebersamaan. Memang terlihat beliau tidak menghampakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussin sejak setahun menggalas tanggungjawab itu.
Hasilnya, akui Tengku Putera, semua 28 wakil rakyat UMNO daripada 32 kerusi DUN negeri ini dikatakan kembali bersatu dan sudah menyarung pedang perang masing-masing.
Begitupun, ramai kalangan pemerhati dan veteran parti yang curiga keadaan itu mungkin sekadar drama ketika ini, akibat sudah letih terlalu lama berperang. Siapa tahu apa sebenarnya, hanya keadaan menentukan.
Dalam senyap sejak setahun lalu proses pengukuhan parti dilaksanakan, jentera UMNO negeri sedia mara ke hadapan. Begitupun, tempoh pemulihan yang begitu lama, kesenyapan dalam gerakan menyebabkan parti dilihat lesu dan tidak bermaya untuk meraih sokongan, apatah lagi untuk mengharungi pilihan raya umum akan datang.
Jika ketika UMNO negeri tewas kepada PAS pada 1999, selepas itu terlihat wujud gerakan yang cukup bersemangat untuk merampas kembali negeri terutama gagasan ‘Gelombang Biru’ ketika itu. Transformasi ketika itu ternyata berkesan menyentuh gerak rasa dan kesedaran rakyat untuk bersama UMNO kembali merampas negeri yang ditadbir PAS ketika itu. Hasilnya, Terengganu kembali dikuasai BN pada 2004. Roh gerakan itu juga dapat mempertahankan UMNO terus menguasai pentadbiran pada 2008.
Bagaimanapun, ‘kemalangan’ selepas itu merubah keadaan. Pelantikan Datuk Ahmad Said (sekarang Datuk Seri) sebagai Menteri Besar mengalihkan teraju Datuk Seri Idris Jusoh menyebabkan wujud kumpulan wakil rakyat yang menjauhkan diri daripada Ahmad. Dalam tempoh setahun selepas itu wujud pelbagai pergeseran nyata, hingga kemuncaknya terjadi peristiwa memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April 2009 oleh sekumpulan 10 wakil rakyat. Timbul juga kisah tiga ADUN menerima SMS ancaman bunuh supaya tidak hadir sidang DUN itu.
Lantaran pergolakan yang berterusan hingga mengganggu tumpuan Ahmad memacu negeri, pucuk pimpinan parti mengumumkan perubahan jawatan pengerusi badan perhubungan di lima negeri termasuk Terengganu yang diserahkan kepada Hishammuddin, manakala Ahmad menjadi timbalannya. Begitupun, keadaan dilihat tidak banyak berubah terutama apabila kaedah Naib Presiden itu dikatakan terlalu senyap hingga tidak terkesan di hati ahli dan rakyat.
Kini, sinar di hujung terowong sudah bermula buat UMNO Terengganu dan ia akan diterjemahkan menerusi konvensyen; ‘Teganu Kite: Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ pada Sabtu ini yang mana ucaptama perasmian akan disempurnakan Hishammuddin, manakala penggulungan oleh Ahmad.
Konvensyen mengumpulkan lebih 1,200 ahli serta wakil jemputan itu disasar menjelmakan kesan besar, penyatuan dalam perjuangan UMNO negeri, sekali gus mengubah terus persepsi masyarakat negara ini selama ini yang melihatnya sebagai berpecah dan lemah.
Persepsi itu sesungguhnya memberi impak besar hingga ramai yang tidak yakin UMNO akan terus bertahan di negeri ini, meskipun Ahmad sudah membuat yang di luar biasa dalam kuasanya sebagai ketua eksekutif negeri untuk ‘menguasakan’ rakyat negeri ini untuk merasai terus nikmat daripada kemakmuran kewangan negeri.
Projek yang dilaksanakan beliau, dirumus khusus untuk memberi impak dan limpahan langsung kepada rakyat termasuk e-book, pembinaan rumah rakyat, prasarana asas, pembangunan perbandaran dan langkah mengupayakan ekonomi negeri dalam bidang pelancongan sebagai persediaan mengurangkan pergantungan kepada sumber petroleum.
Begitupun, kelesuan UMNO negeri menyebabkan kebimbangan menebal, apatah lagi kajian pihak berkenaan mendapati penerimaan rakyat terhadap parti pemerintah itu masih sekitar 48 peratus saja.
Kelesuan jentera UMNO negeri yang terlihat berpecah belah dengan pelbagai isu dalaman terutama di Setiu, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun hampir tidak menampakkan usaha Hishammuddin di negeri ini berbekas. Keadaan itu dimanfaatkan sebaik mungkin PAS yang sebenarnya tidak kuat, tetapi dengan gerakan tersusun termasuk siri ceramah berterusan, malah sudah mula memperkenalkan barisan calon, hingga dakyahnya meninggalkan kesan kepada penduduk terutama di kawasan bandar.
Sehubungan itu, ramai juga yang optimis konvensyen ini akan menjadi wadah besar menstabilkan parti dan mengorak penyatuan yang akan merealisasikan strategi yang dicatur Hishammuddin dalam senyap sebelum ini. Keadaan ini diakui sayap parti. Seperti diutarakan Ketua Pemuda negeri, Saiful Bahari Baharuddin, penyatuan dan pengukuhan parti penting bagi mengekal dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO seperti digariskan Hishammuddin.
"Selaku Pengerusi UMNO negeri, beliau sudah menunjukkan hala tuju yang jelas. Jadi, semua wakil rakyat mesti bekerja bersama rakyat dan melupakan perbalahan dalaman serta mengutamakan agenda parti," katanya sambil menambah pergerakan dengan lebih 70,000 itu melihat krisis dalaman UMNO negeri sudah kendur dan penyatuan sudah bermula.
Ketua Wanita UMNO negeri, Senator Datuk Fatimah Hamat pula menyifatkan strategi yang disusun Hishammuddin adalah gerakan kemas dan halus yang dapat meraih keyakinan dan penerimaan setiap kumpulan.
"Kini sampai masanya gerakan diuar-uarkan dan Wanita yang tidak pernah goyah akan memainkan peranan membantu mengembalikan semangat dan agenda perjuangan parti seperti sebelum ini."
Bagi Ketua Puteri UMNO negeri, Asfalinda Anuar, berkata pergerakan dengan 39,000 ahli itu antara yang terkuat di negara ini dan mereka nampak apa dilaksanakan Hishammuddin, akan membantu dengan melipatgandakan usaha memulihkan bahagian yang tercalar akibat pergeseran segelintir kepemimpinan parti.
Selepas dua tahun bergolak dan setahun dalam proses pengukuhan, UMNO Terengganu tidak mempunyai masa panjang lagi untuk membuat lonjakan yang diperlukan menuju PRU-13. Bermula dengan konvensyen yang akan menjadi wadah negeri ke Perhimpunan Agung UMNO minggu depan, diikuti retreat pada November dan 'trial' atau simulasi pilihan raya pada April depan, gerakan penyatuan 265,000 ahli UMNO negeri untuk mengajak keseluruhan 530,000 pengundi sepatutnya sudah lama bermula.
UMNO negeri sudah mula melakukan sesuatu untuk mendapat petunjuk ia diterima majoriti rakyat. Seperti yang dikatakan Tengku Putera, selepas proses penyatuan dan pengukuhan, sekarang adalah masa UMNO negeri merumus kaedah supaya rakyat tidak benci kepada parti. Setiap gerakan dibuat untuk menunjukkan UMNO yang mentadbir negeri ikhlas membangunkan negeri dan bukannya gimik politik semata-mata.
Kesedaran beliau memang sangat berasas kerana dengan tempoh yang berbaki semakin singkat, janganlah kesedaran untuk bersatu di kalangan pemimpin UMNO negeri hanya timbul selepas ‘kemalangan maut’ dalam PRU-13 dan barulah ketika itu mereka akan membuat gerakan 'Gelombang Biru II'. Ketika itu mungkin semua sudah terlambat.
No comments:
Post a Comment