Thursday, 14 October 2010

Pengerusi Perhubungan - Shafie Bayangkan Akan Lepas, Hishamuddin Bila Lagi?

Pada 4 Oktober lalu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata teraju kepimpinan UMNO negeri Kedah akan dikembalikan kepada pemimpin tempatan pada masa yang sesuai dan selepas mendapat kebenaran pucuk kepimpinan parti.


Walaupun belum tiba masanya proses itu dilakukan tetapi beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah sudah membayangkan akan menyerahkan kembali kepada kepimpinan negeri.

Apapun, beliau akan terus memastikan kehadirannya di negeri ini dapat membantu memantap serta mengukuhkan lagi kepimpinan parti berkenaan.

"Belum sampai masanya, kalau sudah sampai kita serahkan. Kita akan bincang dengan pucuk kepimpinan parti. Saya tahu kehadiran saya di sini bersifat sementara sahaja, bukannya kekal. Kehadiran saya di sini untuk membantu rakan-rakan yang banyak membantu saya selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN)/UMNO negeri di pekarangan Bangunan Tunku di Alor Star.

Mohd. Shafie ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah akan diserahkan kepada pemimpin tempatan dalam masa terdekat.

Apakah maknanya daripada penjelasan Shafie ini?

Bermakna beliau mempunyai hasrat dan sedar bahawa apa yang diamanahkan oleh Majlis Tertinggi UMNO itu hanya sementara.

Kedah adalah negeri yang ‘lingkup’ pada pilihan raya umum 2008 lalu tetapi berbeza dengan Terengganu yang menang.

Di negeri yang menang, Menteri Besar yang dipersetujui Sultan untuk mentadbir negeri direntap daripadanya jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO kerana alasan UMNO negeri berada dalam kemelut.

Siapa yang bikin kemelut itu? Menteri Besar atau pihak yang menentang perlantikannya? Jawapnnya ialah puak yang anti-Ahmad Said.

Aakibat onar yang dilakukan oleh sekumpulan ADUN UMNO yang menyokong Datuk Seri Idris Jusoh yang enggan dilantik semula oleh istana sebagai Menteri Besar, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang dipegang Datuk Seri Ahmad Said ‘turut terkorban’.

Berdasarkan ‘fakta salah’ bahawa UMNO Negeri Terengganu menghadapi kemelut – Majlis Tertinggi UMNO - membuat keputusan ‘menarik balik’ perlantikan itu daripada Ahmad Said dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Tugasnya? Mengatasi kelemut politik berkenaan yang diakibatkan oleh penolakan terhadap kepimpinan Ahmad Said.

Namun sehingga ini, walaupun jelas kemelut diakibatkan oleh Geng 10 yang konspirasinya diketuai Idris terang-terangan semakin terserlah, Hishamuddin terus membisu.

Selain gagal mengatasi kemelut, Hishamuddin yang nampak lemah kepimpinannya kadangkala di lihat menyebelahi kumpulan yang menentang Ahmad Said. Apakah Hishamuddin mahu mewujudkan suasana tidak tenteram berterusan agar dapat memegang terus Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu?

Hishamuddin juga tidak pernah mengumumkan mahu menyerahkan kembali atau sebaliknya tetapi apabila ditanya memberikan pelbagai alasan yang mengaitkan ia kuasa Presiden, bukan haknya.

Hishamuddin tertekan kerana seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Kemaman Julai lalu menegaskan sudah sampai masanya jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu diserahkan kepada Ahmad Said.

Lebih menyerlahkan betapa Ahmad Said teranianya ialah beberapa peristiwa yang dirancang puak Idris misalnya SMS Ugut Bunuh dan pemulauan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh puak berkenaan adalah sabotaj paling besar terhadap parti dan kerajaan negeri tetapi ‘dihalalkan’ oleh Majlis Tertinggi dan Putrajaya.

Dan dengan isyarat Shafie juga bersedia melepaskan jawatan itu bila tiba masanya, kini rakyat Terengganu menunggu bila Hishamuddin akan menyatakan perkara serupa, bukan membatukan diri seolah-olah jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu miliknya!

No comments:

Post a Comment