Friday, 15 October 2010

Pembalakan Di Kenyir - TIDAK PERNAH SEBELUM INI...

Bahagian Kedua – Balak Kenyir & Kroni Ahmad Said

Ahmad Said ke Pulau Bayas, Tasik Kenyir Isnin 11 Oktober lalu untuk meninjau pembinaan kawasan Bebas Cukai.

Menurut posting bertajuk “Syarikat Mek Hawa ‘cabul’ alam sekitar Tasik Kenyir” pada 13 Oktober 2010 dalam blog proPAS, lesen pembalakan dikeluarkan kepada Syarikat Wargasuria Holdings Sdn. Bhd seluas 3,000 ekar pada 12 Februari 2009 melalui sepucuk surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, Wan Ahamad Wan Muda.

Jika membaca blog berkenaan, syarikat berkenaan digambarkan sebagai 'kroni Ahmad Said'.

Sementara Wan Ahamad Wan Muda (gambar kiri) kini bergelar Datuk sengaja disebut dalam isu ini gara-gara surat beliau yang ‘meluluskan’ kerja pembalakan ini.

Siapa Wan Ahamad ini?

Beliau tidak lain dan tidak bukan orang yang sama dituduh sebagai penyebar SMS Ugut Bunuh yang menyebabkan 10 ADUN Barisan Nasional dari UMNO memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Wan Ahamad yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri sering dikaitkan dengan apa juga tindakan Menteri Besar seolah-oleh mereka berdua begitu ‘intim’ hingga tidak dapat dipisahkan.

Tetapi dalam kes kelulusan kawasan ‘pembalakan dalam air’ ini, ternyata peranan Wan Ahamad dilihat begitu penting – yang menandatangi kelulusan lesen berkenaan.

Namun jika dilihat pada sudut lain, Wan Ahamad hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Menteri Besar. Itu sahaja!

Sementara Menteri Besar pula memegang amanah hasil negeri, termasuk balak dalam air atau apa sahaja hasil di Tasik Kenyir itu.
Hakikatnya, sejarah pembalakan dalam air Tasik Kenyir bermula lebih 20 tahun lalu apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai kawasan pelancongan, lantas menyerahkan Tasik Kenyir kepada pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).


Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan besar kepada kerja kontrak membersih dan mengeluarkan kayu mati dari dasar tasik yang menghalang bot dan aktiviti berkaitan. Bagaimanapun, Dr Mahathir pernah menyuarakan kekecewaannya kerana projek ini berjalan begitu perlahan dan kemajuan menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan penting tidak pernah menjadi!

Apapun, apabila ‘balak dalam air’ ini yang dianggap kayu mati ini mempunyai harga kerana masih boleh dijadikan papan, kerja pembalakan menjadi aktif dan tujuan awal untuk pelancongan diabaikan.

Kontraktor brebut-rebut memohon untuk menjalankan kerja berkenaan secara percuma serta berjanji membayar cukai kepada kerajaan negeri bagi setiap balak daripada kayu mati yang dikeluarkan.

Wawasan Dr Mahathir untuk majukan Tasik Kenyir lebih 20 tahun lalu itu terhenti sekali lagi apabila Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar!

Idris tidak melihat cara ini sebagai suatu projek ekonomi penting negeri kerana ia tidak membabitkan pembinaan yang cepat dan menguntungkan. (Untungkan siapa?)

Namun wawasan Dr Mahathir kini diteruskan oleh Datuk Seri Ahmad Said dengan usahanya bersungguh-sungguh. Selain untuk menjadikan Taek Kenyir sebagai destinasi penting pelancongan negeri dan negara, Ahmad Said berusaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai Kawasan Bebas Cukai.

Usaha sedang dijalankan dengan gigih dan siri lawatan kerja diatur begitu rapi oleh Ahmad Said bagi membangun pelbagai projek dan infra pelancongan yang bakal menjadikan tasik ini sebagai satu kawasan tersohor dalam peta pelancongan dunia.

Ketertiban Ahmad Said dalam menguruskan pembangunan Tasik Kenyir tidak boleh dinafikan dan kejayaan beliau membangunkan Tasik Kenyir ini telah merisau banyak pihak dan usaha sedanhg dilakukan dan diambil oleh pihak berkepentingan bagi menafikan kejayaan ini.

Berbalik kepada kerja pembersihan dalam tasik berkenaan di mana hampir kesemua kawasan telah dibersihkan dan hanya tinggal sedikit lagi kawasan yang belum dibersihkan.

Dengan kata lain ramai yang sudah kenyang!

Apa yang disebut melalui blog proPAS dan Utusan Malaysia itu adalah bekas tapak kawasan taman negara yang ditenggelami yang juga merupakan laluan ke santuari kelah yang perlu dibersihkan tungguk mati yang menghalang laluan bot.

Memang benar kerajaan negeri meluluskan kerja membersih tunggul kawasan tersebut kepada syarikat Wargasuria Holding Sendirian Berhad.

Namun ia bukan diluluskan secara senyap-senyap tetapi setelah mendapat perakuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Ketua Pengarah Perhilitan dan paling penting perkenan Yang DiPertuan Agong serta beberapa jabatan lain.

Ahmad Said yang menjaga amanah rakyat tidak memandai-mandai meluluskan kerja ini sesuka hati.

Menteri Besar Terengganu memahami betapa Tuanku Mizan Zainal Abidin mahukan Tasik Kenyir dibangunkan setelah kepimpinan negeri terdahulu seolah-olah ‘memekakkan telinga’ dengan kehendak Baginda.

Belum pernah sebelum ini kerajaan negeri begitu berhati-hati dalam meluluskan kerja memotong balak dengan mendapatkan kelulusan pelbagai pihak khususnya berkaitan alam sekitar.

Ahmad Said mahu pihak yang menjalankan kerja ini mematuhi segala arahan dan menjamin Tasik Kenyir dikekalkan dengan keaslian dan kehijauannya.

Bersambung Esok

No comments:

Post a Comment