Wednesday, 20 October 2010

Shafie DiMinta Undur Terajui UMNO Kedah...

Teganukini sudah memperkatakan isu ini sebelum ini.

Hari ini wakil Kedah mahu Shafie Afdal ditukar!

Namun, siapalah Teganukini. Entah dibaca pemimpin tertinggi UMNO blog ini atau tidak entahlah. Kalau menurut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini, ahli UMNO hanya wajar baca umno-online, yang lain tidak berwibawa.

Tetapi umno-online tidak akan bawa cerita seperti ini.

Persoalannya apakah perwakilan Terengganu juga akan menimbulkan perkara ini dalam ucapan perbahasan pada Jumaat ini apabila membahaskan usul – sama ada membahaskan ucapan Presiden atau juga usul ekonomi dan social atau pelajaran dan agama.

Kita tunggulah!

Menurut laporan malaysiakini, seorang pemimpin Pemuda Umno Kedah Basorri Hassan mahukan parti itu mengkaji kembali jawatan pengerusi perhubungan Kedah Datuk Shafie Apdal dan negeri pembangkang lain yang diterajui oleh bukan pemimpin tempatan.

Katanya, walaupun pemimpin berkenaan hebat dan mempunyai strategi yang baik tetapi kesibukan Shafie sebagai menteri, ahli parlimen dan naib presiden Umno menyebabkan perkara itu tidak dapat dilakukan.

"Tolong kaji balik perlantikan pengerusi perhubungan di Kedah khasnya dan di negeri-negeri pembangkang lain," kata Bassori yang juga ketua Pemuda Umno Jerai.

Berucap sebagai wakil Pemuda Umno Kedah ketika membahaskan ucapan dasar ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin, Bassori berkata walaupun mungkin ada pihak yang terguris dengan sikap berterus-terangnya itu, beliau hanya menuruti prinsip "bercakap benar walaupun pahit".


Menurut Bassori lagi, sentimen bukan orang tempatan itu setakat ini berjaya digunakan dengan baik oleh PAS yang memimpin negeri itu bagi menepis isu berbangkit, seperti masalah air.

"(Menteri Besar Datuk Seri) Azizan Razak kata, depa (Umno) nak gaduh pasal air apa, depa (mereka) bukan dok sini.

"Dan rakyat setuju," kata Bassori lagi.

Sementara itu, Shafie berkata beliau mempunyai masa yang cukup untuk membantu Umno Kedah untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang.

Sambil menafikan beliau kesuntukan masa untuk ke Kedah dan menjalankan amanah selaku pengerusi Umno Kedah, beliau berkata apa yang penting ialah pemimpin di semua peringkat termasuk Pemuda berterusan turun padang melakukan gerak-kerja.

"Tidak menjadi masalah. Bukan masalah tidak cukup masa... cukup masa. Cumanya mungkin jawatan itu perlu diberikan kepada orang Kedah untuk ambil alih. Tugas saya cumalah untuk membantu.

"Saya diminta Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk membantu Kedah. Kalau pihak pimpinan mahu kita (bantu), dengan senang hati kita akan bantu.

"Saya membantu untuk memberikan Umno (Kedah) bangkit semula supaya kita dapat merampas kembali Kedah," katanya kepada Bernama, mengulas kenyataan wakil Pergerakan Pemuda Umno Kedah, Basorri Hassan hari ini.

Bassori dalam perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, berkata antara kekangan yang dimaksudkan perwakilan itu ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu sentiasa mempunyai masa yang terhad untuk menunaikan tanggungjawabnya di Kedah selain sibuk dengan tugasnya sebagai ahli parlimen Semporna dan naib presiden Umno.

Mohd Shafie juga berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya diminta berundur oleh pucuk pimpinan tetapi menegaskan itu bukannya persoalan pokok yang harus dibangkitkan sekarang.

"Ini bukan tempat saya dan saya faham. Jawatan itu perlu disandang oleh orang Kedah, tapi pelantikan saya ini hanya bersifat sementara sahaja.

"Persoalannya ialah, apa yang penting ialah gerakan menjuarai kepentingan masyarakat mestilah diutamakan. Saya tidak pernah mengejar jawatan sebaliknya hanya diminta untuk membantu parti," katanya.

No comments:

Post a Comment