Tuesday 9 February 2010

PERBICARAAN KES SMS UGUTAN BUNUH ADUN - AHMAD RAMZI

Saksi Pertama Kenal Pasti Barang-Barang Kes

KUALA TERENGGANU, Selasa (9-2-2010): (TEGANU KINI) Saksi pertama kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu, diarah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, mengenal pasti semua barang-barang yang dijadikan bukti kes tersebut.

Saksi tersebut, Koperal Zolbahari Abd Manan yang tampil pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan bermula hari ini mengenal pasti 37 senarai barang barang kes yang dirampas berhubung kes dan diserahkan kepada beliau oleh ASP Mohd Hadzwan Zulkefle.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Koperal Zolbahari memberitahu mahkamah barang-barang yang diterimanya pada 30 April 2009 termasuk

Seunit telefon tangan (HP) Nokia 9300, seunit HP Nokia 1208, seunit HP Nokia 3200, seunit Mac Pro Xeen 64-A1, seunit Monitor Samsung Syncmaster 226 BW-A2, seunit WD external hard drive, sepasang speaker Sonicgear, seunit keyboard Apple Macro, seunit beg galas, seunit laptop Acer aspire, seunit HSDPA USB Modem, seunit Buffalo External Hard drive, seunit Kingston data traveler (2GB), seunit CPU, seunit wide screen LCD, seunit keyboard Samsung, satu set momo racing force feedback whell, satu set speaker Creative, seunit tetikus Qseen, satu unit Kingston data treveler (4GB), seunit monitor LCD Acer, satu set tetikus dan papan kekunci wireless Acer, satu set speaker sonicgear dan seunit tetikus Qsenn.

Manakala barang yang diterima pada 1 Julai 2009 pula berupa HP Nokia E90, HP Nokia 9300, HP E 71, HP Nokia E71, HP Apple IPhone, laptop Compact, seunit laptop Dell, seunit laptop ECER, seunit laptop Dell, seunit modem, seunit CPU Acer E1, satu USB modem dan seunit HP Nokia E90.

Semua barang kes berkenaan ditanda sebagai bahan bukti dengan ditanda satu persatu bermula dari nombor 1 hingga 37.

Shahidani kemudiannya meminta Zolbahari mengecam dan mengenalpasti barang kes satu persatu sambil pihak pendakwa menyemak barang kes yang disenaraikan bagi perbicaran kes itu.

Ahmad Ramzi sebelum itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan terhadap beliau.

Beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Dalam prosiding sebelah pagi, Hakim M.Bakri Abd Majid memerintahkan supaya Ahmad Ramzi dibebaskan dan dilepaskan kerana pihak pendakwa mendaftarkan kes tersebut sebagai kes saman, sedangkan ia melibatkan kes jenayah.

Dr Ahmad Ramzi bagaimanapun didakwa semula atas tuduhan yang sama dan kes tersebut kini didaftarkan di bawah kes jenayah dan tertuduh kini perlu berada di dalam kandang mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.
-TEGANU KINI

No comments:

Post a Comment