Monday 1 February 2010

APA KAH UMNO MASIH RELEVAN ?

(TAJUK ASAL : TIADA AKTA BOLEH PERTAHAN SURVIVAL UMNO)
Daripada : http://teganuku.blogspot.com/).

Tiada sebarang akta yang boleh mempertahankan survival Umno sebagai parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini melainkan sokongan padu peringkat akar umbi, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata kekuatan perpaduan serta sokongan daripada anggota akar umbi akan menjadikan parti itu terus berpaksi sebagai wadah pembela nasib orang Melayu.

Umno, katanya, hanya mempunyai masa dua tahun lagi untuk menentukan survival parti dan dalam tempoh singkat itu, Umno tiada masa melayan perkara remeh-temeh atau kehendak sesetengah pihak.

"Lebih setahun kita menghadapi pilihan raya umum ke-12 dan di Terengganu sahaja, sudah lebih enam bulan melalui pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Adakah kita masih mahu fikirkan kepentingan diri sendiri? Kita kena bangkit dan suntik semula semangat dalam Umno khususnya di Terengganu.

"Bagaimana saya hendak jawab pada arwah bapa saya (Tun Hussein Onn) dan arwah bapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) sekiranya Umno berkubur satu hari nanti.

"Itulah saya katakan, Umno perlu sokongan peringkat akar umbinya sebagai tunggak kekuatan supaya terus berdiri teguh membela nasib orang Melayu," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hishammuddin berkata setiap anggota Umno memikul tanggungjawab besar bagi memastikan parti itu terus relevan kepada bangsa Melayu dan agama Islam untuk generasi akan datang.

"Sebab itu, walaupun di Kuala Lumpur ada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini, saya tetap mahu berada di Terengganu untuk menyedarkan ahli kita betapa pentingnya kekuatan anda di saat kita berdepan ujian yang besar.

"Apa yang membimbangkan saya ialah musuh yang kita tidak nampak. Justeru, saya menyeru semua anggota Umno khususnya di Terengganu, berjuang dengan ikhlas dan jujur," katanya.

Beliau berkata tidak mustahil Umno boleh terus mempertahankan perjuangannya, selama-lamanya jika mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.

No comments:

Post a Comment