Wednesday 18 September 2013

Kilang Bioteknologi Di Kertih Bakal Beroperasi Mei Tahun Depan - Wan Ahamad

Perdana Menteri melancarkan projek bio-metionina di Kerteh, Oktober tahun lalu.
Pembinaan kilang bioteknologi pertama di dunia bagi penghasilan bio-metionina di Kerteh, Terengganu kini sudah siap 80 peratus dan dijangka memulakan operasinya pada Mei tahun depan.

Bio-metionina ialah belerang asid amino yang banyak digunakan untuk makanan haiwan di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata kerajaan negeri berbangga dengan kelancaran pembangunan loji biotek bertaraf dunia itu yang berjalan mengikut jadual. 

"Kilang dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion ini adalah antara pelaburan penting di Malaysia. 

"Pemilihan Malaysia (Terengganu) berbanding Thailand atau negara-negara lain di rantau ini disebabkan insentif yang kompetitif yang ditawarkan oleh negara dan pengkhususan Pembangunan Koridor Wilayah Timur untuk petrokimia dan bahan kimia tulen yang berjaya menarik perhatian pelabur asing," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di Kemaman, semalam.

Rombongan Terengganu Inc itu diketuai Wan Ahamad, disertai pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Beliau turut berharap bekalan bahan tumbuhan untuk diproses seperti pokok petai belalang, akasia dan cip kayu lain, mencukupi untuk menampung operasi kilang biotek itu serta membuka bidang baharu penanaman dan pembekalan bahan perladangan untuk kegunaan loji biotek itu.

Dengan permulaan operasi di Taman Biopolimer Kerteh itu, bermakna langkah menjadikan Terengganu sebagai pelopor loji bio-metionina pertama seumpamanya di dunia menjadi kenyataan.

Kilang itu adalah pelaburan bersama Arkema, sebuah syarikat kimia terkenal dari Perancis dengan CheilJedang (CJ) dari Korea.

CJ CheilJedang ialah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua. Arkema pula ialah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis yang kini menjalankan operasi di lebih 40 negara seluruh dunia.

Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) ialah pencadang utama projek itu.

Jangkaan operasi kira-kira 11 bulan lagi disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NSE Resources Corporation Sdn Bhd, Azhar Anuar dalam taklimat kepada kepada rombongan Terengganu Inc itu. NSE Corporation ialah syarikat pembekal kepada CJ dan Akema dalam pembangunan kilang dan loji berkenaan. Azhar berkata dandang wap (Biomass) yang dibina itu boleh menampung 180 tan sejam dan ia adalah yang terbesar setakat ini berbanding dandang di Copenhagen dan New York yang hanya mempunyai kapasiti 144 tan sahaja sejam.

Di samping itu kemudahan bangunan pentadbiran, makmal, bengkel penyelenggaraan, kawasan penyimpanan cip kayu, menara pendingin dan jambatan timbang, kini masih dalam penyiapan pembinaan.

Kerjasama strategik antara CJ dan Arkema itu dijangka menjana pendapatan negara kasar (PNI) sebanyak RM11.1 bilion menjelang 2020 dan RM20 bilion nilai jualan, selain menyediakan 500 peluang pekerjaan, kebanyakannya untuk penduduk tempatan. Kompleks seluas 1,000 hektar itu dijangka diduduki lapan pengusaha bioteknologi global menjelang 2015.

1 comment:

  1. boleh ke kalu saya nok buat intern sini... saya student biotech... boleh ke dop eah?

    ReplyDelete