Mingguan Malaysia semalam bertanya ‘Jadikah rombakan?’
Kenyataan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak bahawa tiada rombakan Kabinet pada ketika ini, tidak menghentikan spekulasi mengenainya. Jika diamati kenyataan Perdana Menteri itu, beliau hanya menafikan rombakan Kabinet akan dilakukan dalam masa terdekat.
Namun beliau tidak menolak sama sekali kemungkinan rombakan akan tetap dilakukan. Jika bukan dalam masa terdekat iaitu beberapa hari atau seminggu dua ini, persoalannya bila?
Apakah ia akan menjadi kenyataan Disember atau Januari. Persoalan yang lebih menarik ialah siapakah dan berapa menteri yang terlibat sama ada bertukar kementerian mahupun digugurkan. Apa pula kejutan yang mungkin berlaku.
Jika Awang Selamat merasakan yang menarik siapa dan berapa menteri terlibat, Teganukini lebih berminat dengan cerita yang disebarkan oleh pihak yang terus memperjuangkan Datuk Seri Idris Jusoh supaya diberikan kedudukan lebih baik selepas digugurkan menjadi Menteri Besar Terengganu.
Kes Idris tidak jauh bezanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar meroyan dan sudah menjadi ‘gila’ untuk teruskan misinya ke Putrajaya. Idris pula selepas digugurkan (dipecat oleh Tuanku Mizan) sebagai Menteri Besar semakin menggila untuk dapatkan jawatan di Pusat.
Idris tahu pintu untuknya di Terengganu sudah tertutup rapat, apalagi Yang DiPertuan Agong akan kembali menjadi Sultan Terengganu Jun depan.
Mahu tidak mahu dia hanya mempunyai peluang di peringkat Pusat.
Akibat kedudukan ini, jika penyokong Anwar ‘dirasuk hantu’ untuk menghantar Anwar ke Putrajaya, penyokong Idris pula melobi gila untuk membolehkan Idris diperkenankan oleh Najib untuk menjadi Menteri atau juga kedudukan baik dalam parti.
Di kalangan wartawan di Terengganu, sudah ada pihak yang berbisik kepada mereka bahawa Idris akan dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sementara Datuk Seri Ahmad Said hanya kekal sebagai Timbalan.
Beberapa wartawan memberitahu Teganukini, cakap-cakap di kalangan orang UMNO ini sudah diperkatakan banyak wartawan.
Mereka mengatakan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin merasakan Idris lebih mampu membawa kemenangan kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) berbanding Ahmad Said pada pilihanraya umum ke 13 nanti.
Ini kerana Idris mempunyai track record melalui Gelombang Biru memenangkan Terengganu dan mengulanginya pada pilihan raya umum ke 12 (2008) lalu.
Selain itu Idris lebih berpengalaman dengan kerja-kerja pilihan raya, termasuk di Galas baru-baru ini.
Namun, rasanya Idris bukan sekadar Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.
Cakap-cakap dari Ibu Pejabat UMNO menyatakan perkara lebih besar.
Idris dikatakan akan menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agong sekiranya Tengku Adnan dilantik sebagai Menteri pada rombakan Kabinet yang akan dilakukan Perdana Menteri tidak lama lagi.
Walaupun ada calon lain disebut-sebut, namun nama Idris dikatakan paling menonjol. Sekali lagi nama Najib dan Muhyiddin dikaitkan dengan Idris – orang kepercayaan mereka berdua.
Kedudukan Idris yang begitu menyerlah di mata kedua pemimpin tertinggi UMNO ini sebenarnya kerana kedua-duanya tidak melihat implikasi daripada perbicaraan kes SMS UGut Bunuh yang sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Daripada keterangan saksi sejauh ini, banyak pihak kini mempercayai bahawa orang yang menghantar SMS itu sah bukan bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, sebaliknya adalah Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar iaitu Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir.
Dan jika Dr Ramzi didakwa selepas ini dan Idris dijadikan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu atau juga Setiausaha Agung UMNO, Idris akan menjadi liabiliti kepada parti.
Sudah pasti kedudukan Idris itu akan menjadi sasaran kempen pembangkang untuk pilihan raya umum akan datang. Mahukah UMNO mengambil risiko ini?
Najib dan Muhyiddin jangan berani bermain api. Bukan sahaja tangan mereka akan terbakar tetapi nasib orang Melayu dan Islam juga akan punah ranah jika perlantikan Idris dibuat pada ketika Dr Ramzi semakin terserlah penghantar SMS Ugut Bunuh itu.
Najib dan Muhyiddin tersilap besar jika mengambil kira sejarah Idris ketika memimpin Gelombang Biru.
Hakikatnya di Terengganu, apa sahaja yang disebut runtuh dan ranap, ia adalah pembinaan ketika Idris menjadi Menteri Besar. Meletakkan Idris kembali di puncak kuasa akan menyebabkan pembangkang, khususnya PAS akan bersorak gembira.
Juga Idris yang menjadi ‘tangan ghaib’ di belakang ADUN yang memboikot sidang DUN Terengganu April 2009 sudah ditolak ramai pemimpin dan ahli UMNO Terengganu sendiri.
Menaikkan kembali Idris umpama Najib dan Muhyiddin ‘meletakkan pisau di leher’ mereka sendiri.
Jadi, Najib dan Muhyiddin fikirkanlah. Jangan ingat Terengganu sahaja bergolak tetapi UMNO Malaysia dan kerajaan BN juga akan bergolak jika terlalu taksub dengan orang yang bernama ‘Idris Jusoh’ ini.
Yang terbaik ialah hantar dia jauh-jauh ke Eropah atau Amerika Syarikat kerana dia mendakwa dia bijak dan yang lain semua ‘cap Ayam’.
Biar dia main politik antarabangsa dan cuba menyelamatkan Malaysia daripada dikritik gara-gara tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghina dan mencerca Malaysia di luar negara.
Kita lihat bagaimana Idris berdepan dengan bekas bosnya kerana Idris ketika era Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, adalah pengikut setia pemimpin yang sedang berdepan dengan kes ‘liwat’ kedua itu!
No comments:
Post a Comment