Thursday 11 November 2010

Perubahan Kepimpinan UMNO Negeri 26 Nov?


Utusan Malaysia  12 November 2010
Majlis Tertinggi (MT) UMNO dijangka mengadakan mesyuarat pada 26 November ini dengan agenda utama dipercayai ada kaitan dengan perubahan atau rombakan membabitkan kepimpinan UMNO negeri-negeri.
Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun berkata, tarikh mesyuarat sebenar masih belum ditetapkan tetapi mengesahkan isu itu akan diputuskan pada satu mesyuarat MT 'akhir bulan ini'.

''Ya, isu melibatkan perubahan kepimpinan UMNO di peringkat tertentu yang dibangkitkan oleh Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan dibincangkan dalam satu mesyuarat MT hujung bulan ini," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh ketika dihubungi berkata, tarikh tentatif mesyuarat MT itu ditetapkan pada 26 November ini namun penetapan tarikh sebenar akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan parti.

Pada 23 Oktober lalu, Najib ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO berkata, perubahan dalam kepimpinan UMNO di peringkat tertentu akan diumumkan apabila sampai masanya supaya parti itu lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum kelak.

''Saya akan maklumkan bila sampai masa, tak lama lagilah. Semua kemungkinan boleh (melibatkan kepimpinan UMNO negeri)," kata Presiden parti itu.

Pengumuman perubahan itu dikatakan bagi memenuhi hasrat perwakilan yang meminta Pengerusi Perhubungan UMNO negeri khususnya di negeri-negeri yang kini bukan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), diterajui pemimpin tempatan.

Ketika ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor disandang oleh Najib, Wilayah Persekutuan dipegang Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pulau Pinang (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), Terengganu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Kedah oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ketika ini jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor disandang oleh Datuk Seri Noh Omar, Wilayah Persekutuan (Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin), Pulau Pinang (Datuk Zainal Abidin Othman), Terengganu (Datuk Ahmad Said) manakala di Kedah oleh Datuk Ahmad Bashah Md. Hanapiah.

Pada Mei lalu, Najib menggesa semua pengerusi perhubungan UMNO negeri bergerak lebih aktif dalam melaksanakan program Juara Rakyat yang bertujuan mendekati rakyat bagi memahami masalah yang mereka hadapi.

Kemudian pada Ogos, beliau memberi kata dua pula kepada kepimpinan UMNO Kedah dan Perlis supaya menamatkan segala bentuk persengketaan dalaman jika mahu membina jentera yang benar-benar kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment