Showing posts with label Syed Azman. Show all posts
Showing posts with label Syed Azman. Show all posts

Saturday, 18 November 2017

Amphibia ‘Tak Sampai’ – Polis Dah Siasat Atau Belum?

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa pernah membuat laporan polis mengenai ‘kehilangan kapal dua alam – Amphibia’ pada

Apa jadi dengan laporan itu? Polis mengatakan pihaknya menerima laporan dan apakah sudah dilakukan penyiasatan?

Jika sudah apa keputusannya?

JIka belum kenapa tidak siasat? Tidak cukup bukti?

Kenyataan Dr Syed Azman pada 16 November lalu memaklumkan bahawa pada 2hb Mac 2017 beliau  telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Kuala Terengganu mengenai 'kehilangan' bas dua alam itu.

Katanya, tujuan laporan itu dibuat ialah:

1.    Memohon untuk dijalankan siasatan dimanakah hilangnya bas amfibia yang telah ditempah oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2014 sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Besar dan Datuk Mohd Jidin Mohd Shafie, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan & Pelancongan Negeri Terengganu ketika itu.

2.    Memohon siasatan dijalankan bagi mengetahui berapakah jumlah sebenar yang telah dibayar oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk membeli bas amfibia buatan Malta itu?

       Adakah RM6 Juta atau RM3 Juta? Selain itu, siasatan juga perlu dilakukan bagi membuat pengesahan sama ada bas tersebut telah dibuat bayaran tempahan atau belum dibuat bayaran kerana sudah 3 tahun kedua-dua buah bas amfibia ini tidak kelihatan dan menjadi tanda tanda rakyat Negeri Terengganu.

3.    Memohon siasatan dijalankan bagi mendapat pengesahan adakah terdapat unsur-unsur pecah amanah di dalam urusan pembelian dan tempahan bas amfibia ini.

Dr Syed Azman menyebut, mungkin jumlah ini di anggap kecil oleh sebahagian pentadbir kerajaan, namun kita belum lagi bicarakan soal kepincangan dan ketirisan yang sedang berlaku di negeri Darul Iman.

Isu amhibia ini jika dikaitkan dengan beberapa isu lain, ia menjadi begitu penting seperti  ke mana kesudahan Kawasan Bebas Cukai di Kenyir bernilai lebih RM500 juta?

Menurut Syed Azman, rata-rata rakyat Terengganu kini terpaksa bergelut dengan bebanan kehidupan harian yang amat memeritkan.

“Hal ini di tambah dengan *bebanan GST*   yang mengakibatkan kos barangan harian melambung naik. Anak-anak muda Terengganu pula walaupun berijazah, terpaksa menjadi ‘penggangur terhormat’* kerana peluang pekerjaan yang amat terhad di negeri sendiri dan ‘bebanan hutang PTPTN’ yang tak terbayar,” tegasnya.

Tambahnya, “apakah  inilah nasib rakyat Terengganu yang terpaksa menanggung beban ketirisan yang ditinggalkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab?”


Blog teganuku melaporkan Syed Azman amat terkejut membaca kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 12 November 2017 yang telah memberi kata dua kepada pembekal bas Amphibia itu  untuk membuat penghantaraan kenderaan berkenaan selewat-lewatnya hujung bulan ini (November) atau berdepan dengan tindakan saman daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

Lantas mengemukakan persoalan kepada Ahmad Razif, “kenapa baru sekarang (November 2017) hendak memberi kata dua kepada pihak pembekal bas amphicoach tersebut sedangkan kerajaan negeri telah berkali-kali  ‘menjanjikan’  kepada rakyat Terengganu bahawa bas ‘dua alam’ ini akan tiba sejak dari tahun 2015 lagi?

“Malahan Menteri Besar sendiri telah membuat kenyataan terbuka pada March 2017 bahawa bas tersebut akan tiba pada Jun 2017.

Apakah hal ini sesuatu yang boleh dianggap remeh walhal kos pembelian setiap buah bas tersebut mencecah 3 Juta ringgit sebuah yang mana kos tersebut melibatkan penggunaan wang rakyat?” tanya beliau.

Pembelian Bas ‘Dua alam’ amphicoach ini diilhamkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu bas ini digunakan untuk membawa pelancong ke beberapa tempat menarik sekitar bandar sebelum menyusuri Sungai Terengganu.


Ketika musim tengkujuh, bas amphicoach boleh digunakan untuk memindahkan penduduk terjejas banjir di kawasan yang tidak berarus deras ke tempat yang lebih selamat. Kenderaan tersebut adalah buatan Malta yang dapat digunakan di darat dan di air. Kenderaan berbentuk seperti bas itu mampu memuatkan 50 orang penumpang pada satu masa dengan kelajuan mencecah lapan knot di dalam air.

Ahmad Razif dalam satu kenyataan pada 28hb Disember 2014 berkata, pihak kerajaan negeri menjangkakan bas Amphicoach yang telah ditempah itu akan dapat beroperasi pada tahun 2015.


Beliau berkata kerajaan negeri menjangkakan bas itu hanya boleh digunakan pada tahun 2015 memandangkan kilang pengeluar di Malta memerlukan lapan bulan untuk membinanya mengikut rekaan dan spesifikasi yang dikehendaki.

Saturday, 24 September 2016

Surat Kepada Najib – ‘Apakah Terengganu Tidak Berdaulat Seperti Sarawak?”

 

Oleh DR SYED AZMAN SYED AHMAD
ADUN Batu Burok, Terengganu

Ke hadapan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.
Assalamualaikum wmt wbt,

Saya sentiasa mendokan Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Semoga Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Warkah ini saya nukilkan kepada Datuk Seri di tengah keheningan kita menyambut detik kemerdekaan negara tercinta Malaysia. Semoga negara dan rakyat Malaysia juga sentiasa mendapat kerahmatan dan perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa.

Datuk Seri,

Saya sebagai anak Terengganu warga Malaysia amat terpanggil untuk mengutuskan surat terbuka ini kepada Datuk Seri apabila saya membaca kenyataan rasmi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri bersama dengan CEO Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin di pejabat perdana menteri di Putrajaya beberapa hari yang lepas.

Pertemuan itu diadakan setelah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan kerajaan negeri membeku semua permohonan baru permit kerja kakitangan Petronas dari luar Sarawak khususnya semenanjung yang berkuat kuasa serta-merta.

Apa yang menarik perhatian saya adalah tujuh rangka ‘amicable agreements’ yang telah termeterai antara Datuk Seri sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Adenan dan pihak Petronas sendiri.

1.      Antaranya adalah:

2.      Pelantikan anak tempatan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas yang bakal diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

3.      Sebanyak 192 jawatan kosong dalam syarikat itu pada masa sekarang akan diiklankan dalam akhbar tempatan dan diisi oleh rakyat Sarawak. Pihak Petronas perlu berunding dengan kerajaan negeri jika anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.

4.      Petronas juga akan menyediakan 50 tempat untuk anak Sarawak melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas, memberi latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih kemasukan untuk rakyat Sarawak di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.

5.      Petronas juga komited menyokong dua industri petrokimia yang kini di peringkat akhir rundingan serta menyokong industri petrokimia dan hiliran lain secara joint study dengan kerajaan Sarawak.

6.      Petronas bersama kerajaan pusat akan mempertimbangkan hasrat kerajaan Sarawak untuk terlibat dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri.

7.      Menerima pelan kerja Petronas untuk meningkatkan jumlah pekerja di kalangan anak Sarawak dalam bahagian pengurusan, pengurus, eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020. Ianya adalah seperti berikut:

·       
Pengurusan: Daripada 33 peratus kepada 60 peratus

·        Pengurus: Daripada 41 peratus kepada 60 peratus

·        Eksekutif: Dariada 48 peratus kepada 75 peratus

·        Bukan eksekutif: Daripada 65 peratus kepada 95 peratus

·        Tuntutan kerajaan Sarawak memohon royalti minyak dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus. Perkara tersebut akan dibincangkan kemudian.

Datuk Seri,

Syabas saya ucapkan kepada ketua menteri Sarawak serta seluruh rakyat negeri itu. Namun setelah meneliti terma 7 amicable agreements ini, saya sebagai anak Terengganu berasa amat tercabar dengan perkembangan terbaru ini.

Namun berbanding dengan Sarawak, kami di Terengganu kini telah kehilangan segala hak kami!

Kebanyakan rakyat Terengganu pula terpaksa berhadapan dengan kekangan hidup yang amat perit sedangkan negeri ini merupakan pengeluar minyak dan pernah dikenali sebagai ‘Kuwait Malaysia’.

Kemelut ekonomi Terengganu juga sedang membelit seluruh kehidupan rakyat sehingga ke pundak.

Rakyat Terengganu - khususnya anak muda - ramai tiada sumber pekerjaan tetap termasuk mahasiswa yang menjadi penganggur.

Untuk makluman Dato Seri, bermula dari 1978, di bawah fasal 2 Perjanjian Royalti seperti yang telah dipersetujui oleh semua pihak, kerajaaan Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran sulungnya sebanyak RM5.7 juta daripada Petronas.

Perjanjian ini adalah seperti dikehendaki Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang telah diluluskan kerajaan pimpinan ayahnda Datuk Seri, Tun Abdul Razak Hussein di Parlimen pada 15 November 1974.

Almarhum menegaskan bahawa: “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerimaa 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual Petronas atau agensi atau kontraktornya.”

Malangnya, pembayaran wang royalti secara tunai kepada Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan "wang ehsan" yang dikendalikan terus oleh pusat.

Lebih malang lagi Petronas juga memaklumkan secara rasmi pada 25 September 2015 bahawa: “Petronas tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada Terengganu di bawah Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu”.

Ini berdasarkan terma di dalam negeri bahawa "kerajaan Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil wang royalti kerana segala penemuan telaga minyak adalah di luar tiga batu nautika yang diukur dari garis air surut persisiran pantai negeri”.

Menurut tafsiran diatas, kerajaan Terengganu kini tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak di perairan negeri. Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di perairan Terengganu bukan lagi menjadi milik 'sah' kerajaan Terengganu kerana kedudukannya di luar dari tiga batu nautika.

Datuk Seri,

Negeri Terengganu telah meyumbangkan hasil minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan sejak hampir 40 tahun dengan pengeluaran hasil bernilai ratusan bilion ringgit untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara kita cintai ini.

Hal ini dilakukan oleh kerajaan negeri dengan penuh beramanah mengambil semangat perjanjian bersama yang telah ditandatangani pada 1975.

Namun, apakah wajar royalti sebanyak 5 peratus yang diterima kerajaan Terengganu dari 1978 hingga kini terbatal sepenuhnya dan dianggap sebagai "ihsan" dan "dana khas" daripada kerajaan persekutuan?


Apakah wajar perjanjian royalti minyak antara kerajaan negeri dengan persekutuan dan Petronas yang ditandatangani sejak 1975 juga sudah dianggap sebagai terbatal?

Lebih malang lagi, telaga minyak Bertam Blok PM 307 yang ditemui dan sah terletak di perairan Terengganu baru-baru ini kini 'diserah' sepenuhnya kepada kerajaan Pahang.

Malah, Lundin Oil yang merupakan syarikat cari gali berpengkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja cari gali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali mengesahkan bahawa Bertam Blok PM 307 ini terletak diperairan Terengganu.

Datuk Seri,

Di manakah - kami sebagai rakyat Terengganu - mahu meletakkan maruah dan harga diri kami sebagai rakyat Malaysia jika kami boleh diperlakukan sedemikian rupa?

Apakah Terengganu tidak berdaulat seperti Sarawak yang kini mendapat segala hak mereka?

Saya sebagai anak Terengganu ingin menegaskan kepada Datuk Seri sebagai perdana menteri agar mengkaji kembali kedudukan kami di negeri ini. Kita sama-sama mengamalkan sistem persekutuan yang menjadi asas penubuhan Malaysia dan Terengganu adalah sebahagian daripadanya.

Adalah wajar - dengan perkembangan terbaru ini - Terengganu juga di berikan amicable agreements seperti yang termeterai antara Datuk Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia, Petronas dan kerajaan Sarawak.

Saya mewakili seluruh warga dan rakyat Terengganu menuntut 10 perkara asas amicable agreements agar dapat dipersetujui dengan kerajaan negeri Terengganu, iaitu:

1.      Mengembalikan royalti minyak kepada Terengganu bersesuaian dengaan perjanjian asal di bawah Fasal 2 Perjanjian Royalti yang ditandatangani di antara kerajaan Terengganu, persekutuan dan Petronas pada 1975.

2.      Melantik anak tempatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas seperti yang dipersetujui dengan Sarawak.

3.      Mengiklan dan mengisi sebarang kekosongan jawatan dalam syarikat itu - khususnya di Terengganu - dengan rakyat Terengganu. Pihak Petronas juga perlu berunding dengan kerajaan negeri jika ada calon anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.

4.      Petronas juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya 100 tempat untuk anak Terengganu melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas setiap tahun. Mereka perlu juga memberi latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih banyak kemasukan untuk rakyat negeri ini di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.

5.      Petronas juga perlu komited menyokong sebarang pembangunan dan industri petrokimia serta hiliran lain secara joint study dengan mana-mana syarikat Terengganu serta kerajaan negeri.

6.      Petronas bersama kerajaan pusat juga perlu mempertimbangkan sekiranya kerajaan Terengganu berminat untuk terlibat dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri ini.

7.      Mengkaji pelan kerja Petronas untuk meningkatkan jumlah pekerja di kalangan anak Terengganu dalam bahagian pengurusan, pengurus, eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020.

8.      Mengembalikan kesemua wang royalti Terengganu yang berjumlah RM1.5 bilion yang telah digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk perlaksanaan beberapa projek pembangunan di negeri lain.

9.      Mengembalikan hak telaga minyak Bertam Blok 307 kepada kerajaan negeri dengan kadar segera.

10.   Mengkaji tuntutan agar kerajaan Terengganu juga dipertimbangkan permohonan royalti minyak dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus. Perkara ini juga boleh dibincangkan bersama dengan kerajaan Sarawak kemudian.


Datuk Seri,

Terengganu kini seolah-olah berhadapan di medan perang tanpa pejuang dan perajuritnya mati tanpa kuburan.

Siapa lagi yang kita harapkan boleh membela kehidupan rakyat seluruhnya terutama golongan marhaen kecuali seorang pemimpin yang merdeka jiwanya, denyut nadinya adalah jiwa rakyat jelata yang perlu dibela!

Sekali lagi saya sebagai anak Terengganu memohon dengan jari sepuluh kepada Datuk Seri agar tuntutan yang mewakili seluruh rakyat Terengganu - tanpa mengira apa jua fahaman politik serta kaum - ini dipertimbangkan dengan kadar segara.

Seperti rakyat Sarawak, kami juga anak Malaysia yang cintakan negeri dan negara ini. Kami mendesak agar hak dan maruah kami sebagai rakyat Terengganu terus terbela dan diberikan perhatian segera.

Sekian, wassallam.

Tuesday, 30 August 2016

Malunya Rakyat Terengganu, Syed Azman Ajak Tuntut Hak Sama


Terengganu gagal mendapat hak royalti minyak seperti Sarawak kerana kepimpinan yang lemah dalam kalangan UMNO Terengganu?

Pemimpin UMNO, khususnya Menteri Besar dikatakan terpaksa menutup mulut kerana demi menjaga kedudukan.

Beliau yang ‘tunduk dan mencium tangan Najib’ tidak mungkin akan bangkit mendesak dan meminta hak daripada Datuk Seri Najib Razak kerana tahu akibatnya.

Jika bersuara bimbang akan menerima nasib seperti bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang disisihkan.

Pemimpin UMNO dan rakyat Terengganu kini semakin sedar bahawa Ahmad Razif adalah pemimpin lemah dan mahu menjaga kedudukan dan kroninya semata-mata.

Atau apakah kerana Barisan Nasional (BN) Terengganu menyumbangkan kerusi yang kecil, iaitu sebanyak empat (4) sahaja daripada lapan kerusi di Dewan Rakyat, berbanding 25 daripada 31 kerusi yang disumbangkan oleh Sarawak kepada BN?

Kerana itu Perdana Menteri dan Putrajaya pandang sebelah mata terhadap kepentingan rakyat Terengganu.


Apalagi kerana Menteri besarnya pengecut menyebabkan keadaan menyebabkan banyak kerugia  kepada rakyat Terengganu.

Kelmarin Ahli Dewan Undangan Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi mengajak rakyat Terengganu membuat tuntutan yang sama berikutan kejayaan kerajaan negeri Sarawak dalam pelbagai tuntutan terhadap kerajaan Posit.

Dr Syed Azman berkata, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berjaya dalam tuntutan tujuh perkaranya setelah 'membekukan' operasi Petronas di Sarawak.

"Malunya rakyat Terengganu," kata Dr Syed Azman dalam satu kenyataannya.

Baca laporan Dateline Malaysia mengenai apa yang disebut oleh Dr Syed Azman seperti berikut:

Selepas Sarawak Berjaya, Terengganu Diajak Tuntut Hak Yang Sama

Berikutan kejayaan kerajaan negeri Sarawak dalam pelbagai tuntutan terhadap kerajaan Pusat, rakyat Terengganu juga diajak membuat tuntutan yang sama.

ADUN Batu Burok berkata, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berjaya dalam tuntutan tujuh perkaranya setelah 'membekukan' operasi Petronas di Sarawak.

"Malunya rakyat Terengganu," kata Syed Azman dalam satu kenyataannya.

Menurut beliau, setelah memberi sumbangan hasil minyak dan gas kepada kerajaan Persekutuan hampir 50 tahun yang bernilai berbilion juta kini semua telaga minyak yg terletak di perairan Terengganu bukan lagi milik 'sah' kerajan Terengganu.

"Kerajaan Terengganu kini tiada sebarang hak!" dakwa beliau dalam kenyataan itu.

Katanya, royalti sebanyak lima peratus yang di terima oleh kerajaan Terengganu sejak berpuluh tahun kini hanya sebagai 'Ihsan' dan 'dana khas' dari kerajaan Persekutuan.

"Royalti minyak sudah terbatal," katanya.

Bagi beliau, Terengganu kini tiada sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak diperairan negeri tersebut.

Telaga minyak BERTAM yang di temui baru-baru ini dan sah terletak diperairan negeri Terengganu kini di'serah' sepenuhnya kepada kerajaan negeri Pahang.

Beliau meminta rakyat negeri itu bandingkan apa yang dicapai oleh kerajaan Sarawak kini.

Petronas dan kerajaan Sarawak mencapai persetujuan dalam 7 perkara selepas pertemuan diadakan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Ia ekoran kemelut tercetus selepas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan kerajaan negeri beku semua permohonan baharu permit kerja daripada kakitangan Petronas dari luar Sarawak khususnya Semenanjung berkuat kuasa serta-merta.

Antara yang diperolehi Sarawak selepas itu adalah:

1. Perlantikan anak tempatan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas yang bakal diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

 2. 192 jawatan kosong dalam syarikat itu pada masa sekarang akan diiklankan dalam akhbar tempatan dan diisi oleh rakyat Sarawak. Pihak Petro­nas perlu berunding­ dengan kerajaan negeri jika anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.

3. Petronas akan menyediakan 50 tempat untuk anak Sarawak melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas, memberi latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih kemasukan untuk rakyat negeri ini di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.

4. Petronas juga komited menyokong dua industri petroki­mia yang kini di peringkat akhir rundingan serta menyokong industri petrokimia dan hiliran lain dengan kerajaan negeri ini.

5. Petronas bersama Kerajaan Pusat akan mempertimbangkan hasrat kerajaan Sarawak untuk terlibat dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri

6. Menerima pelan kerja Petronas untuk me­ningkatkan jumlah pekerja dalam kalangan anak Sarawak dalam bahagian pengurusan, pengurus, eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020.

7. Tuntutan kerajaan negeri memohon royalti minyak dinaikkan daripada 5 kepada 20 peratus, Perkara tersebut akan dibincangkan kemudian.


Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Terengganu bangkit dari tidur lena selepas hak mereka dirampas

Tuesday, 18 February 2014

Apabila Pembohong Bersiri Mahu Meneruskan Siri Pembohongannya…


Pada 17 Februari 2014 (semalam) pada jam 3.55 petang,  ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmadmembuat tuduhan dan fitnah kepada Syarikat Penerbangan Tambang Murah Air Asia dengan twitter menyatakan Kapal Terbang AK5110 dari Kota Kinabali ke Kuala Lumpur milik Air Asia terhempas di KLIA.

Ternyata ia fitnah. Kita serahkan kepada Airasia untuk mengambil tindakan.


Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said menggelarnya PEMBOHONG BERSIRI…

Siapa ‘Pembohong Bersiri’ itu?

Dia itidak lain dan tidak bukan Dr Syed Azman Syed Ahmad, ADUN Batu Burok!

Semalam, dalam kenyataan melalui portal rasmi PAS, Syed Azman berkata PAS Terengganu akan dedah penyelewengan terbesar di negeri ini, Jumaat ini.

Wahhh…ini cerita menarik dan pastinya Ahmad Said akan sekali ini bingkas menyangkal semua tuduhan berkenaan.


Kes mahkamah Syed Azman dengan Kerajaan Terengganu dan Ahmad Said di mahkamah belum selesai, apakah akan ada kes baru selepas ini?

Ahmad Said akan sekali lagi membuktikan bahawa ADUN Batu Burok ini menjadi pembohong bersiri ke (entah ke berapa daaa…banyak sangat).

Menurut Dr Syed Azman yan g membuat kenyataan di Kuala Lumpur, beliau bakal mendedahkan empat penyelewengan terbesar di Terengganu dalam pertemuan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jumaat ini.

Katanya, pihaknya telah menerima surat balasan yang menyatakan persetujuan daripada SPRM yang bertarikh 10 Februari lalu.

“Saya telah menerima surat daripada SPRM yang bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan temu janji dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed. “...untuk bincang soal rasuah di Terengganu, Jumaat ini pada jam 3 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, semalam.

Menurut beliau, empat isu penyelewengan di Terengganu yang bakal disentuh adalah pembalakan, perlombongan, Tasik Kenyir dan pembinaan Pasar Payang.

“Terengganu negeri yang cukup kaya tapi banyak penyelewengan. Kita dapat lihat kemiskinan dialami rakyat. “Bajet Terengganu tertinggi di Semenanjung iaitu RM 2.3 bilion tapi rakyat hidup daif,” katanya. 

Syed Azman yang juga AJK Pas Pusat bakal ke Ibu Pejabat SPRM bersama beberapa ahli politik Terengganu yang lain.

Sebelum ini beberapa siri pembohongan Syed Azman termasuk pada sidang DUN Terengganu termasuk isu pakaian sekolah, isu parking bertingkat, isu Ladang Gemilang, isu keruntuhan Stsdium Sultan Mizan, isu Pasar Payang dan banyak lagi.
   
 

Juga menarik ialah isu MPK Beli Binatang apabila disebut dalam satu risalah kononnya perberbelanjaan jutaan jutaan ringgit dikeluarkan MPK untuk membeli pelbagai jenis haiwan.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada 4.25 petang di Balai Polis Chukai, 12 September lalu terhadap kandungan fakta dalam risalah kononnya.


Dr Syed Azman yang sering kali digelar pembohong bersiri oleh Menteri Besar  setiap kali mengemukakan isu dalam sidang Dun,  dalam satu kenyataannya menegaskan  akan terus memperjuangkan isu-isu pembangunan dan rakyat.

Beliau yang merupakan salah seorang Adun yang lantang bersuara dalam sidang Dun hanya berserah kepada rakyat untuk menilai tuduhan yang dibuat ke atasnya.

Beliau turut berkata, dakwaan sebagai pembohong bersiri itu dianggap perkara remeh kerana beliau sering bercakap berdasarkan fakta berhubung sesuatu perkara yang dikemukakan.

“Sebab itu, saya dari dulu tidak layan benda-benda begini sebab setiap pendedahan yang kita buat berdokumen, bukan hanya cakap hatta isu kecurian yang berlaku di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Saturday, 25 February 2012

PAS Terengganu, Dr Azman Bagai Ayam Yang Ekornya Bergelumang Tahi


Telor siapa yang kecut merut sekarang?

Siapa yang tidak lena tidur dan bimbang diri serta parti mendapat malu?

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said atau Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi?

Dia ingat Menteri Besar main-main apabila sebut nak saman beliau kerana kenyataannya yang memfitnah Menteri Besar dan Kerajaan Negeri mengenai isu pakaian dan kelengkapan sekolah.

Nasib baik Ahmad Said saman Dr Syed Azman dan Harakahdaily sahaja.

Berdegar-degar buat kenyataan akhbar dan berdegar-degar juga cakap dalam Persidangan Dewan Rakyat tetapi kini Dr Syed Azman bagai ‘ayam yang kuat berkokok tetapi ekornya berlumuran bergemulang tahi”.

Cakap berdegar-degar kononya ada fakta dan bukti.

Sebaliknya laporan-laporan yang dikemukakan dengan mengambil Laporan Ketua Audit Negara 2010 diputarbelitkan sedangkan bantuan itu meringankan beban keluarga miskin dan ini diakui sendiri oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Laporan lengkap mengenai isu ini dapat dibaca melalui ulasan Hambali Abdul Latiff dalam teganuku (di sini, di sini, di sini dan di sini) yang menganalisis tuduhan dan fitnah Dr Syed Azman dan apa pula reaksi Menteri Besar dan kedudukan sebenar!

Hakikatnya, tuduhan awal mengenai isu ini dibuat oleh Berita Harian melalui satu berita yang ditulis Baharom Bakar yang memetik ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Entah macam mana mulanya riuh juga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mahu mengambil tindakan terhadap Berita Harian.

Namun selepas jawapan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abdul Rahman, cerita mahu saman Berita Harian hilang begitu sahaja.

Tiba-tiba Dr Syed Azman menulis melalui kolumnya di Harakahdaily mengenai isu ini yang katanya ada penyelewengan.

Berikutan itu pada 15 Disember tahun lalu, kerajaan negeri mendakwa artikel bertajuk "Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?" yang ditulis oleh Syed Azman dan disiarkan di muka surat N5 di dalam akhbar Harakah bertarikh 11 hingga 13 November 2011 adalah salah, fitnah serta berniat jahat
.
Selain itu, dua lagi individu turut menyaman Dr Syed Azman. ADUN Batu Buruk yang suka bantai orang kononnya berasaskan penyelidikannya, ternyata tertipu kerana berasaskan TEGURAN Ketua Audit Negara.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 membuat teguran dan TIDAK ADA SATU PUN PERKATAAN MENYEBUT PENYELEWENGAN walaupun ada menyebut KELEMAHAN.

Dan mungkin menyedari beliau melakukan kesilapan, Dr Syed Azman kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendesak agar kes ini disiasat dengan dakwaan dan tuduhan yang sama!

Apa yang dilakukan Syed Azman ini menggambarkan dendam kesumatnya selain untuk menunjukkan beliau juga calon layak menjadi Menteri Besar jika PAS menang (untuk menunjukkan lebih daripada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Wahid Endot kot?), beliau beria-ia membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai perkara ini.

Akhirnya beliau terperangkap!

Kerajaan Negeri bersama yang lain bertindak belas dengan menyaman Dr Azman dan perbicaraan kes saman fitnah Kerajaan Negeri Terengganu bersama tiga yang lain terhadap Dr. Syed Azman dan tiga lagi akan didengar di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bermula 23 Julai depan.

Semalam peguam Edynoor Hiefnee Razali yang mewakili Kerajaan Negeri Terengganu memberitahu pemberita, tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah Jumaat (24 Feb 2012) dengan kehadiran peguam Azhana Mohd. Khairudin bagi pihak Syed Azman dan yang lain.

Hakim berkenaan turut menetapkan 30 April ini pengurusan kes tersebut bagi memastikan pihak-pihak mematuhi semua arahan mahkamah antaranya memfailkan ikatan dokumen fakta yang dipersetujui.

Selain kerajaan negeri, turut dinamakan sebagai plaintif ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta dua peniaga dari Hamie Enterprise, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin.

Pihak plaintif menamakan Syed Azman; pemegang permit akhbar Harakah, Datuk Mustafa @ Hassan Ali; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; dan syarikat penerbitan Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut pernyataan tuntutan, Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan, telah bersetuju melaksanakan program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah bagi seluruh pelajar miskin di negeri itu untuk meringankan beban kewangan keluarga miskin dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi melaksanakan program tersebut, Menteri Besar telah menerima dua sebut harga daripada Hamie Enterprise dan sebuah lagi syarikat lain.

Pihak plaintif berkata, artikel tersebut antara lain menggambarkan pemberian kontrak itu tidak telus, tersalah urus dan secara salah mendapatkan keuntungan yang besar.

Ekoran penerbitan tersebut, pihak plaintif menyatakan, reputasi dan nama baiknya telah terjejas, perniagaannya rugi selain menanggung malu.

Jadi telor siapa sebenarnya yang kecut? Siapa yang sudah berkentot-kentot kerana perut memulas gara-gara membuat kenyataan palsu?

Ahmad Said ke itu atau tukang spin PAS yang membuat pembohongan bersiri di DUN Terengganu?

Friday, 24 February 2012

Saman Kerajaan Terengganu Terhadap Dr Syed Azman Di Mahkamah 23 Julai

IMBAS KEMBALI...Ahmad Said menunjukkan kepada wartawan tulisan Syed Azman dalam kolumnya yang disiarkan akhbar Harakah.

Daripada  teganuku

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam menetapkan tiga hari bermula 23 Julai ini untuk mendengar saman fitnah yang difailkan oleh kerajaan Terengganu terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain berhubung artikel berkaitan bekalan pakaian seragam sekolah dan alat tulis.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu selepas bertemu kedua-dua pihak dalam kamar apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.

Peguam Edynoor Hiefnee Razali mewakili plaintif manakala Azhana Mohd Khairudin pula bagi pihak defendan.

Kerajaan Terengganu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang diberi kontrak untuk membekalkan pakaian seragam sekolah dan alat tulis, memfailkan saman itu pada 15 Dis tahun lepas berhubung artikel yang disiarkan oleh Harakah, lidah rasmi PAS.

Mereka menamakan Dr Syed Azman, pemilik permit Harakah, Datuk Mustafa Ali, ketua editor Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif menyatakan bahawa Syed Azman telah memfitnah mereka menerusi artikel bertajuk "Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan dalam Harakah keluaran 11 hingga 13 Nov,2011.