Monday 1 November 2010

Kenapa Muhyiddin Lantik Idris Pengarah IT Secara Senyap-Senyap?


PM dan TPM nampaknya tidak serius mahu menyelesaikan kemelut politik Terengganu. PM dan TPM sekarang dilihat lebih bersedia untuk memulihkan imej politik Idris Jusoh manakala, Hishammuddin sedaya upaya mahu memulihkan imej ‘pegawai khasnya’ Din Adam. Ketika Ahmad Said dilihat mendapat sokongan hampir ke semua ketua bahagian, PM dan TPM nampaknya lebih bersedia berunding dengan Idris Jusoh.

Hulur tangan persahabatan akrab? Dah kena tuduh hantar SMS Ugut Bunuh pun dapat penghormatan Menteri Dalam Negeri.

Oleh Safar Jumaat (citrabangsa)

PERLANTIKAN bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengarah (IT) Pilihan Raya Malaysia, adalah sesuatu yang sukar dipercayai, kerana kebiasaannya, jawatan itu secara lazimnya disandang oleh Timbalan Presiden Umno, yang juga orang nombor dua dalam negara, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Khabarnya, secara senyap-senyap, Muhyiddin sudah menurunkan kuasa dan tugasnya itu kepada Idris, kerana yakin Idris yang digugurkan dari jawatan Menteri Besar Terengganu secara tidak terhormat, mampu menjalankan tugas itu dengan berkesan, sekaligus mampu menyejukkan hati Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terhadap Idris.

Ada sumber memberitahu, Muhyiddin memang mudah kagum dengan ‘konsultan’. Kelebihan Idris pula, yang dikatakan mendapat pendidikan dari beberapa sekolah di Oxford Universiti, memang mampu membawa cerita ‘konsultan’ hingga menyebabkan Idris mampu merampas kembali Terengganu dari tangan Pas, dalam PRU 11 yang lalu.

Mengenali Idris, dia bukan sahaja boleh bercakap hal-hal konsultan, malahan, dia juga sering dikaitkan pembawa tamadun di dalam politik Umno Terengganu.

Selepas Najib mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri, heboh orang Umno bercerita kononnya, nama Ahmad Shabery Cheek tercicir dari senarai menteri kabinet Najib, sebaliknya nama Idris dikatakan antara yang dibawa untuk dipersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong.

Cerita ini boleh jadi betul dan boleh jadi tidak kerana kumpulan yang menyokong Idris di Terengganu, memang pandai dari segi psi-war . Itulah sebabnya, apabila berlaku isu penghantar sms bernada ugutan kepada tiga wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu), orang yang ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah ialah bekas Setiausaha Politik Idris dan orang kepercayaan Idris hingga hari ini, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Md Radzi.


Padahal, ketika tiga ADUN BN yang menerima sms itu membuat laporan polis, kononnya sms itu diterima dari SUSK Menteri Besar Terengganu. Heboh juga isu ini buat seketika, hingga ada 10 ADUN BN – yang kononnya diketuai Idris tidak menghadirkan diri di Persidangan DUN Terengganu.

Atas arahan Perdana Menteri (ada juga yang mengatakan arahan Timbalan Perdana Menteri) barulah ke semua 10 ADUN BN ini menghadirkan diri – setelah mereka dikatakan duduk di satu hotel yang sama, pergi makan dan minum bersama-sama, seolah-olah ada rancangan awal untuk memboikot persidangan tersebut.

Najib membisu seribu bahasa. Tidak ada satu tindakan pun dikenakan terhadap tingkah laku salah 10 ADUN ini. Timbalan Perdana Menteri juga mendiamkan diri. Mungkin kerana PM dan TPM memang tidak mampu mengambil tindakan kerana ia melibatkan Idris, pakat ketamadunan Terengganu, pakat konsultan dan antara orang Umno yang mendapat pendidikan dari sekolah di Oxford.

Sejarah politik Idris Jusoh cukup berwarna warni. Ketika tenaga dan kebolehannya tidak diperlukan, dia menyusun kertas kerja untuk menyakinkan TPM. Kebetulan, TPM memang amat dahagakan ‘kertas-kerja’ menyebabkan Idris dikatakan, mendapat perkenan TPM untuk diberikan jawatan penting.

Lebih melucukan, khabarnya sasaran utama Idris menjalankan kajian ialah politik Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said. Betul atau tidak, kononnya sudah 26 ‘buku’ disediakan laporan mengenai politik Terengganu yang turut melibatkan Dr. Ahmad Ramzi dan bekas Exco Belia dan Sukan, Datuk Din Adam.

Din, salah seorang antara Geng 10 yang sama-sama terlibat memboikot persidangan DUN dulu, turut diberikan jawatan sebagai Pegawai Khas kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Nampaknya, Ahmad Said menghadapi tugas yang lebih berat sekarang. Bukan sahaja dia terpaksa ‘memalingkan mukanya’ dari Timbalan Perdana Menteri, kerana Timbalan Perdana Menteri sudah ‘satu sampan’ dengan Idris Jusoh, malahan, Ahmad Said juga terpaksa ‘menoleh ke arah lain’ denagn Hishammuddin yang seolah-olah mempunyai ‘spy’ di Terengganu sekarang dengan perlantikan Din Adam.

Dalam politik Umno Terengganu, Din yang kalah jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun kepada Datuk Dr. Rosli Mat Hassan dikenali sebagai ‘kaki pukul’ kepada kumpulan Idris.

Dalam satu pertemuan antara ADUN-ADUN Terengganu dengan Hishammuddin tidak lama dahulu, Dinlah orangnya yang menggunakan kesempatan membelasah kepimpinan Ahmad Said habis-habisan. Tidak perlu diketahui apakah tindakan Din itu disuruh oleh Hishammuddin atau atas arahan Idris, tetapi yang jelas, Idris terselamat.

Orang-orang yang menyokong Ahmad Said tentunya kecewa dengan berita perlantikan Idris oleh TPM ini. Khabarnya, jawatan yang disandang Idris itu, jika benar-benar wujud, bertaraf menteri. Cuma, Idris tidak ‘boleh buat masa ini’ dilantik menjadi menteri.

PM dan TPM nampaknya tidak serius mahu menyelesaikan kemelut politik Terengganu. PM dan TPM sekarang dilihat lebih bersedia untuk memulihkan imej politik Idris Jusoh manakala, Hishammuddin sedaya upaya mahu memulihkan imej ‘pegawai khasnya’ Din Adam.

Ketika Ahmad Said dilihat mendapat sokongan hampir ke semua ketua bahagian, PM dan TPM nampaknya lebih bersedia berunding dengan Idris Jusoh.

Tidak hairanlah, ketika Hishammuddin diumumkan oleh Presiden Umno untuk memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, tugas pertama Hishammuddin ialah memastikan dia dapat bercakap setiap hari (melalui fon) dengan Idris, yang ketika itu berada di Oxford.

Ini diumumkan sendiri oleh Hishammuddin. Dalam masa yang sama, Menteri Dalam Negeri ini tidak langsung mengesah atau menafikan yang dia ada berhuung dengan Menteri Besar Terengganu, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Ahmad Said.

Pelik bukan? Tentulah, Hishammuddin dan TPM sahaja yang boleh menjawab semua dakwaan ini. Malahan, sehingga hari ini, apabila masih ada ADUN tidak menghadiri majlis Perasmian Umno Bahagian Setiu yang disempurnakan Muhyiddin, pun Umno Terengganu tidak dapat berbuat apa-apa kerana Idris mungkin tidak bersetuju tindakan disiplin diambil.

Apakah Najib akan bersetuju dengan semua laporan IP potensi memenangi pilihan raya yang disediakan Idris melalui Muhyiddin?

Jika ia benar-benar berlaku, memetik beberapa blog yang sudah memainkan isu ini, jelaskan Najib dan Muhyiddin memang mencari masalah dengan pihak Istana Terengganu yang tidak boleh menerima Idris yang pernah digemparkan dengan cerita bumbung stadium runtuh di Terengganu.

1 comment:

  1. sebagai rakyat Terengganu yang merantau di luar Terengganu,saya amat bimbang sekiranya berita ini benar.Untuk pengetahuan kepimpinan UMNO pusat,kebanyakan rakyat Terengganu yang merantau di luar amat mengikuti perkembangan politik Terengganu.sy sendiri masih setia pulang ke Terengganu setiap kali PR umum diadakan demi memastikan 1 undi sy memberi kemenangan kepada UMNO Terengganu.

    Dan apabila deris jusuh dimurkai oleh Tuanku Al Sultan Terengganu kerana beberapa perkara serta kekecohan perlantikan Dato seri Ahmad Said (datuk waktu itu) sy berasa amat sedih dan kecewa diatas perkara tersebut.Memang sy akui deris jusuh hebat dalam membangunkan Terengganu dari segi meterial tetapi tidak dalam memenangi hati rakyat marhaen..itu hakikatnya yang perlu diakui oleh rakyat Terengganu.

    Sy berbangga dengan kepimpinan Dato seri Ahmad Said diatas KEKUATAN beliau yang lebih kepada "HOK TERENGGANU UNTUK TERENGGANU" sy bangga diatas kelantangan DSAS membela nasib rakyat Terengganu dan bukan bersikap "anai-anai" seperti sesetengah pemimpin UMNO tempatan yang lain.Kerana kelantangan DSAS jugalah kerajaan pusat terpaksa membayar balik wang royalti minyak yang terdahulu untuk dimanafaatkan sepenuhnya untuk rakyat Terengganu.

    Dan untuk renungan UMNO pusat,sy serta ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat Terengganu yang merantau di luar Terengganu yang masih setia denga UMNO menyokong sepenuhnya kepimpinan DSAS sebagai Menteri Besar Terengganu dan seandainya kepimpinan DSAS cuba dijatuhkan oleh "anai-anai" dan "ogat-ogat" banjingan terkutuk...undi kami pada PRU ke-13 amat-amat belum pasti untuk terus memangkah panji-panji Sang Saka Bangsa yang selama ini kami julang!

    ingatlah wahai UMNO pusat, mengikut statistik terkini ratusan ribu pengundi Terengganu masih lagi dengan kaedah "pilih calon" dalam memastikan barisan kepimpinan Negeri kami..Mungkin anda berasa selesa setelah menang di Galas dan Batu Sapi tapi di Terengganu anda harus berwaspada..kesilapan anda "menyahkan" calon kepimpinan yang mendapat sokongan semua ketua bahagian dan 70% pengundi luar Terengganu serta sebahagian penyokong PAS (mengikut maklumat dari abg sy salah seorg Lajnah Pemuda Pas) ini..BURUK AKIBATNYA!

    Kami pengundi luar sudah "dok kenang" dengan pelantikan "menteri amaran" sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri..ning magri nok buak kucaa agi???

    Sy berdoa kepada Allah S.W.T. supaya berita diatas tidak benar..namum seandainya benar..kita lihatlah apa keputusan PRU KE-13 ini..kami golongan akar umbi akan bangkit mempertahan kan DSAS kerana kami sayangkan UMNO!!!kami sayangkan negeri kami!!!kami tak mahu tragedi 1999 berulang kembali..

    Pokok Kaya Akor Sebat
    Tranung Kite Gagoh Asaa
    Dok Chaye Hok Ako Rgoyat
    Tra ah tapi doksoh nyesaa

    Salam Perpaduan.

    ReplyDelete