Wednesday 30 April 2014

1 Mei Untuk Raikan Jasa Pekerja Disalahguna Oleh Pembangkang...


1 Mei adalah hari pekerja. Hari di mana pekerja berehat.

Jika ada majlis meraikannya, ia tidak sewajarnya berpanjangan. Biarlah pekerja berehat.

Selain memberikan waktu untuk mereka berehat, cuti umum Khamis 1 Mei 2014 hari ini sempena Hari Pekerja diraikan bagi menghargai jasa seorang pekerja dalam perkembangan ekonomi negara.

Oleh itu, kita mengucapkan selamat hari pekerja kepada seluruh individu yang bergelar pekerja di Malaysia.


Dalam usaha kita mencapai kecemerlangan dan mengetengahkan daya kreatif, kebolehan dan kemahiran pekerja, persekitaran kerja amaat penting untuk diwujudkan.

Sudah pasti, dasar kebangsaan dan majikan di negara ini perlu mewujudkan persekitaran kerja yang tidak saja memupuk bakat pekerja tetapi juga menggalakkan mereka mencapai kecemerlangan.

Dalam masyarakat moden hari ini, modal bagi persaingan dalam kalangan negara ialah bakat dan persekitaran kerja yang menggalak perkembangan dan kejayaan pekerja, yang juga membantu kejayaan majikan.

Jika Hari Pekerja pada masa lepas merupakan kempen bagi perjuangan, Hari Pekerja hari ini bererti menambah baik diri, kemajuan diri dan meningkat daya saing bagi kedua-dua majikan dan pekerja.

Hari ini kerajaan Malaysia yang berpandangan jauh berusaha ke arah mewujudkan persekitaran terbuka, bebas dan bertambah baik demi menarik bakat.

Malah, dalam era kompetitif ketika ini, dasar kerajaan jangan sahaja memfokuskan kepada pemupukan bakat pekerja tetapi juga menyediakan mereka platform untuk mengetengah keupayaan sebenar mereka.

Melaluinya, negara akan dapat bergerak lebih pantas ke arah mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.

Namun berbeza dengan pembangkang, mereka mahu menggunakan Hari Pekerja hari ini untuk mengadakan perhimpunan yang dijangka membabitkan 10,000 hingga 15,000 orang membantah Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perhimpunan yang akan diadakan dekat Dataran Merdeka Kuala Lumpur, antara pukul 2 petang dan 5 petang ini akan bermula di Jalan Raja dan melintasi Dataran Merdeka tanpa memasuki kawasan padang berkenaan.

Juara perhimpunan pembangkang, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata, mereka akan menggunakan laluan sama seperti sambutan kemerdekaan negara dan bergerak ke Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan KLCC.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir, termasuk Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Naib Presiden PKR Tian Chua serta aktivis pembangkang lain. Mereka diberikan keyakinan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa perhimpunan itu sesekali tidak akan menimbulkan provokasi sehingga boleh mendatangkan ketegangan.

Kenyataan ini ternyata bertentangan dengan gesaannya sebelum ini bahawa PKR bertegas selagi tidak wujud perubahan ketara yang menjadi jurang antara golongan kaya dan miskin serta akan bersungguh-sungguh menentang GST kerana ia akan menambah beban rakyat.

Wan Azizah sebelum ini mengajak rakyat menyertai perhimpunan itu bersama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat kerana parti itu percaya kewujudan pelbagai penguatkuasaan cukai adalah perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat.

Selain perarakan ini, di KLCC juga akan diadakan sambutan Hari Pekerja yang melibatkan 95 organisasi yang sudah pun menuntut GST dibatalkan. Kumpulan ini akan bergerak ke Dataran Merdeka.

Tian Chua berkata, selepas beberapa kali mengadakan himpunan besar-besaran, akhirnya ia dilihat sebagai sesuatu yang demokratik dan hak asasi untuk rakyat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh sudah memaklumkan bahawa Himpunan Aman Membantah Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu dibenarkan diadakan namun menasihatkan penganjur supaya mematuhi syarat-syarat tertentu untuk memastikan keselamatan peserta.

Antara syarat ialah peserta tidak dibenarkan membawa senjata atau kanak-kanak ke perhimpunan ini selain perlu mengikuti dan menghormati arahan daripada anggota polis yang bertugas, yang berada di sana untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dan memastikan kelancaran penganjuran itu.

Mereka juga tidak dibenarkan menggunakan alat pembesar suara, membuat ucapan dan menjerit slogan parti ketika berarak ke Dataran Merdeka dari pelbagai lokasi.

Jaminan diberikan oleh ketua kumpulan penunjuk perasaan selepas pertemuan sebanyak empat kali dengan polis selain bersetuju dengan syarat-syarat untuk memastikan keselamatan orang awam dan semua yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Kita akan saksikan sejauh mana janji itu ditepati.

Juga berapa banyakkah bukan Melayu akan menyertai tunjuk perasaan itu.

Apakah ia masih ditakuk lama apabila ‘orang Melayu terus membenarkan diri mereka dipergunakan untuk menentang kerajaan yang dilihat milik Melayu melalui tunjuk perasaan itu’?

No comments:

Post a Comment