Sunday 6 April 2014

FAM Jangan Buta Fakta, Kerajaan Negeri Sediakan Dana Besar Untuk Liga M


Siapa kata Menteri Besar tidak berhak bersuara terhadap keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika sesuatu keputusan diragui?


Apakah FAM sedar bahawa kerajaan negeri mengeluarkan dana yang besar untuk menyokong Liga Malaysia?

Jangan anggap sesuatu keputusan mengenai bolasepak membabitkan sesuatu pasukan negeri tidak melibatkan kerajaan negeri atau Menteri Besar.

Kenyataan seperti ini seperti ‘buta fakta’ dan inilah yang menyebabkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berang.

Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abdul Razak yang menyatakan Menteri Besar tidak kena mengena dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam isu 'insiden terowong'.


Berikutan itu Ahmad Said membidas jawatankuasa itu berhubung keputusan mengenakan denda RM30,000 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong' di Stadium Larkin Johor, pada 1 Februari lepas.

Bagi Ahmad Said, jawatankuasa itu membuat keputusan terpilih atau 'pilih bulu' kerana hanya menjatuhkan hukuman denda terhadap JDT kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di stadium sehingga mencetuskan insiden itu.

Beliau meluahkan rasa tidak puas hati dengan jawatankuasa tersebut kerana gagal mengenal pasti atau menghukum individu yang mengasari pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan Stefano Impagilazo.

Pada 2 April lalu, Ahmad Said menempelak keputusan FAM yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong'itu.

 Beliau berkata keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan.

Justeru, beliau mempertikai keputusan  Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka.

"Itulah kadang-kadang kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, maka lebih baik letak jawatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Ahmaad Said berkata penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasannya Stefano Impagliazo telah dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak.

"Ini yang kadang-kadang pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman, maka siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang telah dikenal pasti," katanya.

Ahmad Said turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 'insiden terowong' telah bertukar menjadi kes kedua.

Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak pada mesyuarat semalam bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu pihak polis dan FAM.

Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan.

"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad.

'Insiden terowong' berlaku pada 1 Februari lepas ketika waktu rehat perlawanan pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.

Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.

Bagi Ahmad Said, beliau berhak mencampuri urusan bola sepak kerana kerajaan negeri mengeluarkan dana besar untuk menanggung perbelanjaan pasukan Terengganu dan T-Team dalam pertandingan Liga Super.

"Semua Menteri Besar berhak ke atas pasukan negeri masing-masing kerana dana terbesar untuk perbelanjaan setiap pasukan adalah daripada kerajaan negeri dan bukan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Selain itu, FAM adalah hak milik rakyat Malaysia. Bola sepak ini hak milik orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan WiFi Terbuka Terengganu di lapangan terbang Sultan Mahmud semalam.

Justeru , katanya beliau tidak akan berganjak dengan kenyataannya tempoh hari yang meminta Jawatankuasa Tataterbib FAM letak jawatan jika tidak berani atau malu untuk bertindak.

'Insiden terowong' itu berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara T-Team dengan JDT di Stadium Larkin. T-Team enggan meneruskan babak kedua perlawanan itu dan FAM kemudian memberi kemenangan 3-0 kepada JDT.

No comments:

Post a Comment