Wednesday 5 February 2014

Irfan Bercakap Untuk Siapa Dan Pihak Mana?

Ketika pemain menuju ke bilik rehat, Irfan memanaskan badan dengan rakan-rakan.
"Wahai anak-anak Titans, hidup perlu jujur dan berakhlak mulia. Supaya selamat di dunia dan akhirat," demikian kata jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah di laman Facebooknya.

Walaupun kata-kata itu agak ringkas namun mempunyai makna yang dalam.

Kepada siapakah dia tujukan nasihat sedemikian?

Apakah kepada pemain T-Team, Irfan Abd Ghani yang membuat kenyataan selepas membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor semalam?

Bercakap kepada wartawan selepas memberikan kenyataan kepada polis, beberapa perkara disebut oleh pemain pertahanan T-Team yang berasal dari Johor itu  mengundang beberapa persoalan.

Dia bercakap bagi pihak siapa dan untuk siapa?

Perkara paling berat yang disebut Irfan ialah - ketika hampir semua pemain mahu meneruskan permainan tetapi pembantu jurulatih pasukan (T-Team) Azlan Johar membuat keputusan agar pemain menghentikan permainan dan balik.

Menurutnya Azlan berkata, jika mereka meneruskan permainan dan menang sekalipun, mereka tidak akan dapat balik ke Terengganu.

Irfan jelas mengaitkan Azlan dalam kes ini dan keputusan untuk tidak meneruskan permainan bukan dibuat ketua jurulatih Azraai Khor.

Kurang jelas kenapa Azlan mengeluarkan kenyataan‘jika teruskan permainan, pemain tidak boleh balik Terengganu’.Apakah kerana keselamatan tidak terjamin atau apa?

Atau Azlan tidak menyatakan apa-apa pun!

Azlan mungkin ada jawapan di sebalik membuat keputusan untuk tidak meneruskan permainan (jika mengikut kata Irfan).


Kata Irfan lagi pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan. Ini kerana tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Irfan berkata, sewaktu di bilik persalinan beliau tidak melihat sebarang kecederaan dialami pemain import Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo yang kononnya dikasari pegawai pengurusan tertinggi JDT.

Benarkah dia berada di bilik persalinan ketika waktu rehat.

Bukankah pemain simpanan selalunya memanaskan badan ketika kesebalasn utama berehat?

Difahamkan, Irfan pada malam Sabtu adalah pemain yang berada di bangku simpanan.

Menurutnya lagi, keselamatan pasukan itu tidak terjejas sedikit pun ketika itu, kata Irfan yang masih mempunyai kontrak bermain setahun bersama T Team.

Pemain pertahanan yang berasal dari Johor itu turut menafikan beliau membuat kenyataan itu kerana membuat perjanjian dengan JDT.

 "Tidak, saya tidak berjumpa dengan mana-mana pihak JDT. Saya lakukan ini kerana tidak mahu terlibat dalam pembohongan," katanya yang sanggup menerima apa jua tindakan termasuk dibuang daripada pasukan kerana menegakkan kebenaran.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Berikutan itu, T-Team menyatakan kesalnya dengan kenyataan Irfan yang jelas menyebelahi pasukan JDT.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain berkata, tindakan pemain yang berasal dari Johor itu hanya memburukkan keadaan apatah lagi ia dibuat sebagai memihak pasukan lawan.

Katanya kenyataan Ifran itu menimbulkan tanda tanya kerana pemain itu tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu.

"Sebagai pemain simpanan, mereka kebiasaannya memanaskan badan di padang ketika kesebelasan utama menuju ke bilik persalinan pada waktu rehat separuh masa," katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Syahrizan pemain yang berusia 25 tahun itu juga didapati tidak memaklumkan tindakannya membuat kenyataan itu kepada pengurusan T-Team.

Katanya, perkara terbabit akan dibincangkan dengan pengurusan tertinggi T-Team untuk tindakan susulan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan mesyuarakat khas berhubung insiden tersebut hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi keyakinan, siasatan berhubung insiden kekecohan perlawanan bola sepak di antara pasukan JDT dan T-Team akan dibuat secara profesional tanpa mengira individu yang berada di belakang kedua-dua pasukan berkenaan.

"Saya rasa tidak perlu ragu-ragu dan kita akan telus dalam siasatan berkenaan, tidak kiralah pasukan dari mana dan siapa pun di belakang pasukan itu. Jangan risau, saya sendiri beri jaminan yang siasatan dijalankan secara telus," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Khalid berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan daripada kedua-kedua pasukan berhubung insiden itu. Beliau berkata, pihaknya juga sudah mula merakamkan percakapan kira-kira 15 orang bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

"Pertengkaran biasa dalam sukan, ini bukan kali pertama pertembungan kuat dua kumpulan jadi saya menyeru kepada penyokong agar bersabar dan tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang.. biar kita jalankan siasatan terlebih dahulu.

"Serahkan kepada kita untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan, perlawanan piala liga perlu diteruskan dan kita tidak boleh mencacatkan pertandingan seterusnya," katanya.

Sabtu lalu perlawanan pusingan kedua Piala FA antara T-Team menentang JDT di Stadium Larkin tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan. Pada masa itu, JDT mendahului 2-1.

Berikutan itu, Polis Terengganu turut menerima empat laporan polis daripada pasukan bola sepak T-Team malam Isnin lalu berhubung insiden itu. Ketua jurulatih JDT César Ferrando Jiménez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatansemalam berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment