Tuesday 24 July 2012

Barisan Nasional Kotakan Janji, Pembangkang Menabur Janji...

Daripada teganuku


Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengingatkan umat Islam di negara ini supaya bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah puasa dalam keadaan yang aman, selamat dan tanpa rasa takut. Perdana Menteri berkata, mereka tidak boleh mengambil mudah keamanan yang dikecapi hari ini, dan perlu mengambil iktibar dari negara Islam lain yang tidak mendapat nikmat yang sama.

"Bagi umat Islam, kita berasa bersyukur bahawa dalam bulan yang penuh kemuliaan dan kerahmatan ALLAH SWT, kita dapat lakukan ibadah dalam keadaan yang begitu selamat dan tenang tanpa rasa gentar dan takut. Inilah satu rahmat yang Allah telah beri kepada kita.

"Seperti mana yang kita tahu, satu demi satu negara Islam tidak melalui kenikmatan yang sama yang kita (rakyat Malaysia) anggap biasa... hingga kita tidak anggap ini (keamanan) sebagai satu rahmat yang harus disyukuri," katanya.

Perdana Menteri berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri serta pelajar cemerlang daripada Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perkayatim) di Dewan Besar Tabung Haji di Kuala Lumpur semalam.

Natijah daripada apa yang diperkatakan oleh Najib itu membawa kita kepada suatu pertanyaan. Kerajaan manakah yang berjaya mengekalkan keamanan dan nikmat sebuah negara yang selamat Malaysia?


Jawapan pasti ialah kerajaan yang ada sekarang yang melakukan yang terbaik selain menunaikan janjinya melalui dasar-dasar pertahanan, dasar luar, pembangunan Kerana itu kita hairan dengan sikap pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang yang mempertikaikan tema menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 tahun ini iaitu ‘"55 Tahun Merdeka Janji Ditepati" .

Kenapakah mereka begitu takut dan bimbang dengan slogan berkenaan sedangkan kerajaan berjaya menunaikan hampir keseluruhan janji politiknya, selain kerajaan membuktikan sejak merdeka, janji-janji untuk mewujudkan negara yang harmoni dan membangun dengan kadar yang rancak sudah dikotakan.

Hakikatnya, kerajaan tidak berbohong dan keadaan negara yang aman, harmoni dan mengalami pembangunan yang rancak untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020 sedang dalam proses pembentukannya pada tahap yang memuaskan.

Dalam suasana hari ini, slogan 'Janji Ditepati' amat bertepatan sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 kerana ia sememangnya mencerminkan komitmen kerajaan menunaikan janji-janjinya.

Malah dengan gagasan 1Malaysia, kerajaan telah menunaikan janji-janjinya melalui proses transformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA dan Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA. Perdana Menteri membuktikan kerajaan Barisan Nasional mampu melunaskan konsep 1Malaysia itu dengan menterjemahkannya antaranya dalam bentuk pengagihan buku, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Susu 1Malaysia, pembukaan Kedai Kain 1Malaysia yang dinikmati lapisan masyarakat termasuk penyokong parti pembangkang.

Jadi kenapa takut dengan slogan itu memandangkan ia menuntungkan semua rakyat termasuk penyokong pembangkang dan mereka yang berada ‘ di atas pagar’ dan berkira-kira untuk menyokong kerajaan kerana kejayaan ini. Kita merasa sedih dan tertanya-tanya kenapa pemimpin pembangkang, khususnya pemimpin PAS, termasuk dari Terengganu mempersoal dan tidak dapat menerima slogan ini.

Malah, lebih memburukkan keadaan ialah kenyataan bahawa Pas Terengganu berkemungkinan tidak akan mengikut tema yang ditetapkan Kerajaan Pusat dalam program khusus Pas negeri jika pihak tersebut terus menggunakan tema 'Janji Ditepati' pada sambutan Hari Kebangsaan nanti.

Tindakan PAS Terengganu mahu menyokong kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyeru negeri ditadbir pakatan rakyat supaya tidak menggunakan tema Hari Kemerdekaan terbabit adalah perbuatan memboikot dan perbuatan yang tidak mahu mengakui keadaan dan hakikat sebenar.

‘Janji Dikota’ bukanlah berunsur politik jika dihayati dengan sebaik-baik dan ia bersifat patriotik. Ini kerana kejayaan kerajaan membawa negara ini dalam keadaan stabil dengan rakyatnya yang berbagai kaum dan agama hidup saling hormat menghormati, turut memberikan kebaikan kepada pembangkang. Kerana suasana aman dan sejahtera, rakyat diberikan peluang untuk memilih kerajaan melalui proses pengundian yang menjadikan demokrasi begitu subur hasil pentadbiran yang cekap dan berhemah.

Amatlah malang jika PAS Terengganu menganggap slogan itu sebagai kempen pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta tidak sesuai digunakan pihak lain, khususnya di negeri yang diperintah pakatan pembangkang.

Dengan meminta agar kerajaan menukar tema tersebut kepada yang lain kerana terlalu jelas memperlihatkan unsur politik yang tidak patut dicampuradukkan dengan sambutan hari bersejarah itu ada suatu perbuatan melampau kerana slogan ‘Janji Ditepati’ menggambarkan kejayaan kerajaan pimpinan Barisan Nasional membangunkan negara ini sejak 55 tahun yang lalu.

Salahkah kerajaan apabila sudah melakukan atau berbuat sesuatu yang baik untuk menegaskan kepada rakyat dan negara ini bahawa komitmennya sudah selesai dengan janji sudah dikotakan dan kerajaan memang menunaikan janji-janjinya.

Cuma pertanyaan kepada pembangkang ialah, apakah mereka sudah melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat, khususnya di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka?

Jika kerajaan BN tidak bohongi rakyat dengan ‘Janji Ditepati’, apakah pembangkang boleh menafikannya? Selain itu, jika pembangkang merasakan ada yang tidak betul dan tidak tepat, mereka boleh menyebutnya dan sudah pasti kerajaan sedia memperbaikinya menerusi sistem kerajaan yang ada.

Di pihak pembangkang pula juga perlu bersedia dan menerima satu hakikat penting bahawa mereka tidak boleh bohongi rakyat dengan perkara-perkara yang tidak benar. Pembangkang bebas dan boleh mengatakan apa sahaja terhadap slogan itu umpamanya pelik, berbentuk kempen dan tidak wajar.

Namun di pihak kerajaan, Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa beliau tidak mahu gagasan 1Malaysia tinggal sebagai slogan atau retorik politik semata-mata.

Datuk Sri Mohd Najib, sebaliknya mahu gagasan itu diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh dikecapi dan dinikmati oleh rakyat dan pastinya dalam merealisasikan usaha itu, lebih banyak perkhidmatan dan produk bersandarkan 1Malaysia perlu diperkenalkan bagi membantu meringan beban kehidupan yang dihadapi rakyat pada masa kini.

Sejauh ini amat jelas bahawa perkhidmatan 1Malaysia sememangnya membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dengan mengambil contoh Klinik Rakyat 1Malaysia kerana menawarkan perkhidmatan yang murah dan berkualiti.

Jika pergi ke klinik swasta sekurang-kurang perlukan RM30, itu belum termasuk tambang teksi atau bas tetaspi jika ke Klinik 1Malaysia, rakyat hanya bayar RM1 dan akan dapat perkhidmatan kesihatan.

Malah, pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia atau KR1M turut menerima sambutan daripada rakyat yang menggalakkan dan ini dibuktikan dengan catatan penjualan di kedai-kedai berkenaan yang memberangsangkan.

Malah, kini ada ada juga Menu Rakyat 1Malaysia dengan bayaran sarapan pagi RM2 dan dengan RM4 untuk makan tengah hari, rakyat dapat sajian yang lazat serta cukup zat dan nutrisi.

Selain itu, rakyat juga disediakan dengan program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk meningkatkan akses golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah serta Program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) yang antara lain bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam negara.

Paling baru ialah kerajaan memperkenalkan KKR1M iaitu kedai yang menjual pelbagai jenis kain dan pakaian yang berkualiti tinggi dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyemak harga semua produk.

Malah, menurut Perdana Menteri, 30 lagi KKR1M akan dibuka seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini untuk memberikan perkhidmatan yang sebaik-baiknya untuk rakyat.

Segalanya ini tidak pernah difikirkan oleh pemimpin pembangkang yang sering mendakwa mahu memperkenalkan ‘kebajikan kepada rakyat’ tetapi sebaliknya pemipin kerajaan yang diterajui oleh BN mendahulukan rakyat dan buktiknya program-program yang dilancarkan Perdana Menteri memang untuk rakyat.

Sama-sama kita menyokong dan menjulang slogan ‘Janji DiTepati’ disamping mengibarkan Jalur Gemilang bagi merayakan Hari Kemerdekaan ke- 55 tahun kali ini. – Hambali Abdul Latiff

No comments:

Post a Comment