Tuesday, 13 June 2017

PAS Tuduh UMNO Terengganu 'Perkudakan' SPR Negeri

Ganbar kiri ialah premis tempat pengundi dipindahkan dan kanan ialah  rumah Datuk Mohd Sobri Alwi
UMNO dan Barisan Nasional (BN) didakwa cuba 'memperkudakan' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Terengganu bagi menjamin kemenangan mereka dan terus memerintah negeri itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdapat beberapa bukti kes pihak SPR sendiri melanggar syarat dan undang-undang daftar pemilihnya.

Katanya dalam keadaan terdesak seolah-olah UMNO-BN cuba campur tangan dalam urusan daftar pemilih SPR yang tidak sewajarnya berlaku kerana SPR merupakan pemegang amanah rakyat bagi menentukan kepimpinan negara dan negeri ini.

“SPR ini agensi kerajaan dan kita (PAS) percaya apa yang dilakukan oleh pihak SPR hari ini campur tangan UMNO-Barisan Nasional (BN). UMNO Terengganu sekarang ini sangat terdesak untuk hendak menang di DUN Ladang.


“Sebab itu, proses perpindahan yang sangat besar dan luar biasa itu berlaku di Dun Ladang sekarang ini. Apabila pihak SPR sendiri kita (PAS) lihat tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak mereka sendiri.

“Bagaimana kita boleh mempercayai SPR untuk menguruskan satu urusan pemilihan yang akan menentukan siapa yang akan mentadbir, mengurus negeri dan negara serta rakyat jelata di negeri mahu pun di negara ini.

“Apa yang saya lihat, UMNO sekarang ini benar-benar menggunakan talian hayat terakhirnya iaitu SPR.

“Saya harap SPR tidak sama sekali merelakan diri mereka diperalatkan oleh UMNO-BN. Bahkan, mereka kena ingat bahawa mereka (SPR) memegang amanah daripada rakyat negara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu pada Ahad, 11 Jun. 

Sehubungan itu, katanya isu daftar pemilih SPR Suku Keempat 2016 bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang amat meragukan serta berlaku perkara luar biasa.

Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan oleh pihak jentera PAS peringkat kawasan Kuala Terengganu dan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang menemui beberapa perkara yang pelik.

“Pertama berlaku pertambahan pengundi agak pelik di Dun Ladang pada Suku Pertama 2017 iaitu seramai 860 orang dan ini adalah angka tertinggi dalam negeri Terengganu dan pada Suku Keempat 2016 lalu seramai 513 orang.


“Pihak MTD (Majlis Tindakan Dun) Ladang telah membuat bantahan daripada 513 orang nama-nama yang telah didaftarkan itu seramai 58 orang dibantah oleh 12 orang pembantah pada 20 Februari 2017.

 “Kita (PAS) buat itu mengikut prosedur dan syarat-syarat yang dikemukakan oleh SPR,” ujarnya.

Selepas dua minggu, kata beliau pihak SPR meminta tambahan bukti dan PAS telah mengemukakan maklumat tambahan itu.

Menurutnya, pada hari siasatan atau pendengaran awam bertarikh 17 April 2017, semua pembantah hadir ke pejabat SPR.

Namun, kata Ustaz Wan Sukairi, Orang Kena Bantah (OKB) semuanya tidak hadir yang jumlahnya seramai 22 orang.

“Amalan biasa SPR, kebiasaannya apabila OKB tidak hadir perbicaraan pihak SPR akan membuat keputusan pada hari tersebut.

“Hasil daripada perbicaraan yang tidak dihadiri oleh  oleh OKB itu SPR kemudiannya mengeluarkan satu surat keputusan perbicaraan bahawa bantahan diterima daripada 22 orang yang dibantah, 18 orang OKB itu diterima SPR,” ujarnya.

Manakala, katanya empat orang lagi daripada 22 orang itu pihak SPR tidak mampu membuat keputusan selepas selesainya sesi perbicaraan, tidak seperti 18 orang yang lain itu.

Menurutnya, selepas dua bulan kemudian pada 8 Jun 2017 lalu, pembantah menerima keputusan SPR yang menyatakan bahawa daripada empat orang yang pending itu dua orang berjaya dibantah dan dua lagi gagal dibantah.

“Salah seorang yang SPR terima bantahan kita (pembantah) ialah Datuk’ Mohd Sobri Alwi iaitu Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

“Perkara yang pelik berlaku dalam kes ini terdapat tiga adik-beradik yang dipindahkan ke alamat yang sama dan pembantah juga memberikan alasan yang sama kepada SPR. Dua orang berjaya dibantah dan seorang lagi gagal.

“Kes keduanya, terdapat alamat rumah yang dipindahkan itu mempunyai jumlah pengundi yang tidak munasabah. Rumah kayu kampung yang beralamat 677 Kampung Bukit Besar dengan pengundi sedia ada 13 orang dan ditambah seorang lagi Dato’ Mohd Sobri Alwi.

“SPR telah melakukan kesalahan iaitu syarat mendaftar yang ditetapkan SPR ialah bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya (mengikut alamat dalam kad pengenalan). Sedangkan, alamat rumah yang digunakan oleh Dato’ Mohd Sobri Alwi itu, dia tidak bermastautin di rumah tersebut.

“Dua alasan jawapan SPR iaitu pertama, siasatan dilapangan SPR mendapati bahawa pemilik rumah telah memberikan kebenaran untuk OKB (Orang Kena Bantah) termasuk kepada Dato’ Mohd Sobri untuk bermastautin di alamat tersebut dan premis sesuai dihuni dengan satu surat kebenaran mendiami turut diberikan oleh pemilik (tuan rumah).

“Kedua, pembantah dan saksi hanya memberikan keterangan berasaskan faktor logik tanpa mengemukakan apa-apa bukti lain yang menunjukkan kemunasabahan nama OKB patut dikeluarkan dari daftar pemilih SPR. Ini juga pihak SPR telah langgar peraturan yang dia buat sendiri,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan pihak SPR agar tidak menjadi alat kepada pemimpin UMNO-BN yang kerakusan kuasa.

“Kita (PAS) tidak mahu SPR ‘merelakan’ diri mereka menjadi alat kepada kerakusan kuasa oleh pimpinan-pimpinan UMNO-BN.

“Kita mahu SPR berdiri teguh berdasarkan kepada undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan kepada mereka, bukannya menjadi alat kepada UMNO-BN,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham), Zabidi Yusuf dan Pengarah MTD Ladang, Ustaz Ahmad Kamal Ali.

Sumber - BuletinOnline


Thursday, 1 June 2017

Masih Adakah Team ‘Ahmad Said’ dan Team “Ahmad Razif’ Di Terengganu???

 

Biar betul, jangan kata sudah selesai tetapi belum selesai!!!

Masihkah wujud Team Ahmad Said dan Team Ahmad Razif dalam UMNO Terengganu?

Pelik kerana perkara ini masih diperkatakan,  sedangkan kata pemimpin UMNO Terengganu, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  sendiri, perkara ini sudah berlalu.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pun mengatakan perkara yang sama.

Tiba-tiba hari ini ada komentar daripada pemimpin PAS Terengganu bahawa pertikaian antara Exco Terengganu dan Menteri Besarnya berkenaan perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah di negeri itu menujukkan perpecahanan di kalangan pemimpin Umno masih terus berlaku.

Dari mana asas kewujudkan dua team dalam UMNO ini?

Jangan buat fitnah pada Ramadan ini tetapi kalau tiada angin manakah pokok boleh bergoyang, melain jik ada gempa bumi.

Bagaimana orang PAS boleh tahu dalam kain UMNO? Ada yang mendedahkannya?


Ketua Penerangan PAS YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata hari ini, sudah diketahui umum bahawa Pengerisi Jawatankuasa Telekomunikasi, Multimedia, dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu, Ghazali Taib, tidak bersama ‘team’ Datuk Seri Ahmad Razif.

“kita mesti mengetahui bahawa Exco yang ada itu dia berada dalam ‘team’ Datuk Seri Ahmad Said yang pernah meletakkan dirinya untuk keluar daripada saf kepimpinan Razif dan mempertikaikan pelantikan Razif.

“Jadi, dia anggap bahawa dia boleh melaksanakan hudud dalam keadaan dia keseorangan tetapi dia sebenarnya tak mendapat sokongan daripada kepimpinan UMNO,” tegasnya.

Selain itu, beliau yakin, Ahmad Razif bimbang dengan suasana yang ada ini, dan menjawab jadi tidak mampu melaksanakan hukum hudud.

ADUN Bukit Payong itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ghazali bahawa Terengganu akan tetap memperjuangkan perlaksanaan Undang-Undang Syariah 2001 di negeri itu, ketika Kembara Dakwah Media Terengganu ke Acheh, minggu lalu.

Sebaliknya, Razif ketika sitemui media berkata, Terengganu belum bersedia melaksanakan hukum hudud sebelum kajian mendalam dibuat.

“Saya harap seluruh orang ‘ganu kite’ boleh lihatlah bagaimana UMNO ni sebenarnya tidak sepakat sekarang,


“Bila tidak sepakat dan tidak bersatu, mereka tidak boleh membina kestabilan dalam pentadbiran dan pemerintahan,” jelas Ustaz Mohd Nor.

Justeru, beliau mengajak rakyat Terengganu mendapat maklumat yang jelas dan menterjemahkan kebenaran serta membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, dalam persoalan yang begitu besar, berkenaan perlaksnaan undang-undang Syariah, sepatutnya kerajaan sudah memiliki pendirian yang sama antara Exco dan Menteri Besar.

“Macam mana dia nak mengajak rakyat untuk memberikan sokongan terhadap pelaksanaan hudud yang begitu besar sedangkan Exco dengan Menteri Besar sendiri pun tidak sepakat,
“Seolah olah mereka tidak menentukan pendirian yang jelas tentang isu perkara yang ada,” tanya lagi.

Beliau melihat, Ahmad Razif ‘kluk klek’ kerana bimbang terhadap ‘bos’ yang melantiknya, di Putrajaya.

“Itu kerana saya rasa dia teragak agak dan bimbang dengan orang Kuala Lumpur, Takut dia terlajak lebih daripada bos yang ada di Kuala Lumpur,” ujarnya lagi.

Friday, 19 May 2017

Isu Pokok ‘Benang Sutera’, MB Terengganu Mahu Saman Akhbar


Di sebalik menganggap isu pokok benang sutera berharga RM180,000 yang dikatakan menjadi mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus sebagai isu remeh, ia mungkin berakhir dengan saman Menteri Besar terhadap pihak tertentu.

Setakat ini beliau mengatakan saman akan dikemukakan kepada sebuah akhbar.

Permainan ini menarik khususnya ketika hampirnya pilihan raya umum. Perang dengan media membuktikan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai wira 'Bugis yang sebenarnya'. Memang berani!
.
Tindakan tersebut susulan laporan yang disiarkan di muka hadapan  akhbar arus  perdana tersebut kelmarin yang masih membangkitkan isu yang pernah dinafikannya.

Laporan itu dikatakan mendakwa pokok berkenaan telah mati. Sedangkan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya.

"Saya amat terkejut sebab isu ini telah selesai. Isu tidak ada kena mengena dengan kerajaan, jadi saya tidak tahu apakah motif  ditimbulkan semula isu ini.

Saya sedang meilhat dan menilai semula, kemungkinan kita akan serah kepada perundangan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu  Perusahaan  Kecil Sederhana (PKS) di Kuala Terengganu.

Menariknya hari ini, anggota parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad menyifatkan pentadbiran kerajaan Terengganu sebagai “baham gambang” atau pentadbiran tidak terurus dan terburu-buru  susulan isu berkaitan pokok benang sutera yang kini dikatakan sedang mengalami  ‘musim daun gugur’.

Macam ada empat musim di Terengganu ini, sedangkan kini ada hujan yang turun walaupun tidak sekerap mana.

Raja Bahrin yang turut menyifatkan pokok yang nama saintifiknya ceiba speciosa dari Brazil itu sebagai mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus.

“Namun setelah mendapat kritikan ramai rakyat Terengganu dan Malaysia, saya mendapati kerajaan negeri telah menafikan, ini menunjukkan orang Terengganu kata 'baham gambang',” katanya.

Apakah Raja Bahrin juga akan menjadi bahan tindakan samanab oleh Ahmad Razif?

Semalam, laporan media menyebut, Menteri Besar menjelaskan, pokok itu hanya mengalami masalah keguguran daun dan luruh, namun akan kembali pulih dalam tempoh dua ke tiga bulan.

Menurutnya, dia terkejut kerana pokok tersebut yang sebelum ini sudah beberapa kali dijadikan isu, kembali ‘panas’ memandangkan isu-isu berkaitan sudah dijelaskan.


“Pokok ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Jadi, saya tidak tahu apakah motif ditimbulkan semula isu ini. Sebab isu ini telah kita jelaskan sebelum ini. Jadi, kenapa dikeluarkan lagi. Itu soalan kita (kerajaan). Apa motif sebenarnya?

“Jadi, saya sedang melihat dan menilai semula kemungkinan kita (kerajaan) akan serah kepada pihak perundangan untuk melihat, ada tak keperluan (tindakan undang-undang) dan untuk melihat apa isu sebenarnya yang nak dikemukakan,” katanya.

Ahmad Razif menjelaskan, pihaknya sudah mendapatkan maklumat daripada pihak nurseri yang menyatakan, pokok itu akan kembali pulih seperti sedia kala.

Beliau sebelum itu ditanya pemberita berkenaan dakwaan bahawa pokok itu atau nama saintifiknya  'ceiba speciosa' dari negara Brazil itu telah mati ekoran faktor cuaca yang tidak sesuai.

Tambah Ahmad Razif, beliau telah dimaklumkan oleh pihak nurseri yang membekalkan pokok tersebut bahawa ia tidak mati sebaliknya sedang mengalami proses daun luruh malah ia akan tumbuh semula dalam tempoh tiga bulan.

"Sepatutnya pemberita rujuk kepada nurseri atau tuan punya pokok..jangan hentam sahaja, kita tidak terlibat untuk menjaga dan ia tiada kena mengena dengan kerajaan, kalau ia mati sekalipun masih tiada kena mengena dengan kerajaan," katanya dalam nada tegas.

Sebelum ini, Ahmad Razif berkata, pokok berkenaan disumbangkan oleh pemaju Bandar Baru Kuala Nerus sebagai landskap daerah baharu itu.


Ketika dihubungi Bernama, Ahmad Razif turut meminta supaya tiada lagi pihak yang cuba menimbulkan isu remeh temeh sebaliknya memberi beliau ruang untuk memfokuskan kepada usaha membawa agenda transformasi terutama dalam sektor ekonomi rakyat Terengganu.

Sementara itu pembekal, yang juga Jurutera Landskap Bandar Baru Kuala Nerus Mohd Nair Md Amin berkata keadaan terkini pokok benang sutera itu adalah situasi biasa apabila dalam keadaan cuaca panas, dan bukannya mati seperti didakwa.

"Kita tanam pokok ini lima bulan yang lalu. Iklim cuaca daripada negara asalnya (Brazil) juga adalah dua musim iaitu panas dan sejuk. Sekarang, kita dalam keadaan cuaca panas untuk lima atau enam bulan ini, jadi ia menyebabkan daunnya gugur.

"(Daunnya) gugur banyak kerana kita baru tanam. Untuk ia pulih semula memang memerlukan proses pengguguran daun. Pokok ini masih hidup lagi. Kelembapan air masih cukup..cuma perlukan masa daunnya tumbuh semula.

Tidak boleh dijangka bila akan keluar daun tetapi tanda-tanda pengeluaran daun itu sudah bermula dan bahagian atas masih berdaun," katanya yang ditemui pemberita di kawasan penanaman pokok itu.

Pokok berkenaan dikatakan tidak memerlukan air terlalu banyak dan terlalu kering malah hanya perlu disiram tiga kali seminggu sahaja.


Beliau turut menafikan laporan akhbar terbabit  memandangkan tunas baru telah mula tumbuh.

Pihaknya mempunyai pengalaman menjaga pokok itu selama setahun setengah di nurseri serta yakin ia akan hidup seperti asal apabila serasi dengan keadaan sekeliling.