Friday 19 May 2017

Isu Pokok ‘Benang Sutera’, MB Terengganu Mahu Saman Akhbar


Di sebalik menganggap isu pokok benang sutera berharga RM180,000 yang dikatakan menjadi mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus sebagai isu remeh, ia mungkin berakhir dengan saman Menteri Besar terhadap pihak tertentu.

Setakat ini beliau mengatakan saman akan dikemukakan kepada sebuah akhbar.

Permainan ini menarik khususnya ketika hampirnya pilihan raya umum. Perang dengan media membuktikan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai wira 'Bugis yang sebenarnya'. Memang berani!
.
Tindakan tersebut susulan laporan yang disiarkan di muka hadapan  akhbar arus  perdana tersebut kelmarin yang masih membangkitkan isu yang pernah dinafikannya.

Laporan itu dikatakan mendakwa pokok berkenaan telah mati. Sedangkan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya.

"Saya amat terkejut sebab isu ini telah selesai. Isu tidak ada kena mengena dengan kerajaan, jadi saya tidak tahu apakah motif  ditimbulkan semula isu ini.

Saya sedang meilhat dan menilai semula, kemungkinan kita akan serah kepada perundangan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu  Perusahaan  Kecil Sederhana (PKS) di Kuala Terengganu.

Menariknya hari ini, anggota parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad menyifatkan pentadbiran kerajaan Terengganu sebagai “baham gambang” atau pentadbiran tidak terurus dan terburu-buru  susulan isu berkaitan pokok benang sutera yang kini dikatakan sedang mengalami  ‘musim daun gugur’.

Macam ada empat musim di Terengganu ini, sedangkan kini ada hujan yang turun walaupun tidak sekerap mana.

Raja Bahrin yang turut menyifatkan pokok yang nama saintifiknya ceiba speciosa dari Brazil itu sebagai mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus.

“Namun setelah mendapat kritikan ramai rakyat Terengganu dan Malaysia, saya mendapati kerajaan negeri telah menafikan, ini menunjukkan orang Terengganu kata 'baham gambang',” katanya.

Apakah Raja Bahrin juga akan menjadi bahan tindakan samanab oleh Ahmad Razif?

Semalam, laporan media menyebut, Menteri Besar menjelaskan, pokok itu hanya mengalami masalah keguguran daun dan luruh, namun akan kembali pulih dalam tempoh dua ke tiga bulan.

Menurutnya, dia terkejut kerana pokok tersebut yang sebelum ini sudah beberapa kali dijadikan isu, kembali ‘panas’ memandangkan isu-isu berkaitan sudah dijelaskan.


“Pokok ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Jadi, saya tidak tahu apakah motif ditimbulkan semula isu ini. Sebab isu ini telah kita jelaskan sebelum ini. Jadi, kenapa dikeluarkan lagi. Itu soalan kita (kerajaan). Apa motif sebenarnya?

“Jadi, saya sedang melihat dan menilai semula kemungkinan kita (kerajaan) akan serah kepada pihak perundangan untuk melihat, ada tak keperluan (tindakan undang-undang) dan untuk melihat apa isu sebenarnya yang nak dikemukakan,” katanya.

Ahmad Razif menjelaskan, pihaknya sudah mendapatkan maklumat daripada pihak nurseri yang menyatakan, pokok itu akan kembali pulih seperti sedia kala.

Beliau sebelum itu ditanya pemberita berkenaan dakwaan bahawa pokok itu atau nama saintifiknya  'ceiba speciosa' dari negara Brazil itu telah mati ekoran faktor cuaca yang tidak sesuai.

Tambah Ahmad Razif, beliau telah dimaklumkan oleh pihak nurseri yang membekalkan pokok tersebut bahawa ia tidak mati sebaliknya sedang mengalami proses daun luruh malah ia akan tumbuh semula dalam tempoh tiga bulan.

"Sepatutnya pemberita rujuk kepada nurseri atau tuan punya pokok..jangan hentam sahaja, kita tidak terlibat untuk menjaga dan ia tiada kena mengena dengan kerajaan, kalau ia mati sekalipun masih tiada kena mengena dengan kerajaan," katanya dalam nada tegas.

Sebelum ini, Ahmad Razif berkata, pokok berkenaan disumbangkan oleh pemaju Bandar Baru Kuala Nerus sebagai landskap daerah baharu itu.


Ketika dihubungi Bernama, Ahmad Razif turut meminta supaya tiada lagi pihak yang cuba menimbulkan isu remeh temeh sebaliknya memberi beliau ruang untuk memfokuskan kepada usaha membawa agenda transformasi terutama dalam sektor ekonomi rakyat Terengganu.

Sementara itu pembekal, yang juga Jurutera Landskap Bandar Baru Kuala Nerus Mohd Nair Md Amin berkata keadaan terkini pokok benang sutera itu adalah situasi biasa apabila dalam keadaan cuaca panas, dan bukannya mati seperti didakwa.

"Kita tanam pokok ini lima bulan yang lalu. Iklim cuaca daripada negara asalnya (Brazil) juga adalah dua musim iaitu panas dan sejuk. Sekarang, kita dalam keadaan cuaca panas untuk lima atau enam bulan ini, jadi ia menyebabkan daunnya gugur.

"(Daunnya) gugur banyak kerana kita baru tanam. Untuk ia pulih semula memang memerlukan proses pengguguran daun. Pokok ini masih hidup lagi. Kelembapan air masih cukup..cuma perlukan masa daunnya tumbuh semula.

Tidak boleh dijangka bila akan keluar daun tetapi tanda-tanda pengeluaran daun itu sudah bermula dan bahagian atas masih berdaun," katanya yang ditemui pemberita di kawasan penanaman pokok itu.

Pokok berkenaan dikatakan tidak memerlukan air terlalu banyak dan terlalu kering malah hanya perlu disiram tiga kali seminggu sahaja.


Beliau turut menafikan laporan akhbar terbabit  memandangkan tunas baru telah mula tumbuh.

Pihaknya mempunyai pengalaman menjaga pokok itu selama setahun setengah di nurseri serta yakin ia akan hidup seperti asal apabila serasi dengan keadaan sekeliling. 

No comments:

Post a Comment