Thursday, 3 February 2011

Yahya Khatib Mohamad : Makan Berkawan Tapi …

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

RAMAI juga yang tergamam. Tergamam bila nama Yahya Khatib Mohamad (gambar kiri) disebut sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandang Datuk Seri Ahmad Said yang kembali menyandang jawatan pengerusi.

Maklumlah, di luar sana, tidak ramai yang mengenali Yahya. Dia antara pemimpin yang paling junior di kalangan ketua-ketua bahagian di Terengganu.

Suatu ketika, Yahya pernah mahu digugurkan dari jawatan Exco Kerajaan Negeri kerana ‘ingkar’ nasihat Menteri Besar supaya jangan bertanding jawatan ketua bahagian, kerana Umno Terengganu secara keseluruhannya masih belum tenang dengan pelbagai pergolakan.

Namun, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mengambil tindakan terhadap Yahya kerana beberapa sebab yang Ahmad sahaja tahu mengenainya.

Yahya memenangi jawatan Ketua Umno Bahagian Marang apabila dia mengalahkan Datuk Abd Rahman Bakar, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, bekas Ahli MT dan bekas Ahli Parlimen Marang.

Abd Rahman tidak bertanding dalam PRU 12 yang lalu apabila Datuk Seri Idris Jusoh (gambar kanan)selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berjaya menyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi

Bahawa Abd Rahman perlul digugurkan.

Tempat Abd Rahman digantikan dengan Datuk Dr. Ramzi Zuber yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu. Dr. Ramzi tewas di tangan Datuk Seri Abd Hadi Awang, Presiden PAS dan bekas Menteri Besar Terengganu.

Sehingga hari ini, tiada siapa yang mengetahui apakah sebabnya Idris tidak mahu Abd Rahman bertanding semula sedangkan sejarah politik Terengganu, Abd Rahmanlah satu-satunya calon Umno yang mampu menewaskan Abd Hadi dalam pilihan raya.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Abd Rahman bukan sahaja kehilangan jawatan Timbalan Menteri, Ahli MT dan Ahli Parlimen Marang, malahan, jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Marang juga dirampas Yahya.

Waktu Yahya menewaskan Abd Rahman, ramai pemerhati politik menyifatkan Yahya sebagai orang kuat Idris yang terpengaruh dengan aura Idris untuk mengusai politik Terengganu.

Namun, sebagai salah seorang Exco di dalam kabinet Kerajaan Negeri Terengganu, ramai yang melihay Yahya sekarang sudah menjadi penyokong Ahmad Said kerana kata mereka, mustahil Yahya makan kawan ketika orang lain makan berkawan.

Satu perkara yang Yahya kena buat apabila dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ialah menjalankan kerja-kerja parti bagi tujuan membantu kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang mungkin terlalu sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar.

Jangan pula Yahya membuat kerja-kerja yang bertujuan memperkuatkan politiknya seperti yang pernah dia lakukan ketika mahu menentang Abd Rahman di Marang dulu. Ini tidak akan menguntungkan Umno Negeri Terengganu, jika ia dilakukan.

Yahya kena yakin bahawa jika ditakdirkan dia akan menjadi Menteri Besar Terengganu, sampai masanya, ia akan tercapai juga.

Tetapi, jika dia sibuk menyusun agenda peribadi, bukan sahaja dia tidak akan Berjaya malahan, Umno akan musnah kerana di Terengganu akan berlaku satu kapal dua nahkoda kelak.

Sebagai orang baru menerajui bahagian, Yahya kenalah belajar dari cara Ahmad Said bermain politik. Beliau bukan sahaja tidak bercita-cita menjadi Menteri Besar, malahan tidak membuat kerja-kerja yang menuju ke kerusi itu.

Tetapi atas kehendak Allah, akhirnya Ahmad Said dapat juga kerusi Menteri Besar walaupun ada pihak-pihak yang berhempas pulas mahu menjatuhkannya.

Tiada kuasa lain yang lebih besar dari kuasa Allah. Apabila Allah mengkehendaki Ahmad Said menjadi Menteri Besar, tiada kuasa lain yang mampu menghalangnya.

Hari ini, jika ada cakap-cakap yang mengatakan Ahmad Said akan melepaskan jawatan Menteri Besar, ia bukan datangnya dari sumber yang layak dipercayai tetapi dari kalangan mereka yang ‘gila talak’.

Yahya kena memainkan peranan untuk meredakan keadaan ini. Yahya kena proaktif membendung usaha-usaha pihak tertentu yang tidak habis-habis lagi mahu memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Yahya kena mempertahankan kepimpinan Ahmad kerana semua keputusan dibuat berdasarkan keputusan bersama.

Jangan hendaknya mereka yang berada di sekeliling Ahmad dan disekeliling Yahya mempunyai pandangan yang berbeza hingga menyebabkan rakyat mentafsirkan hubungan antara Yahya dan Ahmad seperti ada masalah.

Hari ini, Yahya kenalah menyokong tindak-tanduk Ahmad, seperti mana Ahmad dahulu, tidak pernah membantah tindak-tanduk Idris ketika Idris menjadi Menteri Besar.

Inilah keperluan menjadi pemimpin Umno dan BN. Lihat sahaja gandingan antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Mereka dilihat selangkap dan sederap dalam menerajui Umno dan Kerajaan Persekutuan.

Jangan wujudkan ruang yang membolehkan pembangkang menuduh ada masalah antara Najib dan Muhyiddin.

Begitu jgualah di Terengganu, usah ada ruang antara Ahmad dan Yahya hingga ruang itu nantinya akan digambarkan oleh mereka yang berkepentingan mengatakan Ahmad dan Yahya akan berbalah akhirnya nanti.

Yahya kena ingat bahawa jawatan yang disandangnya itu adalah jawatan yang cukup tinggi kerana ia pernah disandang oleh Idris, ketika Tun Abdullah menjadi Pengerusi dahulu, pernah juga disandang oleh Tengku Putera Teng Awang ketika Idris menjadi Pengerusi dahulu dan pernah disandang Ahmad ketika jawatan Pengerusi disandang oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein dahulu.

Selamatkan Pelajar - PAS, Pembangkang Jangan Pandai Mengkritik Sahaja

Empat pelajar yang tiba dengan Gulf Air pagi Khamis.

Daripada http://hambali1.blogspot.com/ (3 Feb 2011)

Apakah yang dilakukan oleh pembangkang, khususnya PAS Terengganu dalam misi membawa pulang pelajar dari Mesir?
Sekadar membuat bising dan tidak boleh bertindak apa-apa?
Sedangkan kerajaan negeri Terengganu, pimpinan Datuk Seri Ahmad Said berusaha berbagai cara sama ada melalui kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat.
Sejak beberapa hari lalu, beliau melakukan pelbagai cara sama ada menghubungi Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar serta pihak-pihak lain untuk membawa pulang pelajar Terengganu di Mesir.
Menurut laporan teganuku, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sudah mengarahkan pentadbiran negeri membuka seketeriat di Jeddah bagi memantau misi membawa pulang pelajar Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah bertindak pantas mewujudkan Seketeriat Terengganu di Jeddah yang di anggotai oleh Pegawai Tadbir Negeri, Pegawai Yayasan Terengganu dan Pegawai Majlis Agama Dan Adat Terengganu (MAIDAM).

Pentadbiran Negeri diwakili oleh Ustaz Haji Lukema Meri Saleh, Yayasan Terengganu diwakili oleh Ustaz Ahmad Kamal bin Abdullah dan MAIDAM diwakili oleh Ustaz Yaacob bin Abdullah. Beliau seterusnya berkata pegawai bekenaan akan bertugas secara bergilir-gilir mengikut tempoh yang akan ditetapkan.

Ketiga-tiga pegawai ini telah berlepas dari Kuala Terengganu Ke KLIA jam 10.00 pagi hari ini (3Febuari 2011) dan meneruskan penerbangan ke Jeddah jam 3.00 petang hari yang sama menggunakan Saudi Arabian airalines 3811 dan dijangka akan tiba diJeddah jam 16.40 petang waktu Arab Saudi.

Mazlan seterusnya berkata Seketeriat Negeri juga telah ditubuhkan yang diketuai oleh Datuk Haji Wan Ahamad bin Wan Muda Tmbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dan Razali Mahmud Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu (Tajaan) dilantik sebagai setiausaha. Pejabat Seketeriat negeri telah dibuka di Pejabat Yayasan Terengganu.

Mazlan seterusnya berkata kerajaan juga telah menyediakan laman web bagi kerajaan mengeluarkan maklumat mengenai perkembangan misi membawa pulang pelajar Terengganu yang akan menjadi kemudahan kepada orang ramai mengtahui perkembangan misi berkenaan.

Bagi ibubapa dan masyarakat awam yang ingin mengetahui mutakhir usaha kerajaan negeri Terengganu dalam Misi Membawa Pulang Pelajar Terengganu boleh mengetahuinya melalui laman rasmi kerajaan Terengganu, http://mesir.terengganu.gov.my./

Selain itu, pelayar juga boleh mendapatkan maklumat di blog http://misipulang.blogspot.com/.

Laman yang dibangunkan sejak kelmarin itu hari ini melaporkan empat pelajar Terengganu dari Kaherah selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangs (KLIA) Sepang pagi semalam.

Mereka tiba dilapangan terbang KLIA dari Khaherah, Mesir dengan menaiki penerbangan syarikat Gulf Air.
Mereka adalah pelajar tajaan Yayasan Terengganu, Maidam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Kenapakah pemimpin pembangkang tidak berusaha bersama-sama kerajaan negeri dalam gerakan menyelamat ini?

Apa faedah yang pelajar boleh dapat daripada 'kebisingan' yang bersifat politik itu?

Adalah lebih baik ketika anak-anak Terengganu dan yang lain amnya berada dalam kritikal ini, PAS atau pembangkang tidak cuba 'meneguk di air keruh'.

Duduklah semeja dan carilah jalan penyelesaian terbaik dan kerajaan negeri Terengganu berusaha gigih membawa pelajar pulang.

Kalaupun tidak mampu, janganlah mengkritik dan menuduh kerajaan dengan pelbagai kata-kata, lebih baik berdiam diri dan sama-sama mendoakan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir dalam keadaan selamat.

UMNO TERENGGANU KINI SEPAKAT?

Oleh Ahmad Hj Ishak (Rabu, 2 Feb 2011)

MEMBACA Buletin teganukita, dalam keluaran khasnya, terpegun juga saya membaca kenyataan YB Abdul Halim Jusoh, ADUN Permaisuri yang menyifatkan perlantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu merupakan perlantikan yang menyeluruh.

Katanya, ia merupakan sesuatu yang strategic pihak Pusat untuk memberi peluang pemimpin tempatan menerajui parti di negeri masing-masing.

“Keputusan ini memang tepat dan InsyaAllah, Datuk Seri Ahmad Said mampu memikul tanggungjawab dengan baik.

“Saya yakin beliau akan mendapat sokongan semua pemimpin Umno di peringkat bahagian dan kawasan serta mampu memenangi hati rakyat hingga ke akar umbi,” dia dipetik sebagai berkata.

Abdul Halim yang selama ini dikatakan terlibat dengan Geng 10 atau 10 Budak Hitam nampaknya sudah bersedia untuk berubah, dari menjadi penentang Menteri Besar kepada menjadi penyokong.
Barangkali dia sudah letih mengikut kawan-kawannya yang lain, yang tidak pernah mahu bersama-sama Menteri Besar di dalam membangunkan negeri, hingga Presiden Umno terpaksa menarik perlantikan Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dengan menyerahkannya kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebagai seorang Menteri Besar, memang lazimnya diiringi dengan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri. Ia bukan sahaja berlaku di Terengganu, malahan boleh dikatakan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Umno memang turut dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Malangnya, di Terengganu jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang pernah diberi kepada Menteri Besar ditarik balik kerana ada permainan kotor beberapa pihak, termasuk mereka yang berjawatan kanan dalam politik bahagian di Terengganu membuat cerita yang bukan-bukan hingga menyebabkan pucuk pimpinan Umno di Kuala Lumpur ‘merampas’ jawatan tersebut dari Ahmad Said.

Apabila Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu diambil dari Ahmad untuk diserahkan kepada Hishammuddin, mulalah tersebar SMS palsu mendakwa jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar juga akan ditarik balik.

Lepas satu SMS tersebar, satu lagi demi satu SMS disebarkan mereka yang dikaitkan dengan golongan yang tidak berpuashati dengan perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu.

Namun, Ahmad yang merupakan seorang ahli politik yang sudah biasa dengan pelbagai halangan dan rintangan tetap bersabar dan meneruskan kepimpinan dalam onak dan duri.

Akhirnya, pucuk pimpinan nampak, kehadiran Hishammuddin di Terengganu bukan sahaja gagal malahan menyebabkan Umno Terengganu kelihatan bercelaru kerana orang-orang yang tidak dikehendaki di Terengganu dilantik oleh Hishammuddin menjadi pegawai-pegawainya.

Dengan tindakan pantas Najib menarik balik jawatan itu dari Hishammuddin dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Ahmad Said, hari ini, rata-rata wakil rakyat dan kepimpinan Umno bahagian-bahagian di Terengganu berjanji mahu sepakat untuk menjamin BN akan terus menang dan berkuasa di Terengganu.

Yang pasti, musuh Umno negeri yang ketara, Datuk Seri Idris Jusoh sendiri mengakui beliau akan bersama-sama kepimpinan Ahmad dan tidak akan meruntuhkan apa yang sudah dibangunkannya di Terengganu selepas ini.

Ramai yang mengharapkan Idris mengotakan janjinya. Ramai juga yang mengharapkan Idris sendiri berusaha memujuk sembilan lagi ADUN yang bersama-samanya menjadi pengacau kepada kepimpinan Ahmad Said selama ini.

Kata mereka, jika Idris benar-benar ikhlas, beliau tentunya tidak akan menimbulkan onar dan kacau bilau dalam Umno Terengganu kerana selama beliau menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said adalah penyokongnya yang paling ketara.

Malangnya, apabila Datuk Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar dan dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Idris merupakan satu-satunya ketua Umno bahagian yang tidak mahu hadir dalam mesyuarat perhubungan Umno negeri hinggalah Presiden Umno melantik Hishammuddin menggantikan Ahmad Said.

Mudah-mudahan, Idris kini sudah berubah. Mudah-mudahan kini Idris sudah sanggup mengajak kawan-kawannya termasuk Datuk Rosol Wahid dan Datuk Din Adam kembali ke pangkal jalan, dari menjadi penentang Datuk Seri Ahmad Said kepada menjadi penyokong Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu.

Abdul Halim sendiri perlu menjelajah ke seluruh Terengganu untuk menceritakan kesilapannya menjadi penentang kepimpinan Umno Negeri dan Menteri Besar kerana terikut-ikut kehendak kawan-kawannya yang kononnya mahu Idris menjadi Menteri Besar.

Sebagai seorang ADUN di Terengganu, menjadi satu kesalahan besar kepada seseorang (ADUN) yang tidak menghadirkan diri ke Persidangan DUN Terengganu. Malahan, boleh dikenakan tindakan, jika siasatan mendapati mereka bersalah dan sengaja memboikot persidangan DUN.

Persidangan DUN diadakan adalah atas perkenan Baginda Sultan. Jika mereka memboikot Persidangan DUN bermakna mereka memboikot Baginda Sultan. Apakah mereka masih tidak mahu menerima hakikat bahawa Sultan sudah melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu?

Ada juga dakwaan mengatakan beberapa ADUN, mungkin juga termasuk ADUN Permaisuri memboikot kehadiran Menteri Besar ke kawasan DUN masing-masing hanya kerana mereka ini mahu menunjukkan taat setia mereka kepada Idris Jusoh.

Apakah tindakan ini boleh dilupakan begitu sahaja? Apakah perbuatan ini boleh dimaafkan hanya kerana mereka sudah sedar kini? Apakah tidak perlu apa-apa tindakan dikenakan kepada tindakan yang kurang cerdik ini?

Mudaha-mudahan, tahun 2011 ADUN-ADUN di Terengganu dan semua ketua Umno bahagian, termasuk Idris Jusoh sudah bersembahyang sunat taubat memohon ampun dari Alah kerana hati mereka yang tidak jujur dan ikhlas hingga sanggup mengkhianati Umno dan kerajaan negeri.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa mereka dan ramai yang percaya Datuk Seri Ahmad Said tentunya sedia memaafkan perbuatan budak-budak yang kurang cerdik ini kerana manusia mana yang sempurna dan terlepas dari melakukan kesilapan.