Showing posts with label Muhd Irfan. Show all posts
Showing posts with label Muhd Irfan. Show all posts
Tuesday, 11 February 2014
Muhd Irfan Jawab Pelawaan Ahmad Said Dengan Bersumpah Di Johor Bahru…
Bekas pemain T-Team, Muhd Irfan Abdul Ghani sudah menjawab pelawaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin yang mahu membiayai tiket kapal terbangnya untuk datang ke Terengganu.
Jawapan Muhd Irfan semalam ialah mengangkat sumpah bahawa kenyataannya berhubung kekecohan membabitkan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Larkin minggu lepas, adalah benar.
"Saya bersumpah bahawa apa yang diperkatakan oleh saya adalah benar," kata anak jati Johor itu yang bermain dalam barisan pertahanan pasukan kelab dari Terengganu tersebut.
Irfan yang menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain T-Team pada 4 Februari lepas berbuat demikian dalam satu sidang media di sebuah restoran di Johor bahru.
Tindakannya itu menyusuli upacara bersumpah menggunakan al-Quran yang dibuat oleh seorang pemain dan penolong jurulatih T-Team di Kuala Terengganu, malam kelmarin, berhubung insiden sama.
Sambil tangannya memegang kitab suci al-Quran, bekas pemain T-Team Irfan Abdul Ghani semalam bersumpah bahawa kenyataannya berhubung kekecohan membabitkan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Larkin minggu lepas adalah benar.
Kelmarin Menteri Besar Terengganu mencabar pemain T-Team, Muhd Irfan agar tampil mengangkat sumpah di hadapannya sekiranya dia di pihak yang benar.
"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini (Kuala Terengganu) kepada dia untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan," kata Ahmad Said selepas majlis bersumpah dengan Al-Quran di hadapan beliau.
Muhd Irfan sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Johor tanpa pengetahuan majikannya, mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan dan ini bercanggah dengan pendirian pasukan T-Team yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.
Perbuatannya itu melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan. Beliau telah menghilangkan diri dengan mengemas barangan dari rumah sewanya di Gong Badak, sepertimana yang diberitahu oleh Khairan Izuan yang merupakan rakan serumahnya.
Muhd Irfan tidak melaporkan diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah pada 3 Februari lalu.
Majlis bersumpah itu diadakan sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.di Hotel Tabung Haji (TH) &Convention Center di Gong Badak pada kira-kira 10 malam kelmarin.
Mengulas kejadian, Irfan, 25, berkata beliau terdengar kekecohan di dalam terowong pemain semasa tamat separuh masa pertama perlawanan, namun tidak nampak apa yang berlaku.
Katanya semasa berada di dalam bilik persalinan kemudian, beliau mendengar pemain import T-Team, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impligazzo mendakwa dipukul ketika di dalam terowong itu.
"Daripada pemerhatian saya sendiri semasa di dalam bilik persalinan tersebut, saya lihat tiada sebarang tanda bahawa Evaldo dan Stefano telah dipukul," katanya.
Susulan kejadian itu juga Irfan membuat keputusan 'menggantung but' dan bersara daripada arena bola sepak buat sementara waktu. Katanya langkah itu juga bagi membolehkan beliau menjaga ibunya yang sedang sakit.
"Saya akan cuba mencari pekerjaan lain memandangkan saya telah bersara daripada bermain bola sepak," katanya
Semalam, pemain T-Team Khairan Ezuan Razali dan penolong jurulatih Azlan Johar bersumpah di hadapan al-Quran bagi membuktikan kenyataan mereka bahawa Evaldo ditumbuk ketika di dalam terowong itu adalah benar.
Upacara itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang sebelum ini meminta pemain dan pegawai T-Team yang beragama Islam bersumpah menggunakan al-Quran bagi membuktikan kebenaran.
Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah Al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lepas.
Ia bertujuan membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lepas. Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah menerima surat peletakan Mohd Irfan.
Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata pihaknya akan meneliti surat itu dan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, di Kuala Terengganu, semalam.
Wan Ahmad Nizam juga mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Mohd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di sini itu.
Pemain yang berasal dari Johor itu dilapor "hilang" selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Baharu minggu lepas.
Sementara itu, Wan Ahmad Nizam menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai "pengecut" kerana menghilangkan diri begitu sahaja.
"Selepas dia membuat kenyataan di Johor tu, kita dah cek (periksa)... pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini telah dikosongkan). "Maknanya dia sudah bersedia untuk melarikan diri dan saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak bagus," katanya.
Dalam pada itu Wan Ahmad Nizam menyerahkan kepada Evaldo Rodrigues, pemain import T-Team yang terbabit dalam insiden berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Pemain import ni ada undang-undang sendiri. Dia ada ejen dan sebagainya. Sebab itulah saya kata terserah kepada mereka. Dari segi PBSNT membawa perkara ini kepada FIFA mungkin sedikit terbatas kerana undang-undang FAM terlalu ketat.
"Bagaimanapun kita akan bawa kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat T-Team selepas ini," katanya.
Mengulas majlis sumpah al-Quran itu Ahmad Said berkata beliau terharu kerana sebagai orang Islam kedua-dua mereka tahu risiko bersumpah dengan al-Quran jika mereka berbohong.
"Soal itu (siapa pelaku) tidak penting kerana apa yang penting ialah kejadian tumbuk itu benar-benar berlaku. Itu yang penting," katanya.
Monday, 10 February 2014
Ahmad Said Sanggup Beli Tiket Kapal Terbang Untuk Muhd Irfan
![]() |
| Kelihatan Azlan Johor melafazkan sumpah al-Quran di hadapan Menteri Besar. |
"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini kepada dia untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu.
Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata.
Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan," katanya selepas majlis bersumpah dengan Al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu.
Majlis bersumpah itu diadakan sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.di Hotel Tabung Haji (TH) &Convention Center di Gong Badak pada kira-kira 10 malam semalam.
Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah Al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lepas.
Ia bertujuan membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lepas.
Bagaimanapun kelibat pemain pertahanan T-Team, Irfan Abd Ghani yang merupakan bekas pemain JDT yang sebelum ini mengadakan sidang akhbar "mengejut" dengan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong tidak kelihatan sepanjang majlis perjumpaan itu.
Muhd Irfan sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Johor tanpa pengetahuan majikannya, mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan dan ini bercanggah dengan pendirian pasukan T-Team yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.
Perbuatannya itu melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan.
Beliau telah menghilangkan diri dengan mengemas barangan dari rumah sewanya di Gong Badak, sepertimana yang diberitahu oleh Khairan Izuan yang merupakan rakan serumahnya.
Muhd Irfan tidak melaporkan diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah pada 3 Feb.
Seorang pemain dan penolong jurulatih pasukan T-Team malam tadi bersumpah dengan Al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lepas.
Upacara bersumpah itu didahului penolong jurulatih Azlan Johar dan diikuti pemain tengah Khairan Izuan Razali.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Ahmad Said dalam ucapannya berkata majlis mengangkat sumpah itu bagi membuktikan kebenaran insiden tersebut dan meminta para pemain dan pegawai yang menyaksikan kejadian tempoh hari itu agar tidak berbohong.
Menteri Besar Terengganu nyata berbangga dengan kedua-dua individu itu yang tampil bersumpah kerana menurutnya ini jelas membuktikan mereka jujur.
Sunday, 9 February 2014
Terengganu Digambarkan Tidak Selamat Oleh Pemain T-Team…
Jika sebelum ini dua pemain T-Team - Evaldo Rodrigues Goncalves Cardoso dan Fabio Flor - bimbang keselamatan sambil merasakan mereka tidak selamat berada di Terengganu sehingga mahu melaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kini Muhd Irfan Abdul Ghani bagaikan merasakan perkara sama.
Bezanya pada ketika dua pemain import T-team itu terus berada di Terengganu, Muhd Irfan pula menghilangkan diri apabila turut mengambil semua barang-barangnya dari kediamannya di Gong Badak.
Dia tidak melapor diri kepada pasukan T-Team sehingga semalam dan ‘drama lesap’ yang dicetuskan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini dijangka memasuki fasa baharu dalam isu kekecohan JDT-T-Team.
Kekecohan berlaku pada saingan Piala FA pusingan kedua dalam terowong menuju bilik persalinan pemain pada waktu rehat di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Baharu, Sabtu lalu apabila pemain T-Team dikatakan dikasari.
Berikutan kejadian itu, T-Team membuat keputusan menarik diri daripada aksi separuh masa kedua atas faktor keselamatan
Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, pemain itu didapati bersalah kerana masih gagal dikesan dan tidak melapor diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah, Isnin lalu.
Di mana dan ke mana Muhd Irfan sehingga hari ini "masih belum menjelma di bumi Terengganu"? Pemain berkenaan sehingga kini masih belum turun untuk mengikuti latihan dan panggilan yang dibuat kepadanya tidak dijawab.
‘Drama Muhd Irfan’ meletus apabila membuat sidang akhbar tanpa kebenaran majikannya yang dianggap melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan sebelum ini.
Sidang akhbar ‘mengejut’ tanpa pengetahuan majikannya mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos minggu lepas.
Pada 6 Februari lalu, penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhd Irfan yang menyatakan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu.
Dakwa beliau, Muhd. Irfan tidak nampak kejadian sebenar yang berlaku di dalam terowong kerana ketika kejadian pemain itu berada di padang dan dia hanya masuk ke bilik persalinan selepas pihak pengurusan pasukan membuat keputusan untuk tidak menyambung permainan.
Pemain itu tidak nampak sebarang kecederaan yang berlaku ke atas Elvaldo Rodriguez kerana selepas kejadian pasukan perubatan T-Team sudah menjalankan rawatan ke atas pemain import itu.
T-Team mempunyai ramai saksi berhubung kejadian itu tetapi mengalu-alukan kehadiran saksi luar untuk membantu siasatan kes itu.

"Dia tidak nampak kecederaan yang berlaku terhadap Elvaldo dan segala keputusan yang dibuat oleh kesebelasan utama pasukan dia tidak tahu kerana dia merupakan pemain simpanan.
"Pemain rasa tidak selamat selepas apa yang berlaku ke atas Elvaldo dan ketika perjalanan masuk ke bilik persalinan mereka dihalang, dicaci dan dimaki.
Sebagai ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), saya tahu apa yang patut dilakukan dan kami tiada niat jahat, kami tidak ambil gambar kejadian dan tidak merancang apa-apa pun ketika kejadian," katanya.
Kenyataan yang dibuat pemain itu dilihat bercanggah dengan pendirian pasukannya yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi.
“Dia (Irfan) minta balik (ke Johor) atas alasan masalah keluarga tetapi sebaliknya, dia telah membuat perkara di luar jangkaan (mengadakan sidang akhbar tanpa kebenaran majikan),” ujar Rasid.
Tambah beliau, semua pihak menanti kepulangan pemain itu ketika ini termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
“Menteri Besar Terengganu (Ahmad) menunggu kepulangan Irfan. Sama seperti pemain-pemain lain, dia (Irfan) juga perlu melakukan di hadapan sumpah al-Quran seperti yang diminta,” katanya.
T-Team kini hampir pasti akan membawa kes kehilangannya ke pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tindakan Muhad Irfan yang tidak pulang sejak memohon cuti mungkin menyebabkan dia menerima hukuman gantung tanpa gaji.
“Semuanya (keputusan yang akan dibuat) bergantung kepada kontrak yang sedia ada. Tindakan gantung (tanpa gaji) mungkin boleh dikenakan ke atasnya berdasarkan klausa kontrak yang sedia ada.
“Apapun, kami akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Disipilin (T-Team) yang akan bermesyuarat terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan yang akan dikenakan terhadap pemain itu selain membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi (FAM),” kata Rasid seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Ab. Rasid menyifatkan ‘kehilangan’ Irfan yang sepatutnya kembali Selasa lalu sebagai kesalahan besar. Pengendali pasukan T-Team, Mohd Azrai Khor Abdullah lebih berminat kepada pemain yang turun menjalani latihan daripada berbicara mengenai Muhd Irfan, pemain yang menimbulkan kontroversi dalam insiden pahit di Larkin, Johor Bahru itu.
"Saya rasa tidak payah panggil, saya rasa sebagai pemain profesional dia tahu apa tanggungjawab dia dan apa dia perlu buat.
"Jadi, kita tunggu dan lihat, selebihnya saya tidak mahu komen, terserah kepada pihak pengurusan," katanya kepada pemberita.
Tanpa memberikan butiran, Mohd Azraai berkata beliau percaya pihak pengurusan sudah mempunyai sesuatu tindakan untuk pemain terbabit.
Subscribe to:
Posts (Atom)









