Tuesday, 4 January 2011

Amanah dan TanggungJawab Berat Menanti Ahmad Said

hambali1 (31 Dis 2010, 08:55:00 AM)

Saya tidak cepat mengulas mengenai pelantikan kembali Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kerana bersebab.

Sebab utamanya untuk mengelakkan sesetengah pihak menganggap saya yang dikatakan sebagai ‘orang Mat Said’ sebagai riak.

Hakikatnya ‘kembalinya Ahmad Said’ bukanlah sesuatu yang perlu disambut dengan keriuhan atau kemenangan.

Kerana itu saya tidak bersetuju jika UMNO Terengganu mahu membuat sambutan besar-besaran dengan sepanduk dan sebagainya ketika kmyambut kepulangan Ahmad Said pada 1 Januari 2011 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pagi esok.

Ada rakan politik mengatakan tidak riak jika kita menyambut dengan sepanduk berbentuk sokongan dan didoakan diberikan kekuatan untuk Menteri Besar mengatasi cabaran dan menggalas tanggungjawab.

Tidak tahulah tetapi apabila perhimpunan dengan sepanduk selalunya dilihat sebagai mahu ‘menunjuk kemenangan’ atau kuasa. Mungkin saya salah!

Apa pun pelantikan semula Ahmad Said ini adalah tugas dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Ia bukan untuk dimegah atau diraikan kejayaan bagaikan menang perlawanan bolasepak Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta.

Menyambut sekadar bersalaman dan membaca doa selamat pulang rasanya sudah cukup kerana seperti saya katakan, pemimpin UMNO Terengganu jangan riak!

Perlantikan ini adalah amanah dan jangan fungsi Ketua Perhubungan UMNO Negeri itu disalahertikan. Pemimpin UMNO Terengganu perlu bijak!

Benar kata blogger teganukini bahawa apabila Ahmad Said dilantik semula ke jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2011, beliau berdepan dengan cabaran berikut:

1. Menenuhi hasrat Presiden UMNO iaitu menstabilkan semula UMNO dengan kerap mengadakan mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri;

2. Melapor dan membuat cadangan-cadangan kepada Presiden UMNO sekerap mungkin sebagai salah satu KPI Pengerusi Perhubungan UMNO menjelang pilihan raya umum;

3. Mentadbir dengan cara bukan ‘pecah dan perintah’ dengan membuka ruang kepada semua pihak menyertai politik negeri secara berpasukan;

4. Merapatkan semula hubungan dengan yang ‘renggang’ kerana dasar di atas dengan memperkukuhkan lagi hubungan antara ketua-ketua bahagian yang sudah terjalin sebelum ini;

5. Melantik baru atau mengekalkan Setiausaha, Bendahari, jawatankuasa lama yang mampu menyumbang kepada memperkukuhkan UMNO Negeri;

6. Melantik Ketua Penerangan yang mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada memperkukuh UMNO dan tidak sibuk dengan kerja di peringkat nasional;

7. Mendekatkan penyokong Idris atau dalam kata lain tidak menjadikan mereka merasa terpinggir; dan;

8. Penentuan soal siapa menjadi calon atau tidak akan hanya dibuat apabila tiba masanya nanti iaitu ketika hampir pilihan raya serta banyak lagi.

Hakikatnya, ketika pengumuman oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan), saya berada di Bilik Persidangan Tingkat 38, Menara Tun Hussein Onn.

Ramai juga pemimpin politik Terengganu, termasuk Ketua Bahagian dan Exco menelefon saya ketika masih dalam sidang media untuk mengesahkan kedudukan Ahmad Said. Ada yang bunyi terkejut dan ada yang lega.

SMS pula tidak terkira. Semuanya mahu pengesahan.

Bagaimanapun saya tidak faham kenapa ada yang terkejut tetapi oleh kerana ramai yang mengatakan syukur, ia bermakna keputusan yang dibuat Presiden UMNO itu tepat.

Malah ada yang mengatakan “Kau biar betul…Betul ni macam ni?” seolah-olah tidak percaya dengan gandingan Ahmad Said – Yahya Khatib.

Bagi saya pula, selain bertujuan mendengar sendiri pengumuman oleh Ku Nan, saya ingin berjumpa beberapa rakan yang masih bekerja di Ibu Pejabat UMNO, selain rakan-rakan wartawan. Mudah untuk menjelaskan jika ada pertanyaan daripada mereka.

Memang benar pun sangkaan saya kerana ramai yang bertanyakan kenapa Ahmad Said tidak mengumumkan program pembangunan yang dilaksana.

Saya jelaskan pengumuman dibuat setiap Rabu selepas mesyuarat Exco tetapi kebanyakan akhbar melihatnya sebagai projek yang layak untuk disiarkan di ruangan Timur sahaja.

“Soalnya kenapa dia kurang mendapat publisiti untuk nasional atau tv bagi program penting negeri yang tidak dilaksanakan oleh negeri-negeri lain?” tanya mereka.

Saya kelu untuk menjawab soalan itu kerana bukan bidang tugas saya. Mengambil kata-kata bekas Ketua UMNO Kubang Kerian, kelantan Tuan Hashim Tuan Yaakob:“Kawe tok se gala tanah ore” (Saya tidak mahu tenggala tanah orang lain - bermaksud tidak mahu masuk campur kerja orang lain).

Selain itu dengan menghadirkan diri, saya ingin mendengar sendiri apa komen Ku Nan mengenai politik UMNO Terengganu. Kenyataan Kun Nan bolehlah diibaratkan sebagai pendapat Ahli Majlis Tertinggi dan mungkin juga Presiden UMNO kerana beliau diamanahkan membuat pengumuman pada sidang media pada Isnin, 27 Disember 2010 itu.

Kami bertegur sapa dan saya tidak kekok dengannya kerana pernah dua kali bekerja di bawahnya. Kali pertama ketika dia menjadi tuan punya akhbar Harian Watan, apabila saya dilantik menjadi Ketua Pengarang akhbar berkenaan antara 1996 – 1997.

Saya berkhidmat lagi di bawah Ku Nan ketika beliau menjadi Setiausaha Kerja UMNO antara 1999-2002.

Ku Nan menepati masa dijanjikan iaitu pada jam 3.02 petang beliau memulakan sidang media dengan mengumumkan nama pengerusi dan timbalan Perhubungan UMNO semua negeri, termasuk Wilayah Persekutuan.

Selepas itu baru beliau melayan soalan wartawan, termasuk empat soalan mengenai UMNO Terengganu yang lebih banyak berkisar krisis, kemelut, kestabilan UMNO Terengganu dan juga menghadapi pilihan raya UMNO.

Pada sidang media itu, saya duduk bersebelahan wartawan/kolumnis Berita Harian, Jamhariah Jaafar selepas beliau mempelawa saya duduk di sebelahnya. Sambil mendengar sidang itu oleh Ku Nan, saya turut melayani beberapa pertanyaan oleh Jamhariah mengenai beberapa individu, selain mengenai Ahmad Said sendiri.

Sebelum menghadiri sidang media itu, saya bertemu beberapa rakan penulis dan politik bercakap mengenai politik Terengganu. Mereka seakan-akan tahu bahawa Ahmad Said akan menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Pada ketika seronok bercerita mengenai kekuatan dan kelemahan Ahmad Said, seseorang membuka cerita bahawa ada seseorang meminta dua atau tiga Ahli Parlimen Terengganu supaya membisikkan kepada Ahmad Said agar ‘memecat saya’.

Menurut rakan lama saya itu, beliau mendengar perbualan itu di bangunan Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang baru-baru ini bahawa saya adalah ‘perosak politik Terengganu’.

Orang yang mengemukakan pandangan itu bukan datangnya dari Terengganu tetapi yang sahihnya, cadangan itu dibuat di hadapan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Lantas saya terpikir, peranan politik apakah yang dimainkan oleh saya dan banyak manakah pula pengaruh daya di kalangan orang politik Terengganu. Yang pastinya, saya tidak ambil tahu mengenai siapa duduk jawatan apa dan ke mana hala tuju mereka.

Ahmad Said sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO sebelum ini tidak pernah menceritakan perkara politik kepada saya kerana semua perkara membabitkan politik dibincang atau tugasnya dipikul oleh Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam.

Entahlah, mungkin mereka melihat saya sebagai orang yang rapat dengan Ahmad Said tetapi hakikatnya, saya hanyalah seorang pekerja. Ramai lagi orang yang mendapat maklumat lebih daripada saya.

Lagipun, pejabat saya tidak di Tingkat 16 seperti ‘orang Menteri Besar’ yang lain. Saya sengaja memilih untuk berada di bangunan Unit Komunikasi Negeri (UKOM).

Pegawai Menteri Besar yang lain seperti Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Sulit, Setiausaha Politik dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar memang mempunyai pejabat di Tingkat 16.

Malah ada kalangan mereka yang juga mempunyai pejabat di tempat lain kerana mereka adalah Pengerusi kepada anak syarikat kerajaan negeri. Setiausaha Akhbar juga mempunyai bilik khas di UKOM.

Berbalik kepada pengumuman oleh Ku Nan, ramai yang bertanyakan saya siapa Yahya Khatib Mohamad?

Ramai yang kurang mengenali Ketua UMNO Bahagian Marang yang menewaskan Datuk Abdul Rahman Bakar pada pemilihan UMNO Bahagian dua tahun lalu.

Yahya adalah Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita dan sebelum rombakan dibuat Ahmad Said yang berkuatkuasa 1 Julai lalu, beliau adalah Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Soalan lain ialah apakah Yahya orang Idris atau Ahmad Said. Saya tidak dapat menjawab soalan itu secara khusus tetapi yang penting bukan menoleh ke belakang – misi penting ialah apakah yang boleh disumbangkan oleh gandingan Ahmad Said – Yahya Khatib ini untuk Terengganu bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Ada kalangan mereka nampaknya mengemukakan persoalan hampir sama dengan apa yang diperkatakan oleh teganukini iaitu apakah perlantikan Yahya Khatib Mohamad (gambar kanan) akan mendatangkan kebaikan kepada Ahmad Said atau sebaliknya?

Menurut beberapa wartawan, mereka melihat Yahya dikatakan ‘proksi’ kepada kumpulan Idris dan bagaimana Ahmad Said dapat bekerjasama dengan Yahya yang merupakan satu peranan sukar tetapi penting untuk Ahmad Said lakukan.

Bagi mereka ini antara cabaran penting Ahmad Said dan Yahya walaupun menjadi harapan penting kepada penyokong Idris perlu bijak meletakkan dirinya sebagai orang yang menyokong dan membantu Ahmad Said kerana perkiraan dan penilaian terakhir ialah bukan kepada Idris tetapi kepada Najib dan kepimpinan tinggi UMNO.

Bagi mereka, jika banyak pihak mengatakan pemimpin tertinggi UMNO menilai Ahmad Said, Yahya juga tidak terlepas. Jika beliau silap perhitungan dengan meletakkan kepentingan ‘orang Idris’ daripada UMNO Terengganu, beliau juga wajar diganti!

Ramai juga bertanya kenapa tidak dilantik semula Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang atau Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie?

Apalagi nak saya katakan selain menjawab seperti cara Ku Nan jawab apabila tidak mahu melanggar ‘sempadan’: “Ini kena tanya Presiden UMNOlah…”

Dalam soal ‘saya patut dipecat’, ingin saya bertanya sendiri kepada Jidin – sama ada benar atau tidak ada orang membisikkan kepada beliau.

Mungkin aka nada ruang untuk saya bertanyakannya!

Bersambung esok

No comments:

Post a Comment