Tuesday 4 May 2010

Bekas SUSK Tertekan Difitnah Hantar SMS Ugutan

Isnin, 2010 April 26


 Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau dan keluarga tertekan selepas difitnah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau yang terkejut apabila didakwa menghantar SMS berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, kepada Adun berkenaan pada 13 April, tahun lalu, menafikan pembabitannya dalam penghantaran SMS tersebut.

“Saya rasa terkejut bila orang tuduh saya hantar SMS itu, tambahan pula ia mendapat liputan meluas di media massa.

“Anak-anak dan isteri saya stress (tertekan) kerana berita itu, tetapi saya suruh mereka bersabar dengan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Wan Ahamad yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), berkata beliau meminta isteri dan anak-anaknya bersabar dengan berita yang tidak benar itu.

Ahmad Ramzi yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan passport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Dalam prosiding yang dilakukan di depan Hakim M.Bakri Abd Majid, Wan Ahamad memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa pun untuk menghantar SMS berbau ugutan itu kepada Adun berkenaan menggunakan telefon beliau.

Menurutnya, beliau mengetahui mengenai fitnah yang dilempar kepadanya melalui seorang kakitangan kerajaan, Haji Wan Lotfi Wan Ismail, pada 14 April iaitu sehari selepas SMS tersebut dihantar.

Katanya, selepas melihat sendiri berita mengenai kejadian itu yang mengaitkan namanya ditulis di dalam blog, beliau membuat laporan polis kerana ia tidak benar.

Sementara dalam prosiding pada sebelah petangnya pula, Wan Ahamad ditanya mengenai nombor-nombor telefon yang direkodkan pada lampiran yang dikemukakan mahkamah sama ada beliau mengenali pemilik nombor-nombor berkenaan.

Mahkamah berhenti rehat kira-kira 18 minit dan bersambung semula selepas memberi ruang kepada Wan Ahamad meneliti satu per satu nombor berkenaan dan memberitahu kepada mahkamah pemilik nombor berkenaan.

Sebelum itu, Wan Ahamad ketika disoal peguam Datuk Hazman Ahmad, beliau memberitahu mahkamah tidak bersetuju bahawa sebagai SUSK beliau banyak berurusan dengan Adun dan jawapan yang sama juga diberikan ketika ditanya adakah menyimpan nombor telefon Adun menjadi tanggungjawab beliau.

Wan Ahamad juga memberitahu mahkamah tidak bersetuju bahawa ketiga-tiga Adun (berhubung SMS ugutan tahun lalu) itu tidak penting dan tidak bersetuju bahawa beliau dengan sengaja tidak menyimpan nombor Adun berkenaan.

Perbicaraan bersambung pagi esok, 27 April 2010.


Selasa, 2010 April 27


LAPORAN FORENSIK JENAYAH IT DIRUJUK KE MAHKAMAH

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pagi ini (28 April 2010) diberitahu oleh bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda bahawa beliau dilantik ke jawatan itu pada 16 April 2008.

Sebelum ke jawatan itu beliau menjawat Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Kerajaan Tempatan.

Beliau turut memberitahu pelantikan itu dibuat oleh pentadbiran negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri dan bukannya oleh Menteri Besar Terengganu.

Haji Wan Ahamad juga menafikan beliau ada berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri dari PAS berkaitan undi tidak percaya dan menganggapnya sebagai suatu fitnah terhadapnya.

Beliau menyatakan itu kepada mahkamah bagi menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh Datuk Hazman Ahmad, peguambela dalam kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Dalam prosiding yang dilakukan di depan Hakim M.Bakri Abd Majid, Wan Ahamad memberitahu mahkamah bahawa beliau memulakan tugas sebagai pegawai tadbir negeri pada 1 Februari 1988.

Pihak pendakwa dalam kes ini ialah Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz dibantu Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam,Datuk Hazman Ahmad dan Rosli Abdul Rahman.

Haji Wan Ahamad adalah sebagai saksi dalam pembicaraan kes ini.

Dalam pada itu, mahkamah juga memberi kebenaran kepada Haji Wan Ahamad untuk membaca pandangan Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu sekiranya berlaku undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri.

Haji Wan Ahamad memberitahu mahkamah bahawa Penasihat Undang-undang menyatakan, pilihan pertamanya ialah Menteri Besar meletak jawatan secara sukarela dan Sultan akan melantik mana-mana ahli dewan atau pilihan kedua, meminta perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan dewan.

Berikutan adalah sedutan sebahagian dari prosiding pembicaraan pagi ini:

Soalan peguambela Dr.Ramzi: Bersetujukah kalau saya katakan isu sms ini penting

dan kritikal.

Jawapan Haji Wan Ahamad: Tidak setuju

Soalan peguambela Dr.Ramzi: Walaupun Menteri Besar terpaksa melepaskan jawatan?

Jawapan Haji Wan Ahmad : Tidak setuju.

Soalan peguambela Dr Ramzi: Encik Wan tahu ada rombongan Umno Kemaman dan lain-lain datang bantah undi tidak percaya.

Jawapan Haji Wan Wan Ahmad: Tidak tahu

Soalan Peguam Dr.Ramzi: Encik Wan pergi runding dengan Pas untuk elak undi tidak percaya?

Jawapan Haji Wan Ahamad: Tidak benar. Suatu fitnah

Soalan peguambela Dr.Ramzi: Tujuan sms itu untuk gagalkan undi tidak percaya.

Jawapan Haji Wan Ahmad: Tidak setuju

Soalan peguambela Dr.Ramzi: Setuju atau tidak kalau MB sekarang tidak menjadi MB,

Encik Wan tidak akan jadi SUSKMB?

Jawapan: Tidak setuju. Sekarang pun saya tidak SUSKMB.

Soalan peguambela Dr.Ramzi: Setuju atau tidak bahawa Encik Wan ada motif hantar sms itu?

Haji Wan Ahmad: Itu fitnah. Tidak setuju.

Dalam prosiding mahkamah seterusnya, pihak pendakwa mengeluarkan laporan rekod forensik bahagian jenayah IT tentang catatan sms masuk dan sms keluar yang direkodkan oleh syarikat berkaitan perkhidmatan telefon milik Haji Wan Ahmad dan didapati tidak ada sms keluar mengenai kata-kata ugutan itu dan diperakui oleh Haji Wan Ahamad di depan hakim.

Mahkamah kemudiannya diberitahu pada 13 April 2009 hanya terdapat sms masuk pada telefon milik Haji Wan Ahamad dengan catatan ayat “sape ni..” pada 13 April 2009 dan diikuti kemudiannya sms keluar tercatat ayat “sory, wrong number”.

Perbicaraan bersambung sebelah petang.

ISTERI DAN BAPA MERTUA DATUK DR. AHMAD RAMZI DIPANGGIL SEBAGAI SAKSI

Bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda yang dipanggil sebagai saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu petang ini (27 April 2010) bahawa telefon bimbitnya tidak pernah hilang dan sentiasa dalam jagaan sebelum polis mengambilnya.

Manakala isteri dan bapa mentua Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir Selasa menafikan ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Datin Ilia Ismail, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik dan bapanya Ismail Awang Su, 70, juga menafikan ada meminta sesiapa menghantar SMS ugutan kepada tiga Adun berkenaan.

Mereka (saksi-saksi) berkata demikian semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz pada perbicaraan Dr Ahmad Ramzi, yang pernah menjawat setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS) kepada tiga Adun BN Terengganu, di Mahkamah Sesyen di sini Selasa.

Pihak pendakwa dalam kes ini ialah Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz dibantu Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam,Datuk Hazman Ahmad dan Rosli Abdul Rahman.

Kepada soalan lain, Ilia, 38, berkata suaminya yang kini bekerja di pejabat MARA di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mempunyai sebuah komputer riba jenama Dell.

Dua buah komputer riba lagi yang ada di rumahnya ialah komputer riba jenama Dell milik bapanya dan komputer riba jenama Acer milik anaknya, bagaimanapun kedua-dua komputer riba itu telah diambil oleh pihak polis, katanya lagi kepada mahkamah.

Ilia memberitahu mahkamah beliau hanya menggunakan komputer riba anaknya untuk mencari bahan membantunya mengajar dan tidak pernah menggunakan komputer riba milik suaminya.

"Suami saya juga tidak pernah menggunakan komputer riba di rumah kerana memiliki komputer riba sendiri," kata kepada mahkamah dalam sambungan prosiding yang dilakukan di depan Hakim M.Bakri Abd Majid pada sebelah petang.

Perbicaraan akan disambung akan datang.

(Sumber : blog teganukita.blogspot,com)

No comments:

Post a Comment