Monday, 19 November 2012

Jawatan PM – PAS, Hadi ‘Ngendeng’, Memang Muka Tidak Tahu Malu!

Orang yang Hadi 'muliakan' pun TIDAK SETUJU  beliau untuk jadi Perdana Menteri. Menanam saham pada 1999 yang tidak membawa pulangan apa-apa...Itupun masih berharap dan 'ngendeng'.

 Daripada www. hambali1,blogspot.com

 No way! Itu kata DAP sebagai peringatan kepada PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai jawatan Perdana Menteri.

Yang jelas PAS dan DAP akan bergaduh siang malam mengenai jawatan Perdana Menteri sementara PKR bertepuk tangan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan selamat.

Itupun kalau pakatan pembangkang menang. Kalau tidak menang, pergaduhan itu akan ‘melukakan lagi’ pembangkang dan Hadi kini akan terus ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’!

Idea supaya Hadi layak menjadi Perdana Menteri dibangkitkan oleh perwakilan Dewan Ulama pada Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Kota Bharu dan sekali lagi disahkan oleh Dewan Ulama selain mendapat sokongan Dewan Muslimat pada muktamar itu.

Terang lagi bersuluh apabila DAP pada Jumaat (16 November 2012) dan semalam (19 November 2012) mengulangi pendirian pihaknya bahawa calon Perdana Menteri jika membentuk Kerajaan Pusat kelak adalah seperti yang telah disepakati oleh pakatan rakyat sebelum ini iaitu Anwar.

PAS dan Hadi bagaikan muka tidak malu kerana 'ngendeng' walapun disebut oleh DAP dan PKR bahawa Anwar akan jadi Perdana Menteri tetapi terus ‘merenget’ mengenainya.

Semalam Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya telah bersepakat dalam memilih Anwar sebagai Perdana Menteri dan tiada perubahan dalam keputusan itu setakat ini.

Amat jelas kenyataan Guan Eng ini memberi peringatan kepada PAS jangan syok sendiri!

"DAP tidak mempunyai calon sebagai Perdana Menteri walaupun Pas dan PKR telah mempunyai calon. Kita telah sepakat mengatakan Anwar menjadi Perdana Menteri, jadi kalau ada parti lain ada mahu mencalonkan pemimpinnya, itu terpulang.

Apa yang penting, keputusan antara pemimpin yang sepakat memilih Anwar sebagai Perdana Menteri apabila PR berjaya menawan Putrajaya dan tiada perubahan," kata Guan Eng kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Beliau menyatakannya mengulas perkembangan semasa yang tercetus pada muktamar dan Himpunan Kebangkitan Rakyat Jumaat lalu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberitahu, pembangkang telah mempunyai kesepakatan dalam pemilihan calon pihaknya dan isu siapa menjadi Perdana Menteri tidak perlu dibangkitkan lagi.

Malah, Guan Eng turut menafikan DAP mempunyai kesepakatan dalam isu hudud yang dibawa Pas. Sebaliknya katanya, DAP tetap akan bersama pembangkang memenangi Putrajaya dan memperjuangkan isu membanteras rasuah, memberi kesamarataan serta wujudkan dasar yang adil.

“Memang perbezaan pendapat wujud antara DAP dan Pas tapi kita perjuangkan agenda yang ada dalam Buku Jingga. Kita hormat Pas seperti Pas hormat DAP. Kita berganding bahu dalam isu-isu bersama iaitu lawan rasuah dan mahu selamatkan Malaysia dimiliki rakyat bukan kroni," katanya.

Amat jelas, jauh panggang dari bara (api) dalam konteks Hudud antara DAP dan PAS dan ini memperkukuhkan lagi keyakinan bahawa DAP tidak akan benarkan Hadi atau sesiapa sahaja daripada PAS untuk jadi Perdana Menteri.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kota Bharu, malam Jumaat lalu (16 November 2012) menegaskan pakatan pembangkang pada hari tersebut sepakat mengumumkan untuk melantik Ketua Umum PKR itu sebagai Perdana Menteri sekiranya perikatan itu berjaya menawan Putrajaya pada PRU13.

"Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh bukan keenam," katanya secara terbuka.

Selain itu bancian 'online' kendalian Sinar Harian Online menunjukkan Anwar menjadi pilihan ramai.

Seramai 54 peratus daripada 1,139 pengunjung yang menyertai bancian 'online' mengatakan bahawa Anwar, layak menjadi Perdana Menteri.

Ia disusuli dengan 34 peratus yang memihak kepada Hadi dan 12 peratus pula memilih Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berdasarkan perkembangan berkenaan, kedua-dua Anwar dan Hadi membuat kenyataan media bahawa Pas dan PKR sedia mengadakan perbincangan mengenai isu tersebut

 "Memang betullah. Boleh bincanglah," kata Hadi pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas berkenaan.

Walau sejauh mana perbincangan, PAS tidak akan ke mana-mana kerana DAP tidak akan mengubah pendiriannya. Selain itu apakah Anwar yang berjuang mati-matian untuk menjadi Perdana Menteri dengan mudah menyerahkan kepada Hadi?

Jawapannya PAS dan Hadi membuang masa berjuang melalui PKR kerana yang akan menjadi Perdana Menteri ialah Anwar.

Dan Anwar jika ditakdirkan menjadi Perdana Menteri akan pasti memberikan ruang dan perhatian lebih besar kepada DAP kerana ia sekutu lebih ‘bermakna’ daripada PAS yang akan menjadi saingan berterusan kepada PKR dalam pakatan pembangkang yang rapuh.

'Hero Islam' Hukum Sesama Islam Siapa Islamik, Siapa Tidak


Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said mengajak semua umat Islam menghayati dan mengamalkan konsep kesederhanaan sebagaimana tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘ Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

“Suasana hari ini dapat dilihat bibit perpecahan sedang berlaku di kalangan umat Islam dan ramai yang berlagak menjadi ‘hero Islam’ dengan menghukum siapa Islamik dan siapa pula tidak Islamik,” .

Menteri Besar berkata demikian di majlis perasmian Pameran Islamik sempena Maal Hijrah 1434H di Kompleks Muzium Negeri Terengganu semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Katanya, keadaan ini secara tidak disedari menimbulkan polimik tidak harmoni di kalangan masyarakat Islam sendiri dan pada masa sama mencetuskan kebimbangan kepada golongan bukan Islam.

Menurutnya, setiap hari juga melalui akhbar dan kaca televisyen dipapar berita umat Islam berbunuhan sesama sendiri serta penderitaan saudara kita yang ditindas oleh pemerintah majoriti bulan Islam.

“Islam menuntut kita menghormati penganut agama lain, biarpun Islam sebagai agama rasmi, mereka tetap diberi kebebasan membina gereja, tokong, kuil dan lain-lain tempat ibadat mengikut pegangan masing-masing,” katanya.

Beliau menyarankan agar semua mengenepikan sikap ‘pongoh’ dan mementingan diri serta berhijrah kepada wassatiyyah agar keamanan dan perpaduan dapat dikukuhkan dan usaha pembangunan dapat berjalan lancar.

“Saya harap orang ramai khususnya pelajar dapat meluangkan masa mengunjungi pameran yang banyak memaparkan sejarah dan tokoh Islam sedunia di mana aktiviti ini mampu menjadi saluran penting bagi gerakan dakwah dengan memberi pengetahuan kepada pelbagai peringkat,” katanya

Kontraktor Diminta Percepatkan Projek Pulau Bebas Cukai



Kerajaan negeri meminta kontraktor yang terlibat dengan pembangunan Pulau Bebas Cukai, di Tasik Kenyir Hulu Terengganu supaya menyegerakan projek yang dipertanggunjawabkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ada beberapa projek yang agak terlewat dan diharapkan masalah itu dapat di atasi segera.

Katanya, pembangunan di kawasan itu sepatutnya dapat disiapkan April 2014, sebelum dapat beroperasi sepenuhnya atau merealisasikan sebagai Pulau Bebas cukai pada Ogos tahun sama.


“Sekarang ini sebanyak 10 projek termasuk prasarana berskala besar sedang berjalan, termasuk Kompleks Bebas Cukai, Kompleks Kastam Pulau Bayas.

“Gedung yang akan menjual barangan berkualiti berkonsepkan Factory Outlet juga sedang berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan bersama kontraktor berkaitan di Pulau Petang, tasik itu semalam.

Katanya, status Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan rakyatnya, terutama penduduk setempat.

“Kita harap ini akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Terengganu. Selama ini kita anggap Tasik Kenyir sebagai sebuah tasik yang 'tidur' kerana hampir 30 tahun tidak ada kegiatan dan pembangunan, “ katanya.

Teganukita/Teganuku