Monday, 16 August 2010

Rakyat Bosan, Muak Dengan Pertelingkahan Pemimpin UMNO

"Mana-mana wakil rakyat dan pemimpin yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan bertindak di luar tuntutan parti dan politik semasa, mungkin tidak mendapat tempat untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang..." - Hishamuddin Hussein

Segelintir ahli UMNO di Terengganu diberi amaran supaya menghentikan segera sikap suka melaga-lagakan sesama pemimpin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan mereka merugikan parti dan rakyat benci kepada UMNO.

“Cukuplah sikap (ahli UMNO di Terengganu) yang suka melaga-lagakan pemimpin sesama n meparti dan meningkatkan sokongan rakyat.

"Inilah doa saya sempena Ramadan ini untuk melihat tiada perpecahan (dalam Umno Terengganu) demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Beliau menyatakannya pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nilam dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tindakan itu akan menjejaskan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang serta boleh menyebabkan rakyat melihat negatif terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Hadir sama Menteri Besar yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said, semua Ketua UMNO bahagian dan ahli Exco kerajaan negeri.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, semua wakil rakyat BN juga perlu menunjukkan sikap bekerja untuk rakyat selaras dengan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Beliau berkata, jika wakil rakyat BN gagal menunjukkan tanggungjawab membela rakyat, ia memberi kesan kepada parti, sekali gus rakyat tidak mempercayainya," katanya.

Sebelum itu pada sidang media selepas mempengurusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di Pejabat UMNO Perhubungan di Kuala Terengganu, Hishamuddin meminta pemimpin UMNO di negeri ini berhenti daripada berkelahi sesama sendiri kerana rakyat sudah bosan dengan kerenah sedemikian.

Menurutnya politik sesama sendiri perlu dihentikan dan tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha membangunkan negara.

“Kita ada banyak lagi kerja untuk membina negara dalam dunia yang semakin sempit dan mencabar kini,” katanya.

Beliau mengulas masalah yang berlaku di beberapa bahagian UMNO termasuk di Setiu, Terengganu.

Bahagian itu dilihat bermasalah setelah empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Parlimen itu gagal hadir pada persidangan perwakilan bahagian yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 16 Julai lalu.

Hishammuddin berkata pemimpin yang melakukan sesuatu yang tidak berkisar kepada realiti politik hari ini akan dinilai peranan mereka oleh pucuk pimpinan terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau mengingatkan mana-mana wakil rakyat dan pemimpin yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan bertindak di luar tuntutan parti dan politik semasa, mungkin tidak mendapat tempat untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Setiu yang dipulau oleh empat ADUN 16 Julai lalu.

Saturday, 14 August 2010

Hishamuddin Pengerusi Perhubungan UMNO Yang Lemah?

"Pada ketika pakatan ‘beruk politik’ tidak mengiktiraf Ahmad Said sebagai Menteri Besar sementara Najib dan Hishamuddin hanya membiarkan mereka menggoncang politik Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin menganugerahkan Datuk Seri kepada Ahmad Said sebagai mengiktiraf keupayaannya mentadbir Terengganu yang kini memasuki tahun ketiga. Sedarkah Najib dan Hishamuddin terhadap perkara ini?"

Selepas beberapa purnama menjelang, akhirnya Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kembali semula ke Kuala Terengganu.
Petang ini beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang tertangguh beberapa kali.

Tidak diketahui sebab musabab mesyuarat tidak diadakan.

Apakah Pengerusi Perhubungan ada KPInya sendiri? Bagaimana menentukannya?

Kekerapan bermesyuarat atau berjaya mengatasi krisis?

Kalau kedua-duanya, rasanya Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu ini tidak sampai ke mana-mana. Tapi tidak mengapakah kerana dia anak bekas Perdana Menteri dan cucu kepada pengasas UMNO selain sepupu Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO ketika ini.

Tiga kekuatan itu tidak boleh dicabar, lebih-lebih lagi faktor ketiga , iaitu sepupu kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak. Jangan main-main, itu Perdana Menteri Malaysia tau!

Tidak bermesyuarat satu hal tetapi apa tujuan Hishamuddin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri?

Kononnya untuk meredakan kemelut politik Terengganu yang dibuat oleh Najib sebaik mengambil alih kepimpinan negara dan UMNO.

Yang maha peliknya, Terengganu adalah negeri menang pilihan raya dan diperintah oleh Barisan Nasional tetapi ‘hak memimpin UMNO dirampas’ oleh Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO untuk diberikan kepada Hishamuddin.

Ahmad Said yang kini bergelar Datuk Seri yang menjadi Menteri Besar adalah satu-satunya Menteri Besarn yang ntidak menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Persoalannya, Hishamuddinkah yang meredakan krisis atau kebijaksanaan Ahmad Said mengatasi krisis dan kemelut politik negeri ini?

Sepuluh Budak Hitam (10 BH) sudah menjadi empat sekarang ini. Yang tinggal ialah Alias Abdullah (ADUN Alor Limbat), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil) dan Zakaria Abdullah (Paka). Bosnya, Datuk Seri Idris Jusoh (Jerteh) terus main politik ‘baling batu sembunyi tangan’.

Hishamuddin pern[Image]ah memanggil mereka ini ke pejabatnya tahun lalu untuk meredakan krisis, namun ternyata tiada banyak perkembangan yang berlaku.

Selepas ‘melondeh’ dan cuba menjatuhkan Ahmad Said gagal, Hishamuddin terpaksa akur bahawa kerusi Menteri Besar itu akhirnya memasuki tempoh dua tahun tetap milik Ahmad Said.

Lantas, bulan lalu ada lagi SMS mengatakan Ahmad Said akan meletakkan jawatan paling lambat 1 Julai 2010 atau pertengahan Julai. Tiada apa juga yang berlaku.

Puncanya, ada lapan ‘ekor beruk politik’ menghadap lagi Najib. Kali ini termasuk tiga Exco – YB Khazan Che Mat , YB Awang Tera dan YB Yahya Khatib. Yang lain ialah Rosol, Alias, Din dan Zakaria.

Kecuali Zakaria, yang lain memang perasan ada kualiti menggantikan Ahmad Said.

Daripada yang lapan itu, paling mengejutkan ialah Khazan yang terus-terusan marahkan Ahmad Said. Aneh Khazan ini kerana beliau adalah Exco yang dilantik oleh Ahmad Said yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu selain Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri.

Dia bukan sahaja anti-Ahmad Said tetapi juga anti Ketua Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin. Khazan adalah antara orang yang ‘melesapkan diri’ pada hari mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Setiu yang dirasmikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam isu ‘melesapkan diri’ ini, Hishamuddin nampaknya tidak bermaya dengan kenyataannya dan tiada tindakan dilakukan terhadap mereka itu.

Tindakan di sini ialah sama ada mereda atau mengenakan hukuman kepada keempat-empat mereka yang dengan sengaja ‘ponteng’ mesyuarat itu.

Walaupun sudah memaklumkan lebih awal tentang ketidakhadiran mereka (selain Khazan, tiga lagi adalah YB Ramlan Ali (Jabi), YB Ashaari Idris (Langkap) dan YB Halim Jusoh (Permaisuri) ) ke mesyuarat itu tetapi ia dibuat saat-saat akhir.

Muhyiddin dimalukan tetapi Hishamuddin nampaknya buat tidak kisah sahaja. Sepatutnya satu kenyataan keras atau tindakan dilakukan terhadap empat pemimpin Setiu itu. Lagipun ini bukan kali pertama – tahun lepas buat perangai yang sama.

Sebab tidak hadir ada kaitan dengan perlantikan JKKK, Penyelaras DUN serta juga isu berkaitan perlantikan kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Hishamuddin sudah dimaklumkan mengenai masalah ini. Apa yang beliau buat?

Dia juga pernah ke Penarik dalam kawasan Setiu dan tidur rumah ibu angkat. Bukankah itu simbolik untuknya mengatasi masalah antara 4 ADUN itu dengan Jidin?

Hishamuddin gagal mengatasi masalah Bahagian UMNO Setiu sebagai Ketua Perhubungan UMNO. Sekali lagi KPInya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO gagal.

Apakah bentuk kawalan atau disiplin Hishamuddin terhadap pemimpin UMNO bahagian jika ada kumpulan terus-terusan menggugat Ahmad Said sebagai Menteri Besar?

Kegagalan Hishamuddin terpercik kepada Najib yang kini dilihat ‘merestui’ perbuatan ADUN datang bertemunya untuk menukar Ahmad Said.

Malah Najib kini dianggap sebagai antara ‘dalang’ dalam kemelut politik Terengganu kerana hubungannya yang lebih rapat dengan Idris Jusoh.

Apakah Najib tidak melihat kepada cara Yang DiPertuan Agong yang juga Sultan Terengganu menempelak dan menyindirnya apabila menganugerahkan pingat Datuk Seri kepada Ahmad Said?

Pada ketika pakatan ‘beruk politik’ tidak mengiktiraf Ahmad Said sebagai Menteri Besar sementara Najib dan Hishamuddin hanya membiarkan mereka menggoncang politik Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin menganugerahkan Datuk Seri kepada Ahmad Said sebagai mengiktiraf keupayaannya mentadbir Terengganu yang kini memasuki tahun ketiga.

Sedarkah Najib dan Hishamuddin terhadap perkara ini?

Walaupun diturunkan pangkat dalam kepimpinan UMNO Negeri, Ahmad Said tidak pernah luntur semangatnya.

Melalui pentadbirannya, dia menguatkan kedudukan semua ADUN – termasuk yang menentangnya dengan menyalurkan pelbagai bantuan untuk rakyat selain peruntukan melebihi RM1 juta setiap ADUN untuk bantuan dan sebagainya.

Apakah ADUN di negeri lain mendapat peruntukan seperti ini? Jawapannya tidak.[Image]

Ini tidak termasuk peruntukan seperti e-Book, Dana Remaja, Pendahuluan Ke Universiti, bantuan untuk pelajar cemerlang, pakaian dan kelengkapan sekolah , warga emas, ibu tunggal dan sebagainya.

Semuanya itu untuk memudahkan ADUN melaksanakan tanggungjawab dan agar dilihat ‘berbakti kepada rakyat’.

Dan jika Hishamuddin terus membiarkan politik adu-domba dan ‘beruk politik’ terus menggoncang politik Terengganu, maknanya Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu bukan sekadar gagal menjalankan amanah UMNO tetapi wajar dihalau dari negeri ini.

Adalah memalukan jika Hishamuddin terus menerus memegang Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri tetapi gagal melaksanakan tugasnya.

Beliau bukan sahaja dinilai di Terengganu tetapi membahayakan kedudukannya sendiri sebagai Naib Presiden UMNO.

Untuk kekalkan kerusi Naib Presiden, Hishamuddin perlu menjawab banyak perkara – kejayaannya pada peringkat kementerian juga kejayaannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

Mahukah Hishamuddin dihukum atau dipersoalkan kredibiliti dan keupayaanya pada tahun pemilihan UMNO hanya kerana memenuhi kehendak dan menuruti perangai ‘beruk politik’ Terengganu?

Hishamuddin perlu melakukan sesuatu pada kadar segera.

‘Beruk politik’ perlu diikat segera. Yang perlu dikenakan tindakan disiplin, dikenakan segera. Kawan-kawan yang merosakkan imejnya di Terengganu perlu disisihkan.

Hanya dengan cara ini Hishamuddin akan dilihat berkesan. Jika tidak orang akan melihat kepada kemampuan Naib Presiden yang lain umpamanya Datuk Seri Zahid Hamidi yang lebih ‘mesra’ dan tahu berpijak di bumi nyata.

Dengan kata lain, selagi kemelut politik Terengganu tidak selesai, selagi itulah ia menjadi cabaran besar buat Hishamuddin yang kegagalan menanganinya akan meletakkanya sebagai pemimpin UMNO yang bukan sahaja gagal di Terengganu tetapi juga pada pemilihan UMNO akan datang!

Terengganu - Apa Yang Masih Tidak Selesai

Oleh Zamzuri Damanhuri (http://www.citra-bangsa.blogspot.com/)

BESUT : Benarkah kemelut politik Terengganu masih berlarutan? Atau, kemelut ini sengaja dibuat-buat untuk menunjukkan Umno dan BN di Terengganu tidak stabil dan menyebabkan kepimpinan Menteri Besar (MB) perlu ditukar?

Baru-baru ini, ada empat ADUN di bawah Parlimen Setiu tidak menghadirkan diri di mesyuarat agung tahunan Umno bahagian tersebut, walaupun yang datang merasmikan mesyuarat itu, ialah orang nombor dua dalam negara ini, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Terlalu sukarkah untuk Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak jika beliau serius mahu menyelesaikan masalah di Terengganu ini?

Jika Najib Nampak, sepupunya, Hishammuddin Hussien tidak mempunyai kemampuan menyelesaikannya, mengapa Najib tidak mahu campur tangan?

Apakah Muhyiddin tidak mempunyai idea untuk membantu, untuk memberhentikan ‘permainan’ yang tidak sihat ini?

Atau, Najib memang mahu membiarkan masalah di Terengganu ini sebagai masalah yang tidak boleh diselesaikan hanya kerana perlantikan MB nya, tidak dibuat oleh parti, tetapi dibuat oleh Istana Terengganu?

Najib tentunya pernah melihat bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelesaikan masalah berbangkit seperti ini ketika beliau menjadi PM, menyelesaikan masalah ADUN-ADUN yang dikatakan tidak mahu menerima Tan Sri Sanusi Junid menjadi MB Kedah, menggantikan Tan Sri Osman Arof.

Najib tentunya mampu untuk menyelesaikan kemelut yang dibuat-buat ini, jika beliau mahu melihat isu ini tidak berpanjangan.

Najib tentunya tahu bahawa isu SMS ugutan dahulu, memang bukan angkara Menteri Besar Terengganu sekarang, Datuk Seri Ahmad Said sebaliknya, angkara seorang yang bergelar doctor, orang kanan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ketika ini perbicaraan sedang berjalan. Sedikit-sebanyak, Najib, Muhyiddin dan Hishammuddin tentunya tahu bahawa Ahmad Said tidak terlibat.

SUSK Ahmad Said tidak terlibat dan Pejabat Menteri Besar tidak terlibat.

Jadi, kenapa Idris dan bekas calon BN di Parlimen Marang ini masih ‘disimpan’ dalam Umno? Najib boleh mempengaruhi Majlis Tertinggi (MT) Umno, pecat sahajalah kedua-dua orang ini, walaupun mungkin mahkamah tidak selesai lagi membicarakan seorang yang bergelar doktor ini, tetapi “Idris dan Ahmad Ramzi” ini sebenarnya tidak berguna lagi kepada Umno.

Apakah Najib takut jika Umno memecat Idris? Atau Muhyiddin bimbang jika Ahmad Ramzi dipecat, Umno akan kehilangan berjuta-juta ahli yang kononnya menjadi penyokong dua manusia yang benar-benar disangsikan kejujurannya di dalam melihat perpaduan dan ketenangan dalam Umno Terengganu ini?

Umno Terengganu sebenarnya sudah tenang. BN di Terengganu sebenarnya sudah aman. Kerajaan Negeri Terengganu berjalan dengan baik.

Malangnya, ada ‘syaitan’ yang mahu melihat situasi ini sentiasa bergelut, ia seperti ada kemelut, suasana mahu digambarkan sebagai tidak mampu dikemudikan oleh Datuk Seri Ahmad Said.

Ia terus disusun begitu rupa. Situasi tenang, diporak perandakan dengan cerita-cerita memboikot pemimpin negara, bagi tujuan untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa kemelut politik masih berlaku.

Mereka (yang sebelum ini dikenali dengan nama Geng 10 atau 10 budak hitam) mahu mengeruhkan suasana. Mereka masih mengharapkan ada orang yang akhirnya menyuarakan supaya penyandang jawatan Menteri Besar ditukar.

Najib menukarkan Ahmad dari penyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan kepada Hishammuddin. Terengganu negeri di mana BN menang, tidak memerlukan pertukaran jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Terengganu bukan Selangor (Najib sendiri menjadi Pengerusi Badan Perhubungan), Terengganu bukan Kedah (yang memaksa Najib melantik Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), Terengganu bukan Pulau Pinang (yang memperlihatkan Najib terpaksa melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan Wilayah Persekutuan (kini disandang Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin).

Najib mungkin menggantikan Ahmad dengan Hishammuddin kerana Najib dan Muhyiddin terpengaruh dengan komplen dan fitnah yang disusun oleh 10 budak hitam ini.

Sepatutnya, Najib sudah boleh menyerahkan semula jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu kepada Ahmad kerana Ahmad tidak ada membawa apa-apa masalah kepada politik di Terengganu.

Yang menimbulkan masalah ialah mereka ini, Geng 10 termasuklah empat ADUN yang memboikot majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Bahagian Setiu baru-baru ini.

Najib boleh sahaja memanggil mereka yang bebal ini untuk ‘disekolahkan’. Idris Jusoh, kalau dia terlalu berguna kepada Umno, Najib boleh melantiknya menjadi duta ke negara-negara yang sesuai dengan jiwanya. Misalannya, Vanuatu...atau Brunei...atau Singapura.

Cerita pemimpin Terengganu dilantik menjadi duta bukan cerita baru. Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud pernah dilantik menjadi duta.

Idris hanya seorang ADUN dan Ketua Umno Bahagian Besut. Dari segi seniorti, jauh Ahmad lebih senior dari Idris.

Idris buang semua ketua bahagian, kecuali dia dari kerusi DUN hanya kerana Idris memasang angan-angan, dengan cara itu sahaja dia boleh kekal menjadi MB Terengganu.

Kuasa Allah mengatasi kuasa dan keinginan Idris. Ahmad yang turut digugurkan sebagai calon, akhirnya terpilih juga bertanding di DUN Kijal dan akhirnya diperkenankan menjadi MB Terengganu atas kehendak Allah.

Ketika Idris menjadi MB, dia memerlukan sokongan kawan-kawan. Ahmad adalah salah seorang kawannya yang ke hulu ke hilir berceramah mempertahankannya dari pelbagai serangan.

Idris hanya duduk di Wisma Darul Iman...membahagi-bahagikan projek kepada ‘taikun Kuala Lumpur’ tanpa mengambil kira pandangan Istana Terengganu, kawan-kawan dari kalangan Exco dan ketua-ketua bahagian.

Ketika dia buang Datuk Rahman Bakar dari kerusi Ahli Parlimen Marang, Abdul Rahman adalah Ketua Umno Bahagian itu dan Timbalan Menteri selain Ahli MT.

Datuk Rosli Mat Hassan disingkirkan dari kerusi Parlimen Dungun...Datuk Tengku Putera Tengku Awang dinafikan bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Pernahkah Idris berunding dengan mereka ini? Pernahkah Idris bertanya perasaan mereka bertiga ini?

Hari ini, Idris masih dilihat terkejar-kejar kerusi Menteri Besar...yang dia tahu kini sudah menjadi hak orang lain. Aduh! Terpaksalah SMS ugutan bunuh digunakan untuk menjayakan hasrat mahu mengambarkan Terengganu dilanda kemelut.