Monday, 23 April 2018

PROTES TANDA AWAL BN TERENGGANU BAKAL KECUNDANG???



 Apa yang tidak kena dengan ‘Mat Tera’?

Pencalonan semula bekas Ahli Dewan Undangan (DUN) Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera sebagai calon BN di kerusi Dun Cukai itu pada PRU14 kali ini menimbulkan kontroversi.

Pencalonan beliau  diprotes sekali gus menjadikan suasana politik di Terengganu dilihat  kembali panas.

Malah tindakan secara terbuka itu mungkin hanya di  Parlimen Kemaman, namun protes senyap juga berlaku di Parlimen Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kuala Nerus.

Protes terhadap pemilihan semula 'Mat Tera' ditunjukkan menerusi kain-kain rentang bantahan yang dinaikkan di tepi jalan-jalan utama di sekitar Cukai.

Malah, gambar-gambar kain rentang itu turut viral di media sosial. Kain rentang itu disedari dipasang sejak beberapa jam sebelum Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan secara rasmi barisan calon BN Terengganu bagi PRU14 yang diadakan di Kediaman Seri Iman, kelmarin (22 April 2018).

Mat Tera sudah menjangkakan bantahan itu akan berlaku kerana ada kelompok dalam parti yang kurang menyenanginya.


"Saya  tahu  kumpulan tertentu memang dari awal lagi sudah berperangai demikian iaitu kurang menyenangi saya," katanya.

"Ini dari dalaman sendiri dan perkara seperti ini akan diambil kesempatan oleh parti lawan. Kebiasaanya musuh tak berapa kuat tapi kita sendiri yang saling berpecah," katanya.

Mohamed merupakan bekas Adun Cukai selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 dan pada PRU13, namanya tidak disenaraikan sebagai calon di kerusi tersebut.

Sementara itu, Timbalan menteri dan ahli parlimen antara dua nama yang digugurkan daripada senarai calon BN Terengganu untuk bertanding dalam PRU14 kali ini.


Mereka yang digugurkan ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dan Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Selain itu, tiga bekas Exco iaitu Datuk Rosol Wahid, Datuk Din Adam dan Mat Tera yang sebelum ini 'direhatkan' pada PRU13 kembali membuat kemunculan semula apabila dipilih bertanding kali ini.

Rosol akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu menggantikan Jailani manakala, Din bertanding bagi kerusi Parlimen Dungun dan Mohamed akan kembali bertanding di Dun Chukai.

Kesemua 16 Adun BN dikekalkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing, kecuali Adun Permaisuri, Datuk Mohd. Jidin Shafee yang beralih ke kerusi Parlimen Setiu manakala tempatnya digantikan dengan bekas Adun Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beberapa nama baharu turut diperkenalkan antaranya pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Parlimen Kuala Terengganu.
Selain itu, Datuk Basir Ismail (Tepoh), Che Mansor Salleh (Buluh Gading), Salleh Othman (Wakaf Mempelam), Toh Seng Cheng (Bandar), Datuk Mohd. Sabri Alwi (Ladang) dan Zamri Awang Hitam (Batu Burok).

Mohamad Nor Endot (Parlimen Marang), Datuk Saiful Bahri Baharuddin (Alor Limbat), Wan Zaulkifli Wan Gati (Rantau Abang) dan Tengku Hamzah Tengku Draman (Paka).

Tiga calon yang pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini kembali dicalonkan iaitu Yusof Awang Hitam (Manir), Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (Bukit Tunggal) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang).

Friday, 2 February 2018

Pakatan Baharu PPBM-PKR vs AMANAH-DAP Lawan PAS, BN???



Apakah senario politik Terengganu akan berubah dalam sedikit masa lagi?

Apakah akan ada gerakan baru dalam  Pakatan Harapan (HARAPAN) di Terengganu dengan perkembangan mutakhir apabila adanya ‘pergolakan kecil’ dalam pakatan itu?

Politik adalah permainan sebarang kemungkinan.

Dan antara kemungkinan perubahan senario politik Terengganu ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR bergabung untuk menjadi satu pakatan baharu dalam HARAPAN dan di situ pihak lagi ialah juga dua parti – AMANAH dan DAP.

Dengan kedudukan itu, peluang AMANAH dan DAP yang bertanding di kerusi yang mereka idamkan akan semakin cerah.

Malah mereka juga berpeluang bertanding di lebih banyak kerusi dan DAP berpeluang untuk menjejakkan kaki ke bumi Terengganu.

DAP sebelum ini turut menyatakan untuk bertanding di DUN Bandar dan DUN Cukai melalui cadangan dan sokongan AMANAH.

PPBM dan PKR pula berpendapat, belum masanya DAP bertanding di Terengganu kerana jumlah penduduk Cina yang kecil.

Azan Ismail, Pengerusi PKR Terengganu
Politik sebarang kemungkinan ini pernah berlaku di Sarawak pada pilihan raya negeri 1991 (Jumaat, 27 September dan Sabtu 28 September) 1991.

Ia apabila kepimpinan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang diketuai oleh Leo Moggie (Tan Sri) mengambil keputusan untuk menjadi pembangkang di peringkat negeri tetapi bergabung dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat.

Maknanya pada 1991, di Dewan Rakyat PBDS ialah komponen BN tetapi di DUN Sarawak, PBDS adalah pembangkang.

Pergolakan kecil membabitkan isu pembahagian kerusi yang gagal diselesaikan oleh HARAPAN Terengganu di mana PPBM dan PKR bersetuju agar diselesaikan di peringkat negeri dan AMANAH pula mahu menyerahkannya ke Pusat - dijangka tidak akan reda selepas tarikh HARAPAN Pusat membuat keputusan selepas 6 Februari nanti.

Selain itu isu keupayaan Pengerusi PAKATAN, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad yang dipertikaikan kerana gagal melaksanakan keputusan mesyuarat juga memungkinkan PPBM dan PKR meninggalkan pakatan sedia ada.

Bermakna akan wujud tiga blok pembangkang di Terengganu iaitu PAS, PPBM-PKR dan AMANAH-DAP melalui HARAPAN untuk menentang BN/UMNO/MCA.

Sejak semalam, walaupun  ‘pergolakan kecil’ adalah lebih kepada  beberapa posting FB Hambali Abdul Latiff – Setiausaha PPBM yang juga Ketua Penerangan HARAPAN Terengganu – namun kepimpinan PPBM dan PKR Terengganu nampaknya sebelum ini pun berminat untuk ‘berpisah’ daripada gabungan dengan AMANAH dan DAP.

Walaupun Pengerusi PKR yang juga ADUN Bandar, Azan Ismail dan Pengerusi PPBM, Datuk Razali Idris  yang mana kedua-dua mereka Timbalan Pengerusi HARAPAN Terengganu belum mengumumkan pendirian itu tetapi cakap-cakap mengenai perkara ini sudah mulai kedengaran.

Biarpun  ada mengatakan tiga ketua Bahagian PPBM tidak akan menyertai Razali bagi tujuan ini, peluang untuk mereka bertanding adalah tipis kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dituntut oleh mereka dalam HARAPAN semuanya bertindan, kecuali DUN Bukit Besi.

Pertindihan kerusi paling banyak ialah antara AMANAH dan PKR sementara PPBM dan AMANAH pula bertindan di dua kerusi penting kedua-dua parti – Ladang (Parlimen Kuala Terengganu) dan Chukai (Parlimen Kemaman).

Wakil PPBM pada mesyuarat HARAPAN negeri meminta dua kerusi berkenaan kerana ia dijangka akan ditandingi oleh Ketua Bahagian masing-masing (Kuala Terengganu dan Kemaman).

PPBM turut tidak gembira apabila kerusi DUN di Parlimen Kuala Terengganu mahu dibolot oleh AMANAH khususnya di Ladang, Batu Burok dan Wakaf Mempelam. DUN Bandar adalah kerusi incumbent diwakili oleh PKR.

AMANAH yang awalnya menganggap kerusi DUN Wakaf Mempelam sebagai kerusi asas mereka, pada perundingan terakhir menawarkan kepada PPBM atau PKR dan menyatakan keinginan untuk mendapatkan DUN Batu Burok dan Ladang.

Razali Idris - Pengerusi PPBM Terengganu.
PPBM dan PKR berpendapat, bagi setiap Parlimen, termasuk Kuala Terengganu, PPBM wajar diserahkan satu kerusi dan kerana itu PPBM meminta kerusi Ladang.

PKR pula yang mendapat dua kerusi Parlimen – Dungun dan Kemaman – mengharapkan dapat bertanding dua kerusi DUN masing-masing di dua Parlimen berkenaan.

PKR memohon kerusi Sura dan sebuah kerusi DUN lain kemungkinan di DUN Rantau Abang di Dungun, sementara di Parlimen Kemaman, mereka mengharapkan kerusi Kemasik dan sebuah kerusi DUN lain, kemungkinan Air Puteh.

AMANAH yang bertanding di Parlimen Kuala Nerus mendapat DUN Teluk Pasu dan sebuah DUN lain dan di Marang, AMANAH dipersetujui untuk bertanding di DUN Bukit Payong dan Rhu Rendang.

Bagi Parlimen Besut, Setiu dan Hulu Terengganu, PPBM diperuntukkan dua kerusi DUN dan setiap parti – AMANAH dan PKR – turut mendapat sekurang-kurangnya satu DUN.

Banyak pihak mengatakan pergolakan ini akan memberikan ruang kepada PAS dan BN untuk menang.

Raja Kamarul Bahrin, Pengerusi AMANAH.
Namun ada berpendapat mengatakan,  pergolakan kecil yang akan memisahkan PKR-PPBM dan AMANAH-DAP tidak akan menjejas apa-apa. Ia masih boleh diperbetulkan jika PRU14 diadakan dalam tempoh empat atau lima bulan lagi.

Yang pasti bagi  mereka yang di atas pagar dan menyokong pembangkang dan kurang berminat untuk menyokong AMANAH yang bergabung dengan DAP - akan memberikan sokongan kepada PKR dan PPBM.

Yang penting ialah juga faktor calon, gerak kerja yang dilakukan oleh PPBM dan PKR di lima Parlimen – utara dan selatan Terengganu yang tersusun dan pemuafakatan antara kedua kerusi berkenaan akan menjadi penentu kemenangan mereka.

Asasnya, adalah baik menentukan hala tuju sebenar untuk menempuhi PRU14 sekarang daripada terlambat, apa lagi selepas Dewan Rakyat dan DUN dibubarkan.

BN dan PAS pastinya lega dengan perkembangan itu.

Namun dengan majoriti senyap dan PPBM serta PKR yang bersiap sedia dengan jentera dan haluan perjuangannya lebih jelas berbanding BN dan PAS, mereka dilihat tidak terjejas dengan ‘perpisahan’ itu.

Walaupun mungkin  tidak bersama AMANAH dan DAP, pakatan PPBM dan PKR tetap berupaya memberi saingan kepada PAS dan BN serta dua parti dalam gabungan HARAPAN itu.

Sementara AMANAH yang semakin bersendirian dijangka akan berdepan dengan kedudukan semakin sukar apa lagi dilihat bertanggungjawab ‘memanaskan keadaan dalam HARAPAN’ kerana menjadi ‘juara untuk DAP’ bertanding di Terengganu.

Perkembangan ini dijangka akan menyebabkan HARAPAN Pusat perlu menilai dan mengatasi isu ini dengan bijak dan berhemah.

Sebarang silap langkah oleh HARAPAN Pusat bukan sahaja akan di tolak oleh kepimpinan PKR dan PPBM Terengganu tetapi juga oleh penyokong pembangkang di Terengganu.

Kemungkinan besar juga, jika ‘pergolakan’ ini tidak diatasi, AMANAH dan DAP akan terpencil yang pastinya semakin sukar untuk berdepan PAS, BN/UMNO serta gabungan PKR-PPBM pada pilihan raya kali ini.

Thursday, 11 January 2018

Minta Selesai Isu Di Mahkamah - Angkuh Sungguh Ahmad Razif...


Angkuhnya Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman apabila mencabar rakyat agar menyaman dan membawa isu projek pembinaan jalan ‘KT-By Pass’ (KT-By Pass) ke mahkamah.

Itu kata pemimpin politik PAS Terengganu. Anggapan atau benar hanya pemimpin berkenaan yang tahu.

Jika benar tuduhan ini, amat sedih rakyat Terengganu mempunyai Menteri Besar yang sepatutnya tidak mengeluarkan perkataan sedemikian sebaliknya berunding atau mengajak rakyat berbincang.

Apakah mahkamah jalan penyelesaian kepada isu rakyat?

Kerana itu tidak pelik sekiranya Naib Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hasim menganggap ‘Pemimpin UMNO Tidak Mahu Membantu Rakyat’.

Beliau berkata demikian mengulas isu Kt-By Pass) di laman sosialnya pada Khamis 11 Januari, yang menurutnya pemimpin UMNO berkira sangat, dalam kes melibatkan pampasan pengambilan semula tanah rakyat.

Kerana itu, menurutnya pemimpin kerajaan UMNO dan Barisan Nasional Terengganu bukanlah mereka yang mahu membantu dan menolong rakyat.


 “Pemimpin! tolong bantulah rakyat. Yang kamu berkira sangat bukan duit peribadi kamu. Bukan duit negeri. Tapi wang persekutuan. Yang jika tidak disalurkan ke sini, disalurkan juga ke tempat lain.

“Yang lebih menyakitkan hati, untuk pembaziran, projek mewah, projek pelik pelik, yang runtuh, yang gagal, kamu boleh pula buat selamba dan tidak berkira walau nilainya beratus juta ringgit,” tempelak beliau.

Ahmad Amzad berkata  rakyat biasa mendengar dengar kes-kes pengambilan tanah tanah yang menjadikan pemilik kebun tiba tiba jadi orang kaya baru.

Sebagai contoh, kata beliau, tanah di Putrajaya, KLIA, adalah tanah-tanah berstatus ‘pertanian’ yang dibayar berasaskan pertimbangan nilai pembangunan masa hadapan.

“Kalau pampasan pengambilan tanah untuk projek persekutuan dibayar oleh kerajaan persekutuan, duit persekutuan dan pegawai serta kementerian sudah tunjuk kesediaan mempertimbangkan nilai yang lebih baik,

“(ia hanya) terpulang kepada rekomendasi dari kerajaan negeri yang bertindak sebagai pengurus pengambilan tanah,

“atas alasan apa dan terhalang dekat mana….. untuk pemimpin negeri mengarahkan birokrasi dibawah pentadbirannya membantu agar pemilik pemilik tanah diberi nilai yang lebih baik?,” soalnya.

Katanya, kalau di negeri lain, pemimpn yang berkuasa mengambil peluang menyalurkan wang persekutuan kepada rakyat negeri.

“Direka, susun justifikasi, strategi. Mana yang boleh ditukar syarat, ditukar. Tolaklah kos-kos berkaitan. Rekalah skim yag memudahkan rakyat,” tegas beliau.


Sebaliknya, menurut beliau, berbeza di negeri Terengganu, pemimpin ‘berlepas tangan’ dan tidak mahu bertemu dengan mereka yang terlibat.