Monday 18 January 2010

DATO' MAZLAN NGAH SETIAUSAHA KERAJAAN BARU

Kuala Terengganu 17 Januari 2010, Yang Berhormat Dato’ Haji Mazlan Ngah memulakan tugas Setiusaha Kerajaan pada hari ini. Tempat beliau sebagai Pegawai Kewangan Negeri diambil alih oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Razak Ismail, yang sebelum ini Pengarah Tanah dan Galian Terengganu.

Perlantikan mereka dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu selaku Pihakberkuasa Melantik mengikut Undang-Undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu 1911 pindaan 1948. Perlantikan ini dibuat setelah Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mendapat ampuni perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang juga Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

Dato’ Haji Mokthar Nong telah memilih untuk bersara pilihan mulai 15 April 2010 dan menghabiskan cuti sebelum bersara mulai hari ini.

Suruhanjaya walau bagaimanapun memilih melantik Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Dato’ Haji Razak Ismail secara pemangkuan terlebih dahulu, walaupun mengikut peraturan dan amalan persekutuan, setelah seorang pegawai cuti sebelum bersara, pegawai lain boleh terus mengganti jawatan berkenaan.

Status pegawai yang cuti sebelum bersara akan menjadi pegawai jawatan kumpulan atau Tambahsentara dibawah pentadbiran negeri sehingga ke tarikh persaraan hakiki beliau dan tidak bertanggungjawab lagi untuk menjalankan tugas.

Dalam majlis penyerahan tugas di Wisma Darul Iman yang dihadiri semua Pegawai Tadbir Negeri, Dato’ Mazlan dalam ucapannya menekankan kreteria utama bagi penempatan dan kenaikan pangkat pegawai tadbir negeri dibawah kepimpinan beliau ialah intergriti dan acceptability barulah diikuti dengan meritokrasi dan seniority. Beliau selanjutnya berkali-kali memberi penekanan kepada kepentingan Pegawai Tadbir Negeri yang berintergriti.

Dato' Mazlan juga menegur sikap setengah Pegawai Tadbir baru (junior) yang bersikap semacam Pegawai Tadbir lama (senior) dan sebaliknya terdapat juga dikalangan Pegawai Tadbir senior yang bersikap sebagai pegawai junior.

Dato’ Mokthar Nong dalam ucapannya memberi ingatan kepada pegawai tadbir bahawa jawatan yang disandang hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan boleh ditarik pada bila-bila masa.

Seterusnya beliau maklumkan kerusi SUK merupakan kerusi panas, jika sepuluh hingga lima belas peratus orang tak suka biasa sahaja. Beliau merujuk kepada satu sms yang beliau terima yang bahasanya agak kasar yang beliau kenal penghantarnya serta telah memaafkannya.

Tahniah kepada Yang Berhormat Dato' Haji Mazlan Ngah dan Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Razak Ismail semoga menjadi gandingan yang serasi dengan Yang Amat Berhormat Dato' Ahmad Said dalam memajukan negeri.

No comments:

Post a Comment