Thursday 30 March 2017

Dalam Hal Islam Pun, UMNO Tidak Mampu – PAS Terengganu


PAS Terengganu menganggap UMNO tidak mampu menguasai rakan mereka dalam BN dalam hal agama Islam sendiri.

Berikutan itu PAS mendakwa hanya mereka sahaja yang komitmennya sangat tinggi dan boleh diharap dalam perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.

Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat berkata amat nyata UMNO takut kepada parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk MCA.

“Kalau kita tengok, BN macam takut pada MCA dan parti komponen lain. BN pun flip flop (berdolak dalik)... sekali nak angkat, sekali tak jadi.

“Kita harap, ahli parlimen Islam yang lain termasuk yang bukan Islam itu sendiri, menyokong pindaan ini kerana ia berkait dengan mahkamah syariah, tak berkait pun dengan orang bukan Islam.

Jadi, sepatutnya mereka beri ruang dan sokongan supaya RUU355 ini dibentangkan,” katanya.

Ketika ditanya usaha BN sebelum ini yang ingin membentangkan RUU355 itu sebagai tanda sokongan PM, beliau bagaimanapun mempersoalkan kenapa ia tidak diteruskan.

Beliau menyatakannya selepas Sidang DUN Terengganu di Kuala Terengganu berhenti rehat semalam,

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah pula kelmarin berkata PAS menerima pelawaan Umno-BN dalam isu pindaan RUU355 ini bukan kerana mereka dikenali sebagai kumpulan yang boleh dipercayai.

Namun PAS menerimanya diatas sebab DAP dan sekutunya telah jelas menolak, manakala Umno-BN belum menolaknya walaupun diragui akan menolak.

“Oleh itu langkah PAS adalah tepat kerana Umno-BN ketika itu adalah sedikit lebih baik daripada DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Berikutan itu beliau menyeru agar kita semua tetap istiqamah di jalan Islam ini.

Biarpun kita bukan sebagai watak utama penjulang syariat Allah tetapi sekurang-kurangnya tidak menjadi watak utama penentang syariat Allah, Katanya.

Lantas beliau mengajak ahli  Umno dan pencinta Islam agar leh melihat dengan jelas betapa dhaifnya Umno sehingga tidak mampu menguasai rakan mereka dalam BN dalam hal agama Islam sendiri.

“Rakyat Islam kini melihat hanya PAS sahaja yang komitmennya sangat tinggi dan boleh diharap dalam perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia,” katanya.

Baca seterusnya kenyataan Mohd Nor:

PAS Tetap Istiqamah Perjuangkan Islam
  
Bismillah


Semalam negara dikejutkan dengan berita berkaitan cadangan pindaan RUU355 yang telah dibawakan oleh Presiden PAS ke Parlimen, telah diputuskan oleh Umno-BN untuk tidak akan membantu PAS membawanya. Sudah ribut di seluruh negara dengan kejian, makian dan sindiran golongan-golongan yang sememangnya membenci PAS diatas berita ini, walaupun tersangat jelas apa yang cuba PAS bawakan ini adalah demi kebaikan Islam.

Sebagai seorang muslim yang dibesarkan dalam persekitaran Islam yang sering dicabar dan dikaderkan bagi menghadapinya, kami sangat suka melihat hal ini dari sudut pandangan positif. Keadaan ini sebenarnya telah dijangka oleh PAS dan insyaAllah Islam tetap menang. Kami kongsikan pandangan kami dalam isu ini.

1-Dengan penolakan Umno-BN dalam membantu PAS membawa isu pindaan RUU355 ini, jelas kepada semua manusia yang waras bahawa tiada hubungan antara PAS dan Umno-BN sebagaimana UG yang diratib saban waktu oleh pembenci-pembenci PAS.

2-PAS masih mempunyai peluang dengan kebenaran Speaker untuk membawa cadangan pindaan ini kerana bukannya usul ini ditolak, tetapi tidak dibantu oleh pihak lain. Jika dengan izin Allah ianya diluluskan, kejayaan ini akan lebih manis dan bermakna kerana PAS sendiri yang memajukannya tanpa bantuan besar pihak lain.

3-PAS kini tidak perlu mengharapkan orang lain kecuali berharap sepenuhnya kepada Allah bagi membantu agamaNya. Ini menguatkan lagi kebergantungan kita kepada Allah kerana kejayaan Islam bukan kerana jumlah yang ramai tetapi kerana ketaqwaan kita. Sebagaimana bencinya rasulullah saw kepada golongan yang berbangga dengan jumlah yang ramai dalam Perang Hunain, sedangkan kemenangan itu datangnya dari Allah.

4-Tipu daya didalam politik ini akan terkena kepada sesiapa juga walaupun kepada pejuang-pejuang Islam. Ujian ini akan mematangkan kita dan menjadi tapisan kepada jemaah.

5- Ahli Umno dan pencinta Islam boleh melihat dengan jelas betapa dhaifnya Umno sehingga tidak mampu menguasai rakan mereka dalam BN dalam hal agama Islam sendiri. Rakyat Islam kini melihat hanya PAS sahaja yang komitmennya sangat tinggi dan boleh diharap dalam perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.

6-PAS menerima pelawaan Umno-BN dalam isu pindaan RUU355 ini bukan kerana mereka dikenali sebagai kumpulan yang boleh dipercayai, tetapi PAS menerimanya diatas sebab DAP dan sekutunya telah jelas menolak, manakala Umno-BN belum menolaknya walaupun diragui akan menolak. Oleh itu langkah PAS adalah tepat kerana Umno-BN ketika itu adalah sedikit lebih baik daripada DAP.

Saya menyeru agar kita semua tetap istiqamah di jalan Islam ini. Biarpun kita bukan sebagai watak utama penjulang syariat Allah tetapi sekurang-kurangnya tidak menjadi watak utama penentang syariat Allah.

Kita sedang bergerak ke akhirat. Julanglah Islam walau di mana kita berada. PAS tetap istiqamah dalam jatuh bangun PAS untuk menegakkan syariat Allah. Kita akan menuai hasil usaha kita bagi membantu agama Allah tanpa ditanya adakah kita menang atau kalah.

Jika benar pindaan RUU355 ini ditolak suatu hari nanti, maka pastikan mereka yang menolaknya tidak akan mendapat sehelaipun undi kita.

Ayuh kita teruskan perjalanan demi kerana Allah, kesampingkan kekecewaan, berusaha, berdoa dan bertawakkal, insyaAllah diberikan kejayaan oleh Allah.

YB Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
(2 Rejab 1438 bersamaan 30 Mac 2017)

Wednesday 29 March 2017

Perbelanjaan LPT2 - BN/UMNO Tidak Akan Pejuangkan Wang Rakyat


Tidak perlu diratap dan ditangisi lagi.

Wang Kerajaan Negeri Terengganu yang diguna bina Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) tidak akan pernah kembali lagi kepada rakyat negeri ini.

Rakyat Terengganu tidak perlu meratapinya lagi.

Selagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjadi pemerintah Terengganu, jangan harap ada usaha untuk menuntutnya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tidak akan berani dan bagai tiada tenaga dan political will menuntut perkara berkenaan.

Malah sebahagian yang sudah dikembalikan dibelanjakan pula kepada projek jalan persekutuan yang sewajarnya dipohon daripada kerajaan Pusat.

Harapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN/UMNO untuk menimbulkan isu pada persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini?

Jauh sekali!

Hishamuddin membela kepentingan rakyat.
Ketakutan mereka seperti takutnya Ahmad Razif kepada Datuk Seri Najib Razak. Pangkat dan kedudukan mengatasi segala-galanya.

Begitulah juga dengan ADUN BN/UMNO ketika ini yang menikus seribu bahasa dalam isu kepentingan rakyat seperti ini.


Kerana itu wajar disokong dan dihargai apabila ADUN PAS Tepoh,  Hishamuddin Abd Karim menyatakan kebimbangan mengenai perkara itu.

Ini kerana wang kerajaan negeri yang digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk membina LPT2 dibimbangi tidak kembali ‘ke pangkuan’ rakyat.

Katanya, jawapan yang diberikan oleh Menteri Kerja Raya pada 19 Januari 2016 mengatakan bahawa duit itu disalurkan untuk menaiktaraf dan membaiki jambatan.

“Beliau (Menteri kerja raya) menyatakan tentang kesediaan kerajaan menyalurkan peruntukan menaiktaraf dua jalan dan tiga jambatan negeri ini melalui bajet pembinaan LPT2 seperti dipohon Terengganu,

“Saya bimbang tuntutan (wang LPT2) berlaku tetapi balik kepada projek-projek ‘federal’ (kerajaan persekutuan) melalui jalan raya, jalan persekutuan tapi bukan masuk kepada kepentingan kerajaan negeri,” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman pagi kelmarin 28 Mac 2017.

Ketika menjawab pertanyaan beliau, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengakui kedudukan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menerima sebahagian pemulangan wang LPT2 sebanyak RM1.85 bilion tetapi digunakan pula untuk menaik taraf jalan persekutuan.

“Kita sebenarnya sudah menerima sebanyak RM118 juta yang telah dipulangkan kepada kerajaan negeri dan duit ini telah digunakan menaiktaraf jalan (persekutuan) dari dua lorong kepada empat lorong,

“Di kawasan Kijal, Chukai, Kemaman untuk menyambung (projek) yang kita laksanakan di kawasan Marang dan Dungun,” ujarnya.

Malah, berkaitan ini isu kutipan tol juga masih belum dapat diselesaikan cara pembahagiannya dan Ahmad Razif akur sahaja dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Tuesday 28 March 2017

Iskandar Bukan Sekadar Memujuk Tetapi Jadi ‘Batu Api’....


Suara siapa yang Mohd Iskandar Jaafar (Ahli Dewan Undangan Negeri – ADUN – Jabi) bawa apabila mengatakan kerjasama antara parti UMNO dengan PAS penting bagi mempertahankan kedaulatan Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

Iskandar – yang namanya tenggelam timbul – dalam senarai calon yang ditularkan sejak beberapa bulan ke belakangan ini - semalam menganggap kerjasama antara dua parti yang mendominasi politik Terengganu itu amat diharapkan.

Katanya, kerjasama itu bagi mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan kerjasama di kalangan pemimpin di negeri ini, katanya.

Daripada kata-katanya itu jelas Iskandar sangat bimbang dengan kemaraan Pakatan pembangkang –  khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), AMANAH dan  PKR di Terengganu.

Malah dengan menyebut bahawa  PAS dan UMNO adalah dua parti yang telah berupaya memenangi hati rakyat di negeri ini sebagai tidak relevan lagi.

Kata-katanya, “Kalau sebut di Terengganu, datanglah parti mana pun rakyat akan ingat dua parti sahaja iaitu PAS dan UMNO,” hanya analogi yang tidak berpijhak di bumi nyata.

Mengatakan dua tiga parti lagi datang secara bermusim dan bukan berkepentingan untuk beri perkhidmatan kepada rakyat hanyalah propaganda UMNO.

Pastinya Iskandar akan menghadapi laluan sukar untuk pertahankan kerusinya kali ini walaupun mungkin berlaku pertandingan tiga penjuru.

UMNO Jabi bertelingkah sesama sendiri dengan nama bekas ADUN Jabi, Ramlan Ali kini turut disebut-sebut sebagai pangganti Iskandar yang menggambarkan kedudukan beliau kini tercabar.

Serangan dalaman akan menyulitkan Iskandar dan belum lagi serangan langsung dari PPBM, AMANAH dan PKR.

Jika pun PAS bertanding, Iskandar jangan anggap boleh menang mudah gara-gara tiga penjuru.

Tidak dinafikan sebelum ini hanya PAS dan UMNO kekal di dalam hati rakyat Terengganu khususnya Melayu Islam, termasuk di Jabi, namun suasana sudah jauh berubah.

Apakah bentuk kerjsama yang Iskandar maksudkan dengan PAS?

Beliau mengharapkan sokongan pengundi PAS dalam pilihan raya akan datang untuk memenangkannya sekali lagi di DUN  Jabi?

Bukankah PAS sendiri sudah mengatakan ia akan bertanding di DUN berkenaan dan akan menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

Apakah Iskandar cepat lupa bahawa “Kemenangan Jabi,Kunci ke Wisma Darul Iman” yang disebut oleh PAS pada 8 Januari 2016 apabila PAS menjadikan DUN Jabi sebagai sasaran untuk kemenangannya?


Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jabi Dr Azman Ibrahim menyeru para petugas tempatan agar melipatgandakan usaha bagi membantu PAS negeri merelisasikan kemenangan pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Sasaran kerja Unit Peti Undi Jabi Luar adalah berbeza dengan Unit Peti Undi yang lain. Kalau Peti Undi lain bekerja untuk mencapai kemenangan, UPU Jabi Luar bekerja untuk mempertahankan dan mempertingkatkan kemenangan, bagi membantu PAS negeri menawan Wisma Darul Iman,”ujarnya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Gerak Kerja UPU Jabi Luar dengan pada Jumaat, 8 Januari 2016.

Maknanya PAS sudah bersedia dan bukan mudah untuk PAS serahkan kerusi berkenaan.

Agaknya Iskandar semakin gusar kerana beliau menang di DUN Jabi pun dengan majoriti agak kecil  dan pastinya kerusi ini diintai oleh PAS.

Kata Iskandar ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima, Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari kedua, semalam mempelawa PAS menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan BN dan UMNO.

Katanya, ini memandangkan kedua-duanya selari dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan agama Islam.

"Seburuk-buruk UMNO pun sebagaimana dakwaan pembangkang, parti inilah yang bantu rakyat dan parti ini jugalah yang kadang-kadang bantu juga pengikut PAS. Jadi apa salahnya dalam mewujudkan kerjasama dan perpaduan, turutlah kita, jangan bersendirian,” demikian katanya.

Iskandar bukan sekadar memujuk PAS tetapi menjadi ‘batu api’ apabila mendesak PAS memutuskan hubungannya dengan PKR.

Kata Iskandar: "Kalau di Pulau Pinang, PAS telah mengusulkan untuk memutuskan hubungan politik dengan parti komponennya sebelum ini (PKR), kita harap di Terengganu lapan bahagian Pas pun akan melakukan perkara sama.

“Marilah bersama-sama dengan kita. Insya-Allah," katanya.

Iskandar tidak payah puji PASlah kononnya parti itu kalau diibaratkan sebagai seorang wanita (janda), sangat laku. “Belum habis idah dah datang orang melamar,” katanya.

Boleh puji tetapi apakah PAS akan menerima lamarannya yang selama ini menjadi musuh ketat dan sering mencacinya?


Bermaruahkah PAS jika ‘menjilat kembali ludahnya’ di mana UMNO pernah dilabelkan sebagai kafir dan memang tidak boleh dipercayai. 

Sunday 26 March 2017

Ribuan Sambut, Hadir Program MB Turun Padang Di Ajil...

Beribu-ribu hadirin saksikan Ghazali berpelukan dengan Rosol
 sempena kunjungan Ahmad Razif ke DUN Ajil...
Tahniahlah kerana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid dan ADUN Ajil sekarang, Ghazali Taib 'berpelukan' pada 21 Mac lalu di Dewan Sivik, Ajil, Hulu Terengganu.

Kejadian ini bukan 'wayang' atau lakonan' tetapi  benar-benar berlaku di hadapan Menteri Besar sebagai penanda bahawa ‘konfrontasi kedua-dua pemimpin dan penyokong’ mereka sudah berakhir.

Memang begitulah yang terjadi. Ia tidak dapat disangkal lagi bahawa kedua-duanya sudah kembali kepada sediakala. Ini penting apa lagi pilihan raya umum semakin hampir.

Ketegangan kedua-dua pemimpin dan penyokong berlaku sejak Ghazali bertanding di DUN Ajil pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Majlis ‘berpelukan’ itu itu sudah pasti disaksikan oleh ribuan hadirian pada hari berkenaan.

Sudah pasti ini kejayaan paling besar dalam kepimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.


Ini  kerana Ghazali yang pernah keluar UMNO kerana mengikut Datuk Seri Ahmad Said yang ‘merajuk seketika’ selepas diminta melepaskan jawatan Menteri Besar pada Mei 2014 dan kini tidak lagi membantah.

Begitu juga dengan Rosol yang banyak berkecil hati kerana tidak terpilih sebagai calon pada PRU lalu, sudah membuktikan beliau menyokong Ahmad Razif melalui ‘peluk-memeluk’ itu.

Malah, jelas sekali Rosol menunjukkan bahawa beliau ‘taat’ kepada kehendak Ahmad Razif agar berpelukan dengan Ghazali.

Biarpun sebelum ini Rosol dikatakan ‘marah’ kerana dimalukan oleh Menteri Besar itu apabila memberhentikan beliau sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM) dan menggantikannya dengan pegawai tadbir Negeri Terengganu.

Tindakan Ahmad Razif memberhentikan Rosol dilihat sebagai tidak menghargai dan menghormati Rosol seperti ‘lampin pakai dan buang’, apabila tidak perlu, buang begitu sahaja.

Apa yang menarik pada majlis TURUN PADANG di Ajil pada Isnin 20 Mac 2017 itu - selepas beberapa hari kehadiran ‘3M’ – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir’ di Pekan Ajil - yang dilaporkan dihadiri hanya 400 orang. sambutan terhadap Menteri Besar begitu menggegarkan sekali.

Dewan Ajil penuh sesak pada hari berkenaan. Malah kehadiran rakyat melimpah ruah hingga ke sekitar dewan.


Malah dikatakan, dari segi jumlah hadirian, ia berpuluh kali ganda daripada kehadrian pada program BICARA NEGARAWAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD pada malam 16 Mac lalu.

Sayang sekali TV3 tidak melaporkan mengenai kehadiran Ahmad Razif dan rakyat selain portal  yang menyokong Menteri Besar, Terengganu Times, sangat dikesali kerana tidak melaporkan terus peristiwa itu (sekadar memetik dari sumber lain dalam laporannya sehari kemudian) walaupun kehadiran rakyat ke majlis itu berpuluh kali ganda daripada hadirian di program 3M itu.

Dikatakan juga jalan sekitar Dewan Sivik Ajil penuh sesak, malah polis terpaksa berkawal sepanjang hari pada kehadrian Menteri Besar kerana sambutan hangat rakyat Ajil.

Sekali lagi tahniah untuk UMNO Ajil dan Hulu Terengganu  kerana berjaya menganjurkan program TURUN PADANG MENTERI BESAR itu.

Juga mengecewakan ialah tiada gambar yang ditunjukkan mengenai ribuan yang hadir menyambut Menteri Besar dan juga mendengar ucapannya.

Bersesuaian dengan kedatangannya,  Menteri Besar meminta semua ahli UMNO di Terengganu  tidak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ sehingga menggadaikan maruah parti yang melambangkan ketuanan Melayu ini.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menegaskan sikap buruk segelintir pihak yang suka mengeruhkan keadaan, mengadu-domba dan menghasut pemikiran orang ramai boleh memusnahkan masa depan anak muda serta merosakkan parti UMNO itu sendiri.

Menurutnya, perjuangan UMNO penuh dengan cabaran dan tohmahan yang tidak akan dan tidak pernah melunturkan semangat perjuangan ahli-ahli UMNO dulu, kini dan selamanya.


Ucapan berapi-api itu disambut tepukan gemuruh oleh ribuan hadirin yang hadir, apalagi ketika beliau mengatakan “ada di kalangan kita menjadi gunting dalam lipatan, mengadu-domba atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan parti UMNO dan masa depan anak muda dengan pelbagai hasutan yang tidak benar.”

“Kita” yang dimaksudkan itu sudah pasti ahli UMNO. Ia pastinya tidak ada kena mengenai sama ada yang hidup atau yang telah mati daripada parti lain seperti PAS, PKR atau juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pada ketika sambutan ribuan penduduk Ajil terhadapnya, Ahmad Razif amat bimbang bahawa UMNO mulai mereput dari dalam.

Malah sikap ‘gunting dalam lipatan’ yang dimaksudkan oleh Ahmad Razif itu membuktikan bahawa ahli UMNO sendiri pun sudah meluat dengan pemimpin mereka.

Apakah kerana meluat itu maka ribuan rakyat Ajil keluar pada majlis TURUN PADANG Menteri Besar itu?

Pertanyaan lain ialah apakah ini program anjuran negeri atau program anjuran UMNO dan siapa membiayainya?

Dengan sambutan sedemikian, Ahmad Razif tidak perlu lagi bimbang dengan kehadiran 3M itu dan yakin Barisan Nasional (BN) akan menang mudah di DUN  Ajil pada PRU14 nanti. 

Friday 24 March 2017

Pemimpin BN/UMNO Terlibat Gadai Tanah Rizab Melayu Kepada Bukan Islam????


Siasat siapa mereka dan bagaimana kejadian Tanah ‘Gazet’ Rizab Melayu di Kuala Berang dan Paka di Terengganu tergadai?

Malah lebih menyedihkan dikatakan oleh PAS bahawa 'tanah Orang Melayu' itu digadaikan kepada bukan Islam.

Tuduhan PAS ini berat.

Sewajarnya kerajaan Barisan Nasional (BN)/UMNO negeri siasat serta menyatakan kebenaran dalam isu ini.

Kegagalan akan membuktikan kerajaan BN/UMNO memang pengkhianat kepada rakyat negeri ini yang majoritinya Melayu-Islam.

Apakah kerajaan BN sengaja melakukannya dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tidak berbuat apa-apa mengenainya?

Kenapa berlaku sedemikian?
  
Kenapa tiada bantahan daripada pemimpin UMNO di Hulu Terengganu dan Dungun terhadap tindakan BN/UMNO negeri yang sewenang-wenangnya bertindak sedemikian?

Pesuruhjaya PAS negeri, Satiful Bahri Mamat kelmarin menggesa kerajaan BN/UMNO Terengganu menjelaskan kepada rakyat, mengapa tanah yang digazet sebagai ‘Rezab Melayu’ di negeri ini bertukar milik kepada bukan Melayu?


Selain itu, PAS juga meminta Menteri Besar selaku Pengerusi BN dan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu menjelaskan kepada rakyat mengapa tanah orang Melayu yang diberi kepada UMNO Paka juga tergadai.

Perkara ini pernah didedahkan oleh Satiful pada 20 Februari lalu apabila mengatakan UMNO kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan UMNO negeri Terengganu tanah orang Melayu milik parti itu telah digadai kepada orang asing.

Beliau  mempersoalkan mengapa tanah rezab Melayu yang  diberikan atas nama UMNO telah digadaikan kepada bukan Melayu dan bukan Islam.

“UMNO (negeri) Tetengganu (dan) UMNO (DUN) Paka khususnya tolong jawab! Sebab apa tanah rezab Melayu beri atas nama UMNO mu gadai beri kepada orang bukan Melayu, bukan Bumiputera, bukan orang Terengganu pun!”

Ketika berucap pada Majlis Pelancaran NGO Generasi Warisan Keangsaan (Generasi) pada pada malam 19 Februari, di Dataran Kerteh 1, Datul menyebut:  “Sesiapa yang datang sini (nak tahu) pergi tanya dia (UMNO)……..mana-mana orang UMNO yang datang (dengar ceramah ini) pergi tanya (bos) dia,”tegasnya.

Kelmarin sekali lagi ADUN Paka menegaskan sebidang tanah lagi di mana satu-satunya tanah yang digazetkan sebagai Tanah Rezab Melayu di negeri ini yang terletak di bandar Kuala Berang, juga telah tergadai kepada bukan Melayu.

Katanya, satu-satunya Tanah Rezab Melayu di bandar Kuala Berang juga telah ditukar milik kepada bangsa lain, kerana mahu dibuat pembangunan.
“Ini sudah tidak masuk akal………..bagaimana Tanah Rezab Melayu pun UMNO boleh gadai……..boleh jual,” soal beliau.

Satipul menjelaskan, beliau telah menimbulkan isu tersebut pada  persidangan Dewan Undangan Negeri, namun tidak dijawab.


Menurutnya, sejak setahun lalu, UMNO gagal memberikan sebab mengapa tanah di di Mukim Kuala Paka HSM 3214 tersebut telah dipindah milik pada 16 Julai 2009 dengan No. Perserahan 2115/2009 Gadaian Menjamin Wang Pokok.

“Saya sudah dedahkan perkara ini sejak setahun lalu, namun tiada jawapan dari UMNO…….tanah di Paka yang telah mula diberi milik kepada UMNO Paka pada tahun 1993,

Katanya, tanah yang diberi milik kepada UMNO Paka pada tahun 1993 itu terletak di Mukim Kuala Paka HSM 3214 itu telah dipindahmilik  pada 16 Julai 2009 dengan No. Perserahan 2115/2009 Gadaian Menjamin Wang Pokok.

Beliau menggesa pihak yang berwajib, termasuk pemimpin UMNO yang mengetahui mengenainya  mendedahkan ‘kerja siapa’ yang telah menghkhianati rakyat Terengganu, termasuk anak-anak warga Felda generasi kedua.

Sewajarnya jika Satiful mempunyai bukti jelas, kenapa tidak panjangkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terbukti ada individu atau kumpulan yang terlibat dengan skandal tanah ini.

Sunday 19 March 2017

Tidak Sertai PPBM, Ahmad Said Tetap Mahu Jadi 'Singa UMNO'


Terang lagi bersuluh, hanya UMNO di hati Ahmad Said.

Tiada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tiada yang lain bagi dirinya.

Jangan sekali-kali cuba kaitkan diri Ahmad Said dengan parti lain. Mungkin dia terkhilaf sedikit kerana isytihar dirinya keluar UMNO pada Mei 2014.

Selepas menyepikan diri seketika apabila menyertai `perkasa, Ahmad Said muncul malam kelmarin dengan pendiriannya yang tegas.

Sebelum ini banyak spekulasi mengenainya sejak laporan media pada 13 Mei 2014, menyebut, beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta,” katanya sambil menegaskan mulai tarikh itu beliau adalah ADUN bebas.


Namun kemudiannya beliau buat U-Turn dan kembali kepada UMNO.

Perbuatan itu mungkin kerana emosi tetapi kini sudah stabil.

Kerana itu selepas tiga tahun, bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya kembali untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan berkelompok UMNO Bahagian Kemaman di Kemaman, malam semalam (Sabtu 18 Mac 2017).

Kepada yang masih mengharapkan Ahmad Said tidak usah berharaplah. Pintu sudah tertutup rapat bagi PPBM untuk Ahmad Said.

Juga yang masih bernostalgia dengan Ahmasd Said kononnya beliau akan menyertai PPBM lupakan semua itu.

Sah sudah Ahmad Said tidak bersama PPBM dan akan menjadi 'Singa UMNO'.

Selaku  Ketua UMNO Bahagian Kemaman, sebelum ini beliau hanya mewakilkan kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu.

Beliau melahirkan  kesyukuran kerana masih mendapat sokongan kuat daripada perwakilan berkelompok yang masih mahu beliau menerajui bahagian itu.

Beliau turut menegaskan akan terus bekerja keras memastikan kemenangan UMNO di negeri itu khususnya di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Ketika berucap tadi, saya tanya ahli UMNO Kemaman, mahu saya masih berada dalam UMNO atau di pihak pembangkang, ternyata mereka masih mahu saya memimpin UMNO Bahagian Kemaman.

"Inilah amanah dan suara perwakilan untuk kita memastikan UMNO tidak kalah lagi pada pilihan raya akan datang," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal.

Dr Ahmad Zahid di Kuala Terenggaanu, Jumaat lalu.
Ditanya mengenai pujian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai dirinya yang terus menyokong kepimpinan UMNO Terengganu yang kini dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meskipun terdapat perselisihan faham sebelum ini, beliau berkata:

"Prinsip saya mudah sahaja, jika orang berlembut dengan saya, saya akan lebih baik dengan mereka dan begitulah sebaliknya," katanya.

Mengulas mengenai senarai calon PRU14, Ahmad berkata beliau mahu UMNO Bahagian Kemaman memilih sendiri calon sesuai untuk memastikan kemenangan parti itu.

"Kami akan berbincang dahulu, bila sudah ada senarai. Saya akan usahakan untuk menyerahkannya sendiri kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya.

Senarai berkenaan akan diputuskan UMNO Bahagian Kemaman menerusi perbincangan yang akan dibuat dan selepas itu beliau sendiri akan berjumpa dengan Najib untuk berbincang mengenainya.

"Bila kita dapatkan senarai itu daripada perbincangan kita, saya akan berusaha untuk bertemu perdana menteri sendiri dan serahkannya.

"Saya tak nak orang buat spekulasi (mengenai senarai calon), buat pilihan macam-macam dan akhirnya ia akan menjejaskan parti apatah lagi dalam keadaan politik ketika ini," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian mesyuarat berkelompok cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Pejabat Umno Bahagian Kemaman, malam kelmarin.

Bagaimanapun setakat ini, Ahmad berkata, senarai nama calon itu masih belum dibincangkan jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding lagi dalam PRU14 nanti, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu komen apa-apa...tapi apa-apa boleh terjadi, dalam politik tak ada perkara mustahil," katanya.

Benar seperti kata Ahmad Said itu kerana beliau sendiri boleh keluar sekejab daripada UMNO dan kembali semula kemudiannya.


Dan sehingga kini tumpuan Ahmad Said hanya kepada UMNO.

Tuesday 14 March 2017

Ketakutan Ahmad Razif Di DUN Seberang Takir Makin Terserlah...


PAS mendakwa Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mula ‘menabur wang’ untuk menjinakkan pengundi terutama di kampungnya sendiri, Kampug Baru yang beliau kalah sebanyak 44 undi pada pilihan raya umum (PRU) Kali Ke-13.

Kebimbangan dan ketakutan Ahmad Razif di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, yang dianggap kubu kuat UMNO Terengganu, jelas mempunyai asasnya.

Memetik  sumber yang tidak mahu dikenali, media rasmi PAS melaporkan, Ahmad Razif – ADUN Seberang Takir - pada Januari lalu, memberikan wang sebanyak RM4,000 kepada orang kampung, sebagai belanja untuk program bakar ayam atau ‘BBQ’.

Namun begitu, tidak ramai yang hadir pada program yang di taja olehnya itu.

Ahmad Razif, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus yang juga Menteri Besar Terengganu itu amat bimbang apabila tidak ramai hadir pada majlis itu.

“Tak ramai….adalah tiga, empat puluh orang yang datang,”ujar sumber tersebut, yang menambah, dengan belanja sebesar tu, ‘tak padan’ berbanding jumlah yang orang.

PRU lalu mencatat sejarah, walaupun masih tidak mampu mencipta sejarah, PAS Seberang Takir bersyukur dan berpuas hati dengan perubahan yang berlaku.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Zakaria Dagang berkata, perbezaan yang ketara ialah, kempen PAS berjaya mengurangkan undi ‘orang lama’ kepada BN.

Bakar ayam yang tidak dapat sambutan.
“Selain itu…….kita menokok undi orang muda! PAS berjaya memenangani empat daripada daripada enam Unit Peti Undi (UPU),

“Berbanding BN yang hanya memenangi dua UPU sahaja walaupun majoriti PAS terlalu kecil berbanding majoriti BN,” ujarnya ketika dihubungi.

Ketakutan Razif juga terserlah apabila beliau diberi kuasa sebagai MB, ‘melonggokkan’ semua projek ‘mega’ di Seberang Takir.

Antaranya ialah, projek ‘INDAH KHABAR DARIPADA REALITI’ yang dipanggil, ‘Projek Akuapolitan Kuala Nerus’.

Semasa melancarkannya pada pulan Mei tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ‘bercakap besar’ dan berkata, projek menelan kos RM180 juta itu, memberi fokus menaik taraf sosio ekonomi masyarakat nelayan.

“Kerajaan BN (Barisan Nasional) dan UMNO sudah berjaya membuat sesuatu yang orang lain gagal buat.

“Terbukti kita berjaya cetuskan satu lagi idea baharu iaitu pembangunan nelayan ala FELDA yang kali ini bersandarkan sumber laut,” ujarnya.

Gambar yang paling popular Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketika musim ‘Monsoon Cup’ memuncak.
Namun, mungkin Najib juga termasuk kepada ‘golongan Melayu yang mudah lupa’, kerana hanya beberapa tahun lalu, pendahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga pernah berjanji begitu, ketika melancarkan perlumbaan perahu layar Piala Monsun (Monsoon Cup).
“Dekad dulu pernah diadakan Pertandingan Kapal Layar peringkat dunia atau ‘Monsoon Cup’
 ,
“Kononnnya projek ini untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat khususnya kaum nelayan dengan perbelanjaan mencecah beratus-ratus juta ringgit.

“Semua itu adalah sejarah pembaziran mega UMNO dan BN Terengganu,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak.

Sehingga kini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu, nelayan tetap misikin, masih ‘kais pagi makan pagi’ dan pergi pagi ke laut, untuk mencari rezeki keluarga waktu petang.

Apa yang menyedihkan ialah, ketika tinjauan dibuat ke Pusat Latihan Dan Kemahiran Akuapolitan di Taman Permint Perdana, Kampung Batin, Seberang Takir, tidak ada satu pun kursus yang ditawarkan adalah berkait dengan ‘Sea Felda’ iaitu yang mirip dengan skim Felda sebagaimana kata Najib, disesuaikan dengan masyarakat nelayan.

“Kursus percuma yang ditawarkan adalah seperti berikut, Membaiki Telefon Bimbit, Dandanan Rambut, Kursus Pemandu Pelancong, Pendawaian Elektrik dan Perpaipan Asas, Kulinari, Jahitan dan Rekaan Fesyen,” menurut poster yang disebarkan kepada orang ramai.

Lebih malang lagi, atas projek ratusan juta ringgit itu, hanya 43 orang peserta yang diambil pada tahun 2016, dengan dua kursus sahaja yang dibuka iaitu, kulinari dan jahitan.

Sehingga kini, setelah tiga bulan berlalu tahun 2017, belum ada seorang pun peserta yang diambil untuk menyertai pelbagai kursus yang di war-warkan!

“Kursus kulinari dan jahitan memang ada ‘sokmo’ doh bawah Yayasan Pembagunan Keluarga (YPK) tak perlu bawah ECRE atau UMT……..membazir je,” kata Dr Alias Razak, spontan.


Saturday 4 March 2017

UMNO Hulu Terengganu Semakin Bergelora, PPBM Semakin Menyerlah?

Pemimpin PPBM dari bahagian penaja lain turut datang ke Hulu Terengganu bertemu pemimpin setempat menjelaskan tujuan Dr Mahathir datang ke Ajil, 16 Mac depan.
“Jangan terlalu memikirkan siapa yang akan jadi calon untuk PRU14 kelak kerana mulai sekarang kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan.”

Ini kenyataan Timbalan Menteri KKMM, Datuk Jailani Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua PerhubunganUMNO Negeri Terengganu kelmarin menasihatkan seluruh ahli UMNO di Terengganu dan Hulu Terengganu supaya jangan terlalu fikir siapa calon PRU14.

Apa yang berlaku di Hulu Terengganu sehingga Jailani terpaksa menasihatkan pemimpin dan ahli UMNO Hulu Terengganu supaya tidak memikirkan isu calon?

Malah beliau menasihatkan UMNO Terengganu supaya mengubah cara kerja agar sentiasa terkini dan bersesuaian dengan kemahuan rakyat sekarang.

Apakah Jailani dan pemimpin UMNO Hulu Terengganu khususnya dan Terengganu amnya, kini bimbang dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke Terengganu 16 Mac ini?

Apakah kedatangan Dr Mahathir akan menyemarakkan lagi api perjuangan penduduk di Hulu Terengganu untuk berubah dan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Jailani kelmarin menyeru agensi di bawahnya agar lebih proaktif menjawab segala tohmahan tidak berasas dan isu negatif pihak pembangkang.

Menurutnya,  Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) haruslah pantas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

“Agensi ini merupakan kunci kepada kestabilan politik dan keharmonian negara kita. Serangan bertubi-tubi pembangkang tidak harus dibiarkan begitu sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat Hulu Terengganu kelmarin.

Beliau juga menyeru agar tidak terlalu memikirkan siapa yang akan jadi calon untuk PRU14 kelak kerana mulai sekarang kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan.

Apakah keadaan di Hulu Terengganu kini bekerja bukan dalam satu pasukan sehingga menyebabkan Jailani terpaksa mengingatkan demikian?

Umum tahu apa yang sedang berlaku di peringkat kepimpinan peringkat Parlimen apabila berlakunya ‘pelanggaran’ Jailani terhadap Ketua Bahagian UMNO yang juga Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Sudah bebaik atau bertautkan penyokong mereka?

Rakyat di Ajil juga tahu perselisihan antara ADUN sekarang, Ghazali Taib dengan bekas ADUN, Datuk Rosol Wahid.

Malah rakyat juga tahu kenapa Rosol yang dilantik sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM) tiba-tiba terpelanting daripada jawatan itu.

Angkara siapa dan kenapa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bertindak sedemikian terhadap Rosol?

Malu pun ada dan kecewa pun ada di kalangan penyokong Rosol gara-gara bos mereka diperlakukan sedemikian.

Di DUN Kuala Berang pula, banyak cerita dikaitkan dengan pemimpin di DUN berkenaan yang dikatakan mementingkan keluarga dan anak beranaknya.

Malah Tengku Putera dikhabarkan tidak akan bertanding lagi dalam PRU14 dan nama yang berslilih ganti dalam beberapa senari calon menunjukkan Tengku Putera bukan lagi pilihan UMNO Negeri.

Kecuali di Telemong, Datuk Rozi Mamat nampaknya tenang sedikit.

Sudah pasti kedatangan Dr Mahathir ke Pekan Ajil melalui program BICARA NEGARAWAN – BERANI BERUBAH akan menguji sejauh mana penduduk Hulu Terengganu dan sekitarnya termasuk Marang akan selama-lamanya menyorokkan diri daripada Parti Primbumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sedang berkembang pesat di Hulu Terengganu.

Dengan keadaan dalam UMNO Hulu Terengganu yang bergelora, kedatangan Dr Mahathir akan menyerlahkan sikap rakyat yang ‘meluat’ dengan apa yang sedang berlaku di daerah atau Parlimen itu.

Ini belum lagi ditambah dengan berbagai isu yang diperkatakan oleh penduduk di Hulu Terengganu membabitkan wakil rakyat mereka, dan tidak terkecuali Jailani dan Tengku Putera sendiri.


Bolehkah Jailani dengan kerjasama Tengku Putera, Ghazali serta Rosol menyekat api kemaraan pengaruh dan sokongan rakyat di Ajil dan Kuala Berang kepada parti ‘Bunga Raya’ itu?