Tuesday 28 March 2017

Iskandar Bukan Sekadar Memujuk Tetapi Jadi ‘Batu Api’....


Suara siapa yang Mohd Iskandar Jaafar (Ahli Dewan Undangan Negeri – ADUN – Jabi) bawa apabila mengatakan kerjasama antara parti UMNO dengan PAS penting bagi mempertahankan kedaulatan Islam dan bangsa Melayu di Malaysia.

Iskandar – yang namanya tenggelam timbul – dalam senarai calon yang ditularkan sejak beberapa bulan ke belakangan ini - semalam menganggap kerjasama antara dua parti yang mendominasi politik Terengganu itu amat diharapkan.

Katanya, kerjasama itu bagi mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan kerjasama di kalangan pemimpin di negeri ini, katanya.

Daripada kata-katanya itu jelas Iskandar sangat bimbang dengan kemaraan Pakatan pembangkang –  khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), AMANAH dan  PKR di Terengganu.

Malah dengan menyebut bahawa  PAS dan UMNO adalah dua parti yang telah berupaya memenangi hati rakyat di negeri ini sebagai tidak relevan lagi.

Kata-katanya, “Kalau sebut di Terengganu, datanglah parti mana pun rakyat akan ingat dua parti sahaja iaitu PAS dan UMNO,” hanya analogi yang tidak berpijhak di bumi nyata.

Mengatakan dua tiga parti lagi datang secara bermusim dan bukan berkepentingan untuk beri perkhidmatan kepada rakyat hanyalah propaganda UMNO.

Pastinya Iskandar akan menghadapi laluan sukar untuk pertahankan kerusinya kali ini walaupun mungkin berlaku pertandingan tiga penjuru.

UMNO Jabi bertelingkah sesama sendiri dengan nama bekas ADUN Jabi, Ramlan Ali kini turut disebut-sebut sebagai pangganti Iskandar yang menggambarkan kedudukan beliau kini tercabar.

Serangan dalaman akan menyulitkan Iskandar dan belum lagi serangan langsung dari PPBM, AMANAH dan PKR.

Jika pun PAS bertanding, Iskandar jangan anggap boleh menang mudah gara-gara tiga penjuru.

Tidak dinafikan sebelum ini hanya PAS dan UMNO kekal di dalam hati rakyat Terengganu khususnya Melayu Islam, termasuk di Jabi, namun suasana sudah jauh berubah.

Apakah bentuk kerjsama yang Iskandar maksudkan dengan PAS?

Beliau mengharapkan sokongan pengundi PAS dalam pilihan raya akan datang untuk memenangkannya sekali lagi di DUN  Jabi?

Bukankah PAS sendiri sudah mengatakan ia akan bertanding di DUN berkenaan dan akan menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

Apakah Iskandar cepat lupa bahawa “Kemenangan Jabi,Kunci ke Wisma Darul Iman” yang disebut oleh PAS pada 8 Januari 2016 apabila PAS menjadikan DUN Jabi sebagai sasaran untuk kemenangannya?


Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jabi Dr Azman Ibrahim menyeru para petugas tempatan agar melipatgandakan usaha bagi membantu PAS negeri merelisasikan kemenangan pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Sasaran kerja Unit Peti Undi Jabi Luar adalah berbeza dengan Unit Peti Undi yang lain. Kalau Peti Undi lain bekerja untuk mencapai kemenangan, UPU Jabi Luar bekerja untuk mempertahankan dan mempertingkatkan kemenangan, bagi membantu PAS negeri menawan Wisma Darul Iman,”ujarnya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Gerak Kerja UPU Jabi Luar dengan pada Jumaat, 8 Januari 2016.

Maknanya PAS sudah bersedia dan bukan mudah untuk PAS serahkan kerusi berkenaan.

Agaknya Iskandar semakin gusar kerana beliau menang di DUN Jabi pun dengan majoriti agak kecil  dan pastinya kerusi ini diintai oleh PAS.

Kata Iskandar ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di persidangan penggal kelima, Dewan Undangan Negeri ke-13, di Wisma Darul Iman pada hari kedua, semalam mempelawa PAS menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan BN dan UMNO.

Katanya, ini memandangkan kedua-duanya selari dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan agama Islam.

"Seburuk-buruk UMNO pun sebagaimana dakwaan pembangkang, parti inilah yang bantu rakyat dan parti ini jugalah yang kadang-kadang bantu juga pengikut PAS. Jadi apa salahnya dalam mewujudkan kerjasama dan perpaduan, turutlah kita, jangan bersendirian,” demikian katanya.

Iskandar bukan sekadar memujuk PAS tetapi menjadi ‘batu api’ apabila mendesak PAS memutuskan hubungannya dengan PKR.

Kata Iskandar: "Kalau di Pulau Pinang, PAS telah mengusulkan untuk memutuskan hubungan politik dengan parti komponennya sebelum ini (PKR), kita harap di Terengganu lapan bahagian Pas pun akan melakukan perkara sama.

“Marilah bersama-sama dengan kita. Insya-Allah," katanya.

Iskandar tidak payah puji PASlah kononnya parti itu kalau diibaratkan sebagai seorang wanita (janda), sangat laku. “Belum habis idah dah datang orang melamar,” katanya.

Boleh puji tetapi apakah PAS akan menerima lamarannya yang selama ini menjadi musuh ketat dan sering mencacinya?


Bermaruahkah PAS jika ‘menjilat kembali ludahnya’ di mana UMNO pernah dilabelkan sebagai kafir dan memang tidak boleh dipercayai. 

No comments:

Post a Comment