Sunday 19 March 2017

Tidak Sertai PPBM, Ahmad Said Tetap Mahu Jadi 'Singa UMNO'


Terang lagi bersuluh, hanya UMNO di hati Ahmad Said.

Tiada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tiada yang lain bagi dirinya.

Jangan sekali-kali cuba kaitkan diri Ahmad Said dengan parti lain. Mungkin dia terkhilaf sedikit kerana isytihar dirinya keluar UMNO pada Mei 2014.

Selepas menyepikan diri seketika apabila menyertai `perkasa, Ahmad Said muncul malam kelmarin dengan pendiriannya yang tegas.

Sebelum ini banyak spekulasi mengenainya sejak laporan media pada 13 Mei 2014, menyebut, beberapa jam selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada Isnin, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan keluar dari parti UMNO.

"Dimaklumkan bahawa saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta,” katanya sambil menegaskan mulai tarikh itu beliau adalah ADUN bebas.


Namun kemudiannya beliau buat U-Turn dan kembali kepada UMNO.

Perbuatan itu mungkin kerana emosi tetapi kini sudah stabil.

Kerana itu selepas tiga tahun, bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya kembali untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan berkelompok UMNO Bahagian Kemaman di Kemaman, malam semalam (Sabtu 18 Mac 2017).

Kepada yang masih mengharapkan Ahmad Said tidak usah berharaplah. Pintu sudah tertutup rapat bagi PPBM untuk Ahmad Said.

Juga yang masih bernostalgia dengan Ahmasd Said kononnya beliau akan menyertai PPBM lupakan semua itu.

Sah sudah Ahmad Said tidak bersama PPBM dan akan menjadi 'Singa UMNO'.

Selaku  Ketua UMNO Bahagian Kemaman, sebelum ini beliau hanya mewakilkan kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu.

Beliau melahirkan  kesyukuran kerana masih mendapat sokongan kuat daripada perwakilan berkelompok yang masih mahu beliau menerajui bahagian itu.

Beliau turut menegaskan akan terus bekerja keras memastikan kemenangan UMNO di negeri itu khususnya di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Ketika berucap tadi, saya tanya ahli UMNO Kemaman, mahu saya masih berada dalam UMNO atau di pihak pembangkang, ternyata mereka masih mahu saya memimpin UMNO Bahagian Kemaman.

"Inilah amanah dan suara perwakilan untuk kita memastikan UMNO tidak kalah lagi pada pilihan raya akan datang," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal.

Dr Ahmad Zahid di Kuala Terenggaanu, Jumaat lalu.
Ditanya mengenai pujian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai dirinya yang terus menyokong kepimpinan UMNO Terengganu yang kini dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meskipun terdapat perselisihan faham sebelum ini, beliau berkata:

"Prinsip saya mudah sahaja, jika orang berlembut dengan saya, saya akan lebih baik dengan mereka dan begitulah sebaliknya," katanya.

Mengulas mengenai senarai calon PRU14, Ahmad berkata beliau mahu UMNO Bahagian Kemaman memilih sendiri calon sesuai untuk memastikan kemenangan parti itu.

"Kami akan berbincang dahulu, bila sudah ada senarai. Saya akan usahakan untuk menyerahkannya sendiri kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya.

Senarai berkenaan akan diputuskan UMNO Bahagian Kemaman menerusi perbincangan yang akan dibuat dan selepas itu beliau sendiri akan berjumpa dengan Najib untuk berbincang mengenainya.

"Bila kita dapatkan senarai itu daripada perbincangan kita, saya akan berusaha untuk bertemu perdana menteri sendiri dan serahkannya.

"Saya tak nak orang buat spekulasi (mengenai senarai calon), buat pilihan macam-macam dan akhirnya ia akan menjejaskan parti apatah lagi dalam keadaan politik ketika ini," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian mesyuarat berkelompok cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Pejabat Umno Bahagian Kemaman, malam kelmarin.

Bagaimanapun setakat ini, Ahmad berkata, senarai nama calon itu masih belum dibincangkan jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding lagi dalam PRU14 nanti, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu komen apa-apa...tapi apa-apa boleh terjadi, dalam politik tak ada perkara mustahil," katanya.

Benar seperti kata Ahmad Said itu kerana beliau sendiri boleh keluar sekejab daripada UMNO dan kembali semula kemudiannya.


Dan sehingga kini tumpuan Ahmad Said hanya kepada UMNO.

No comments:

Post a Comment