Saturday, 4 March 2017

UMNO Hulu Terengganu Semakin Bergelora, PPBM Semakin Menyerlah?

Pemimpin PPBM dari bahagian penaja lain turut datang ke Hulu Terengganu bertemu pemimpin setempat menjelaskan tujuan Dr Mahathir datang ke Ajil, 16 Mac depan.
“Jangan terlalu memikirkan siapa yang akan jadi calon untuk PRU14 kelak kerana mulai sekarang kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan.”

Ini kenyataan Timbalan Menteri KKMM, Datuk Jailani Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua PerhubunganUMNO Negeri Terengganu kelmarin menasihatkan seluruh ahli UMNO di Terengganu dan Hulu Terengganu supaya jangan terlalu fikir siapa calon PRU14.

Apa yang berlaku di Hulu Terengganu sehingga Jailani terpaksa menasihatkan pemimpin dan ahli UMNO Hulu Terengganu supaya tidak memikirkan isu calon?

Malah beliau menasihatkan UMNO Terengganu supaya mengubah cara kerja agar sentiasa terkini dan bersesuaian dengan kemahuan rakyat sekarang.

Apakah Jailani dan pemimpin UMNO Hulu Terengganu khususnya dan Terengganu amnya, kini bimbang dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke Terengganu 16 Mac ini?

Apakah kedatangan Dr Mahathir akan menyemarakkan lagi api perjuangan penduduk di Hulu Terengganu untuk berubah dan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Jailani kelmarin menyeru agensi di bawahnya agar lebih proaktif menjawab segala tohmahan tidak berasas dan isu negatif pihak pembangkang.

Menurutnya,  Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) haruslah pantas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

“Agensi ini merupakan kunci kepada kestabilan politik dan keharmonian negara kita. Serangan bertubi-tubi pembangkang tidak harus dibiarkan begitu sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah sempena pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat Hulu Terengganu kelmarin.

Beliau juga menyeru agar tidak terlalu memikirkan siapa yang akan jadi calon untuk PRU14 kelak kerana mulai sekarang kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan.

Apakah keadaan di Hulu Terengganu kini bekerja bukan dalam satu pasukan sehingga menyebabkan Jailani terpaksa mengingatkan demikian?

Umum tahu apa yang sedang berlaku di peringkat kepimpinan peringkat Parlimen apabila berlakunya ‘pelanggaran’ Jailani terhadap Ketua Bahagian UMNO yang juga Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Sudah bebaik atau bertautkan penyokong mereka?

Rakyat di Ajil juga tahu perselisihan antara ADUN sekarang, Ghazali Taib dengan bekas ADUN, Datuk Rosol Wahid.

Malah rakyat juga tahu kenapa Rosol yang dilantik sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM) tiba-tiba terpelanting daripada jawatan itu.

Angkara siapa dan kenapa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bertindak sedemikian terhadap Rosol?

Malu pun ada dan kecewa pun ada di kalangan penyokong Rosol gara-gara bos mereka diperlakukan sedemikian.

Di DUN Kuala Berang pula, banyak cerita dikaitkan dengan pemimpin di DUN berkenaan yang dikatakan mementingkan keluarga dan anak beranaknya.

Malah Tengku Putera dikhabarkan tidak akan bertanding lagi dalam PRU14 dan nama yang berslilih ganti dalam beberapa senari calon menunjukkan Tengku Putera bukan lagi pilihan UMNO Negeri.

Kecuali di Telemong, Datuk Rozi Mamat nampaknya tenang sedikit.

Sudah pasti kedatangan Dr Mahathir ke Pekan Ajil melalui program BICARA NEGARAWAN – BERANI BERUBAH akan menguji sejauh mana penduduk Hulu Terengganu dan sekitarnya termasuk Marang akan selama-lamanya menyorokkan diri daripada Parti Primbumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sedang berkembang pesat di Hulu Terengganu.

Dengan keadaan dalam UMNO Hulu Terengganu yang bergelora, kedatangan Dr Mahathir akan menyerlahkan sikap rakyat yang ‘meluat’ dengan apa yang sedang berlaku di daerah atau Parlimen itu.

Ini belum lagi ditambah dengan berbagai isu yang diperkatakan oleh penduduk di Hulu Terengganu membabitkan wakil rakyat mereka, dan tidak terkecuali Jailani dan Tengku Putera sendiri.


Bolehkah Jailani dengan kerjasama Tengku Putera, Ghazali serta Rosol menyekat api kemaraan pengaruh dan sokongan rakyat di Ajil dan Kuala Berang kepada parti ‘Bunga Raya’ itu?

1 comment:

  1. Mohon teganukini.blogspot utk delete gmbr ni.. sy drpd ahli keluarga yg ada dlm gmbr ni..sblm sy report polis krn tidak meminta izin utk upload gmbr ni.

    ReplyDelete