Friday 30 September 2016

Benarkah Rakyat Akan Senang Jika PAS Perintah Terengganu?


“Realiti politik dan pembangunan semasa akan menjadi ‘bukti’ kepada rakyat untuk memilih BN atau PAS...kedua-dua pihak juga perlu menghapuskan apa sahaja persepsi buruk terhadap parti dan pemimpin."

Jangan jadikan kritikan ini sebagai ‘serangan’ sebaliknya ambillah ia sebagai rujukan untuk memperbaiki pentadbiran kerajaan Terengganu oleh Barisan Nasional (BN) negeri.

UMNO yang menjadi teras pentadbiran negeri sewajarnya menerima setiap pandangan secara terbuka dan Menteri Besar sebagai ketua eksekutif perlu memberi perhatian satu persatu.

Juga UMNO negeri sudah sewajarnya memikirkan apakah yang mahu’dijualnya’ kepada rakyat pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pas Terengganu semalam mendakwa bahawa rakyat Negeri Terengganu akan senang apabila kerajaan pemimpinan UMNO Terengganu dijatuhkan dalam PRU ke-14 nanti.

“isnsyaAllah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah (kiri) pada Forum Perdana di Program HARAP 3.4 yang diadakan di Pekan Kemasik pada 29 September 2016.

Kenyataan sebegini oleh pemimpin PAS seperti ini bukan sekali, malah semakin berkumandang akhir-akhir ini.

Sebab Mohd Nor berkata demikian ialah,  kononnya rakyat Terengganu kini dalam kesusahan dan kepayahan hidup.


Ia disebabkan oleh tadbirurus Kerajaan UMNO Terengganu yang tidak menfokuskan kepada isu-isu rakyat teramai.


Apakah ini bermakna kegagalan pentadbiran Menteri Besar sekarang? Apakah kerana Ahmad Razif Abdul Rahman semata-mata?


Menurut Mohd Nor, kebejatan ini khususnya dalam isu kos sara hidup yang semakin mencengkam dan isu peningkatan jumlah pengangguran yang disebabkan oleh penutupan operasi atau langkah-langkah mengurangkan tenaga kerja oleh syarikat- syarikat koperat besar dan kecil seperti PERWAJA, Eastern Steel dan sebagainya.

“PAS bersedia menawarkan penyelesaian isu-isu rakyat yang membelenggu penghidupan mereka.

“Oleh itu rakyat perlu bangkit menurunkan UMNO dari tampuk kuasa sekarang ini. Banyak lagi isu-isu rakyat yang tidak mendapat perhatian UMNO Terengganu seperti bayaran tol di LPT 2, hak milik telaga minyak, harga barang yang terus naik dan sebagainya,”jelasnya

Mohd Nor tidak menjelaskan dan menyimpannya sebagai rahsia parti.  Mungkin selepas menang atau memerintah  barulah akan mendedahkannya?

Biarkan PAS berahsia terlebih dahulu. Cumanya jangan berahsia selama-lamanya.

Apapun rakyat tetap mahu tahu apa langkah sebenar yang akan diambil oleh PAS, sekurang-kurangnya butiran kasar, bukan secara umum atau ‘pukul rata’.

Bernostalgia dengan pemerintahan lima tahun 1999-2004 lalu Mohd Nor semalam,  berkata ketika pemerintahannya berbagai-bagai rancangan untuk rakyat telah dilaksanakan seperti penutupan bayaran tol di Jambatan Sultan Ismail, bebas cukai pintu, pemberian geran tanah, pemberian tanah, pemberian RM1,000 kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian di IPTA/IPTS dan banyak lagi jika mahu disenarai panjangkan.

“Itupun dalam keadaan penafian hak royati minyak oleh kerajaan pusat. Ini menunjukkan bahawa PAS mampu pentadbir negeri lebih cemerlang daripada UMNO,”tambahnya.

Di sinilah UMNO perlu ada senarai panjang juga.

PAS menepuk dada mengenai apa yang dilaksanakannya selama lima tahun dana pa pula program UMNO sejak 2004 hingga sekarang?

UMNO Terengganu tidak boleh memaparkan apa yang dilakukan sejak 2014 hingga kini sahaja kerana mengikut rekod pencapaian sebelum ini di bawah Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said, banyak perkara yang berfaedah untuk rakyat tealh dilaksanakan.

Pentadbiran UMNO  sekarang jangan bermain politik untuk perkara sebgini. Rekod BN perlu ditonjolkan untuk ‘bersemuka dengan PAS’.

Tunjukkan kepada rakyat siapa lebih berjasa dan berbakti kepada rakyat.

Mohd Nor mengakhiri ucapannya dengan menyeru agar semua lapisan rakyat Terengganu menyokong PAS dalam PRU akan datang ini untuk menikmati hak – hak mereka yang sepatutnya mereka terima.

Mengulas ucapan Mohd itu  moderator forum , ADUN Tepoh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyatakan, begitu besar harapan rakyat Terengganu agar PAS Terengganu berjaya ke Wisma Darul Iman selepas PRU14 nanti.

“Inilah di antara mengapa PAS Terengganu mengadakan Program HARAP bagi menyebar luas maklumat-maklumat terkini kepada seluruh lapisan rakyat Terengganu agar pada PRU ke-14 nanti rakyat Terengganu menolak UMNO,”terang beliau.

itu harapan semata-mata tetapi di tangan rakyat sama ada mereka akan mempercayai apa yang dikatakan oleh PAS atau UMNO.

Yang penting selain harapan, realiti politik dan pembangunan semasa akan menjadi ‘bukti’ kepada rakyat untuk memilih BN atau PAS.

Selain itu, kedua-dua pihak juga perlu menghapuskan apa sahaja persepsi buruk terhadap parti dan pemimpin mereka. Masa masih ada untuk melakukannya.

Hakikatnya bukan mdah untuk mengajak rakyat memilih PAS hanya melalui ‘laungan atas pentas’ dan tidak mudah juga untuk PAS memujuk rakyat menukar kerajaan BN dan UMNO yang ada.

Sudah tiga pilihan raya iaitu 2004, 2008 dan 2013 rakyat pilih BN.

PAS harapkan cubaan keempat ini berpihak kepadanya. Apakah rekod cemerlang BN/UMNO itu akan dapat disekat oleh PAS?

Rakyat Terengganu bijak untuk menukar atau mengekalkan kerajaan.

Jika trauma di bawah PAS antara 1999 hingga 2004 masih kekal di dalam diri rakyat, PAS akan sukar menggugat BN dan UMNO. Jawapnya program HARAP itu akan menyebabkan rakyat hanya berharap!!!

Namun sekiranya PAS berjaya menawarkan program dan rancangan pembangunan yang lebih baik dalam keadaan yang ‘sengsara’ seperti dikatakan Mohd Nor, peluang PAS tetap ada! 

Saturday 24 September 2016

Surat Kepada Najib – ‘Apakah Terengganu Tidak Berdaulat Seperti Sarawak?”

 

Oleh DR SYED AZMAN SYED AHMAD
ADUN Batu Burok, Terengganu

Ke hadapan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.
Assalamualaikum wmt wbt,

Saya sentiasa mendokan Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Semoga Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Warkah ini saya nukilkan kepada Datuk Seri di tengah keheningan kita menyambut detik kemerdekaan negara tercinta Malaysia. Semoga negara dan rakyat Malaysia juga sentiasa mendapat kerahmatan dan perlindungan daripada Yang Maha Berkuasa.

Datuk Seri,

Saya sebagai anak Terengganu warga Malaysia amat terpanggil untuk mengutuskan surat terbuka ini kepada Datuk Seri apabila saya membaca kenyataan rasmi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri bersama dengan CEO Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin di pejabat perdana menteri di Putrajaya beberapa hari yang lepas.

Pertemuan itu diadakan setelah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan kerajaan negeri membeku semua permohonan baru permit kerja kakitangan Petronas dari luar Sarawak khususnya semenanjung yang berkuat kuasa serta-merta.

Apa yang menarik perhatian saya adalah tujuh rangka ‘amicable agreements’ yang telah termeterai antara Datuk Seri sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Adenan dan pihak Petronas sendiri.

1.      Antaranya adalah:

2.      Pelantikan anak tempatan Sarawak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas yang bakal diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

3.      Sebanyak 192 jawatan kosong dalam syarikat itu pada masa sekarang akan diiklankan dalam akhbar tempatan dan diisi oleh rakyat Sarawak. Pihak Petronas perlu berunding dengan kerajaan negeri jika anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.

4.      Petronas juga akan menyediakan 50 tempat untuk anak Sarawak melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas, memberi latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih kemasukan untuk rakyat Sarawak di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.

5.      Petronas juga komited menyokong dua industri petrokimia yang kini di peringkat akhir rundingan serta menyokong industri petrokimia dan hiliran lain secara joint study dengan kerajaan Sarawak.

6.      Petronas bersama kerajaan pusat akan mempertimbangkan hasrat kerajaan Sarawak untuk terlibat dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri.

7.      Menerima pelan kerja Petronas untuk meningkatkan jumlah pekerja di kalangan anak Sarawak dalam bahagian pengurusan, pengurus, eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020. Ianya adalah seperti berikut:

·       
Pengurusan: Daripada 33 peratus kepada 60 peratus

·        Pengurus: Daripada 41 peratus kepada 60 peratus

·        Eksekutif: Dariada 48 peratus kepada 75 peratus

·        Bukan eksekutif: Daripada 65 peratus kepada 95 peratus

·        Tuntutan kerajaan Sarawak memohon royalti minyak dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus. Perkara tersebut akan dibincangkan kemudian.

Datuk Seri,

Syabas saya ucapkan kepada ketua menteri Sarawak serta seluruh rakyat negeri itu. Namun setelah meneliti terma 7 amicable agreements ini, saya sebagai anak Terengganu berasa amat tercabar dengan perkembangan terbaru ini.

Namun berbanding dengan Sarawak, kami di Terengganu kini telah kehilangan segala hak kami!

Kebanyakan rakyat Terengganu pula terpaksa berhadapan dengan kekangan hidup yang amat perit sedangkan negeri ini merupakan pengeluar minyak dan pernah dikenali sebagai ‘Kuwait Malaysia’.

Kemelut ekonomi Terengganu juga sedang membelit seluruh kehidupan rakyat sehingga ke pundak.

Rakyat Terengganu - khususnya anak muda - ramai tiada sumber pekerjaan tetap termasuk mahasiswa yang menjadi penganggur.

Untuk makluman Dato Seri, bermula dari 1978, di bawah fasal 2 Perjanjian Royalti seperti yang telah dipersetujui oleh semua pihak, kerajaaan Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran sulungnya sebanyak RM5.7 juta daripada Petronas.

Perjanjian ini adalah seperti dikehendaki Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang telah diluluskan kerajaan pimpinan ayahnda Datuk Seri, Tun Abdul Razak Hussein di Parlimen pada 15 November 1974.

Almarhum menegaskan bahawa: “Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerimaa 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual Petronas atau agensi atau kontraktornya.”

Malangnya, pembayaran wang royalti secara tunai kepada Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan "wang ehsan" yang dikendalikan terus oleh pusat.

Lebih malang lagi Petronas juga memaklumkan secara rasmi pada 25 September 2015 bahawa: “Petronas tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada Terengganu di bawah Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu”.

Ini berdasarkan terma di dalam negeri bahawa "kerajaan Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil wang royalti kerana segala penemuan telaga minyak adalah di luar tiga batu nautika yang diukur dari garis air surut persisiran pantai negeri”.

Menurut tafsiran diatas, kerajaan Terengganu kini tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak di perairan negeri. Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di perairan Terengganu bukan lagi menjadi milik 'sah' kerajaan Terengganu kerana kedudukannya di luar dari tiga batu nautika.

Datuk Seri,

Negeri Terengganu telah meyumbangkan hasil minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan sejak hampir 40 tahun dengan pengeluaran hasil bernilai ratusan bilion ringgit untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara kita cintai ini.

Hal ini dilakukan oleh kerajaan negeri dengan penuh beramanah mengambil semangat perjanjian bersama yang telah ditandatangani pada 1975.

Namun, apakah wajar royalti sebanyak 5 peratus yang diterima kerajaan Terengganu dari 1978 hingga kini terbatal sepenuhnya dan dianggap sebagai "ihsan" dan "dana khas" daripada kerajaan persekutuan?


Apakah wajar perjanjian royalti minyak antara kerajaan negeri dengan persekutuan dan Petronas yang ditandatangani sejak 1975 juga sudah dianggap sebagai terbatal?

Lebih malang lagi, telaga minyak Bertam Blok PM 307 yang ditemui dan sah terletak di perairan Terengganu baru-baru ini kini 'diserah' sepenuhnya kepada kerajaan Pahang.

Malah, Lundin Oil yang merupakan syarikat cari gali berpengkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja cari gali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali mengesahkan bahawa Bertam Blok PM 307 ini terletak diperairan Terengganu.

Datuk Seri,

Di manakah - kami sebagai rakyat Terengganu - mahu meletakkan maruah dan harga diri kami sebagai rakyat Malaysia jika kami boleh diperlakukan sedemikian rupa?

Apakah Terengganu tidak berdaulat seperti Sarawak yang kini mendapat segala hak mereka?

Saya sebagai anak Terengganu ingin menegaskan kepada Datuk Seri sebagai perdana menteri agar mengkaji kembali kedudukan kami di negeri ini. Kita sama-sama mengamalkan sistem persekutuan yang menjadi asas penubuhan Malaysia dan Terengganu adalah sebahagian daripadanya.

Adalah wajar - dengan perkembangan terbaru ini - Terengganu juga di berikan amicable agreements seperti yang termeterai antara Datuk Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia, Petronas dan kerajaan Sarawak.

Saya mewakili seluruh warga dan rakyat Terengganu menuntut 10 perkara asas amicable agreements agar dapat dipersetujui dengan kerajaan negeri Terengganu, iaitu:

1.      Mengembalikan royalti minyak kepada Terengganu bersesuaian dengaan perjanjian asal di bawah Fasal 2 Perjanjian Royalti yang ditandatangani di antara kerajaan Terengganu, persekutuan dan Petronas pada 1975.

2.      Melantik anak tempatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas seperti yang dipersetujui dengan Sarawak.

3.      Mengiklan dan mengisi sebarang kekosongan jawatan dalam syarikat itu - khususnya di Terengganu - dengan rakyat Terengganu. Pihak Petronas juga perlu berunding dengan kerajaan negeri jika ada calon anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.

4.      Petronas juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya 100 tempat untuk anak Terengganu melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas setiap tahun. Mereka perlu juga memberi latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih banyak kemasukan untuk rakyat negeri ini di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.

5.      Petronas juga perlu komited menyokong sebarang pembangunan dan industri petrokimia serta hiliran lain secara joint study dengan mana-mana syarikat Terengganu serta kerajaan negeri.

6.      Petronas bersama kerajaan pusat juga perlu mempertimbangkan sekiranya kerajaan Terengganu berminat untuk terlibat dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri ini.

7.      Mengkaji pelan kerja Petronas untuk meningkatkan jumlah pekerja di kalangan anak Terengganu dalam bahagian pengurusan, pengurus, eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020.

8.      Mengembalikan kesemua wang royalti Terengganu yang berjumlah RM1.5 bilion yang telah digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk perlaksanaan beberapa projek pembangunan di negeri lain.

9.      Mengembalikan hak telaga minyak Bertam Blok 307 kepada kerajaan negeri dengan kadar segera.

10.   Mengkaji tuntutan agar kerajaan Terengganu juga dipertimbangkan permohonan royalti minyak dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus. Perkara ini juga boleh dibincangkan bersama dengan kerajaan Sarawak kemudian.


Datuk Seri,

Terengganu kini seolah-olah berhadapan di medan perang tanpa pejuang dan perajuritnya mati tanpa kuburan.

Siapa lagi yang kita harapkan boleh membela kehidupan rakyat seluruhnya terutama golongan marhaen kecuali seorang pemimpin yang merdeka jiwanya, denyut nadinya adalah jiwa rakyat jelata yang perlu dibela!

Sekali lagi saya sebagai anak Terengganu memohon dengan jari sepuluh kepada Datuk Seri agar tuntutan yang mewakili seluruh rakyat Terengganu - tanpa mengira apa jua fahaman politik serta kaum - ini dipertimbangkan dengan kadar segara.

Seperti rakyat Sarawak, kami juga anak Malaysia yang cintakan negeri dan negara ini. Kami mendesak agar hak dan maruah kami sebagai rakyat Terengganu terus terbela dan diberikan perhatian segera.

Sekian, wassallam.

Tuesday 20 September 2016

Muslimat Digerakkan Sebagai Pemacu Kemenangan PAS Di Terengganu


Pada ketika Wanita dan Puteri UMNO Terengganu sedang menyepikan diri, Muslimat PAS Terengganu pula giat mempersipakan diri menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Malah mereka mungkin sedang membuat persediaan dalam pelbagai bidang termasuk kemungkinan hasil persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Muslimat PAS Terengganu menganggap persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR itu menampakkan dengan jelas penipuan Barisan Nasional dalam kerja-kerja untuk memenangi pilihanraya akan datang.

Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu Hajah Zarani Othman berkata kesemua tindakan SPR yang yang tidak masuk akal itu adalah semata mata untuk menyekat kemenangan PAS di Terengganu.

Berikutan itu, Muslimat perlu untuk terus meningkatkan semangat kerja selain mengambil peluang yang ada daripada pergolakan UMNO Terengganu untuk terus menarik undi PAS pada PRU-14.

Dilaporkan kompleks Tarbiyyah At Taqwa (Komtaq) menerima kehadiran seramai hampir 500 orang ahli Muslimat semua peringkat dalam program “Pelancaran Jentera Pilihanraya Muslimat Negeri Terengganu” baru-baru ini.

Noraini cabar Muslimat PAS supaya berkorban.
Pengarah Pilihanraya Muslimat Negeri Terengganu Hajah Shamsiah Abu Bakar berkata dalam ucapan aluannya, “Muslimat berperanan sama ada secara individu ataupun berorganisasi dalam memacu kemenangan PAS pada pilihanraya akan datang.

“Pengundi remaja Halwa perlu di dekati kerana mereka adalah sebahagian dari sasaran kemenangan dan semua peringkat perlu mengemaskini organisasi masing masing.”

Zarani pula mengatakan, “Muslimat adalah berkewajipan memilih pemimpin yang amanah, di samping perlu untuk terus memacu tugas dalam memikul amanah Allah tanpa mencipta berbagai alasan.”

Pengarah Pilihan Raya Negeri Terengganu YB Ariffin Deraman ketika menyampaikan penerangan semasa berkenaan pilihanraya akan datang berpendapat Muslimat sudah sinonim dengan kerja kerja memancing undi dan Muslimat boleh menjadi pemangkin kemenangan.


“Jangan sekadar gagah di lokaliti ataupun cawangan kita, Muslimat jangan sekadar jadi jaguh kampung tetapi perlu bersedia dan bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya yang makin hampir,

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Terengganu,  Haji Yahya Ali pada ucapan perasmian berkata tanggungjawab kepada parti adalah tanggungjawab kepada Allah, kerana itu setiap diantara kita perlu memiliki sifat-sifat seperti yang di tunjukkan Muhammad Al Fateh.

Kemuncak program menyaksikan lontaran taujihat dari Pengarah Pilihan Raya Muslimat Malaysia. Hajah Noraini Hussin membuat cabaran bahawa jika muslimat semua tidak sanggup untuk berkorban,maka kerugian akan di kecapi oleh diri kita sendiri.

“Medan perjuangan PAS adalah gedung pahala dan kita memerlukan PAS sebagai jalan ataupun wadah menuju Allah SWT,” tegasnya.

Program berakhir dengan penyampaian watikah kepada pengarah pilihanraya muslimat kawasan kawasan dan ketua Halwa Dewan Undangan Negeri serta majlis bacaan ikrar dan mengangkat ‘Playcard’ RUU 355 sebagai sokongan kepada Presiden.

Program ini diadakan khusus bagi memantapkan jentera pilihanraya, sebagaimana amanat mantan bekas ketua Muslimat, Almarhumah Safinah Jusoh.

Sunday 18 September 2016

Najib Mungkin Tukar Empat Menteri Besar, Termasuk Terengganu..


Spekulasi terbaharu menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan membuat 'perubahan' Menteri Besar di Terengganu untuk memastikan Brasian Nasional (BN) kekal berkuasa.

Selain Terengganu, Menteri Besar baharu juga bakal dilantik di Pahang, Negeri Sembilan dan Kedah.

Akhbar berbahasa Inggeris The Star  menyebut, pertukaran akan dibuat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan datang.

Memetik sumber, The Star berkata, perubahan yang akan dilakukan sebagai menampilkan kepimpinan baharu untuk menerajui negeri tersebut.

Ini bermakna, pertukaran dibuat sebelum PRU-14 dan jentera pilihan raya Bn di empat negeri berkenaan mungkin akan dipimpin oleh orang baharu.

Namun The Star yang dipetik Malaysiakini tidak pula menyebut apakah BN akan mampu bertahan di empat negeri berkenaan, khususnya Terengganu dan Kedah.

Kedudukan Menteri Besar Terengganu menjadi kontroversi sejak dua tahun lepas apabila ada gerakan daripada dalam UMNO sendiri yang mahu beliau ditukar.

Ahmad Razif Abdul Rahman ‘diserang’ depan dan belakang iaitu oleh pemimpin kerajaan dan pembangkang yang dianggap lemah dalam soal pentadbiran parti dan kerajaan.

Akibatnya, sebagai mencari penyelesaian terakhir, Najib mengadakan pertemuan dua mata dengan setiap Ahli Dewan Undangan (ADUN) BN baru-baru ini.

Sejauh ini belum diumumkan hasil pertemuan itu, walaupun Najib meminta pemimpin dan rakyat Terengganu menyerahkan kepada beliau menyelesaikan kemelut politik Terengganu.

Spekulasi mengenai perubahan dalam jentera kerajaan UMNO semakin hangat selepas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini berkata mungkin tidak akan mempertahankan kerusi DUN Pelangai yang telah disandangnya sejak 1986.

Adnan...tidak pertahanan kerusi.
Adnan membuat kenyataan itu beberapa hari selepas dia mengejutkan Dewan DUN dengan meletakkan 'pen di antara jari di kakinya' bagi menolak khabar angin kononnya beliau tidak sihat.

Di Kedah pula, The Star melaporkan, perancangan Najib untuk menukar menteri besar itu ekoran kesihatan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kerap ke hospital.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan, Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamad Hasan turut mempunyai masalah kesihatan ketika beliau dikatakan sakit semasa menghadiri Mesyuarat Agung Umno bahagian Rembau.


"Perdana Menteri perlu pemimpin baru untuk menerajui jentera di negeri tersebut," kata sumber itu yang dipetik oleh The Star sebagai berkata.