Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Friday, 30 September 2016

Benarkah Rakyat Akan Senang Jika PAS Perintah Terengganu?


“Realiti politik dan pembangunan semasa akan menjadi ‘bukti’ kepada rakyat untuk memilih BN atau PAS...kedua-dua pihak juga perlu menghapuskan apa sahaja persepsi buruk terhadap parti dan pemimpin."

Jangan jadikan kritikan ini sebagai ‘serangan’ sebaliknya ambillah ia sebagai rujukan untuk memperbaiki pentadbiran kerajaan Terengganu oleh Barisan Nasional (BN) negeri.

UMNO yang menjadi teras pentadbiran negeri sewajarnya menerima setiap pandangan secara terbuka dan Menteri Besar sebagai ketua eksekutif perlu memberi perhatian satu persatu.

Juga UMNO negeri sudah sewajarnya memikirkan apakah yang mahu’dijualnya’ kepada rakyat pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pas Terengganu semalam mendakwa bahawa rakyat Negeri Terengganu akan senang apabila kerajaan pemimpinan UMNO Terengganu dijatuhkan dalam PRU ke-14 nanti.

“isnsyaAllah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah (kiri) pada Forum Perdana di Program HARAP 3.4 yang diadakan di Pekan Kemasik pada 29 September 2016.

Kenyataan sebegini oleh pemimpin PAS seperti ini bukan sekali, malah semakin berkumandang akhir-akhir ini.

Sebab Mohd Nor berkata demikian ialah,  kononnya rakyat Terengganu kini dalam kesusahan dan kepayahan hidup.


Ia disebabkan oleh tadbirurus Kerajaan UMNO Terengganu yang tidak menfokuskan kepada isu-isu rakyat teramai.


Apakah ini bermakna kegagalan pentadbiran Menteri Besar sekarang? Apakah kerana Ahmad Razif Abdul Rahman semata-mata?


Menurut Mohd Nor, kebejatan ini khususnya dalam isu kos sara hidup yang semakin mencengkam dan isu peningkatan jumlah pengangguran yang disebabkan oleh penutupan operasi atau langkah-langkah mengurangkan tenaga kerja oleh syarikat- syarikat koperat besar dan kecil seperti PERWAJA, Eastern Steel dan sebagainya.

“PAS bersedia menawarkan penyelesaian isu-isu rakyat yang membelenggu penghidupan mereka.

“Oleh itu rakyat perlu bangkit menurunkan UMNO dari tampuk kuasa sekarang ini. Banyak lagi isu-isu rakyat yang tidak mendapat perhatian UMNO Terengganu seperti bayaran tol di LPT 2, hak milik telaga minyak, harga barang yang terus naik dan sebagainya,”jelasnya

Mohd Nor tidak menjelaskan dan menyimpannya sebagai rahsia parti.  Mungkin selepas menang atau memerintah  barulah akan mendedahkannya?

Biarkan PAS berahsia terlebih dahulu. Cumanya jangan berahsia selama-lamanya.

Apapun rakyat tetap mahu tahu apa langkah sebenar yang akan diambil oleh PAS, sekurang-kurangnya butiran kasar, bukan secara umum atau ‘pukul rata’.

Bernostalgia dengan pemerintahan lima tahun 1999-2004 lalu Mohd Nor semalam,  berkata ketika pemerintahannya berbagai-bagai rancangan untuk rakyat telah dilaksanakan seperti penutupan bayaran tol di Jambatan Sultan Ismail, bebas cukai pintu, pemberian geran tanah, pemberian tanah, pemberian RM1,000 kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian di IPTA/IPTS dan banyak lagi jika mahu disenarai panjangkan.

“Itupun dalam keadaan penafian hak royati minyak oleh kerajaan pusat. Ini menunjukkan bahawa PAS mampu pentadbir negeri lebih cemerlang daripada UMNO,”tambahnya.

Di sinilah UMNO perlu ada senarai panjang juga.

PAS menepuk dada mengenai apa yang dilaksanakannya selama lima tahun dana pa pula program UMNO sejak 2004 hingga sekarang?

UMNO Terengganu tidak boleh memaparkan apa yang dilakukan sejak 2014 hingga kini sahaja kerana mengikut rekod pencapaian sebelum ini di bawah Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Seri Ahmad Said, banyak perkara yang berfaedah untuk rakyat tealh dilaksanakan.

Pentadbiran UMNO  sekarang jangan bermain politik untuk perkara sebgini. Rekod BN perlu ditonjolkan untuk ‘bersemuka dengan PAS’.

Tunjukkan kepada rakyat siapa lebih berjasa dan berbakti kepada rakyat.

Mohd Nor mengakhiri ucapannya dengan menyeru agar semua lapisan rakyat Terengganu menyokong PAS dalam PRU akan datang ini untuk menikmati hak – hak mereka yang sepatutnya mereka terima.

Mengulas ucapan Mohd itu  moderator forum , ADUN Tepoh Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyatakan, begitu besar harapan rakyat Terengganu agar PAS Terengganu berjaya ke Wisma Darul Iman selepas PRU14 nanti.

“Inilah di antara mengapa PAS Terengganu mengadakan Program HARAP bagi menyebar luas maklumat-maklumat terkini kepada seluruh lapisan rakyat Terengganu agar pada PRU ke-14 nanti rakyat Terengganu menolak UMNO,”terang beliau.

itu harapan semata-mata tetapi di tangan rakyat sama ada mereka akan mempercayai apa yang dikatakan oleh PAS atau UMNO.

Yang penting selain harapan, realiti politik dan pembangunan semasa akan menjadi ‘bukti’ kepada rakyat untuk memilih BN atau PAS.

Selain itu, kedua-dua pihak juga perlu menghapuskan apa sahaja persepsi buruk terhadap parti dan pemimpin mereka. Masa masih ada untuk melakukannya.

Hakikatnya bukan mdah untuk mengajak rakyat memilih PAS hanya melalui ‘laungan atas pentas’ dan tidak mudah juga untuk PAS memujuk rakyat menukar kerajaan BN dan UMNO yang ada.

Sudah tiga pilihan raya iaitu 2004, 2008 dan 2013 rakyat pilih BN.

PAS harapkan cubaan keempat ini berpihak kepadanya. Apakah rekod cemerlang BN/UMNO itu akan dapat disekat oleh PAS?

Rakyat Terengganu bijak untuk menukar atau mengekalkan kerajaan.

Jika trauma di bawah PAS antara 1999 hingga 2004 masih kekal di dalam diri rakyat, PAS akan sukar menggugat BN dan UMNO. Jawapnya program HARAP itu akan menyebabkan rakyat hanya berharap!!!

Namun sekiranya PAS berjaya menawarkan program dan rancangan pembangunan yang lebih baik dalam keadaan yang ‘sengsara’ seperti dikatakan Mohd Nor, peluang PAS tetap ada! 

Monday, 27 June 2016

Wakil Rakyat Bermusim Tidak Jamin Kemenangan BN


Wakil rakyat ‘bermusim’ yang hanya datang ‘menjenguk’ rakyat ketika menjelang pilihan raya tidak mampu menjamin kemenangan BN pada PRU14.

Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Terengganu, DatukHarun Hassan berkata, wakil rakyat perlu benar-benar berkhidmat kerana perkhidmatan mereka memberi pengaruh besar untuk memastikan rakyat kembali memilih BN pada PRU akan datang.

Bagaimanapun katanya, jika seseorang wakil rakyat tidak menunjukkan prestasi baik dan cemerlang, mereka sudah tentu dinilai rakyat dan berkemungkinan besar rakyat tidak lagi memberi undi kepada calon terbabit.

“Kalau wakil rakyat itu hanya datang lima tahun sekali, rakyat akan ukurlah. Kalau pilih (calon sama), alamat kalah. Siapa yang hendak wakil rakyat macam itu. Kalau awak (wakil rakyat) mahu bersenang-lenang, rakyat akan hukum awak,” katanya kepada Sinar Harian, di Kual Terengganu.

Melalui pemerhatiannya terhadap wakil rakyat BN di negeri ini, Harun yang juga bekas Adun Air Putih mengakui tiada istilah bermusim terhadap mana-mana wakil rakyat dari parti kerajaan.

Jelasnya, wakil rakyat BN di Terengganu menjaga imej dan penampilan parti melalui khidmat yang baik selaku wakil rakyat yang telah diamanahkan untuk memimpin kawasan masing-masing pada PRU lalu.

“Wakil rakyat yang buat kerja lima tahun sekali tiada di sini. Kalau lihat wakil rakyat BN sering kita tengok turun padang. Tiada wakil rakyat bermusim,” katanya.

Apa yang penting katanya, khidmat yang baik daripada seseorang wakil rakyat biasanya akan membuahkan keputusan yang baik.

Dalam masa sama, beliau turut memberitahu peribadi wakil rakyat turut dijadikan ukuran dan memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan berterusan rakyat serta tidak menolak sikap mereka yang benar-benar ikhlas berkhidmat akan meyakinkan rakyat memberi undi kepada BN.  
“Wakil tiada bermusim. Mana ada hari cuti sama ada Jumaat atau Sabtu, sama ada malam atau siang. Itu berdasarkan pengalaman saya.

Kadang-kadang kalau kita balik tengah malam atau pukul dua tiga pagi pun masih ada lagi orang ketuk pintu untuk berurusan. Sebagai wakil rakyat kita berkhidmat,” katanya.

Friday, 19 April 2013

Ku Li Tak Makan Dipujuk Untuk Sertai Pembangkang, Setia Dengan UMNO

"Rakyat sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat."
- Tengku Razaleigh Hamzah

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan terus berjuang dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan janjinya untuk membela rakyat tercapai.

Beliau menolak spekulasi yang menuduh beliau akan menyertai pembangkang khususnya Pas menjelang pilihan raya umum Ke-13, pada 5 Mei depan.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai parti pembangkang khususnya Pas dan akan tetap bersama Umno dan BN sepanjang masa kerana parti itu sudah sebati dalam hidup saya

 "Perjuangan saya dalam parti ini bukan baru, malah sejak saya muda lagi sampai ke tua hari ini masih tetap bersama Umno," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wangi di Gua Musang hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof.

Tengku Razaleigh yang diumumkan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang berkata, niatnya berjuang dalam Umno dan BN adalah ikhlas untuk membela nasib hidup rakyat tanpa mengejar jawatan.

"Saya menerima untuk dicalonkan semula bertanding kerusi BN Parlimen Gua Musang kerana saya masih mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat serta keadaan diri saya masih sihat," katanya.

Semalam. beliau menyatakan yakin dapat mempertahankan kerusi kawasan Parlimen Gua Musang berikutan rakyat masih menyokongnya serta kepercayaan yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana Menteri mahu saya terus kekal menjadi calon di Parlimen Gua Musang, dengan harapan saya menggunakan pengaruh saya bagi memastikan kemenangan BN di Kelantan," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Star di Gua Musang semalam.

Tengku Razaleigh, 76, yang juga Pengerusi BN Gua Musang berkata pada mulanya beliau merasa mahu menarik diri daripada menjadi calon kerana menganggap usianya sudah tua dan hanya beliau seorang sahaja pemimpin veteran Umno yang bertanding.

Bagaimanapun disebabkan permintaan Perdana Menteri, beliau akan terus memikul tanggungjawab dengan harapan rakyat di Gua Musang terus memberi sokongan kuat kepadanya, katanya.

"Bukan saya sahaja, tetapi juga untuk tiga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Paloh dan Galas.

"Mereka (rakyat) sudah merasai pelbagai pembaharuan dan kemajuan yang dilaksanakan kerajaan menerusi khidmat wakil rakyat BN terbabit. Kita juga boleh meneruskan agenda pembangunan yang dirancangkan apabila terus kekal mendapat mandat rakyat," katanya.

Pada majlis hari ini, Tengku Razaleigh berkata rakyat di kawasan itu masih memberi sokongan kuat kepadanya untuk terus memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum ini dan berjanji akan memberi khidmat lebih terbaik bagi kemajuan rakyat.

"Terserahlah kepada penduduk sendiri untuk membuat penilaian mengenai segala khidmat yang dicurahkan selama ini dan mungkin selepas ini akan banyak lagi perubahan akan dilakukan untuk mencapai hasrat menjadikan Gua Musang bandar maju," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh menang dengan majoriti 4,394 undi mengalahkan calon Pas Zulkefli Mohamed.

Ahli Parlimen Gua Musang itu yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen yang disandangnya kini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Tengku Razaleigh berkata, beliau turut menjangkakan yang positif terhadap tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Gua Musang untuk membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

Mengenai kempen pada PRU-13, beliau seperti biasa akan menggunakan pendekatan sama yang digunakannya dalam pilihan raya-pilihan raya terdahulu.

"Saya akan bertemu dengan rakyat berdasarkan pemahaman dan keperluan," katanya ketika ditemui di sini, Khamis. Tengku Razaleigh berkata, beliau mempunyai jentera parti BN yang kuat dalam bersama-sama mengadakan kempen pada PRU-13.

"Orang-orang saya (jentera parti) akan turut sama menyertai mereka," katanya mengenai corak kempen beliau yang memperlihat kekuatan sepasukan bagi memenangi hati pengundi sekali gus membantu menyumbang kepada kemenangan BN.

Nyata fokus dan cara berhemah dalam berkempen oleh Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat mulai 1969 menerima sokongan kuat rakyat terhadap corak kepimpinan di Parlimen Gua Musang.

Malah ketokohan Tengku Razaleigh sebagai pencetus pembangunan Gua Musang merupakan antara faktor utama kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

.