Oleh DR SYED AZMAN SYED AHMAD
ADUN Batu Burok, Terengganu
Ke hadapan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib
Razak.
Assalamualaikum wmt wbt,
Saya sentiasa mendokan Datuk Seri berada dalam keadaan
sihat dan tenang. Semoga Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan
daripada Allah SWT.
Warkah ini saya nukilkan kepada Datuk Seri di tengah
keheningan kita menyambut detik kemerdekaan negara tercinta Malaysia. Semoga
negara dan rakyat Malaysia juga sentiasa mendapat kerahmatan dan perlindungan
daripada Yang Maha Berkuasa.
Datuk Seri,
Saya sebagai anak Terengganu warga Malaysia amat terpanggil untuk mengutuskan surat terbuka ini kepada Datuk Seri apabila saya membaca kenyataan rasmi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri bersama dengan CEO Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin di pejabat perdana menteri di Putrajaya beberapa hari yang lepas.
Pertemuan itu diadakan setelah Timbalan Ketua Menteri
Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan kerajaan negeri membeku
semua permohonan baru permit kerja kakitangan Petronas dari luar Sarawak
khususnya semenanjung yang berkuat kuasa serta-merta.
Apa yang menarik perhatian saya adalah tujuh rangka
‘amicable agreements’ yang telah termeterai antara Datuk Seri sebagai Perdana
Menteri, Tan Sri Adenan dan pihak Petronas sendiri.
1.
Antaranya adalah:
2.
Pelantikan anak tempatan Sarawak sebagai Ahli
Lembaga Pengarah Petronas yang bakal diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,
Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
3.
Sebanyak 192 jawatan kosong dalam syarikat itu
pada masa sekarang akan diiklankan dalam akhbar tempatan dan diisi oleh rakyat
Sarawak. Pihak Petronas perlu berunding dengan kerajaan negeri jika anak
tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.
4.
Petronas juga akan menyediakan 50 tempat untuk
anak Sarawak melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas, memberi
latihan teknikal secara intensif dan mendaftar lebih kemasukan untuk rakyat
Sarawak di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.
5.
Petronas juga komited menyokong dua industri
petrokimia yang kini di peringkat akhir rundingan serta menyokong industri
petrokimia dan hiliran lain secara joint study dengan kerajaan
Sarawak.
6.
Petronas bersama kerajaan pusat akan
mempertimbangkan hasrat kerajaan Sarawak untuk terlibat dalam kontrak
perkongsian pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri.
7.
Menerima pelan kerja Petronas untuk meningkatkan
jumlah pekerja di kalangan anak Sarawak dalam bahagian pengurusan, pengurus,
eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020. Ianya adalah seperti berikut:
·
Pengurusan: Daripada 33 peratus kepada 60
peratus
·
Pengurus: Daripada 41 peratus kepada 60 peratus
·
Eksekutif: Dariada 48 peratus kepada 75 peratus
·
Bukan eksekutif: Daripada 65 peratus kepada 95
peratus
·
Tuntutan kerajaan Sarawak memohon royalti minyak
dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus. Perkara tersebut akan dibincangkan
kemudian.
Datuk Seri,
Syabas saya ucapkan kepada ketua menteri Sarawak serta
seluruh rakyat negeri itu. Namun setelah meneliti terma 7 amicable
agreements ini, saya sebagai anak Terengganu berasa amat tercabar dengan
perkembangan terbaru ini.
Namun berbanding dengan Sarawak, kami di Terengganu kini
telah kehilangan segala hak kami!
Kebanyakan rakyat Terengganu pula terpaksa berhadapan
dengan kekangan hidup yang amat perit sedangkan negeri ini merupakan pengeluar
minyak dan pernah dikenali sebagai ‘Kuwait Malaysia’.
Kemelut ekonomi Terengganu juga sedang membelit seluruh
kehidupan rakyat sehingga ke pundak.
Rakyat Terengganu - khususnya anak muda - ramai tiada
sumber pekerjaan tetap termasuk mahasiswa yang menjadi penganggur.
Untuk makluman Dato Seri, bermula dari 1978, di bawah
fasal 2 Perjanjian Royalti seperti yang telah dipersetujui oleh semua
pihak, kerajaaan Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran
sulungnya sebanyak RM5.7 juta daripada Petronas.
Perjanjian ini adalah seperti dikehendaki Akta Kemajuan
Petroleum 1974, yang telah diluluskan kerajaan pimpinan ayahnda Datuk Seri, Tun
Abdul Razak Hussein di Parlimen pada 15 November 1974.
Almarhum menegaskan bahawa: “Mengikut perjanjian itu,
tiap-tiap negeri akan menerimaa 5 peratus daripada nilai petroleum yang
dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri
tersebut, yang dijual Petronas atau agensi atau kontraktornya.”
Malangnya, pembayaran wang royalti secara tunai kepada Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan "wang ehsan" yang dikendalikan terus oleh pusat.
Malangnya, pembayaran wang royalti secara tunai kepada Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan "wang ehsan" yang dikendalikan terus oleh pusat.
Lebih malang lagi Petronas juga memaklumkan secara rasmi
pada 25 September 2015 bahawa: “Petronas tidak lagi terikat secara
undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada Terengganu di bawah
Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu”.
Ini berdasarkan terma di dalam negeri bahawa
"kerajaan Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil wang royalti kerana
segala penemuan telaga minyak adalah di luar tiga batu nautika yang diukur dari
garis air surut persisiran pantai negeri”.
Menurut tafsiran diatas, kerajaan Terengganu kini tidak
mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak
di perairan negeri. Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di
perairan Terengganu bukan lagi menjadi milik 'sah' kerajaan Terengganu kerana
kedudukannya di luar dari tiga batu nautika.
Datuk Seri,
Negeri Terengganu telah meyumbangkan hasil minyak dan gas
kepada kerajaan persekutuan sejak hampir 40 tahun dengan pengeluaran hasil
bernilai ratusan bilion ringgit untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara
kita cintai ini.
Hal ini dilakukan oleh kerajaan negeri dengan penuh
beramanah mengambil semangat perjanjian bersama yang telah ditandatangani pada
1975.
Namun, apakah wajar royalti sebanyak 5 peratus yang
diterima kerajaan Terengganu dari 1978 hingga kini terbatal sepenuhnya dan
dianggap sebagai "ihsan" dan "dana khas" daripada kerajaan
persekutuan?
Lebih malang lagi, telaga minyak Bertam Blok PM 307 yang
ditemui dan sah terletak di perairan Terengganu baru-baru ini kini 'diserah'
sepenuhnya kepada kerajaan Pahang.
Malah, Lundin Oil yang merupakan syarikat cari gali
berpengkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja cari gali di kawasan
berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali mengesahkan bahawa Bertam Blok PM
307 ini terletak diperairan Terengganu.
Datuk Seri,
Di manakah - kami sebagai rakyat Terengganu - mahu
meletakkan maruah dan harga diri kami sebagai rakyat Malaysia jika kami boleh
diperlakukan sedemikian rupa?
Apakah Terengganu tidak berdaulat seperti Sarawak yang
kini mendapat segala hak mereka?
Saya sebagai anak Terengganu ingin menegaskan kepada
Datuk Seri sebagai perdana menteri agar mengkaji kembali kedudukan kami di
negeri ini. Kita sama-sama mengamalkan sistem persekutuan yang menjadi asas
penubuhan Malaysia dan Terengganu adalah sebahagian daripadanya.
Adalah wajar - dengan perkembangan terbaru ini -
Terengganu juga di berikan amicable agreements seperti yang
termeterai antara Datuk Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia, Petronas dan
kerajaan Sarawak.
Saya mewakili seluruh warga dan rakyat Terengganu
menuntut 10 perkara asas amicable agreements agar dapat dipersetujui
dengan kerajaan negeri Terengganu, iaitu:
1.
Mengembalikan royalti minyak kepada Terengganu
bersesuaian dengaan perjanjian asal di bawah Fasal 2 Perjanjian Royalti yang
ditandatangani di antara kerajaan Terengganu, persekutuan dan Petronas pada
1975.
2.
Melantik anak tempatan sebagai Ahli Lembaga
Pengarah Petronas seperti yang dipersetujui dengan Sarawak.
3.
Mengiklan dan mengisi sebarang kekosongan
jawatan dalam syarikat itu - khususnya di Terengganu - dengan rakyat
Terengganu. Pihak Petronas juga perlu berunding dengan kerajaan negeri jika ada
calon anak tempatan tidak sesuai bagi pekerjaan tersebut.
4.
Petronas juga perlu menyediakan
sekurang-kurangnya 100 tempat untuk anak Terengganu melanjutkan pengajian di
Universiti Teknologi Petronas setiap tahun. Mereka perlu juga memberi latihan
teknikal secara intensif dan mendaftar lebih banyak kemasukan untuk rakyat
negeri ini di pusat latihan syarikat itu di seluruh negara.
5.
Petronas juga perlu komited menyokong sebarang
pembangunan dan industri petrokimia serta hiliran lain secara joint study dengan
mana-mana syarikat Terengganu serta kerajaan negeri.
6.
Petronas bersama kerajaan pusat juga perlu
mempertimbangkan sekiranya kerajaan Terengganu berminat untuk terlibat dalam
kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bagi manfaat negeri ini.
7.
Mengkaji pelan kerja Petronas untuk meningkatkan
jumlah pekerja di kalangan anak Terengganu dalam bahagian pengurusan, pengurus,
eksekutif dan bukan eksekutif menjelang 2020.
8.
Mengembalikan kesemua wang royalti Terengganu
yang berjumlah RM1.5 bilion yang telah digunakan oleh kerajaan persekutuan
untuk perlaksanaan beberapa projek pembangunan di negeri lain.
9.
Mengembalikan hak telaga minyak Bertam Blok 307
kepada kerajaan negeri dengan kadar segera.
10.
Mengkaji tuntutan agar kerajaan Terengganu juga
dipertimbangkan permohonan royalti minyak dinaikkan daripada lima kepada 20
peratus. Perkara ini juga boleh dibincangkan bersama dengan kerajaan Sarawak
kemudian.
Terengganu kini seolah-olah berhadapan di medan perang
tanpa pejuang dan perajuritnya mati tanpa kuburan.
Siapa lagi yang kita harapkan boleh membela kehidupan
rakyat seluruhnya terutama golongan marhaen kecuali seorang pemimpin yang
merdeka jiwanya, denyut nadinya adalah jiwa rakyat jelata yang perlu dibela!
Sekali lagi saya sebagai anak Terengganu memohon dengan
jari sepuluh kepada Datuk Seri agar tuntutan yang mewakili seluruh rakyat
Terengganu - tanpa mengira apa jua fahaman politik serta kaum - ini
dipertimbangkan dengan kadar segara.
Seperti rakyat Sarawak, kami juga anak Malaysia yang
cintakan negeri dan negara ini. Kami mendesak agar hak dan maruah kami sebagai
rakyat Terengganu terus terbela dan diberikan perhatian segera.
Sekian, wassallam.
Sekian, wassallam.
No comments:
Post a Comment