Sunday, 26 March 2017

Ribuan Sambut, Hadir Program MB Turun Padang Di Ajil...

Beribu-ribu hadirin saksikan Ghazali berpelukan dengan Rosol
 sempena kunjungan Ahmad Razif ke DUN Ajil...
Tahniahlah kerana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid dan ADUN Ajil sekarang, Ghazali Taib 'berpelukan' pada 21 Mac lalu di Dewan Sivik, Ajil, Hulu Terengganu.

Kejadian ini bukan 'wayang' atau lakonan' tetapi  benar-benar berlaku di hadapan Menteri Besar sebagai penanda bahawa ‘konfrontasi kedua-dua pemimpin dan penyokong’ mereka sudah berakhir.

Memang begitulah yang terjadi. Ia tidak dapat disangkal lagi bahawa kedua-duanya sudah kembali kepada sediakala. Ini penting apa lagi pilihan raya umum semakin hampir.

Ketegangan kedua-dua pemimpin dan penyokong berlaku sejak Ghazali bertanding di DUN Ajil pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Majlis ‘berpelukan’ itu itu sudah pasti disaksikan oleh ribuan hadirian pada hari berkenaan.

Sudah pasti ini kejayaan paling besar dalam kepimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.


Ini  kerana Ghazali yang pernah keluar UMNO kerana mengikut Datuk Seri Ahmad Said yang ‘merajuk seketika’ selepas diminta melepaskan jawatan Menteri Besar pada Mei 2014 dan kini tidak lagi membantah.

Begitu juga dengan Rosol yang banyak berkecil hati kerana tidak terpilih sebagai calon pada PRU lalu, sudah membuktikan beliau menyokong Ahmad Razif melalui ‘peluk-memeluk’ itu.

Malah, jelas sekali Rosol menunjukkan bahawa beliau ‘taat’ kepada kehendak Ahmad Razif agar berpelukan dengan Ghazali.

Biarpun sebelum ini Rosol dikatakan ‘marah’ kerana dimalukan oleh Menteri Besar itu apabila memberhentikan beliau sebagai Pengarah Unit Komunikasi Negeri (UKOM) dan menggantikannya dengan pegawai tadbir Negeri Terengganu.

Tindakan Ahmad Razif memberhentikan Rosol dilihat sebagai tidak menghargai dan menghormati Rosol seperti ‘lampin pakai dan buang’, apabila tidak perlu, buang begitu sahaja.

Apa yang menarik pada majlis TURUN PADANG di Ajil pada Isnin 20 Mac 2017 itu - selepas beberapa hari kehadiran ‘3M’ – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir’ di Pekan Ajil - yang dilaporkan dihadiri hanya 400 orang. sambutan terhadap Menteri Besar begitu menggegarkan sekali.

Dewan Ajil penuh sesak pada hari berkenaan. Malah kehadiran rakyat melimpah ruah hingga ke sekitar dewan.


Malah dikatakan, dari segi jumlah hadirian, ia berpuluh kali ganda daripada kehadrian pada program BICARA NEGARAWAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD pada malam 16 Mac lalu.

Sayang sekali TV3 tidak melaporkan mengenai kehadiran Ahmad Razif dan rakyat selain portal  yang menyokong Menteri Besar, Terengganu Times, sangat dikesali kerana tidak melaporkan terus peristiwa itu (sekadar memetik dari sumber lain dalam laporannya sehari kemudian) walaupun kehadiran rakyat ke majlis itu berpuluh kali ganda daripada hadirian di program 3M itu.

Dikatakan juga jalan sekitar Dewan Sivik Ajil penuh sesak, malah polis terpaksa berkawal sepanjang hari pada kehadrian Menteri Besar kerana sambutan hangat rakyat Ajil.

Sekali lagi tahniah untuk UMNO Ajil dan Hulu Terengganu  kerana berjaya menganjurkan program TURUN PADANG MENTERI BESAR itu.

Juga mengecewakan ialah tiada gambar yang ditunjukkan mengenai ribuan yang hadir menyambut Menteri Besar dan juga mendengar ucapannya.

Bersesuaian dengan kedatangannya,  Menteri Besar meminta semua ahli UMNO di Terengganu  tidak menjadi ‘gunting dalam lipatan’ sehingga menggadaikan maruah parti yang melambangkan ketuanan Melayu ini.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menegaskan sikap buruk segelintir pihak yang suka mengeruhkan keadaan, mengadu-domba dan menghasut pemikiran orang ramai boleh memusnahkan masa depan anak muda serta merosakkan parti UMNO itu sendiri.

Menurutnya, perjuangan UMNO penuh dengan cabaran dan tohmahan yang tidak akan dan tidak pernah melunturkan semangat perjuangan ahli-ahli UMNO dulu, kini dan selamanya.


Ucapan berapi-api itu disambut tepukan gemuruh oleh ribuan hadirin yang hadir, apalagi ketika beliau mengatakan “ada di kalangan kita menjadi gunting dalam lipatan, mengadu-domba atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan parti UMNO dan masa depan anak muda dengan pelbagai hasutan yang tidak benar.”

“Kita” yang dimaksudkan itu sudah pasti ahli UMNO. Ia pastinya tidak ada kena mengenai sama ada yang hidup atau yang telah mati daripada parti lain seperti PAS, PKR atau juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pada ketika sambutan ribuan penduduk Ajil terhadapnya, Ahmad Razif amat bimbang bahawa UMNO mulai mereput dari dalam.

Malah sikap ‘gunting dalam lipatan’ yang dimaksudkan oleh Ahmad Razif itu membuktikan bahawa ahli UMNO sendiri pun sudah meluat dengan pemimpin mereka.

Apakah kerana meluat itu maka ribuan rakyat Ajil keluar pada majlis TURUN PADANG Menteri Besar itu?

Pertanyaan lain ialah apakah ini program anjuran negeri atau program anjuran UMNO dan siapa membiayainya?

Dengan sambutan sedemikian, Ahmad Razif tidak perlu lagi bimbang dengan kehadiran 3M itu dan yakin Barisan Nasional (BN) akan menang mudah di DUN  Ajil pada PRU14 nanti. 

No comments:

Post a Comment