Sunday, 26 February 2017

Sah Sudah UMNO/BN Boleh Tawan 26 DUN, 7 Parlimen Terengganu


"Selain tahu siapa akan bertanding di pihak PPBM, UMNO/BN juga bijak dan mahir dalam menyusun dan mencaturkan calon... tidak peliklah jika ‘senarai calon UMNO/BN yang akan bertanding pada PRU14’ kini sudah beredar lebih enam kali."

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sudah boleh mula bermimpi enak-enak kerana politik Terengganu sudah kembali tenang.

Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Ahmad Razif kini sudah mampu untuk memfokuskan kepada menjamin UMNO/BN menang pilihan raya.

Ternyata serangan daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal tidak akan berlaku lagi.

‘Harimau sudah dapat dijinakkan’. Ahmad Said sudah berdiam diri akhir-akhir ini.

Malah khabar angin Ahmad Said akan ‘tinggalkan UMNO’ sudah tidak kedengaran.

Ahmad Razif turut menegaskan semalam, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggotai bekas pemimpin UMNO tidak menjadi ancaman kepada BN untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, bekas pemimpin parti itu yang secara keseluruhannya pernah memegang jawatan utama di peringkat negeri dan bahagian tidak berlakon, sebaliknya berterus terang dan mengisytiharkan menyertai serta menubuhkan parti itu.

Apalah sangat kehadiran PPBM di Terengganu, malah menurut Ahmad Razif: "Walaupun saya dimaklumkan PPBM akan meletakkan calon untuk bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang, tetapi BN negeri menganggap kehadiran pemimpin parti itu bukanlah satu ancaman.

Razali Idris...penggerak PBBM di Terengganu.
"Semua pengundi di negeri ini kenal dan tahu punca bekas pemimpin BN itu menyertai parti PPBM, termasuk ketua bahagian parti itu di Kuala Nerus," katanya.

Beliau dipetik oleh Berita Harian sebagai mengulas mengenai penubuhan parti itu di semua bahagian di negeri ini.

Sudah pasti Ahmad Razif kenal individu dan punca mereka keluar parti atau sebab-sebabnya. Cuma pertanyaan ialah apakah mereka ini pernah ‘didedakkan oleh Ahmad Razif’ seperti mereka yang berada di kelilingnya?

Apakah ketua-ketua bahagian, selain Datuk Razali Idris di Kuala Nerus seperti di Besut, Setiu, Marang  atau Kuala Terengganu pernah menerima kedudukan dan keistimewaan (kontrak dan dedak)  yang dinuagerahkan oleh Ahmad Razif.

Bagaimana pula mereka di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman? Meraka juga didedakkan seperti ketua-ketua bahagian UMNO di tiga kawasan parlimen itu?

Cuma kalau mahu mengatakan semua pengundi itu sukar sedikitlah kerana Menteri Besar sendiripun belum pasti apakah pengundi Terengganu akan memilih UMNO/BN kali ini.

Sikap pengundi Terengganu sukar diramal.

Tahniah kepada Ahmad Razif yang turut berkata bahawa penubuhan parti itu membuktikan amalan demokrasi masih subur di negara ini walaupun PPBM akan menentang calon BN pada PRU akan datang.

Jika kehadiran PPBM diterima, maka terimalah juga kehadiran pemimpin dan penyokong mereka.

Sewajarnya Ahmad Razif meminta pemimpin UMNO dan penyokong beliau berlapang dada dan tidak menyerang dan mengutuk penyokong dankepimpinan PPBM keran sikap terbukanya.

Lihat sahaja bagaimana Razali menunjukkan sikap terbukanya apabila melawat Menteri Besar di sebuah hospital di Kuala Lumpur ketika Menteri Besar menerima rawatan akibat ‘jatuh kuda’ tempoh hari.


Akibat kejadian itu, Pejabat Menteri Besar memaklumkan bahawa semua program membabitkan Menteri Besar Terengganu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian. Ahmad Razif dilaporkan memerlukan pengawasan doktor sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam seterusnya.

Selain itu Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus juga wajar sikap terbuka apabila melihat gambar Ketua Penaja PPBM Bahagian Kuala Nerus (Razali) menyerahkan bendera PPBM kepada Ketua Armada Kuala Nerus dua hari lalu.

Apa beliau nak dibimbangkan, orang muda di Kuala Nerus menyokongnya. Kerajaan negeri ada dana untuk memujuk kalangan muda terus menyokong UMNO. 

Malah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun ‘baharu sahaja disampaikan’ bagi menawan hati orang muda di seluruh Kuala Nerus dan Terengganu amnya. Selain bantuan ini, sudah ada Dana Remaja disediakan untuk orang muda.

Ahmad Razif juga pastinya mempunyai maklumat lengkap apabila mengatakan pemimpin utama PPBM di peringkat bahagian sudah mengenal pasti calon dari parti itu untuk bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Walaupun PPBM Pusat belum menyatakan pendirian sama ada akan bertanding di Terengganu atau sebaliknya, Ahmad Razif sudah tahu ‘senarai calon’ dan siapa akan bertanding.

Hebat UMNO/BN Terengganu ini.

Selain tahu siapa akan bertanding dipihak PPBM, mereka juga bijak dan mahir dalam menyusun dan mengatur calon. Jadi tidak peliklah jika ‘senanari calon UMNO/BN yang akan bertanding pada PRU14’ kini sudah beredar lebih enam kali.

Penyerahan bendera kepada ARMADA Kuala Nerus.
Ada sahaja perubahan nama dan mereka yang diviralkan itu dengan ‘berlapang dada’ menerima sahaja apa ketentuan yang diatur oleh UMNO Terengganu. Ia mugkin ikut selera Ahmad Razif!

Satu lagi yang menarik seperti disebutkan, Ahmad Razif sudah dapat ‘menjinakkan harimau Kemaman’.

ADUN Kijal sudah tidak menganggu Ahmad Razif lagi. Bukan sahaja melalui UMNO, malah melalui pertubuhan PERKASA pun Ahmad Said sudah tidak bersuara.

Kejayaan Ahmad Razif ini sudah pasti membanggakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. Ini kejayaan besar Ahmad Razif dan peluangnya menjadi Menteri Besar selepas PRU14 nanti sangat cerah.

Sekali lagi tahniah Ahmad Razif.

Kehadiran Ahmad Razif ke majlis sambut menantu Ketua UMNO Bahagian Kemaman  di kediaman di Teluk Kalong, Sabtu (25 Februari) menggambarkan segala-galanya.

Kedatangan Ahmad Razif ke majlis perkahwinan anak Ahmad Said disebut oleh Harian Metro sekali gus membayangkan sengketa kedua-dua pemimpin besar negeri itu sudah berakhir.

Malah akhbar itu melaporkan, majlis yang  dihadiri kiri-kira lebih 5,000 penduduk, menggambarkan betapa Ahmad Said tetap berpengaruh dan pastinya kehadiran Ahmad Razif di situ mengukuhkan kenyataan wujudnya perhubungan intim antara Ahmad Razif dan Ahmad Razif di depan mata rakyat, khususnya di Kemaman.

Menurut Harian Metro, Ahmad Razif yang berada di majlis itu kira-kira sejam, sempat bergambar dengan pasangan pengantin baru sebelum beredar meninggalkan kediaman bekas menteri besar itu pada kira-kira 2 petang.

Ia bukan lakonan politik sebaliknya tautan persahabatan selepas ‘kemelut Terengganu’ diselesaikan melalui formula Perdana Menteri beberapa bulan lalu.

Kesemua keadaan dan faktor ini akan memberikan kelebihan kepada Ahmad Razif.

Sudah pasti bukan sekadar boleh menang mudah di 26 kerusi DUN sahaja tetapi juga tujuh (7) Parlimen, kecuali Marang.

Selain tahu siapa akan bertanding di pihak PPBM, mereka juga bijak dan mahir dalam menyusun dan mencaturan calon.

Jadi tidak peliklah jika ‘senarai calon UMNO/BN yang akan bertanding pada PRU14’ kini sudah beredar lebih enam kali.

Malah, jika bijak menyusun susunan, Parlimen Marang juga UMNO/BN boleh menang kerana Razali ‘sudah lari dari Marang’ dan cuba mencari pengaruh di Seberang Takir.

Ini memudahkan kerja Ahmad Razif dan segala-falanya terbaik untuk UMNO/BN pada pilihan raya ini.

Inilah peluang untuk Menteri Besar membuktikan keupayaannya untuk memenuhi janjinya bagi menggembalikan kegemilangan UMNO/BN dengan mendapat majoriti dua pertiga di DUN Terengganu.

Kejayaan itu juga akan menghapuskan cakap-cakap bahawa beliau Menteri Besar paling lemah dalam sejarah pentadbiran UMNO/BN Terengganu.

Kejayaan itu kelak akan membebaskan dirinya  daripada bayang-bayang menteri besar terdahulu – Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahmad Said.

No comments:

Post a Comment