Friday, 10 February 2017

Pemimpin, Penyokong PPBM ‘Dedahkan Identiti’ Dalam Masa Terdekat....

 

Bolehkah Barisan Nasional (BN) Terengganu melalui UMNO dan MCA menguasai sehingga 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Atau apakah kenyataan ini sebagai usaha untuk menyuntik semangat UMNO yang kini bergelut dengan masalah dalaman selepas keputusan tidak membanggakan pada  Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)?

BN Terengganu hanya menang 17 kerusi daripada 32 kerusi DUN.

Pada 15 October  2016,  Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu  Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dengan penuh keyakinan megatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya mempunyai 290 penyertaan di Terengganu.

Maksudnya dengan jumlah itu dan difahamkan kebanyakannya di Dungun, ia tidak pun menjadi kudis kepada UMNO dan BN.

Dengan kata lain, jumlah dianggap tidak mengugat UMNO Terengganu untuk mengadapi piliharaya akan datang.

Malah, kata Ahmad Razif, parti PPBM lahir daripada  orang-orang yang kecewa dan berdendam.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk menghadapi PRU14 kerana kita mempunyai jentera parti bersemangat serta soladariti yang tinggi untuk memenangi hati pengundi,” kata Ahmad Razif.

Soalnya selepas kira-kira empat bulan, apakah PPBM masih berada dalam keadaan yang tidak akan menggugatkan UMNO dan jika kemunculannya secara tiba-tiba, apa lagi jika bekerjasama dengan PAS?

Memang belum diketahui sejauh mana kekuatan PPBM, apalagi siapa akan mengetuai negeri dan siapa pula akan bergerak sebagai Ketua Bahagian.


Namun mungkin segala-galanya akan diketahui dalam waktu terdekat ini apabila Ibu Pejabat PPBM di Damansara Heights itu membuat pengumuman.

Siapa yang akan memimpin Terengganu? Veteran atau orang muda?

Apakah parti ini seperti UMNO atau bergerak ke arah perubahan yang dimahukan oleh?

Apakah dasar-dasar baru yang akan diperkenalkan olehnya.

Mungkin kedatangan Timbalan Presiden PPBM baru-baru ini ke Dungun kurang sambutan tetapi itu bukan ukuran sokongan kepada parti itu.

Kedatangan Mukhriz dan pemimpin lain pada masa akan datang sudah pasti akan mendapat sambutan hangat apabila kepimpinan negeri sudah diumumkan secara rasmi,

Jangan tersilap perkiraan kerana ‘penyokong senyap’ di kalangan berbagai lapisan di negeri ini masih ‘bersembunyi dan menunggu masa sahaja untuk mendedahkan identiti’.

Ahmad Razif dalam keadaan penuh keyakinan tetap menasihat  ahli UMNO jangan selesa dengan kekuatan yang mereka  ada sekarang.

Apa maknanya kata-kata itu?

Persoalannya, apakah UMNO menang besar sebelum ini?

Apakah UMNO menang dengan majoriti besar disemua kerusi di menanginya? Jawapannya TIDAK.

Kenyataan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus sebelum ini yang mengingatkan UMNO Terengganu supaya tidak terus berada dalam keadaan selesa, adalah suatu kebimbangan sebenarnya.

Dengan kata lain,  mereka perlu kerja kuat dan kekal bersatu. Ia bertujuan mengelak ancaman pihak luar menggambarkan segala-galanya.

Hishamuddin berharap sokongan terhadap perjuangan UMNO juga perlulah sentiasa berkekalan dan berterusan dan bukannya berubah apabila individu yang diharapkan tidak tersenarai sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 nanti.


Memahami yang tersirat daripada kenyataan dua pemimpin itu ialah UMNO sebenarnya bimbang. Kenyataan keyakinan itu bersifat psikologi untuk meyakinkan orang UMNO mereka masih kuat.

Perbuatan menentang parti dan ‘menikam belakang’ adalah budaya yang masih wujud dalam UMNO. Ahmad Razif sendiri sangat memahami perkara ini, khususnya di UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Selain itu UMNO tersangat bimbang dengan sikap peteh atau 'cah keting' kerana kalau kerja dijalankan tetapi tetap ada hasad dengki, akan sia-sia sahaja kerja yang dilakukan.

Juga di bahagian-bahagian UMNO ada lagi kejadian dua nakhoda dalam satu kapal.

Apapun ada pihak meuar-uarkan dengan penuh keyakinan bahawa kepimpinan Ahmad Razif akan mampu menambah lapan (8) lagi kerusi DUN.

Keyakinan itu diasaskan kepada majoriti diperoleh pembangkang tidak sampai 1,000 undi, malah di DUN Teluk Pasu (akan dikenali dengan Buluh Gading) hanya kalah dengan 109 undi. Selain DUN Teluk Pasu yang BN kalah tipis, DUN Rantau Abang juga begitu iaitu kalah dengan 141 undi, Tepoh (229), Manir (588), Bukit Payung (613), Alor Limbat (645), Bukit Tunggal (652) dan Ladang (924).

Dikatakan juga jika Ahmad Razif menonjolkan calon mesra rakyat sudah pasti BN mampu menawan 25 kerusi daripada 32 kerusi DUN.

Malah, jika ada pertandingan tiga atau empat penjuru antara BN dengan PAS, selain AMANAH dan PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), calon BN mempunyai banyak kelebihan.

Bagaimanapun, di sebalik itu,  pemerhati politik mengatakan, jika pertandingan dua penjuru antara BN dengan Pakatan Harapan PH),  maka harapan BN untuk mengekalkan kerajaan agak sukar.

Apapun dikatakan adalah mustahil PAS memberi laluan kepada AMANAH  atau PPBM atau PKR bertanding di kerusi tradisi mereka.

Ada pendapat mengatakan walaupun jumlah ahli PPBM tidaklah begitu banyak, ia tidak menggambar jumlah pengundi yang akan mengundi PPBM.

Jika Ahmad Razif mengatakan PPBM ditubuhkan hasil perasaan kecewa, ia memang benar.


Namun kekecewaan mereka yang menyokong PPBM bukan kerana gagal dapat jawatan, kontrak, perhatian Menteri Besar  atau kedudukan penting dalam UMNO.

Sebaliknya mereka KECEWA dengan suasana politik dan ekonomi yang bercelaru sekarang.

Mereka mahukan perubahan.

Mereka mahukan perubahan daripada keadaan sekarang di mana kehidupan menjadi semakin tertekan dengan kenaikan harga barang dan kedudukan kerajaan yang gagal mengawal barangan keperluan asas, isu pemilikan rumah, pengangguran dan sebagainya.

Mereka menentang kepimpinan yang menyebabkan negara banyak hutang.

Mereka marah kerana  pada ketika rakyat dalam keadaan tertekan, pemimpin bersenang lenang dan maruah serta imej rakyat dan negara merudum akibat perbuatan pemimpin yang tamak haloba.


Pemimpin utama negara dilihat ‘mencuri dan merompak harta rakyat’ selain negara kini dikenali dengan KLEPTOKRASI.

No comments:

Post a Comment