Showing posts with label Razali. Show all posts
Showing posts with label Razali. Show all posts

Tuesday, 29 August 2017

Analisis Terengganu Times Mengenai PH Terengganu Tersasar Jauh...


Menjijikkan apabila menggunakan sumber tidak tepat dan bohong untuk menggugat Pakatan Harapan (PH) Terengganu.

Tindakan TerengganuTimes menggunakan kenyataan oleh seseorang yang menggelarkan dirinya *RCML@Othman Ismail* atau Cik Gu Man Laju untuk mengatakan wujudnya kekecohan dalam soal pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) adalah tidak benar sama sekali.

Menggunakan sumber ‘orang hilang akal’ seperti RCML sangat  tidak tepat, malah tersasar jauh.

Menurut sumber PPBM Terengganu,  perbuatan Terengganu Times yang cuba menangguk di air keruh itu tidak akan ke mana-mana, malah akan menyebabkan rakyat Terengganu semakin benci dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Tiada isu dalam pemilihan Pengerusi PH kerana semua pihak mengambil keputusan ‘konsensus’ untuk membentuk carta organisasi, cumanya keputusan belum ada untuk pengundian.

Diakui Pengerusi PH adalah ‘jeneral dalam peperangan  menghadapi UMNO dan PAS dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti’ tetapi mengatakan majoriti ahli gabungan PAN, PPBM, DAP dan PKR Terengganu telah memilih Pengerusi PAN Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai pengerusi PH Terengganu adalah tidak benar.

Juga tidak benar ialah Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris tidak menawarkan diri, malah membuka jalan kepada Raja Bahrin dan YB Dun Bandar, Azan Ismail supaya bertanding.

Menghairankan bagaimana Terengganu Times boleh yakin dengan sumber seperti RCML yang mengatakan ‘kesetiaan Razali kepada PH masih dipertikaikan kerana majlis presiden telah memutuskan tiada kerjasama dengan PAS’.

Apa kaitan kerjasama sengan PAS dalam isu ini kerana yang bertanding adalah Azan dan Raja Bahrin.

Malah, Razali naik pentas bersama dengan PAS dalam satu ceramah di Paka beberapa bulan lalu yang ketika itu belum ada keputusan dibuat mengenai perkara ini.

“Tidak benar ada sokongan 100 peratus kepada Raja Bahrin untuk jadi Pengerusi PH Terengganu dan PPBM tidak bersuara menyatakan mereka lebih layak, “ kata sumber itu.

Sementara itu, ditanya mengenai status FB Setiausaha PPBM Terengganu,  Hambali Abdul Latif dengan kenyataan. “HIDUP PERLU DITERUSKAN…Yang penting boleh meyakinkan MEREKA bahawa keputusan mereka salah sama sekali di TERENGGANU. Kami akan buktikan!!!” yang menurut Terengganu Times, seolah-olah mereka lebih bagus dari sekretariat yang ditubuhkan, beliau berkata, membaca kenyataan Hambali mengulas kenyataan RCML menberikan pencerahan untuk semua perkatra.

Baca kenyataan Hambali di sini:

KENYATAAN BALAS TERHADAP RCML (Cik Gu Man Laju)

Saya memperbetulkan kenyataan TIDAK BENAR oleh seseorang yang benama *RCML@Othman Ismail* atau dikenali Cik Gu Man Laju yang kononnya Pengerusi NGO DESAK Terengganu.

Saya tidak pasti NGO berkenaan didaftar atau beliau satu-satunya AHLI TUNGGAL kepada NGO berkenaan.

Pertama, kenyataan beliau itu bagi saya berniat jahat dan GILA.

Malah, ia turut mencerminkan pendirian pemimpin tertentu Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu.


Mengulas mengenai ‘Siapa Calon Paling Sesuai Utk Jwtn Pgrusi PH Trg?’ beliau mengaitkan saya sebagai Setiausaha PPBM Negeri dan Pengerusi PPBM Terengganu Datuk Razali Idris.

Menurutnya, kononnya saya dan Razali menolak keputusan Majlis Presiden yang memutuskan tiada kerjasama dengan PA$ dalam PRU 14.

Kenyataanya yang berbunyi: “...malah melalui kenyataan setiausahanya hari ini telah menolak keputusan Majlis Presiden yang memutuskan tiada kerjasama dengan PA$ dalam PRU 14”.

Sedangkan dalam posting saya melalui FB saya tiada langsung saya menyebut perkataan PAS.

Kenapa kaitkan saya atau Razali dengan PAS? Jangan kaitkan perbalahan PAN dan  AMANAH dengan kami dari PPBM!

Di sinilah wujud syak wasangka saya bahawa beliau yang kini anggota PAN menulis bagi pihak kumpulan tertentu dalam PAN.

Kedua, beliau mengatakan  “kesetiaannya (Razali) kpd PH masih dpertikaikan”. Siapa mempertikaikan?

Orang ini  yang mempertikaikan Razali sejak beberapa bulan terakhir ini apabila menganggap ada perundingan dalam Pakatan Harapan (PH) Terengganu untuk melantik Pengerusi PH (bukan Pengerusi mesyuarat).

Untuk makluman pembaca, sejauh ini tiada siapa pun dilantik sebagai Pengerusi PH.

Ketiga, beliau turut mengulas mengenai calon Pengerusi PH.

Menurutnya Pengerusi DAP Negeri, Ng Chai Heng tidak berminat.

Jadi calon yang ada ialah Razali, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Terengganu) yang disifatkannya sebagai ‘Istiqomah dgn PH n perjuangan rkyt sejak awal’ dan Yang Berhormat ADUN Bandar,  Azan Ismail sebagai ‘Istiqomah dgn pjuangan reformasi & anti kartel’.

Bagaimanapun, daripada tiga itu “hanya Raja Baharin bjaya mdpt sokongn padu 100% drp ksemua 8 ketua Amanah kawasan/bhg wpun bliau sdiri x ketuai mana2 kwsn.”

Sementara Razali dikatakan oleh beliau ‘hnya dsokong oleh 4 KB PPBM shj termasuk bahagian yg dketuainya sdiri iaitu Bhg K Nerus. 

“Bgitu juga dgn Azan juga hnya mdpt sokongn drp *3* ketua cabang PKR shj termasuk cabangnya sdiri iaitu K. Trg. *Sementelah lagi cabang Besut & Setiu dibatalkan pendaftarannya oleh ROS*,” kataya.

Malah, orang ini turut diberitahu bahawa mesyuarat terakhir untuk membentuk Sekretariat PH Trg pd awal Ogos gagal mcapai kata sepakat sama ada memilih pengerusi iaitu Raja Baharin atau Azan.

Setiap parti diwakili masing-masing oleh empat (4) orang dalam mesyuarat.  Katanya, sementara Amanah dan  DAP solid sokong Raja Bahrin,  PKR pula solid maukan Azan dan ‘PPBM terbahagi dua iaitu seri dlm mnyokong antara kedua-dua  calon tersebut.’

Di sini pembohongan dibuat oleh ‘orang gila’ ini kerana menuduh PPBM tidak solid.

Berani saya tegaskan di sini, PPBM bersepakat dengan dua lagi wakilnya iaitu Ketua Bahagian Setiu dan Hulu Terengganu bersama dengan Razali.

Tuduhan bahawa PPBM tidak solid adalah perbuatan jahat dan sengaja dilakukan oleh orang ini  yang mewakili segelintir pemimpin PAN untuk merosakkan hubungan baik dalam PH.

Untuk makluman, Razali meminta beliau tidak dicalonkan untuk memberi jalan kepada dua pemimpin – Raja Bahrin dan Azan.

Tidak timbul Razali mahu menjadi Pengerusi PH. 

Dengan mengatakan “Dgn keadaan ini, gambaran jelas kelihatan Raja Baharin lebih mdpt sokongn majoriti ahli2 mesyurat. Jadi sepatutnya x timbul isu perlu dibawa kpd Mjlis Prsiden PH utk mbuat perlantikan. Apatah lagi Mjlis Prsden telah pun turunkan kuasa perlantikan sebelum ini kpd PH negeri2,” memberikan gambaran buruk kepada kami pemimpin PPBM yang hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Malah, Azan juga dipalitkan seolah-oleh cuba merampas kerusi Pengerusi PH, sedangkan banyak lagi perkara dalam mesyuarat berlaku yang tidak wajar saya desahkan di sini.

Kenyataan semalam (29 Ogos 2017) oleh ‘orang gila’ ini boleh merosakkan hubungan antara pemimpin dan parti dalam PH.

Menghairankan KENAPA dan MENGAPA pemimpin PAN seperti Raja Bahrin terus ‘memberi ruang’ dan peluang untuk beliau memfitnah kami, pemimpin kami Razali dan Azan yang dilihat menjadi saingan kepada Raja Bahrin.

HAMBALI ABDUL LATIFF
Setiausaha PPBM Negeri Terengganu
30 Ogos 2017

Saturday, 24 June 2017

Campur Tangan Asing Dalam 1MDB - Hadi Mahu Kelirukan Rakyat?


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu hari ini mempersoalkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai  campur tangan asing dalam isu 1Malaysia Development Berhad(1MDB).

Kenyataan itu disifatkan cuba  kelirukan minda rakyat yang mahukan kebenaran dengan putar belit kononya wujud ancaman daripada negara asing yang mahu mencampuri urusan dalam negara melalui 1MDB.

PPBM Terengganu melihat kenyataan pemimpin Barisan Nasional (BN)/UMNO bahawa wujudnya campur tangan asing dalam kes 1MDB dan akhir-akhir ini disokong pula oleh Presiden PAS sebagai satu strategi politik ugut dan menakut nakutkan rakyat untuk berdepan pilihan raya umum yang ke 14.

Pengerusi Badan Pimpinan PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris berkata dengan kedudukan di mana rakyat semakin berang dengan tekanan sara hidup dan kerajaan gagal menanganinya dengan baik, faktor ancaman luar adalah strategi dipilih untuk tambat penggundi agar menang dalam pilihanraya.


“Harapan mereka ialah apabila ancaman luar dilihat akan menggugat keselamatan negara, rakyat akan bersatu kembali dan mempertahankan kerajaan. Sekarang ini Presiden PAS nampaknya turut terpengaruh dan terperangkap dengan taktik jahat BN/UMNO ini,” katanya dalam kenyataan media di Facebooknya.

Razali menegur Hadi dan meminta beliau jangan menakut-nakutkan rakyat kononnya wujud ancaman luar pada ketika kerajaan Barisan Nasional (BN)N/UMNO gagal menangani isu 1MDB, termasuk mendedahkan kepada umum laporan Jawatan Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sehingga kini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menyifatkan  kenyataan Hadi sebagai tersasar dan ‘preemptive’, Razali menepis pendapat pemimpin PAS yang menyifatkan mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik sebagai “tidak beriman dan budiman”.

Beliau mempersoalkan apakah Hadi mendapat  maklumat yang tepat mengenai isu 1MDB atau pun hanya bersumberkan pimpinan atasan UMNOo/BN khususnya Perdana Menteri.


“Rakyat boleh menilai dan membandingkan tuduhan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat dengan hasil siasatan PAC untuk mengetahui kedudukan dan apa yang sebenarnya belaku dalam 1MDB. Itu pun jika kerajaan benar-benar telus tetapi jelas tiada ketelusan dengan sebahagian besar AJK PAC di lantik ke Kabinet di penghujung siasatan. 

Sepatutnya Hadi lebih tegas meminta kerajaan mendedahkan laporan itu kepada umum selain melihat kekekangan maklumat dalaman terlebih dahulu seperti laporan PAC ini, sebelum menuduh pihak luar campur tangan dalam isu 1MDB ini,” katanya.

Pemimpin PPBM itu meminta Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia perlu lebih agresif dan proaktif dalam menyiasat kes 1MDB ini.

Dengan membiarkan kes ini berlanjutan dan dengan pendedahan semakin banyak di luar negara, kerajaan akan semakin terhimpit dan terpaksa meminta pihak lain seperti PAS untuk membantu menyokong mereka, kata beliau.

Yang pasti bantuan seperti ini tidak akan ke mana-mana kerana akhirnya rakyat akan menilai kepada banyak fakta mengenai 1MDB yang masih dirashiakan, Selain itu pelaku-pelaku penting dalam kes ‘kecurian dan pengubahan wang haram’ seperti Jho Lho masih bebas tanpa sebarang tindakan, tegas Razali.


Beliau tidak melihat sebarang campur tangan asing dalam isu 1MDB kerana sehingga kini tiada bukti konkrit wujudnya campur tangan asing, sama ada oleh Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg atau juga negara-negara lain seantero dunia.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh negara berkenaan ialah untuk melindungi pasaran dan sistem kewangan mereka daripada penipu wang. 

“Dengan mengatakan usaha Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat itu sebagai cubaan AS untuk mencampuri urusan dalam negara Malaysia, apakah kita juga tidak mencampuri urusan dalam negara mereka?

Juga apakah kita mahu melihat ‘kecurian, rompakan dan pengubahan wang haram’ dengan jumlah keseluruhan AS$7 bilion itu hilang begitu sahaja?

Bukankah ini wang rakyat yang sewajarnya dipulangkan kepada rakyat?” tanya beliau.

Razali turut menyatakan kebimbangannya jika ada campur tangan asing dalam skandal 1MDB.

Malah katanya, PPBM Terengganu menentang sekeras kerasnya sebarang campur tangan asing dalam politik negara. “Kami istikhomah dengan demokrasi berparliment dan bersiap siaga menunggu tarikh pilihanraya ke14 di umumkan,” tegasnya.

Wednesday, 3 May 2017

Satiful DiHukum, Terima Padah Kerana Sepentas Dengan Razali Idris?


Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Saitifu Bahri Mamat dicerca dan dibelasah teruk seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ oleh UMNO Terengganu.

Ia gara-gara beliau kalah dalam pertandingan peringkat ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat pada Muktamar PAS ke 63 berakhir Isnin lalu.

Media pro Ahmad Razif membuat rumusan kekalahan Satiful dalam pertandingan peringkat ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat kerana berbaik-baik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kononnya Ahli Dewan Undangan PAS Paka itu yang memperolehi 500 undi lebih menerima kekalahan kerana membuat keputusan ‘menentang arus’ atas arahan Presiden PAS.

Juak-juak Ahmad Razif dengan penuh keyakinan mengatakan sebelum muktamar PAS ke 63 berlangsung, Satiful  dan barisan kepimpinan PAS di DUN Paka telah menjemput Pengerusi PPBM Terengganu Datuk Razali Idris berdiri diatas pentas  dalam satu ceramah didalam kawasan beliau.

Menurut sebuah portal pro Ahmad Razif, “nyata apa yang telah dilakukan oleh beliau tidak dapat diterima oleh perwakilan PAS kerana sikapnya membelakangkan Presiden Parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.”

Benarkah seperti ini atau kerana sebab-sebab lain?

Apakah Satiful membuat keputusan itu tanpa memaklumkan kepada Presiden partinya?

Inikah balasan atau hukuman kerana sepentas degan Razali?

Memetik kata-kata kononnya seorang ahli PAS bernama ‘Ahmad Majid’, poral berita yang menjaga kepentingan Menteri Besar Terengganu yang sangat bimbang Barisan Nasional (BN) akan kalah kali ini menyebut, keputusan Satiful itu membuatkan ahli-ahli serta perwakilan PAS keseluruhannya marah dengan tindakan beliau.

Dengan kata lain, ahli PAS menolak Pesuruhjaya PAS Terengganu itu itu kerana ‘telah diketahui bahawa PAS tidak akan menjalinkan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) diantaranya PPBM yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.’

Malah memetik kononnya  beberapa sumber PAS Terengganu, Satiful akan direhatkan menjadi Pesuruhjaya PAS negeri itu kerana tidak berupaya  untuk mengemudi PAS Terengganu menghadapi UMNO dinegeri itu.

Apakah kini sudah ada orang PAS yang sanggup membuka rahsia parti kepada UMNO kerana marah dengan Satiful?


Malah Satiful dituduh memasang impian untuk menjadi Menteri Besar Terengganu yang ke 15 setelah tumbangnya UMNO/BN di negeri itu. Malah, Satiful juga dituduh enggan mendengar nasihat daripada  orang-orang lama dalam PAS bahawa beliau tidak harus mengidamkan kerusi tersebut.


Dikatakan  juga, persaingan untuk mendapat kerusi menteri besar Terengganu selepas PRU 14 nanti dengan beberapa nama yang dicanang oleh jenteranya diseluruh Terengganu dan disebabkan itu Satiful dalam diam menjalinkan hubungan atau pakatan sulit dengan PPBM dan PAN Terengganu.

“Perkara itu dapat dihidu oleh ponyokong-penyokong Tuan Guru Hadi dan disampaikan kepada Hadi untuk membuat sesuatu kepada pesuruhjaya PAs Terengganu itu,” demikian lapor portal yang menjadi ‘burung kakak tua’ Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Akibat tindakan Satiful itu, beliau kecundang dalam pertanding AJK PAS Pusat dan nyawanya sebagai PesuruhjayaPAS Negeri Terengganu kini di tangan Presiden PAS sama ada mengekalkan beliau atau mengantikan dengan orang kepercayaan PAS Terengganu.

Beberapa nama sudah disenaraikan bagi mengantikan tapak kerusi pesuruhjaya PAS Terengganu diantaranya  ADUN Tepuh,  Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Penerangan PAS Pusat  Ahmad Amzad Hashim, ADUN Bukit Payong Mohd Nor Hamzah dan ADUN Alor Limbat, Ariffin Deraman.


“Nama-nama berkenaan telah berada dalam senarai Hadi dan ia akan difikirkan oleh beliau untuk menentukan halatuju PAS Terengganu bagi menghadapi PRU 14 nanti,” demikian kata portal berita tajaan UMNO Terengganu itu.

Bergembirakah Ahmad Razif ketika ini kerana dapat 'membalas' kesipuan yang diakibatkan oleh Satiful kerana bekerjasama dengan Razali sebelum ini?

Sunday, 26 February 2017

Sah Sudah UMNO/BN Boleh Tawan 26 DUN, 7 Parlimen Terengganu


"Selain tahu siapa akan bertanding di pihak PPBM, UMNO/BN juga bijak dan mahir dalam menyusun dan mencaturkan calon... tidak peliklah jika ‘senarai calon UMNO/BN yang akan bertanding pada PRU14’ kini sudah beredar lebih enam kali."

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sudah boleh mula bermimpi enak-enak kerana politik Terengganu sudah kembali tenang.

Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Ahmad Razif kini sudah mampu untuk memfokuskan kepada menjamin UMNO/BN menang pilihan raya.

Ternyata serangan daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal tidak akan berlaku lagi.

‘Harimau sudah dapat dijinakkan’. Ahmad Said sudah berdiam diri akhir-akhir ini.

Malah khabar angin Ahmad Said akan ‘tinggalkan UMNO’ sudah tidak kedengaran.

Ahmad Razif turut menegaskan semalam, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dianggotai bekas pemimpin UMNO tidak menjadi ancaman kepada BN untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, bekas pemimpin parti itu yang secara keseluruhannya pernah memegang jawatan utama di peringkat negeri dan bahagian tidak berlakon, sebaliknya berterus terang dan mengisytiharkan menyertai serta menubuhkan parti itu.

Apalah sangat kehadiran PPBM di Terengganu, malah menurut Ahmad Razif: "Walaupun saya dimaklumkan PPBM akan meletakkan calon untuk bertanding di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang, tetapi BN negeri menganggap kehadiran pemimpin parti itu bukanlah satu ancaman.

Razali Idris...penggerak PBBM di Terengganu.
"Semua pengundi di negeri ini kenal dan tahu punca bekas pemimpin BN itu menyertai parti PPBM, termasuk ketua bahagian parti itu di Kuala Nerus," katanya.

Beliau dipetik oleh Berita Harian sebagai mengulas mengenai penubuhan parti itu di semua bahagian di negeri ini.

Sudah pasti Ahmad Razif kenal individu dan punca mereka keluar parti atau sebab-sebabnya. Cuma pertanyaan ialah apakah mereka ini pernah ‘didedakkan oleh Ahmad Razif’ seperti mereka yang berada di kelilingnya?

Apakah ketua-ketua bahagian, selain Datuk Razali Idris di Kuala Nerus seperti di Besut, Setiu, Marang  atau Kuala Terengganu pernah menerima kedudukan dan keistimewaan (kontrak dan dedak)  yang dinuagerahkan oleh Ahmad Razif.

Bagaimana pula mereka di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman? Meraka juga didedakkan seperti ketua-ketua bahagian UMNO di tiga kawasan parlimen itu?

Cuma kalau mahu mengatakan semua pengundi itu sukar sedikitlah kerana Menteri Besar sendiripun belum pasti apakah pengundi Terengganu akan memilih UMNO/BN kali ini.

Sikap pengundi Terengganu sukar diramal.

Tahniah kepada Ahmad Razif yang turut berkata bahawa penubuhan parti itu membuktikan amalan demokrasi masih subur di negara ini walaupun PPBM akan menentang calon BN pada PRU akan datang.

Jika kehadiran PPBM diterima, maka terimalah juga kehadiran pemimpin dan penyokong mereka.

Sewajarnya Ahmad Razif meminta pemimpin UMNO dan penyokong beliau berlapang dada dan tidak menyerang dan mengutuk penyokong dankepimpinan PPBM keran sikap terbukanya.

Lihat sahaja bagaimana Razali menunjukkan sikap terbukanya apabila melawat Menteri Besar di sebuah hospital di Kuala Lumpur ketika Menteri Besar menerima rawatan akibat ‘jatuh kuda’ tempoh hari.


Akibat kejadian itu, Pejabat Menteri Besar memaklumkan bahawa semua program membabitkan Menteri Besar Terengganu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian. Ahmad Razif dilaporkan memerlukan pengawasan doktor sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam seterusnya.

Selain itu Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus juga wajar sikap terbuka apabila melihat gambar Ketua Penaja PPBM Bahagian Kuala Nerus (Razali) menyerahkan bendera PPBM kepada Ketua Armada Kuala Nerus dua hari lalu.

Apa beliau nak dibimbangkan, orang muda di Kuala Nerus menyokongnya. Kerajaan negeri ada dana untuk memujuk kalangan muda terus menyokong UMNO. 

Malah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun ‘baharu sahaja disampaikan’ bagi menawan hati orang muda di seluruh Kuala Nerus dan Terengganu amnya. Selain bantuan ini, sudah ada Dana Remaja disediakan untuk orang muda.

Ahmad Razif juga pastinya mempunyai maklumat lengkap apabila mengatakan pemimpin utama PPBM di peringkat bahagian sudah mengenal pasti calon dari parti itu untuk bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Walaupun PPBM Pusat belum menyatakan pendirian sama ada akan bertanding di Terengganu atau sebaliknya, Ahmad Razif sudah tahu ‘senarai calon’ dan siapa akan bertanding.

Hebat UMNO/BN Terengganu ini.

Selain tahu siapa akan bertanding dipihak PPBM, mereka juga bijak dan mahir dalam menyusun dan mengatur calon. Jadi tidak peliklah jika ‘senanari calon UMNO/BN yang akan bertanding pada PRU14’ kini sudah beredar lebih enam kali.

Penyerahan bendera kepada ARMADA Kuala Nerus.
Ada sahaja perubahan nama dan mereka yang diviralkan itu dengan ‘berlapang dada’ menerima sahaja apa ketentuan yang diatur oleh UMNO Terengganu. Ia mugkin ikut selera Ahmad Razif!

Satu lagi yang menarik seperti disebutkan, Ahmad Razif sudah dapat ‘menjinakkan harimau Kemaman’.

ADUN Kijal sudah tidak menganggu Ahmad Razif lagi. Bukan sahaja melalui UMNO, malah melalui pertubuhan PERKASA pun Ahmad Said sudah tidak bersuara.

Kejayaan Ahmad Razif ini sudah pasti membanggakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. Ini kejayaan besar Ahmad Razif dan peluangnya menjadi Menteri Besar selepas PRU14 nanti sangat cerah.

Sekali lagi tahniah Ahmad Razif.

Kehadiran Ahmad Razif ke majlis sambut menantu Ketua UMNO Bahagian Kemaman  di kediaman di Teluk Kalong, Sabtu (25 Februari) menggambarkan segala-galanya.

Kedatangan Ahmad Razif ke majlis perkahwinan anak Ahmad Said disebut oleh Harian Metro sekali gus membayangkan sengketa kedua-dua pemimpin besar negeri itu sudah berakhir.

Malah akhbar itu melaporkan, majlis yang  dihadiri kiri-kira lebih 5,000 penduduk, menggambarkan betapa Ahmad Said tetap berpengaruh dan pastinya kehadiran Ahmad Razif di situ mengukuhkan kenyataan wujudnya perhubungan intim antara Ahmad Razif dan Ahmad Razif di depan mata rakyat, khususnya di Kemaman.

Menurut Harian Metro, Ahmad Razif yang berada di majlis itu kira-kira sejam, sempat bergambar dengan pasangan pengantin baru sebelum beredar meninggalkan kediaman bekas menteri besar itu pada kira-kira 2 petang.

Ia bukan lakonan politik sebaliknya tautan persahabatan selepas ‘kemelut Terengganu’ diselesaikan melalui formula Perdana Menteri beberapa bulan lalu.

Kesemua keadaan dan faktor ini akan memberikan kelebihan kepada Ahmad Razif.

Sudah pasti bukan sekadar boleh menang mudah di 26 kerusi DUN sahaja tetapi juga tujuh (7) Parlimen, kecuali Marang.

Selain tahu siapa akan bertanding di pihak PPBM, mereka juga bijak dan mahir dalam menyusun dan mencaturan calon.

Jadi tidak peliklah jika ‘senarai calon UMNO/BN yang akan bertanding pada PRU14’ kini sudah beredar lebih enam kali.

Malah, jika bijak menyusun susunan, Parlimen Marang juga UMNO/BN boleh menang kerana Razali ‘sudah lari dari Marang’ dan cuba mencari pengaruh di Seberang Takir.

Ini memudahkan kerja Ahmad Razif dan segala-falanya terbaik untuk UMNO/BN pada pilihan raya ini.

Inilah peluang untuk Menteri Besar membuktikan keupayaannya untuk memenuhi janjinya bagi menggembalikan kegemilangan UMNO/BN dengan mendapat majoriti dua pertiga di DUN Terengganu.

Kejayaan itu juga akan menghapuskan cakap-cakap bahawa beliau Menteri Besar paling lemah dalam sejarah pentadbiran UMNO/BN Terengganu.

Kejayaan itu kelak akan membebaskan dirinya  daripada bayang-bayang menteri besar terdahulu – Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahmad Said.