Showing posts with label LPT2. Show all posts
Showing posts with label LPT2. Show all posts

Wednesday, 29 March 2017

Perbelanjaan LPT2 - BN/UMNO Tidak Akan Pejuangkan Wang Rakyat


Tidak perlu diratap dan ditangisi lagi.

Wang Kerajaan Negeri Terengganu yang diguna bina Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) tidak akan pernah kembali lagi kepada rakyat negeri ini.

Rakyat Terengganu tidak perlu meratapinya lagi.

Selagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjadi pemerintah Terengganu, jangan harap ada usaha untuk menuntutnya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tidak akan berani dan bagai tiada tenaga dan political will menuntut perkara berkenaan.

Malah sebahagian yang sudah dikembalikan dibelanjakan pula kepada projek jalan persekutuan yang sewajarnya dipohon daripada kerajaan Pusat.

Harapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN/UMNO untuk menimbulkan isu pada persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini?

Jauh sekali!

Hishamuddin membela kepentingan rakyat.
Ketakutan mereka seperti takutnya Ahmad Razif kepada Datuk Seri Najib Razak. Pangkat dan kedudukan mengatasi segala-galanya.

Begitulah juga dengan ADUN BN/UMNO ketika ini yang menikus seribu bahasa dalam isu kepentingan rakyat seperti ini.


Kerana itu wajar disokong dan dihargai apabila ADUN PAS Tepoh,  Hishamuddin Abd Karim menyatakan kebimbangan mengenai perkara itu.

Ini kerana wang kerajaan negeri yang digunakan oleh kerajaan persekutuan untuk membina LPT2 dibimbangi tidak kembali ‘ke pangkuan’ rakyat.

Katanya, jawapan yang diberikan oleh Menteri Kerja Raya pada 19 Januari 2016 mengatakan bahawa duit itu disalurkan untuk menaiktaraf dan membaiki jambatan.

“Beliau (Menteri kerja raya) menyatakan tentang kesediaan kerajaan menyalurkan peruntukan menaiktaraf dua jalan dan tiga jambatan negeri ini melalui bajet pembinaan LPT2 seperti dipohon Terengganu,

“Saya bimbang tuntutan (wang LPT2) berlaku tetapi balik kepada projek-projek ‘federal’ (kerajaan persekutuan) melalui jalan raya, jalan persekutuan tapi bukan masuk kepada kepentingan kerajaan negeri,” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman pagi kelmarin 28 Mac 2017.

Ketika menjawab pertanyaan beliau, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengakui kedudukan itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menerima sebahagian pemulangan wang LPT2 sebanyak RM1.85 bilion tetapi digunakan pula untuk menaik taraf jalan persekutuan.

“Kita sebenarnya sudah menerima sebanyak RM118 juta yang telah dipulangkan kepada kerajaan negeri dan duit ini telah digunakan menaiktaraf jalan (persekutuan) dari dua lorong kepada empat lorong,

“Di kawasan Kijal, Chukai, Kemaman untuk menyambung (projek) yang kita laksanakan di kawasan Marang dan Dungun,” ujarnya.

Malah, berkaitan ini isu kutipan tol juga masih belum dapat diselesaikan cara pembahagiannya dan Ahmad Razif akur sahaja dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Monday, 1 August 2016

GANTI Dakwa LPT2 Lengang Selepas Tol Berkuatkuasa

Oleh : Wan Mohd Faizul Wan Abas


Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) sebelum ini telah buat kenyataan media tentang ketidakwajaran tol dikenakan di LPT2.

Selepas itu, isu ini hangat diperkatakan dan dipaparkan dalam media arus perdana. 

Kenyataan orang politik sama ada di pihak pembangkang mahupun kerajaan, NGO-NGO serta orang perseorangan diketengahkan.

Tetapi sebaik sahaja Menteri Besar Terengganu membuat kenyataan rayuan supaya kerajaan pusat mengkaji kadar tol LPT2, isu ini seolah-olah disejukbekukan.

Ahmad Razif...wajar diganti
Barangkali penyejukbekuan isu ini sesuai dengan keadaan LPT2 sekarang yang terlalu lengang kerana pengguna lebuhraya beralih ke laluan Jerangau-Jabor dan laluan pantai.

Kerajaan negeri dan pusat harus prihatin keadaan ini.

Rakyat seolah-olah memberi signal yang jelas bahawa tol yang dikenakan sangat membebankan.

Perkataan yang lebih sesuai untuk menggambarkan keadaan ini ialah RAKYAT MEMBOIKOT PENGUATKUASAAN TOL DI LPT2.

Tinjauan rambang *GANTI* terhadap pandangan pengguna lebuhraya LPT2 mendapati memang mereka memboikot LPT2 setelah diumumkan tol berkuatkuasa.

Tidak kurang yang mengaku bahawa mereka tidak pernah sekalipun menggunakan LPT2 semenjak tol dikenakan.

Saya juga mendapat maklumat bahawa sehingga kenyataan ini ditulis, Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu belum membincangkan lagi rayuan Encik Ahmad Razif selaku Menteri Besar Terengganu kepada kerajaan pusat berkenaan kadar tol.

Saya kira ini gambaran jelas bahawa Razif hanya bermain kata dan cuba menjadi hero dalam isu ini untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau prihatin terhadap nasib rakyat, padahal tidak ada satu pun tindakan konkrit pun dibuat.

Saya kira tindakan Razif itu tidak menggambarkan rakyat Terengganu berhak ke atas kemudahan awam yang lebih baik dan percuma hasil dari pendapatan royalti minyak selama berpuluh tahun dari bumi Darul Iman ini.


Kesimpulannnya, Razif dan Umno Barisan Nasional harus diganti ke arah mewujudkan Terengganu sejahtera dan lebih bermaruah.

Thursday, 21 July 2016

Ekuiti Dalam LPT2 – Pilih Antara Injuksi Atau Tuntut Rundingan Dengan Kerajaan Pusat


"Kaedah mengambil injunksi adalah wajar untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap bangkangan dan tidak bersetujunya rakyat Terengganu untuk dikenakan tol.”

Ultimatum atau kata dua daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Menteri Besar Terengganu.

Usahakan agar dapat  miliki ekuiti atau aset Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) atau risiko berdepan injuksi penangguhan kutipan tol.

Sikap kerajaan negeri yang tidak mengambil tindakan bersungguh-sungguh terhadap tawaran sama ada ekuiti atau aset LPT2 perlu penjelasan daripada Ahmad Razif Abdul Rahman.

Apakah Ahmad Razif sengaja tidak mahu kerajaan negeri terlibat atau beliau terlepas pandang?

Atau beliau ‘lemah’ dalam perundingan dengan Kerajaan Pusat memandangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar kini bagaikan ‘telor di hujung tanduk’?

Akibat lemas dengan tekanan, apa lagi selepas pingat kebesarannya di tarik balik, Ahmad Razif hanya nampak kedudukannya sahaja tanpa mempedulikan isu-isu membabitkan rakyat dan kepentingan kerajaan negeri.

LPT2 sepanjang 184 kilometer itu dibuka sepenuhnya pada 31 Dis tahun 2014, yang membolehkan perjalanan dari Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dipendekkan kepada empat jam.


Sabtu lalu (16 Julai 2916), Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar dari PKR, Azan Ismail menuntut Ahmad Razif memberikan jawapan sama ada kerajaan negeri menerima atau menolak tawaran ekuiti itu.

Hakikatnya, inilah masanya untuk kerajaan negeri boleh mengambil peluang untuk memiliki aset dan pengurusan konsesi secara eksklusif dan lebih baik.

Menurut Azan, kerajaan negeri perlu mengambil alih keseluruhan ekuiti ataupun aset LPT2 sebagaimana pengumuman tawaran yang pernah dibuat oleh kerajaan tahun lepas terhadap pemilikan keseluruhan konsesi dan aset-aset LPT.

Azan yang mendakwa mewakili Pakatan Harapan  (membabitkan PKR, DAP dan AMANAH) menegaskan sekiranya pertimbangan oleh kerajaan tidak dibuat dan Ahmad Razif tidak mempunyai jawapan terhadapnya, satu tidakan tegas akan diambil oleh PH.

Pihaknya (PH) akan mengadakan perbincangan dengan  beberapa pihak untuk mengambil tindakan injunksi di mahkamah bagi membolehkan keputusan lebih wajar dibuat.

“Kami faham bahawa keputusan untuk mengutip tol ini datang daripada kementerian ataupun kerajaan Pusat maka kami faham kerajaan negeri Terengganu berada dalam keadaan sukar serta terhimpit dengan keputusan ini.

“Jadi, kami rasa kerajaan negeri tidak berupaya setakat ini untuk berunding atau mencari alternatif lain selain membebankan rakyat negeri Terengganu dan pantai timur. Maka kami rasakan kaedah mengambil injunksi adalah wajar untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap bangkangan dan tidak bersetujunya rakyat Terengganu untuk dikenakan tol,” katanya.

Pada 18 Julai 2015 Ahmad Razif pernah berkata Kerajaan negeri Terengganu akan berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi memohon sejumlah peratusan saham pengurusan LPT2 daripada syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Berhad.

Menurutnya, LPT2, yang sebelum ini dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), akan diuruskan oleh PLUS mulai Ogos 2015.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan kira-kira 3,000 anak perantauan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir sempena Aidilfitri dan penyerahan surat tawaran menunaikan fardhu haji kepada 12 bakal haji dalam Parlimen Kuala Nerus di Seberang Takir.

Menteri Besar itu menjelaskan, segala kos untuk membaik pulih LPT2 akan dikeluarkan PLUS dan hentian Rehat dan Rawat, gerai dan stesen minyak LPT2 akan mula dibuka selepas bermulanya operasi PLUS.

Azan berpendapat, langkah segera perlu dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengelakkan injuksi itu ialah kerajaan negeri Terengganu mengemukakan bantahan kepada Kerajaan Pusat untuk menangguhkan kutipan tol di LPT2 itu dengan serta-merta.


Penangguhan itu akan membolehkan kerajaan negeri merundingkan beberapa perkara, termasuk kadar kutipan tol.

Azan Ismail yang juga Pengerusi PKR Terengganu, memberitahu bahawa ia perlu dilakukan demi kepentingan pengguna di laluan terbabit di samping spesifikasi keselamatan serta kemudahan yang boleh dipertikaikan.

Keadaan sekarang langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar berbanding kos pembinaan yang dianggap lebuh raya elit dan termahal di Semenanjung Malaysia.

Beliau menyifatkan pelaksanaan kutipan tol sebagai tergesa-gesa kerana pengumuman dibuat beberapa hari sebelum ia dilaksanakan. Ia juga turut menimbulkan persoalan sedangkan banyak masalah di laluan tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.

“Pertimbangan (perlu dibuat) untuk menilai sama ada munasabah atau tidak jumlah kutipan tol 12 sen satu kilometer dengan kemudahan yang tidak mencukupi dan juga kedudukan taraf keselamatan pengguna yang masih lagi dipertikaikan.

“Penangguhan ini juga memberi peluang kepada sama ada perlu berlaku pengurangan dalam kadar tol per kilometer sesuai dengan sumbangan kerajaan negeri ataupun pelaburan kerajaan negeri yang dibuat hampir separuh daripada jumlah (pembinaan) tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri di Pejabat PKR Kuala Terengganu, Gong Kapas, Sabtu lalu.

Beliau juga turut meminta mana-mana pihak tidak seharusnya menyalahkan rakyat sekiranya mereka mengambil tindakan mengadakan protes jalanan dan demonstrasi di plaza-plaza tol sebagai bantahan terhadap kutipan terbabit.

“Walaupun ini tidak berlaku dan kita tidak galakkan tetapi kita tahu sejarah apabila tidak ada penyelesaian maka selalunya akan dipilih kaedah sebegini.


Jadi, kita harap keadaan keputusan kutipan tol di Terengganu tidak mencapai keadaan tersebut,” katanya.

Monday, 11 July 2016

Kutipan Tol LPT2 Bermula 15 Julai - LLM


Kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dibuka kepada trafik sepenuhnya mulai 31 Jan 2015, akan berkuat kuasa bermula 12.01 tengah malam, 15 Julai 2016.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan kerajaan melaksanakan kutipan tol di LPT2 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat.

"Kutipan tol di lebuh raya ini perlu dilakukan untuk membiayai kos penyenggaraan dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya," katanya.

LPT2 bernilai RM3 bilion itu dari sempadan Pahang hingga ke Kampung Gemuruh.

Beliau berkata lebuh raya berkenaan akan melaksanakan kutipan tol secara sistem tol tertutup iaitu kadar tol akan dikira berdasarkan jarak perjalanan yang telah dilalui oleh pengguna.

Terdapat 10 plaza tol di sepanjang jajaran LPT2 iaitu Plaza Tol Cheneh, Plaza Tol Chukai, Plaza Tol Kijal, Plaza Tol Kerteh dan Plaza Tol Paka.

Lima lagi plaza tol ialah Plaza Tol Kuala Dungun, Plaza Tol Bukit Besi, Plaza Tol Ajil, Plaza Tol Telemong dan Plaza Tol Kuala Terengganu.

Ismail berkata kerajaan telah melantik Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT 2 Sdn Bhd), sebuah syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad) untuk melaksanakan operasi, penyenggaraan dan kutipan tol di lebuh raya tersebut.

LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor di Pahang hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu, merupakan lebuh raya empat lorong dua hala, dilengkapi dengan kemudahan 10 persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat serta dua hentian sebelah.

Ismail berkata kadar tol permulaan bagi LPT2 adalah 12 sen/km bagi kenderaan Kelas 1 (kereta). Dilaporkan

Sebagai contoh, pengguna yang membuat perjalanan dari Plaza Tol Kuala Terengganu ke Plaza Tol Cheneh dan sebaliknya, akan dikenakan bayaran tol sebanyak RM19.70, katanya.

Saturday, 9 July 2016

Nikmat Pembangunan - Jalan Setiu-Kampung Gemuruh Sesak Lebih 30 km

Jalan menuju ke persimpangan tol Gemuroh dari Kota Bharu. - Gambar Utusan.
Bertuahnya rakyat Kelantan dan Terengganu kerana hasil minyak.

Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) turut digunakan oleh orang Kelantan untuk ke Kuala Lumpur .

Lebuh raya berkenaan yang dilaksanakan kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Terengganu kini menjadi tumpuan pengguna kedua-dua negeri setiap kali perayaan.

Buktinya, jalan dari Kota Bharu menuju ke Kuala Terengganu sesak teruk lebih 30 kilometer dari bandar Setiu hingga ke persimpangan Tol Gemuruh hari ini.

Ia digunakan oleh anak perantauan yang pulang ke kampung berhari raya mula kembali ke ibu kota.

Tinjauan Bernama mendapati sejak semalam kenderaan bergerak perlahan dari awal pagi hingga lewat petang dan jalan menjadi sesak apabila pengguna dari Kota Bharu, Kelantan turut menggunakan laluan tersebut untuk melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Kesesakan teruk turut dialami di jalan sekitar Kampung Chalok dan susur masuk di Tol Gemuruh, bagaimanapun aliran trafik dari Kuala Terengganu ke Besut berjalan lancar.

Seorang pengguna jalan raya, Ahmad Sabri Hasan, 35 yang berasal dari Kota Bharu berkata beliau mengambil masa lebih enam jam dari Kota Bharu ke Tol Gemuruh disebabkan berlaku kesesakan jalan raya di beberapa tempat.

"Biasanya saya hanya ambil masa dua jam dari kampung ke tol ini, tapi hari ni sampai lima jam lebih...memang banyak kenderaan yang gunakan laluan ini terutamanya pada musim perayaan ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi pengguna, Ahmad Naufal Mustakin Ahmad Radzi, 27, dari Besut berkata beliau mengambil masa hampir tiga jam dari kampungnya ke Kampung Gemuruh untuk menggunakan laluan LPT2.

"Biasa tak sampai dua jam pun dari rumah, tapi hari ni memang banyak kenderaan sebab pengguna dari Kelantan pun guna laluan ni untuk naik ke LPT2.

"Laluan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu berjalan lancar sebab tak banyak sangat kenderaan...tapi dari Kota Bharu ke Terengganu, memang sesak teruk," katanya.

Sementara itu Norhafiza Ismail, 30 mencadangkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya meneruskan projek pembinaan LPT3 yang menghubungkan Gemuruh hingga ke Tumpat, Kelantan bagi memastikan kesesakan jalan dapat diatasi.

"Saya pernah dengar kerajaan negeri dan pusat sedang kaji pembinaan LPT3...memang sangat bertepatanlah kalau LPT3 dibina sebab setiap kali musim cuti sekolah dan perayaan beginilah keadaan jalan raya...memang sesak!


"Kalau LPT3 dibina sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan ini dan pengguna boleh pulang ke kampung dan kembali ke ibu kota dengan selesa," katanya yang bertugas sebagai seorang guru di Pontian, Johor.

Monday, 30 November 2015

Kemalangan di LPT2 Banyak Berlaku Pada waktu Siang, Cuaca Baik


Kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) lebih banyak berlaku pada waktu siang  dan cuaca baik.

Menurut kajian, sebanyak 66 peratus kemalangan berlaku pada waktu siang berbanding 41 peratus pada sebelah malam, serta ketika cuaca baik iaitu 66 peratus berbanding waktu hujan 33 peratus dan waktu berkabus kira-kira satu peratus.

Sejak Februari hingga 16 Okt lepas, 497 kes atau kira-kira 71 peratus kemalangan di LPT2 dikesan berpunca daripada kenderaan yang terbabas, diikuti kejadian langgar belakang sebanyak 95 kes atau 14 peratus dan sebagainya.

Kajian menunjukkan dari Januari 2011 hingga Oktober 2015, sebanyak 24 kes kemalangan maut akibat laju dan terbabas sehingga menyebabkan 31 kematian direkodkan diikuti kes memandu laju dan melanggar belakang (sembilan kes dengan 10 kematian), memandu ketika mengantuk dan langgar belakang (lima kematian) serta memandu laju dan bergesel serta mengantuk dan terbabas, masing-masing empat kematian direkodkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Ir Rosli Othman memberitahu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini, bagi kemalangan berpunca daripada kenderaan pula, dalam tempoh yang sama (Januari 2011 hingga Oktober 2015), sebanyak tujuh kematian direkodkan berpunca daripada tayar pecah dan pancit.

Selain itu, faktor persekitaran seperti angin lintang, kabus tebal, langgar lembu dan sebagainya turut merekodkan empat kematian, sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 82 kes, katanya.

Menurut beliau, pembinaan LPT2 dibuat setelah kajian kejuruteraan bersesuaian dengan keadaan tanah lembut di jajaran itu, dijalankan.

Hasil kajian itu mendapati 60 peratus dari jajaran lebuh raya sepanjang 184 kilometer itu adalah terdiri daripada tanah lembut.

"Bagaimanapun, pembinaan dibuat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya itu, telahpun mengambil kira semua faktor dari aspek kejuruteraan mengenai struktur tanah dan keselamatan pengguna lebuh raya itu.

"Maknanya dari segi kejuruteraan, sebelum reka bentuk itu dibuat, satu kajian atau penyiasatan tanah telah dilaksanakan bagi mengenal pasti keupayaan tanah itu untuk menampung bebanan.

"Hasil kajian itu, kita kemudian mereka bentuk satu cara. Contohnya, bagaimana memastikan dalam tempoh selepas selesai atau sedang dalam pembinaan (LPT2), tidak berlaku lagi kejadian tanah mampat," katanya menjawab soalan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Wan Abdul Hakim mengenai punca kemalangan yang sering berlaku di LPT2, Rosli berkata ia disebabkan oleh tiga faktor utama iaitu kecuaian manusia, masalah kenderaan serta keadaan persekitaran.

"Hasil laporan mendapati lebih banyak kemalangan pada waktu siang iaitu 66 peratus berbanding sebelah malam (41 peratus) serta lebih banyak kemalangan ketika cuaca baik iaitu 66 peratus berbanding waktu hujan (33 peratus) dan waktu berkabus kira-kira satu peratus.

"Sejak Februari hingga 16 Okt lepas, 497 kes atau kira-kira 71 peratus kemalangan di LPT2 dikesan berpunca daripada kenderaan yang terbabas, diikuti kejadian langgar belakang sebanyak 95 kes atau 14 peratus dan sebagainya.

"Dari Januari 2011 hingga Oktober 2015, sebanyak 24 kes kemalangan maut akibat laju dan terbabas sehingga menyebabkan 31 kematian direkodkan diikuti kes memandu laju dan melanggar belakang (sembilan kes dengan 10 kematian), memandu ketika mengantuk dan langgar belakang (lima kematian) serta memandu laju dan bergesel serta mengantuk dan terbabas, masing-masing empat kematian direkodkan," katanya.

Bagi kemalangan berpunca daripada kenderaan pula, beliau berkata dalam tempoh yang sama (Januari 2011 hingga Oktober 2015), sebanyak tujuh kematian direkodkan berpunca daripada tayar pecah dan pancit.

Selain itu, faktor persekitaran seperti angin lintang, kabus tebal, langgar lembu dan sebagainya turut merekodkan empat kematian, sekali gus menjadikan jumlah kematian keseluruhan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak 82 kes, katanya.

Sumber - Bernama


Monday, 16 November 2015

Semua R&R Di LPT2 Dijangka Beroperasi Sepenuhnya Tahun Depan


Kerajaan Terengganu menjangkakan kesemua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Ir Rosli Othman berkata setakat ini R&R di kawasan Perasing dan Ajil telah beroperasi dan beberapa lot kedai telah pun dibuka.

Katanya beberapa lagi R&R seperti di Paka dan Bukit Besi akan dibuka secara berperingkat selepas kawasan itu siap sepenuhnya.

"Ini adalah hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan kawasan itu beroperasi bagi memberi kemudahan kepada pengguna untuk berehat, makan dan sebagainya sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Mesra Muhibbah Sambutan Hari Deepavali di Dewan Sivik Kerteh, Kemaman, malam semalam.

Menurutnya selain kawasan R&R, pihaknya juga meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengenal pasti lokasi strategik bagi membina stesen minyak di laluan sepanjang 184 kilometer itu.

Dalam perkembangan lain, Rosli meminta pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar memberi perhatian kepada pengangkutan awam yang menggunakan laluan tersebut.

Ini ekoran beberapa kemalangan melibatkan langgar belakang ketika kenderaan bergerak dilaporkan berlaku di lebuh raya tersebut dan yang terbaharu, sebuah bas persiaran merempuh belakang lori membawa muatan kayu semalam.

"Ada dakwaan yang mengatakan mereka tidak nampak lampu pada kenderaan di hadapan sehingga tercetusnya kemalangan.

"Jadi kita harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dan pemandu lori mahupun bas menitik beratkan kenderaan mereka bagi menggelakkan insiden ini daripada terus berulang," katanya.

Di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu, perjanjian konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) untuk menentukan syarikat yang akan mengurus dan menyelenggara lebuh raya itu termasuk menjalankan kutipan tol, dijangka akan ditandatangani pada akhir tahun ini.


Dewan Rakyat diberitahu hari ini,  pada masa ini, kerajaan masih lagi dalam proses untuk memuktamadkan perjanjian itu dengan syarikat yang dipilih secara 'request for proposal'.

"Sehubungan itu, isu-isu berkaitan kadar tol dan pembahagian ekuiti yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri masih belum dimuktamadkan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang ingin tahu bilakah LPT2 akan beroperasi sepenuhnya dan bagaimanakah agihan pegangan saham antara pemegang konsesi dengan kerajaan negeri Terengganu.

Rosnah berkata, LPT2 sepanjang 184km telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada trafik pada 31 Jan lalu dan pada masa ini pengguna tidak dikenakan sebarang tol.

Dalam pada itu, Rosnah turut menjelaskan mengenai kekerapan berlakunya kemalangan di lebuh raya itu yang menurutnya banyak disebabkan oleh faktor manusia, kenderaan serta persekitaran.

Katanya, berdasarkan analisa dari Februari hingga September tahun ini, sebanyak 517 kes atau 78 peratus kemalangan di LPT2 berlaku disebabkan faktor manusia, diikuti faktor persekitaran iaitu 90 kes (13 peratus) dan faktor kenderaan sembilan peratus.

"Disebabkan oleh kekerapan berlaku kemalangan ini, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengambil langkah proaktif terutama di lokasi kerap berlaku kemalangan dengan menambah baik ciri-ciri keselamatan di sepanjang LPT2.

"Antaranya termasuk pemasangan papan tanda amaran, pemasangan pelekat pantulan cahaya, menambah baik permukaan lebuh raya dan banyak lagi...selain penguatkuasaan pihak polis untuk mengawasi had laju," katanya.

Monday, 9 November 2015

LPT2 – Pemanduan Melebihi Had Laju Dibimbangi Punca Kemalangan


Operasi Khas Dalam tempoh empat hari Operasi Khas, seba­nyak 1,550 saman dikeluarkan dengan 802 daripadanya adalah saman melebihi had laju di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) as selama empat hari di Terengganu bermula dari 5 hingga 8 November lalu.

Dengan kedudukan seperti ini sudah tentu Polis  melihat jumlah itu sesuatu yang membimbangkan dalam aspek pengabaian keselamatan dalam kalangan pengguna.

Malah polis turut berjaya merekodkan pemanduan mencecah kelajuan 210km/j pada hari ketiga operasi di laluan yang masih lengang di luar musim perayaan.

Kenderaan berkelajuan 210km/j yang dirakam pada waktu siang berhampiran Ajil itu merupakan kereta jenama Porsche Cayenne.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah, operasi itu menggunakan kaedah perangkap had laju, rondaan cegah kemalangan dan pemantauan dari udara.

Bercakap  pada Majlis Penutup Operasi Khas LPT2 di Pejabat Felda Wilayah Timur di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata saman dikeluarkan kerana kesalahan memandu melebihi had laju kebangsaan 110 kilometer sejam (km/j).

Operasi Khas LPT2 itu membabitkan 130 anggota polis Trafik dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Trafik Kontinjen Johor dan Terengganu sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan di laluan itu.

Jelasnya selain memfokuskan had laju, rondaan di sepanjang laluan 184 kilometer itu turut dibantu 10 kereta peronda, 17 motosikal berkuasa tinggi trafik, sebuah helikopter dan empat kamera perangkap had laju.

"Kami harap operasi sebegini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya di LPT 2 yang mula dibuka secara berperingkat sejak Ogos 2011," katanya.

Wan Aziz berkata operasi yang dilancarkan itu turut mengesan jenayah lain termasuk narkotik, individu yang mempunyai waran tangkap dan lain-lain kesalahan.

Sebanyak 748 saman turut dikeluarkan membabitkan kesalahan selain termasuk empat lelaki ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Empat lelaki yang berusia 29 hingga 45 tahun diberkas bersama daun ketum dan dadah disyaki pil kuda.

Dalam operasi khas itu juga, polis menyita enam buah kenderaan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan seperti menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cukai jalan tamat tempoh.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Abdul Aziz berkata tindakan undang-undang juga akan dikenakan kepada individu yang menceroboh kawasan LPT2 dengan memotong dan merosakkan pagar rezab serta tindakan saman terhadap mereka yang meletakkan kenderaan di lorong kecemasan untuk berehat dan tidur.

Berdasarkan statistik dari Januari hingga 8 November, 803 kes kemalangan direkodkan iaitu 32 kes melibatkan kemalangan maut membabitkan 45 kematian.


Kelmarin, LPT2 terus meragut nyawa walaupun pelbagai usaha bagi mengurangkan nahas terma­suk menempatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang dilengkapi peralatan bantuan, menggandakan operasi perangkap had laju dan memasang papan tanda amaran telah dijalankan.

Ia melibatkan seorang jurutera petrokimia di Kerteh, Muhammad Faizol Mohammad, 26, selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 252.1, berhampiran Hentian Rehat Dan Rawat Perasing, Jabor di malam kelmarin.

Ketika kejadian pukul 10.45 malam itu, Muhammad Faizol dikatakan dalam perjalanan pulang bersendirian dari Seremban ke kediamannya di Kemasek.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas, lalu melanggar pembahagi jalan di tengah laluan sebelum merempuh tembok kon­krit kepala jambatan Sungai Perasing.


Kemalangan berlaku di jalan lurus dalam keadaan trafik lengang namun jalan basah akibat hujan sebelum itu.

Sumber Bernama, Utusan, Kosmo!

Wednesday, 28 October 2015

80 Peratus Permukaan LPT2 Dalam Keadaan Baik - Menteri Kerja Raya


Dianggarkan 80 peratus permukaan jalan sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berada dalam keadaan baik dan ia bukanlah faktor utama berlakunya kemalangan maut, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pihaknya melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi membuat penilaian dan audit semula permukaan lebuh raya itu sama ada ia mematuhi kadar kelicinan yang ditetapkan atau sebaliknya.

Namun begitu, katanya masih terdapat beberapa kawasan yang beralun terutama di sekitar kawasan penyambung jambatan dan lokasi berhampiran pembentung di sepanjang laluan itu.

"Hari ini saya melihat sendiri kaedah membuat audit menggunakan kenderaan pengimbas jalan (Ikram Road Scanner) iaitu kenderaan yang lengkap dengan peralatan canggih seperti kamera, mesin pemungut data serta mesin pengimbas berupaya mengesan struktur jalan.

"Hari ini kami buat 'profiling' menggunakan kenderaan untuk melihat dari segi alunan jalan, keratan jalan serta kamera yang boleh menangkap keluasan jalan ataupun papan tanda yang dipasang mengikut standard yang ditetapkan ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di LPT2 berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R and R) Perasing di Kemaman, semalam.

Jelasnya satu daripada audit telah siap dijalankan iaitu bagi melihat permukaan dan tahap kelicinan jalan itu sama ada mematuhi standard antarabangsa ataupun tidak yang mana permukaan licin boleh mendedahkan bahaya seperti mampu mengelincir kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Malah Fadillah mengakui masih terdapat beberapa laluan beralun yang mungkin melebihi standard yang ditetapkan.

Menurutnya menerusi data yang diperoleh daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu daripada punca berlaku kemalangan jalan raya disebabkan limpahan air serta air bertakung iaitu 72 kes direkodkan.

Katanya bagi mengatasi masalah itu, kawasan air bertakung dibuat peparitan supaya mencegah air daripada melimpah ke jalan raya hingga mendedahkan bahaya kepada pengguna.

Mengenai masalah alunan di LPT2, katanya tindakan sedang diambil oleh kontraktor kerana sebahagian lebuh raya itu masih di bawah bidang kuasa mereka.

Fadillah berkata pihaknya menganggarkan tempoh dua minggu diperlukan bagi membolehkan badan penilai bebas yang dilantik, membuat penilaian penuh keadaan lebuh raya itu.


mStar

Monday, 19 October 2015

LPT2 - Kemalangan Maut Berterusan Berkaitan Unsur Paranormal?


Kemalangan maut di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga meragut lebih 80 nyawa dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur-unsur paranormal atau mistik.

Menurut sumber, fenomena itu dipercayai wujud berdasarkan beberapa laporan daripada mangsa kemalangan kepada pihak polis.

Difahamkan, dalam aduan itu, ada mangsa mendakwa ternampak objek seperti lembaga sebelum berlaku kemalangan.

Malah turut difahamkan, aduan yang dibuat mangsa telah direkod oleh pihak polis.

Dalam pada itu, kira-kira 300 orang termasuk para pelajar sekolah pondok dan Sekolah Menengah Imtiaz menunaikan solat maghrib dan solathajat diketuai Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz di pekarangan Plaza Tol Ajil di Hulu Terengganu malam tadi bagi melindungi para pengguna daripada ditimpa musibah dan gangguan makhluk halus.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib; ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur, Ahmad Iskandar Abdul Kadir.

Sebelum itu, Menteri Besar telah diberi taklimat mengenai punca sebenar kadar nahas jalan raya di LPT2 termasuk kejadian yang mengorbankan enam sekeluarga di Kilometer 258.8 dekat Jabor pada 15 Oktober lalu.

Semalam, LPT2 terus meragut nyawa. Kali ini melibatkan seorang pengawal keselamatan yang maut dalam nahas di Kilometer 317.9 berhampiran Plaza Tol Kerteh.

Dalam kejadian pukul 1.25 pagi semalam, Samsuhaimi Che Mat, 46, yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Himpunan 60 Fastaqim yang diadakan di Kota Bharu tercampak dari motosikal yang diboncengnya selepas melanggar pembahagi jalan.
 
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi berkata, mangsa yang membonceng motosikal rakannya, Adib Ahmad Amin Abdul Zahar, 18, semasa berkonvoi bersama 10 buah motosikal dalam perjalanan ke Chenor, Pahang.

Berikutan itu, Kerajaan Terengganu akan mengambilbeberapa langkah segera bagi mengelakkan kes kemalangan maut berterusan di LPT2.

Ahmad Razif berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk meletakkan pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sepanjang laluan tersebut.

Katanya langkah lain yang akan dicadangkan ialah memperbanyakkan papan tanda amaran dan meminta pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenal pasti kawasan berisiko serta mencadangkan pihak polis memasang perangkap had laju.

"Langkah yang dilaksanakan ini bagi memberi peringatan kepada pengguna dan sentiasa berhati-hati ketika menggunakan laluan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat di Plaza Tol Ajil semalam.

Menurut Ahmad Razif faktor kelalaian antara punca yang dikenal pasti berlakunya kemalangan maut sehingga meragut banyak nyawa dan kebanyakan kes itu berlaku pada waktu siang.

Katanya laporan LLM dan polis mendapati 70 peratus kemalangan berlaku kerana kecuaian pengguna, 14 peratus aspek persekitaran, sembilan peratus permasalahan kenderaan dan lain-lain kes.

"Kita dapati faktor utama akibat kelalaian dan bukannya faktor jalan serta kebanyakan kes itu berlaku pada jalan yang lurus dan pada waktu siang.

Bagaimanapun kerajaan negeri memberi jaminan laluan sepanjang LPT 2 itu selamat digunakan dan kawasan beralun juga telah diperbaiki.

Ahmad Razif berkata jumlah kenderaan juga bertambah dan hampir 25 ribu kenderaan menggunakan lebuh raya tersebut setiap hari.

Jelas beliau, pihaknya akan memastikan elemen keselamatan terus dipertingkatkan termasuk meminta pihak konsesi membenarkan kiosk di kawasan rawat dan rehat (R&R) beroperasi bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

"Kita menolak dakwaan lebuh raya ini tidak selamat digunakan...jika ia ditutup akan menimbulkan kesulitan serta menimbulkan persepsi negatif.

Mengikut statistik PDRM sehingga 16 Okt sebanyak 82 kes kematian telah direkodkan di sepanjang laluan tersebut melibatkan 1,989 kes kemalangan. Jumlah tersebut tidak termasuk 3 kes maut pada 18 dan 19 Okt.