Monday 16 November 2015

Semua R&R Di LPT2 Dijangka Beroperasi Sepenuhnya Tahun Depan


Kerajaan Terengganu menjangkakan kesemua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Ir Rosli Othman berkata setakat ini R&R di kawasan Perasing dan Ajil telah beroperasi dan beberapa lot kedai telah pun dibuka.

Katanya beberapa lagi R&R seperti di Paka dan Bukit Besi akan dibuka secara berperingkat selepas kawasan itu siap sepenuhnya.

"Ini adalah hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan kawasan itu beroperasi bagi memberi kemudahan kepada pengguna untuk berehat, makan dan sebagainya sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Mesra Muhibbah Sambutan Hari Deepavali di Dewan Sivik Kerteh, Kemaman, malam semalam.

Menurutnya selain kawasan R&R, pihaknya juga meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengenal pasti lokasi strategik bagi membina stesen minyak di laluan sepanjang 184 kilometer itu.

Dalam perkembangan lain, Rosli meminta pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar memberi perhatian kepada pengangkutan awam yang menggunakan laluan tersebut.

Ini ekoran beberapa kemalangan melibatkan langgar belakang ketika kenderaan bergerak dilaporkan berlaku di lebuh raya tersebut dan yang terbaharu, sebuah bas persiaran merempuh belakang lori membawa muatan kayu semalam.

"Ada dakwaan yang mengatakan mereka tidak nampak lampu pada kenderaan di hadapan sehingga tercetusnya kemalangan.

"Jadi kita harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dan pemandu lori mahupun bas menitik beratkan kenderaan mereka bagi menggelakkan insiden ini daripada terus berulang," katanya.

Di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memberitahu, perjanjian konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) untuk menentukan syarikat yang akan mengurus dan menyelenggara lebuh raya itu termasuk menjalankan kutipan tol, dijangka akan ditandatangani pada akhir tahun ini.


Dewan Rakyat diberitahu hari ini,  pada masa ini, kerajaan masih lagi dalam proses untuk memuktamadkan perjanjian itu dengan syarikat yang dipilih secara 'request for proposal'.

"Sehubungan itu, isu-isu berkaitan kadar tol dan pembahagian ekuiti yang melibatkan kepentingan kerajaan negeri masih belum dimuktamadkan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang ingin tahu bilakah LPT2 akan beroperasi sepenuhnya dan bagaimanakah agihan pegangan saham antara pemegang konsesi dengan kerajaan negeri Terengganu.

Rosnah berkata, LPT2 sepanjang 184km telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada trafik pada 31 Jan lalu dan pada masa ini pengguna tidak dikenakan sebarang tol.

Dalam pada itu, Rosnah turut menjelaskan mengenai kekerapan berlakunya kemalangan di lebuh raya itu yang menurutnya banyak disebabkan oleh faktor manusia, kenderaan serta persekitaran.

Katanya, berdasarkan analisa dari Februari hingga September tahun ini, sebanyak 517 kes atau 78 peratus kemalangan di LPT2 berlaku disebabkan faktor manusia, diikuti faktor persekitaran iaitu 90 kes (13 peratus) dan faktor kenderaan sembilan peratus.

"Disebabkan oleh kekerapan berlaku kemalangan ini, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengambil langkah proaktif terutama di lokasi kerap berlaku kemalangan dengan menambah baik ciri-ciri keselamatan di sepanjang LPT2.

"Antaranya termasuk pemasangan papan tanda amaran, pemasangan pelekat pantulan cahaya, menambah baik permukaan lebuh raya dan banyak lagi...selain penguatkuasaan pihak polis untuk mengawasi had laju," katanya.

No comments:

Post a Comment