Tindakan tegas akan diambil ke atas guru sebuah sekolah
di Besut jika didapati ada unsur kecuaian pihak sekolah berhubung kes buli yang
menjadi viral di laman sosial.
Exco Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas
Negeri Ghazali Taib berkata pihaknya akan mengikut prosedur operasi standard
(SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan di mana guru sekolah berkenaan
turut disiasat.
"Kita akan siasat jika ada kecuaian guru dan guru
besar sekolah itu. Kita akan lihat kenapa tiada ustaz atau ustazah mengawasi
keadaan sehingga terjadinya insiden berkenaan," katanya ketika diminta
mengulas video yang tersebar di laman sosial sejak 2 hari lepas.
Video berdurasi 6 minit 29 saat itu memaparkan
sekumpulan murid lelaki memukul seorang murid lain yang lengkap berpakaian
pengawas di surau sekolah berkenaan.
Menerusi rakaman video itu, seorang murid tahun 4 dan 5
pelajar tahun 5 yang berpakaian sukan menumbuk , menyepak, memijak bahu dan
memaksa mangsa mencium stokin.
Polis Besut berkata semalam, pihaknya akan menyiasat dan
mengesan individu yang terbabit
Superintendan Khaled Che Lah, berkata bapa mangsa sudah
membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, jam
9 pagi kelmarin.
Beliau berkata,
bapa mangsa turut mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah mengenai kejadian
menimpa anak lelakinya itu.
"Kita ada
menerima laporan kejadian dan kita akan melakukan siasatan terperinci. Malah,
kita juga turut mengesan individu yang menyebarkan rakaman video berkenaan
untuk disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan
video itu di laman sosial," katanya.
Berdasarkan keterangan pada video berkenaan yang
dipaparkan di sebuah laman sosial, penulisnya mendakwa mangsa adalah saudara
terdekatnya dan kerap menjadi mangsa buli di sekolah itu.
"Setiap hari minta duit dari si mangsa. Kalau tidak
beri kena pukul. Setiap hari kena ugut suruh jangan beritahu sesiapa, kalau
tidak, kena pukul. Patutlah mangsa sejak darjah empat dan lima dulu asyik minta
tukar sekolah. Tetapi tidak mampu nak cakap sebab apa nak tukar sekolah.
"Hati ayah
dan ibu mana tak terasa tengok anak dipukul, disepak. Selama ini mangsa ke
sekolah dalam ketakutan. Nak beritahu ibu bapa tak berani. Pernah sekali
mengadu pada ibu dan ibu mengadu pada seorang guru sekolah, tetapi hanya
dipandang ringan.
"Sebaliknya
mangsa dipukul oleh pembuli kerana bertindak membocorkan rahsia. Cikgu sekarang
benda berlaku di sekolah pun tak ambil pusing. Sedangkan budak sekolah rendah
saja. Pelik," kata penulis itu yang memperkenalkan dirinya sebagai saudara
terdekat.
Ghazali selanjutnya berkata jika terbukti wujudnya kecuaian, pihaknya
tidak keberatan mengambil tindakan ke atas guru yang terbabit termasuk dipecat
atau ditukar.
"Bagaimanapun kes ini perlu disiasat lebih
terperinci dan kita akan putuskan nanti," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri
Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata pihaknya akan mengikut SOP yang
ditetapkan untuk menyiasat kes berkenaan.
"Kita juga akan turut memberikan kaunseling kepada
mangsa untuk mengatasi trauma yang dialami dan 1 perjanjian menyelesaikan
perkara itu dengan cara baik akan dilakukan. Namun ianya bergantung kepada budi
bicara keluarga mangsa," katanya.
No comments:
Post a Comment