Sunday 1 November 2015

Ahmad Razif – Selamatkan UMNO Lebih Penting Daripada Selamatkan Individu


Pendirian UMNO Terengganu adalah untuk menyelamatkan parti dan bukannya individu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman  berkata usaha  menyelamatkan parti lebih penting daripada menyelamatkan individu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Terengganu mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai timbalan presiden UMNO di tengah dakwaan usaha menyingkirkan beliau.

Untuk soalan itu, Ahmad Razif  berkata isu itu bukan mengenai Muhyiddin, tetapi mengenai apa yang dikehendaki daripada ahli parti.

Beliau menegaskan bahawa anggota parti terikat dengan undang-undang dan peraturan parti.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Terengganu menegaskan UMNO tidak dimiliki presiden parti, sebaliknya dipunyai ahlinya yang terdiri daripada komuniti Melayu.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, Ahli Dewan Undangan Seberang Takir itu berkata, mana-mana ahli juga tertakluk kepada Perlembagaan parti.

"Saya yakin UMNO bukan kepunyaan presiden, UMNO milik semua dan serah pada badan yang bertanggungjawab (ambil tindakan).

"Saya yakin badan (lembaga disiplin) kita badan yang telus, bila jatuh hukuman mesti ada fakta. Kalau tidak ada integriti, ahli sudah tentu akan protes dan akan bagi kesan pada parti," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.


"Sekiranya badan disiplin mendapati Muhyiddin bersalah dalam soal ini, maka saya akan menyokong apa sahaja tindakannya. Kita perlu menyelamatkan organisasi dan bukan individu. (Perkara) ini perlu dalam satu organisasi.

"Kalau kita tengok mana-mana organisasi, soal gantung, pecat (menjadi) suatu kebiasaan kepada ahli-ahli yang tak menyokong ataupun yang telah melanggar peraturan.

"Jadi saya pulangkan soal (tindakan terhadap) Muhyiddin kepada bahagian disiplin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian UMNO Terengganu berhubung isu membabitkan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan akan dikenakan tindakan susulan kritikan-kritikan terbuka terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Razif menegaskan:  "Ini bukan soal Muhyiddin, tapi kena cakap pada ahli UMNO. Mereka tertakluk pada peraturan, sesiapa nak anggotai mana-mana organisasi baik politik kena akur dan patuh pada peraturan.
"Kalau badan yang bertanggungjawab jaga disiplin, padangan ahli dah langgar peraturan maka saya setuju dan menyokong penuh tindakan tegas diambil.

"Kita nak selamatkan organisasi bukan selamatkan individu," katanya.

Beliau berkata, tindakan menggantung keahlian juga adalah amalan biasa dalam organisasi bagi mereka yang menentang dan melanggar peraturan parti.

"Disiplin dalam satu organisasi atau parti perlu ada, mana-mana organisasi kalau kita tengok pun soal gantung pecat adalah kebiasaan pada ahli-ahli yang tidak sokong atau langgar peraturan," katanya.

Razif bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kenyataan-kenyataan Muhyiddin terhadap Najib sebelum ini dianggap melanggar disiplin parti.

"Saya tidak boleh jawab kerana yang akan tentukan adalah lembaga disiplin parti.

"Saya difahamkan perkara itu sedang diteliti lembaga disiplin, kalau kita dapati berlakunya kesalahan tiada masalah (jatuhkan hukuman)," katanya.

Tambahnya lagi, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap parti perlu meluahkannya kepada saluran betul dan tidak bertindak di luar batasan Perlembagaan dan undang-undang parti.

"Kepimpinan UMNO Terengganu akan terus menyokong kepimpinan parti sedia ada. Kita di belakang presiden UMNO, yang jadi ketua adalah presiden," tegasnya.

Sabtu lalu, Muuhyiddin mengeluarkan kenyataan keras menggesa pemimpin UMNO pengecut keana tidak bersuara sewaktu negara berdepan krisis.


Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos pada Khamis lalu mendakwa terdapat gerakan untuk menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan timbalan presiden UMNO.

No comments:

Post a Comment