Wednesday 28 October 2015

80 Peratus Permukaan LPT2 Dalam Keadaan Baik - Menteri Kerja Raya


Dianggarkan 80 peratus permukaan jalan sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berada dalam keadaan baik dan ia bukanlah faktor utama berlakunya kemalangan maut, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata pihaknya melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi membuat penilaian dan audit semula permukaan lebuh raya itu sama ada ia mematuhi kadar kelicinan yang ditetapkan atau sebaliknya.

Namun begitu, katanya masih terdapat beberapa kawasan yang beralun terutama di sekitar kawasan penyambung jambatan dan lokasi berhampiran pembentung di sepanjang laluan itu.

"Hari ini saya melihat sendiri kaedah membuat audit menggunakan kenderaan pengimbas jalan (Ikram Road Scanner) iaitu kenderaan yang lengkap dengan peralatan canggih seperti kamera, mesin pemungut data serta mesin pengimbas berupaya mengesan struktur jalan.

"Hari ini kami buat 'profiling' menggunakan kenderaan untuk melihat dari segi alunan jalan, keratan jalan serta kamera yang boleh menangkap keluasan jalan ataupun papan tanda yang dipasang mengikut standard yang ditetapkan ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di LPT2 berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R and R) Perasing di Kemaman, semalam.

Jelasnya satu daripada audit telah siap dijalankan iaitu bagi melihat permukaan dan tahap kelicinan jalan itu sama ada mematuhi standard antarabangsa ataupun tidak yang mana permukaan licin boleh mendedahkan bahaya seperti mampu mengelincir kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Malah Fadillah mengakui masih terdapat beberapa laluan beralun yang mungkin melebihi standard yang ditetapkan.

Menurutnya menerusi data yang diperoleh daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu daripada punca berlaku kemalangan jalan raya disebabkan limpahan air serta air bertakung iaitu 72 kes direkodkan.

Katanya bagi mengatasi masalah itu, kawasan air bertakung dibuat peparitan supaya mencegah air daripada melimpah ke jalan raya hingga mendedahkan bahaya kepada pengguna.

Mengenai masalah alunan di LPT2, katanya tindakan sedang diambil oleh kontraktor kerana sebahagian lebuh raya itu masih di bawah bidang kuasa mereka.

Fadillah berkata pihaknya menganggarkan tempoh dua minggu diperlukan bagi membolehkan badan penilai bebas yang dilantik, membuat penilaian penuh keadaan lebuh raya itu.


mStar

No comments:

Post a Comment