Wednesday 7 October 2015

1MDB – Putrajaya, Najib Perlu Bertindak Segera, Jangan Membisu Seribu Bahasa….


Selepas Raja-Raja Melayu ‘bersuara’ mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Putrajaya, semua mata kini tertumpu kepada Putrajaya, khususnya Perdana Menteri yng juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dengan kata lain, semua pihak menyokong Raja-Raja Melayu agar isu ini ditangani segera dan mengambil serius titah berkenaan.

Apakah 1MDB akan mengeluarkan kenyataan untuk membidas pendapat raja-raja Melayu dan Kementerian Kewangan pula akan terus membisu terhadap saranan baik daripada raja-raja Melayu?

Pada ketika pemimpin UMNO membisu, Menteri Besar Selangor Mohamed AzminAli yang menyokong titah Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Azmin berkata kerajaan Selangor mengambil serius dan mengalu-alukan kenyataan raja-raja Melayu itu, yang menurutnya penting kerana melibatkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.


"Kami berpandangan bukan sahaja pemimpin tapi seluruh negara patut mengalu-alukan dan mengambil serius pandangan yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut," kata Azmin merujuk kenyataan Majlis Raja-raja Melayu semalam.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Sekiranya tidak ditangani segera isu 1MBD, Azmin berkata ia dibimbangi akan menjejaskan ekonomi negara dan masa depan rakyat keseluruhannya.

PAS pula menggesa Putrajaya menghidupkan semula pasukan petugas khas untuk menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS menyokong penuh saranan raja-raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan dengan cepat.

“Dengan saranan raja-raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuan Ibrahim turut mempersoal bidasan 1MDB terhadap Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, sejurus beliau menyatakan nilai ringgit akan pulih jika masalah syarikat sarat hutang itu diselesaikan secepat mungkin.

Timbalan presiden PAS itu berkata, Kementerian Kewangan langsung tidak menyambut cadangan gabenor mahupun menegur 1MDB.

Disebabkan itu, PAS mahu pasukan petugas khas 1MDB yang dihidupkan semula melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail, meskipun beliau sudah bersara sebagai peguam negara, dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

"Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan," kata Tuan Ibrahim.

Parti Amanah Negara (Amanah) turut membat kenyataan dengan mendakwa teguran Majlis Raja-Raja Melayu supaya kerajaan segera menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai isyarat pihak istana supaya Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menganggap, tindakan Raja-Raja Melayu itu kerana perdana menteri masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak berkaitan isu 1MDB.

"Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai Perdana Menteri kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, teguran itu juga memastikan pentadbiran Putrajaya menumpukan pembangunan negara, dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang.

Katanya, banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Dr Zeti Akhtar Aziz dan Abdul Gani Patail.

No comments:

Post a Comment