Wednesday, 14 October 2015

Sultan Mizan Bimbang Fitnah Melalui Media Sosial Kian Berleluasa

Sultan Mizan menyampaikan anugerah Maal Hijrah kepada Sepiah Mohamad - gambar Teganukita.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melahirkan kebimbangan penyebaran berita palsu dan fitnah yang berleluasa melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Baginda bertitah umat Islam harus berhati-hati dan menyelidik dahulu kesahihan berita yang disebarkan dalam media sosial.

"Betapa banyak fitnah yang terjadi akibat berita bohong yang disebarkan melalui komunikasi media baru...Kesannya banyak darah yang tertumpah, harta yang musnah, kehormatan tercalar serta persaudaraan terputus.

"Beta menyeru seluruh rakyat jelata supaya sentiasa bersangka baik, bersatu padu dan bekerjasama untuk memastikan negeri dan negara terus maju," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu. Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Tuanku Nur Zahirah.

Baginda bertitah, lebih menyedihkan ada dik alangan suami isteri berpisah dan bangsa serta negara saling bermusuhan kerana terperdaya dengan berita palsu dan tidak benar.

“Beta menyeru umat Islam supaya sentiasa bersangka-baik, bersatu-padu dan bekerjasama untuk memastikan negeri dan negara terus maju, aman dan harmoni,”katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta kira-kira 3,000 orang turut hadir pada majlis itu.

Sultan Mizan turut berkenaan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri kepada bekas qariah kebangsaan dan antarabangsa Sepiah Mohamad.

Sepiah, 65, yang juga Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa pada 1998 membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej umrah dengan nilaian RM10,000, sepersalinan pakaian, piala iringan dan sijil penghargaan.


Anugerah Keluarga Mithali pula dimenangi oleh Wan Yussof Wan Mohammad dari Kampung Maksom, Alor Lintah Besut.

Manakala bagi anugerah Orang Kurang Upaya (OKU) digondol Mohd Razak Che Awang dari Permaisuri, Setiu. Tiga anugerah itu adalah sebahagian daripada 11 anugerah pelbagai kategori disampaikan Sultan Mizan.

Baginda juga berkenan menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik kepada pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hairuddin Omar yang merupakan pengusaha pes makanan sedia hidang Adeq Sue Resources Sdn Bhd (Adeq Sue).

Sumber - Bernama & Teganukita

No comments:

Post a Comment