Sunday, 25 October 2015

Jailani - Bajet 2016 Beri Manfaat Besar Kepada Rakyat


Pengumuman Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat merupakan satu belanjawan yang menyeluruh dan mengambil kira kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Jailani berkata, peruntukkan sebanyak RM1.2 bilion yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan infrastruktur komunikasi dan prasarana jalur lebar akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

"Dengan adanya peruntukkan ini, kadar kapasiti jalur lebar terutamanya di luar bandar akan dapat ditingkatkan, contohnya di Hulu Terengganu ini ada beberapa pusat internet yang dibina dan hanya berkapasiti lima megabit sesaat (Mbps) dan insya-Allah selepas ini kita akan tingkatkan kepada 20mbps di luar bandar dan hingga 100mbps di kawasan bandar.

"Melalui bajet ini juga, kita lihat pihak kerajaan agak sensitif dengan keperluan rakyat yang mana peruntukan sebanyak RM100 juta bagi program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah agenda kebangsaan Digital Malaysia akan memberi manfaat kepada Kumpulan B40 yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pada Majlis Mengacau Bubur Asyura bersama 300 peniaga di Pasar Besar Kuala Berang semalam. 

Jailani berkata, program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) akan dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah terutamanya suri rumah, pelajar dan golongan belia untuk meningkatkan pendapatan melalui bidang perniagaan secara dalam talian.

"Insya-Allah, kita akan perkenalkan 'Siber Guru' di beberapa pusat internet untuk menggalakkan penglibatan golongan B40 ini dalam perniagaan dalam talian yang  mana kita akan beri pendedahan dan penerangan bagaimana nak jalankan perniagaan dalam talian kepada mereka yang berminat.

Bagi peruntukan sebanyak RM250 juta untuk perlaksanaan projek pendigitalan penyiaran nasional juga diharap akan dapat kita realisasikan hasrat untuk tingkatkan  penyiaran analog kepada digital menjelang 2018 bagi meningkatkan kualiti audio visual dan tambah nilai kepada kandungan televisyen serta transaksi data interaktif, bersesuaian dengan keperluan dan peredaran teknologi sekarang," katanya.

Bernama

No comments:

Post a Comment