Showing posts with label Jailani. Show all posts
Showing posts with label Jailani. Show all posts

Thursday, 7 July 2016

Yayasan 1MDB Taja 75 Daripada 1,100 Tunai Haji


Seramai 1,100 peserta dipilih pada tahun ini untuk menunaikan ibadah haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri Tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dijalankan buat kali keenam sejak 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Khas program terbabit, Datuk Jailani Ngah berkata daripada jumlah tersebut, seramai 75 jemaah adalah dari Terengganu.

Beliau berkata, berbeza dengan tahun lepas, semua penerbangan untuk peserta pada tahun ini akan mendarat di Makkah.

“Buat kali pertamanya,  peserta akan ke Makkah dahulu dengan penerbangan pertama iaitu KT-28 yang dijadualkan pada 24 Ogos dan diteruskan dengan penerbangan KT-29, KT-30 serta KT-31.

“Empat penerbangan itu akan dipecahkan kepada empat kumpulan peserta dan mereka akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya
.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan surat jemputan peserta dari Terengganu yang terpilih menyertai program tersebut di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Muhammad Pehimi Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia, Dato’ Rozi Mamat.

Tambah Jailani, untuk tahun ini, kategori peserta terdiri daripada imam, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), guru pondok, guru tahfiz, ketua-ketua jabatan, 
pemimpin masyarakat, pemimpin belia, pegawai perubatan, ahli akademik serta pengamal media.

“Uniknya pada tahun ini, kita turut libatkan golongan profesional sebagai perserta serta urusetia iaitu pegawai perubatan serta ahli akademik dari Institut Pengajian Awam Tinggi (IPTA).

“Bagi golongan perubatan, disamping mereka bertugas sebagai urusetia, mereka akan turut berkhidmat untuk Tabung Haji untuk memastikan keadaan kesihatan para jemaah haji peserta kita ini terjamin manakala ahli akademik pula akan memberikan tazkirah kepada peserta-peserta sepanjang berada di Makkah dan Madinah,” katanya.


Program Khas Haji Perdana Menteri Tajaan Yayasan 1MDB tersebut menggunakan kuota khas dari kerajaan Arab Saudi atas hubungan dua hala yang baik antara dua buah negara.

teganukita

Saturday, 28 May 2016

100,000 Peserta Dijangka Terlibat Program e-Usahawan, e-Rezeki Tahun Ini


Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan penyertaan 100,000 orang dalam program e-Usahawan dan e-Rezeki menerusi kempen #YOUCANDUIT di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata kempen #YOUCANDUIT di bawah seliaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bertujuan meningkatkan taraf ekonomi rakyat khususnya belia dan golongan B40 berpendapatan bawah RM4,000.

"Program perintis e-Usahawan pada 2015 membabitkan 147 pusat pendidikan latihan teknik dan vokasional (TVET) di seluruh negara. Ia turut disertai lebih 400 pensyarah sebagai pelatih induk, seramai 2,300 pelajar serta 260 usahawan mikro.

"Hasilnya, hampir 80 peratus daripada mereka berjaya menjana pendapatan keseluruhan terkumpul hampir RM4 juta dalam masa enam bulan.

"Selain itu, kita juga menyasarkan 45,000 individu yang mendaftar perniagaan menerusi e-Usahawan meraih sasaran jualan terkumpul sebanyak RM21 juta," katanya selepas melancarkan Karnival Kempen #YOUCANDUIT peringkat Terengganu di Hulu Terengganu, semalam.

Kempen #YOUCANDUIT dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kuching, Sarawak pada Mac lepas dan Terengganu menjadi negeri kedua pelancaran kempen berkenaan.

Jailani berkata sejak awal tahun ini, seramai 2,700 pelajar TVET dan usahawan mikro mengikuti kursus e-Usahawan dan menghasilkan jualan terkumpul RM2.6 juta.

"Program e-Rezeki menyasarkan golongan B40 atau isi rumah berpendapatan rendah menjana pendapatan secara kerja sambilan dalam talian.

"Sejak diperkenalkan tahun lepas, eRezeki menjana pendapatan tambahan terkumpul lebih RM11.2 juta bagi 16,000 pesertanya dan ia dijangka menyumbang hasil sehingga RM15 juta," katanya.

Menurutnya, sebanyak 66 pusat dan wakil e-Rezeki akan beroperasi tahun ini bagi menyediakan kemudahan melatih golongan B40 melaksanakan tugasan digital.

Sehingga kini seramai 40,000 individu telah mendaftar sebagai peserta e-Usahawan manakala 16,000 orang pula menyertai e-Rezeki.

Sunday, 25 October 2015

Jailani - Bajet 2016 Beri Manfaat Besar Kepada Rakyat


Pengumuman Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat merupakan satu belanjawan yang menyeluruh dan mengambil kira kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Jailani berkata, peruntukkan sebanyak RM1.2 bilion yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan infrastruktur komunikasi dan prasarana jalur lebar akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

"Dengan adanya peruntukkan ini, kadar kapasiti jalur lebar terutamanya di luar bandar akan dapat ditingkatkan, contohnya di Hulu Terengganu ini ada beberapa pusat internet yang dibina dan hanya berkapasiti lima megabit sesaat (Mbps) dan insya-Allah selepas ini kita akan tingkatkan kepada 20mbps di luar bandar dan hingga 100mbps di kawasan bandar.

"Melalui bajet ini juga, kita lihat pihak kerajaan agak sensitif dengan keperluan rakyat yang mana peruntukan sebanyak RM100 juta bagi program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah agenda kebangsaan Digital Malaysia akan memberi manfaat kepada Kumpulan B40 yang berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pada Majlis Mengacau Bubur Asyura bersama 300 peniaga di Pasar Besar Kuala Berang semalam. 

Jailani berkata, program e-Rezeki dan e-Usahawan di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) akan dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah terutamanya suri rumah, pelajar dan golongan belia untuk meningkatkan pendapatan melalui bidang perniagaan secara dalam talian.

"Insya-Allah, kita akan perkenalkan 'Siber Guru' di beberapa pusat internet untuk menggalakkan penglibatan golongan B40 ini dalam perniagaan dalam talian yang  mana kita akan beri pendedahan dan penerangan bagaimana nak jalankan perniagaan dalam talian kepada mereka yang berminat.

Bagi peruntukan sebanyak RM250 juta untuk perlaksanaan projek pendigitalan penyiaran nasional juga diharap akan dapat kita realisasikan hasrat untuk tingkatkan  penyiaran analog kepada digital menjelang 2018 bagi meningkatkan kualiti audio visual dan tambah nilai kepada kandungan televisyen serta transaksi data interaktif, bersesuaian dengan keperluan dan peredaran teknologi sekarang," katanya.

Bernama